Soalan:
Ustaz, bolehkah gabung niat antara puasa sunat enam Syawal dengan puasa qadha Ramadan?
Jawapan:
Dari satu sudut, boleh atau sah menggabungkan niat puasa qadha Ramadan dengan puasa sunat 6 hari Syawal. Namun niat seperti ini tidak menjadikan seseorang dapat pahala seperti yang dinyatakan oleh Nabi SAW, seperti berpuasa setahun. Melainkan jika dia telah sempurna puasa Ramadan sebulan tahun tersebut, namun padanya masih terdapat puasa wajib lain seperti puasa nazar atau qadha puasa tahun-tahun yang lain, maka dia berhak mendapat kelebihan puasa setahun.
Di bawah ini saya terjemahkan penjelasan oleh al-Syeikh Salim al-Bahiri dalam risalahnya bertajuk Ahkam Siyam al-Sitt Min Syawal ‘Ind al-Syafi’iyyah, hal. 10:
الحال الثانية: أن ينويها مُشَرِّكًا بينها وبين غيرها.
إذا نوى الشخص صوم الست من شوال مشركا بينها وبين غيرها، كأن صام نذرًا ستا من شوال جامعًا بين النيتين .. صح صومه، ولم يك هذا الجمع بين النيتين مبطلا للصوم على المعتمد عـنـد ابن حجر والرملي خـلافـا للإسنوي، لكن ينبغي ورود تفصيل في ترتب الثواب المخصوص، فهنا حالان:
فإذا كان ما نواه معها قضاء رمضان الذي سبقها .. فقضية النصين السابقين عن «التحفة» و«النهاية» عدم ترتب الثواب المخصوص في الحديث؛ لأنه لم يصدق عليه أنه صام جميع رمضان، ثم أتبعه بست من شوال.
وإن كان ما نواه معها غير قضاء رمضان الذي سبقها، كأن نوى معها قضاء رمضان آخر ، نذرًا أو كفارةً .. ترتب الثواب المخصوص إذا كان قد قضى جميع رمضان الذي سبقها كما يُعلم من عبارتي «التحفة» و«النهاية . «
Keadaan kedua:
Seseorang berniat puasa sunat 6 Syawal dengan menggabungkannya bersama niat lain.
Jika seseorang berniat untuk berpuasa enam hari di bulan Syawal dengan menggabungkannya bersama niat puasa lain, seperti dia berpuasa nazar enam hari dalam bulan Syawal sambil menghimpunkan kedua-dua niat, maka puasanya sah. Penggabungan dua niat ini tidak membatalkan puasa menurut pendapat muktamad di sisi Ibn Hajar dan al-Ramli, berbeza dengan pendapat al-Isnawi. Namun, perlu diperincikan berkaitan perolehan pahala khusus (yang disebut dalam hadis). Dalam hal ini terdapat dua keadaan:
- Jika dia menggabungkannya dengan qadha Ramadan yang lalu, maka berdasarkan zahir dua teks dari al-Tuhfah dan al-Nihayah, tidak terhasil pahala khusus yang disebut dalam hadis tersebut. Ini kerana tidak berlaku ke atasnya telah menyempurnakan puasa Ramadan sepenuhnya, kemudian mengikutinya dengan enam hari Syawal.
- Jika dia menggabungkannya dengan selain qadha Ramadan yang lalu, seperti dia berniat bersama qadha Ramadan yang lain (yang bukan Ramadan sebelumnya), atau nazar, atau kaffarah — maka dia memperoleh pahala khusus tersebut, sekiranya dia telah pun menunaikan keseluruhan puasa Ramadan yang sebelumnya. Hal ini difahami daripada ungkapan al-Tuhfah dan al-Nihayah.
