Menjaga Muru'ah: Seseorang Yang Malu Dengan Manusia, Akan Malu Juga Dengan Penciptanya

Diceritakan bahawa Abu al-‘Abbas al-Saffah (ابو العباس السفاح), khalifah pertama daripada Bani Abbasiyyah, pernah memerintahkan agar seorang lelaki daripada Bani Umayyah dibunuh. Apabila lelaki tersebut mengetahui bahawa dirinya pasti akan dibunuh, dia keluar dari rumahnya menuju ke tempat pelaksanaan hukuman.

Isteri dan anaknya mengikutinya. Lelaki itu membawa bersamanya harta yang dimilikinya, lalu dia mula mengagihkan harta tersebut, membelanjakannya, serta bersedekah kepada orang ramai yang berada di sekelilingnya.

Isterinya menegur dan mencelanya sambil berkata: وَلَدُكَ وَلَدُكَ “Anakmu! Anakmu!”, maksudnya: “Tinggalkanlah harta itu untuk anakmu.” Namun lelaki itu menjawab dengan bait-bait syair yang masyhur, yang telah dicatatkan oleh sejarah:

باتَتْ تَلومُ وتَلْحَانِي على خُلُقٍ، عَوَّدْتُهُ عادَةً والجودُ تَعوِيدُ، قالَتْ أراكَ بِما أنْفَقْتَ ذا سَرَفٍ، فِيما فَعَلْتَ فَهَلّا فيكَ تَصْرِيدُ، قُلْتُ: اتْرُكِينِي أَبِعْ مالِي بِمَكْرُمَةٍ، يَبْقى ثَنائي بِها ما أَوْرَقَ العُودُ، إِنّا إِذا ما أَتَيْنا أَمْرَ مَكْرُمَةٍ،قالَتْ لَنا أَنْفُسٌ حَرْبِيَّةٌ: عودُوا.

Engkau mencela dan terus menegurku atas suatu akhlak, Yang telah aku biasakan, dan kebaikan itu telah menjadi kebiasaanku. Dia berkata: “Dia (isterinya) berkata: Aku melihat engkau telah berlebih-lebihan dalam apa yang engkau belanjakan. Dalam apa yang engkau lakukan itu, tidakkah engkau boleh berjimat (atau menahan diri sedikit)?” Aku katakana: “Biarkan aku menginfakkan hartaku demi kemuliaan, Agar sebutan baik tentangku kekal selama pepohon masih berdaun. Sesungguhnya apabila kami memulakan suatu perbuatan mulia, Jiwa kami yang berketurunan (mulia) berkata: ulangilah!” (Syarh Diwan al-Hamasah li al-Tibrizi 2/334)

Lelaki Bani Umayyah ini menjawab isteri celaan isterinya kepadanya bahawa sifat memberi itu telah sebati dalam dirinya sejak kecil. Dia berkata bahawa tidak mungkin dia meninggalkan sifat tersebut ketika dia sedang menuju kematian.

Dia juga ingin meninggalkan nama yang baik dalam kalangan manusia, kerana sebutan baik itulah yang kekal selepas kematian.

Dalam budaya Arab dahulu, pandangan masyarakat sangat diambil kira. Hal ini menyebabkan nilai muru’ah (maruah dan akhlak mulia) terus hidup dalam masyarakat. Bahkan para ulama, pendidik dan pemimpin seharusnya menghidupkan kembali nilai ini dalam masyarakat.

Allah SWT menyebut doa Nabi Ibrahim:

وَاجْعَل لِّي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

“Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik dalam kalangan orang kemudian.” (al-Syu‘araa’: 84)

Maka seseorang yang berusaha agar dirinya mempunyai akhlak, muruah dan nama yang baik ialah perkara yang memang dikehendaki.

Pernah disebut kisah Abu al-Bukhturi bin Hisham (أَبَو الْبُخْتُرِيِّ بْن هِشَامٍ) ketika para sahabat ingin membunuhnya dalam Perang Badar, lalu mereka diberitahu bahawa Nabi SAW melarang membunuhnya. Dia cuba meminta syafaat untuk orang yang bersamanya, tetapi apabila syafaatnya tidak diterima, dia berkata:

لا والله، إذن لأموتن أنا وهو جميعا، ولا تتحدث عني نساء مكة أني تركت زميلي حرصا على الحياة

“Tidak, demi Allah. Kalau begitu, biarlah aku mati bersama-samanya. Jangan sampai wanita-wanita Mekah memperkatakan tentang diriku bahawa aku meninggalkan sahabatku kerana terlalu inginkan hidup.” (Lihat Khatam al-Nabiyyin SAW, oleh Muhammad Abu Zahrah 2/563)

Maka seseorang itu memandang tinggi kepada pandangan orang di sekelilingnya dan kepada apa yang diperkatakan manusia tentang dirinya. Inilah yang menyebabkan nilai mulia kekal dalam kalangan orang Arab dan sifat muru’ah (الْمُرُوءَةَ) hidup dalam darah mereka.

Seseorang itu, apabila dia malu kepada manusia, dia juga akan malu kepada Penciptanya. Tetapi apabila seseorang itu tidak malu kepada Allah dan juga tidak malu kepada manusia, maka apakah lagi yang akan menghalangnya daripada melakukan perkara-perkara keji? Inilah yang berlaku dalam tamadun Barat pada hari ini. Seorang lelaki tidak peduli apa yang dilakukannya, demikian juga seorang Perempuan. Lalu perkara yang mencemarkan muru’ah berlaku secara terang-terangan di jalanan dan di pelbagai tempat.

Lelaki itu berkata lagi: فَقُلْتُ دَعِينِي أَبِعْ مَالِي بِمَكْرُمَةٍ “Biarkan aku menjual hartaku demi suatu kemuliaan.” Harta akan binasa, sebagaimana kata Hatim al-Ta’iy (حاتم الطائي):

إِنَّ الْمَالَ غَادٍ وَرَائِحٌ، وَيَبْقَى مِنَ الْمَالِ الْأَحَادِيثُ وَالذِّكْرُ

 “Sesungguhnya harta itu pergi dan datang, tetapi yang tinggal daripada harta ialah cerita dan sebutan.”

Beliau juga berkata:

أَمَا إِنِّي لَا أَقُولُ لِسَائِلٍ إِذَا جَاءَ يَوْمًا: حَلَّ فِي مَالِي النَّزْرُ

 “Adapun aku tidak akan berkata kepada orang yang meminta: “Hartaku sudah sedikit.”

Hatim pada zamannya sangat mengambil berat terhadap apa yang manusia akan perkatakan. Bahkan apabila tetamu datang kepadanya dan dia mengetahui mereka datang dari kabilah-kabilah yang berbeza, dia menyembelih bagi setiap kabilah seekor unta dan menghidangkannya. Apabila mereka berkata seekor unta sahaja sudah memadai wahai Hatim, Hatim menjawab:

إِنِّي رَأَيْتُ الْوُجُوهَ مُخْتَلِفَةً، وَكُلُّ وَاحِدٍ مِنْكُمْ سَيَمْضِي وَسَيُحَدِّثُ

“Aku melihat wajah-wajah ini berbeza, dan setiap seorang daripada kalian akan pergi lalu bercerita.”

Semua ini menjadikan muru’ah terus hidup dalam masyarakat. Dan hal ini tidak bercanggah dengan ikhlas kerana Allah. Bahkan muru’ah itu memang patut terus hidup dalam kalangan manusia.

Kemudian beliau berkata:

إِنَّا إِذَا ابْتَدَأْنَا أَمْرَ مَكْرُمَةٍ قَالَتْ لَنَا أَنْفُسٌ حَرْبِيَّةٌ: عُودُوا

 “Sesungguhnya kami, apabila memulakan suatu amalan mulia, jiwa-jiwa kami yang bersifat Harbiyyah berkata: ulangilah.”

Apakah maksud “jiwa-jiwa Harbiyyah”? kalimah أَنْفُسٌ ialah jamak kepada “نَفْس”, manakala “حَرْبِيَّةٌ” ialah nisbah kepada Harb bin Umayyah (حَرْبِ بْنِ أُمَيَّةَ). Maksudnya, kami ini dinisbahkan kepada Harb bin Umayyah, seorang pemimpin yang hebat Bani Kinanah dalam perang al-Fijar dan salah seorang pembesar Arab pada zaman jahiliah sebelum Islam. Beliau juga bapa kepada Abu Sufyan dan datuk Mu‘awiyah.

Dikatakan Harb bin Umayyah dibunuh oleh jin. terdapat satu bait sya’ir yang menyebut:

وَقَبْرُ حَرْبٍ بِمَكَانٍ قَفْرٍ، وَلَيْسَ قُرْبَ قَبْرِ حَرْبٍ قَبْرُ

“Kubur Harb berada di suatu tempat sunyi, dan tiada kubur yang berhampiran dengan kubur Harb.”

Bait ini, kerana beratnya susunan huruf-hurufnya yang hampir pada makhraj, hampir-hampir tidak mampu diucapkan oleh sesiapa pun sebanyak tiga kali berturut-turut. Al-Zamakhshari berkata dalam Rabi‘ al-Abrar:

يزعمون أن علقمة بن صفوان وحرب بن أمية من فتلى الجن، قالوا: وقالت الجن: وَقَبْرُ حَرْبٍ بِمَكَانٍ قَفْرِ،...إلخ، قالوا: ومن الدليل على أن هذا من شعر الجن أن أحدًا لا يقدر أن ينشد ثلاث مرات متصلة من غير تَتَعْتُع ويقدر على تكرار أشق بيت من أبيات الإنس عشر مرات من غير تتعتع، والله أعلم

“Mereka mendakwa bahawa ‘Alqamah bin Safwan dan Harb bin Umayyah termasuk dalam kalangan mereka yang dibunuh oleh jin. Mereka berkata: Jin telah berkata: “Dan kubur Harb berada di suatu tempat yang sunyi...” dan seterusnya. Mereka juga berkata: Antara bukti bahawa bait ini termasuk syair jin ialah bahawa tiada seorang pun mampu melagukannya tiga kali berturut-turut tanpa tergagap-gagap, sedangkan dia mampu mengulang bait syair manusia yang lebih sukar sebanyak sepuluh kali tanpa tergagap.” Dan Allah lebih mengetahui.” (Sharh Shafiyah Ibn al-Hajib, 4/487)

Bait ini dinisbahkan kepada jin. Kita tidak berpegang dengan kisah seumpama ini, tetapi hanya menyebutnya sebagai riwayat. Yang penting, hakikat bahawa lelaki Bani Umayyah ini bersandar kepada moyangnya yang memiliki keturunan mulia, kedudukan tinggi dan muru’ah, menjadikannya malu kepada dirinya sendiri untuk meninggalkan perangai mulia itu.

Maksud kata-katanya: إِنَّا إِذَا ابْتَدَأْنَا أَمْرَ مَكْرُمَةٍ “Sesungguhnya kami, apabila memulakan suatu amalan mulia,” iaitulah; bahawa kami tidak melakukan kemuliaan sekali sahaja kemudian berhenti, bahkan kami mengulanginya berkali-kali kerana ia sebahagian daripada akhlak kami, tabiat kami dan adat kami. Kami bukan melakukan kebaikan sekali lalu meninggalkannya. Hal demikian itu bukanlah kemurahan, dan bukan ihsan kepada orang miskin. Bahkan apabila kami memulakan suatu perkara mulia, jiwa kami berkata: عُودُوا “ulangilah.” Maka kami mengulanginya kerana akhlak itu sudah berakar dalam diri kami. Kemudian lelaki itu pun dibawa lalu dibunuh.

Inilah sikap ithar yang agung dan terpuji yang telah dirakamkan oleh orang-orang terdahulu. Maka terpikul di atas generasi kemudian satu tanggungjawab besar, iaitu memelihara kemuliaan yang telah ditinggalkan oleh datuk nenek moyang mereka.

Seorang lelaki sedang dibawa menuju kematian, sedangkan anaknya berada di belakangnya. Namun begitu, dia masih memikirkan apa yang akan manusia perkatakan selepas kematiannya, memikirkan masyarakat, memikirkan orang kecil dan orang besar, orang miskin, orang yang cacat dan mereka yang mempunyai keperluan, bahkan memikirkan mereka sebelum memikirkan anaknya sendiri.

Benar, Islam datang dengan panduan: “Mulakan dengan orang yang berada di bawah tanggunganmu.” Hal ini memang tidak diragui. Tetapi secara pasti lelaki itu tentu telah meninggalkan sesuatu untuk anaknya, apatah lagi anaknya tetap akan mewarisinya.

Namun perlu dibezakan antara perkara yang tetap dan perkara yang mendatang. Para ulama berhujah untuk perkara ini dengan hadis sahihain daripada Abu Hurairah RA:

أَتَى رَجُلٌ رَسُولَ اللهِ - ﷺ - فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، أَصَابَنِي الجَهْدُ، فَأَرْسَلَ إِلَى نِسَائِهِ فَلَمْ يَجِدْ عِنْدَهُنَّ شَيْئًا، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ - ﷺ -: أَلاَ رَجُلٌ يُضَيِّفُهُ هَذِهِ اللَّيْلَةَ، يَرْحَمُهُ اللهُ. فَقَامَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ فَقَالَ: أَنَا يَا رَسُولَ اللهِ، فَذَهَبَ إِلَى أَهْلِهِ فَقَالَ لاِمْرَأَتِهِ: ضَيْفُ رَسُولِ اللهِ - ﷺ -، لاَ تَدَّخِرِيهِ شَيْئًا، قَالَتْ: وَاللهِ مَا عِنْدِي إِلاَّ قُوتُ الصِّبْيَةِ، قَالَ: فَإِذَا أَرَادَ الصِّبْيَةُ العَشَاءَ فَنَوِّمِيهِمْ وَتَعَالَيْ فَأَطْفِئِي السِّرَاجَ، وَنَطْوِي بُطُونَنَا اللَّيْلَةَ، فَفَعَلَتْ، ثُمَّ غَدَا الرَّجُلُ عَلَى رَسُولِ اللهِ - ﷺ -، فَقَالَ: لَقَدْ عَجِبَ اللهُ عز وجل، أَوْ: ضَحِكَ مِنْ فُلاَنٍ وَفُلاَنَةَ. فَأَنْزَلَ اللهُ عز وجل: ﴿وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ﴾

“Seorang lelaki datang kepada Rasulullah lalu berkata: “Wahai Rasulullah, aku ditimpa kesusahan (kelaparan).” Maka Baginda mengutus seseorang kepada para isteri baginda, namun Baginda tidak mendapati apa-apa makanan di sisi mereka. Lalu Rasulullah bersabda: “Adakah sesiapa yang mahu menjamunya pada malam ini? Semoga Allah merahmatinya.” Maka bangun seorang lelaki daripada kaum Ansar lalu berkata: “Saya, wahai Rasulullah.” Dia pun pulang kepada keluarganya lalu berkata kepada isterinya: “Ini adalah tetamu Rasulullah , jangan kamu simpan apa-apa daripadanya.” Isterinya berkata: “Demi Allah, aku tidak mempunyai apa-apa kecuali makanan untuk anak-anak.” Lelaki itu berkata: “Apabila anak-anak ingin makan malam, tidurkanlah mereka. Kemudian datanglah dan padamkan lampu, dan kita berlapar pada malam ini.” Maka isterinya pun melakukan seperti yang diminta. Pada keesokan paginya, lelaki itu pergi bertemu Rasulullah . Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah عز وجل kagum — atau Baginda bersabda: tertawa — terhadap si fulan dan isterinya.” Lalu Allah عز وجل  menurunkan firman-Nya: “Dan mereka mengutamakan (orang lain) atas diri mereka sendiri, walaupun mereka sendiri dalam kesusahan.” (Surah al-Hashr: 9)

Ini adalah satu kemuliaan. Tetapi ia merupakan keadaan yang mendatang, kerana lelaki itu sanggup membiarkan isteri dan anak-anaknya lapar kerana adanya tetamu yang mendatang. Adapun hukum asalnya, dia tetap dituntut memberi makan kepada isteri dan anak-anaknya terlebih dahulu. Maka ini termasuk dalam fiqh pertimbangan antara hukum-hakam syarak.

 


Cetak  
Wallahu a'lam