Soalan:
Apa hukum makan telur kambing jantan?
Jawapan:
Jumhur ulama mengharuskan memakan buah telur atau testis kambing tanpa makruh, manakala mazhab Hanafi, al-Awza‘i dan Mujahid memakruhkan memakannya. Mereka berhujah dengan perkataan Ibn ‘Umar RA:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ يَكْرَهُ مِنَ الشَّاةِ سَبْعًا: الدَّمَ، وَالْحَيَا، وَالْأُنْثَيَيْنِ، وَالْغُدَّةَ، وَالذَّكَرَ، وَالْمَثَانَةَ، وَالْمَرَارَةَ، وَكَانَ يَسْتَحِبُّ مِنَ الشَّاةِ مُقَدَّمَهَا
“Rasulullah ﷺ membenci tujuh bahagian daripada kambing: darah, al-hayā (iaitu faraj), dua buah (telur) zakar (testis), kelenjar (ghuddah), zakar, pundi kencing, dan hempedu. Baginda pula menyukai bahagian hadapan kambing." (Rujukan: Musannaf Ibn Abi Shaybah, 3/535)[1] Namun hadis ini lemah.
Perkataan Ibn ‘Umar[2]:
“Rasulullah ﷺ membenci daripada kambing tujuh perkara…”, antaranya: الْمَرَارَةَ iaitu hempedu. Merujuk kepada sesuatu yang terdapat dalam rongga haiwan yang mengandungi cecair kehijauan. Orang ramai menamakannya sebagai “النَفْس” (hempedu). Al-Layth berkata: “Hempedu terdapat pada setiap makhluk bernyawa kecuali unta, kerana unta tidak mempunyai hempedu.”[3]
الْمَثَانَةَ iaitu pundi kencing — dengan huruf thā’ bertitik tiga dan nun selepas alif — sebagaimana disebut dalam al-Nihayah, ialah anggota dalam badan tempat berkumpulnya air kencing di dalam rongga.
الْحَيَا — disebut dalam al-Nihayah: dengan huruf mad — ialah faraj (alat kemaluan betina) bagi haiwan berkuku (seperti unta) dan berkuku belah (seperti lembu dan kambing).
الْأُنْثَيَيْنِ iaitu dua buah zakar atau testis, serta kelenjar.
الْغُدَّةَ iaitu setiap ketulan (nodul) dalam badan yang dikelilingi lemak, dan setiap bahagian keras yang berada di antara urat saraf.
الدَّمَ atau darah, iaitu darah yang bukan mengalir, kerana darah yang mengalir itu adalah haram. Sedangkan apa yang disebut bersama dalam hadis ini hanyalah perkara yang makruh, bukan haram.[4]
Manakala bahagian kambing yang paling disukai oleh Baginda ialah bahagian hadapannya, kerana ia lebih jauh daripada unsur yang memudaratkan, lebih ringan dan lebih baik. Dimaksudkan dengan bahagian hadapan ialah lengan (الذراع) dan bahu (الكتف).
Sebahagian ulama pula berpendapat bahawa setiap bahagian yang lebih ke hadapan adalah lebih utama, maka mereka menganggap kepala lebih utama daripada bahu.
[1] Diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Awsat (no. 9480) daripada Ibn ‘Umar, dan oleh al-Bayhaqi dalam al-Sunan (10/7) daripada Mujahid secara mursal, kerana Mujahid tidak sempat bertemu dengan Nabi SA ﷺ. al-Haythami dalam Majma‘ al-Zawa’id (5/36) mendatangkan riwayat ini melalui jalur lain oleh al-dan beliau turut menilainya sebagai lemah (daif). Hadis ini juga dinilai daif (lemah) oleh al-Albani dalam Da‘if al-Jami‘ (no. 4616) dan juga dalam al-Silsilah al-Da‘ifah (no. 4292).
[2] Lihat huraian lafaz-lafaz ini dalam al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir oleh al-San‘ani 8/625-626
[3] Al-Qutaybi (القتيبي) pula berkata:
أراد المحدث أن يقول الأَمرّ وهي المصارين فقال المرارة، قال في النهاية بعد نقله، وليس بشيء
“Perawi hadis sebenarnya ingin menyebut “al-amarr” (iaitu usus-usus), tetapi tersilap lalu menyebut “al-mirrah” (hempedu). Namun disebut dalam al-Nihayah selepas menukilkan pandangan ini: Ia bukan sesuatu yang tepat.”
[4] Sekalipun begitu Al-Khattabi berkata: “Boleh jadi dihimpunkan beberapa perkara dalam satu susunan lafaz, tetapi sebahagiannya ditentukan hukumnya berbeza daripada yang lain berdasarkan dalil tertentu.”
Namun pandangan ini dibantah oleh Abu Syamah, kerana Nabi ﷺ tidak mungkin memaksudkan darah yang haram secara ijmak, kerana darah tersebut telah terpisah daripada kambing (yakni selepas disembelih), sedangkan tujuh perkara yang disebut itu masih terdapat padanya. Selain itu, kedudukan Baginda ﷺ terlalu tinggi untuk digambarkan bahawa Baginda “membenci” sesuatu yang telah dinaskan pengharamannya ke atas seluruh manusia.
Oleh itu, yang dimaksudkan ialah Baginda ﷺ membenci daripada bahagian kambing itu sesuatu yang berupa darah yang membeku (darah tidak mengalir) daripada bahagian yang asalnya halal dimakan, kerana ia termasuk darah yang tidak mengalir. Sebagaimana dalam hadis: "Dihalalkan bagi kita dua bangkai dan dua darah." Seolah-olah isyarat dengan istilah “makruh” itu merujuk kepada limpa dan hati.
