Huraian Fath al-Qarib (1)

Huraian Fath al-Qarib

Kata Syarih:

بسم الله الرحمن الرحيم

مقدمة
قال الشيخُ الإمامُ العالم العلاَّمة، شمسُ الدين أبو عبد الله، محمد بن قاسم الشافعي - تغَمَّده الله برحمته ورضوانه، آمين:

MUQADDIMAH

Berkata Syeikh al-Imam, al-‘Alim al-‘Allamah (lagi sangat berilmu), Shams al-Din Abu ‘Abdillah Muhammad bin Qasim al-Shafi‘i – semoga Allah melimpahkan rahmat dan keredaan-Nya ke atasnya, آمين:

Huraian

Kitab ini dimulakan dengan بسم الله الرحمن الرحيم, zahir perkara ini menunjukkan ia bukan dari syarih atau pengarang, sebaliknya ia adalah daripada para penyalin (النُسَّاخ). Hal ini berdasarkan ungkapan selepasnya iaitu:

قال الشيخُ الإمامُ العالم العلاَّمة...

Ia berupa pujian untuk diri sendiri, sedangkan sesuatu yang ma’ruf dalam kalangan ulama adalah sifat tawadhu’, jauh sekali mereka memuji diri mereka sendiri. Kerana itu, yang lebih hampir, ungkapan awal ini adalah daripada nussakh atau para penyalin kitab.

Ungkapan:

قال الشيخُ الإمامُ العالم العلاَّمة...

Di mana kalimah الشيخُ pada asalnya adalah kata terbitan dari     شاخَ – يَشِيْخ - شَيْخًا. Namun kemudiannya ia dijadikan sifat iaitu sesuatu yang melazimi sesuatu zat. Dijadikan sifat dengannya bagi tujuan penegasan dan hiperbola iaitu bahasa kiasan yang digunakan untuk menyatakan sesuatu secara berlebih-lebihan daripada maksud sebenar (mubālaghah).

Kalimah الشيخُ, dalam bahasa Arab ialah seseorang yang berumur 50 tahun sehingga akhir umurnya. Ada juga yang berpandangan sehingga 80 tahun.[1] Dalam Tāj al-‘Arūs min Jawāhir al-Qāmūs 7/285-286 karya Murtadā al-Zabīdī yang wafat pada 1205H, dinyatakan kalimah الشيخُ:

)مَنِ اسْتَبَانَتْ فِيهِ السِّنُّ) وظَهَر عَلَيْهِ الشَّيْبُ، (أَو) هُوَ ﴿شَيْخٌ (من خَمْسِينَ) إِلى آخرِه، (أَو) هُوَ من (إِحْدَى وخَمسينَ إِلى آخرِ عُمْرِه)، وَقد ذكرَهما شُرَّاح الفصيح، (أَو) هُوَ من الْخمسين (إِلى الثّمانين)

“(Sheikh ialah) orang yang telah nyata padanya tanda-tanda berusia dan telah kelihatan uban pada dirinya. Atau: dia ialah ‘sheikh’ bermula dari umur lima puluh tahun hingga seterusnya. Atau: dia ialah dari umur lima puluh satu tahun hingga akhir hayatnya. Dan kedua-dua pendapat ini telah disebut oleh para pensyarah kitab al-Faṣīḥ. Atau: dia ialah dari umur lima puluh hingga lapan puluh tahun.”

Kemudian lafaz al-Syeikh ini digunakan sebagai bentuk kemuliaan kepada setiap orang yang memiliki ilmu dan kelebihan. Lalu timbullah gelaran: Sheikh al-Islam yang diberikan kepada seorang ulama yang benar-benar mantap dan mendalam dalam pelbagai ilmu syariah. Demikian juga Sheikh al-Qurrā’, kepada imam dan teladan para qari, iaitu orang yang menjadi rujukan para qari dan mereka mengambil pandangan daripadanya. Kata al-Rāghib al-Aṣfahānī dalam al-Mufradāt fī Gharīb al-Qur’ān (hlm. 469)

يقال لمن طعن في السن: (الشيخ)، وقد يعبّر به فيما بيننا عمن يكثر علمه، لمَّا كان مِن شأن (الشيخ) أن يكثر تجاربه ومعارفه

“Dikatakan bagi orang yang telah lanjut usia: ‘al-Sheikh’. Dan kadangkala istilah itu digunakan dalam kalangan kita bagi seseorang yang banyak ilmunya, kerana kebiasaannya ‘al-Sheikh’ itu orang yang memiliki banyak pengalaman dan pengetahuannya.”

Kalimah al-Syeikh, apabila disebut secara mutlak dalam mazhab Syafi‘i, maka yang dimaksudkan ialah Abu Ishaq al-Shirazi (أبو إسحاق الشيرازي). Hal ini kerana beliau pernah bermimpi melihat Rasulullah , lalu Baginda bersabda kepadanya: يا شيخ “Wahai Sheikh.” Maka beliau sangat bergembira dengan gelaran tersebut dan berkata: سمّاني رسول الله صلى الله عليه وسلم شيخاً “Rasulullah telah menamakanku sebagai ‘sheikh.”[2] Beliau ialah Ibrahim bin ‘Ali bin Yusuf al-Shirazi, Abu Ishaq, digelar Sheikh al-Islam, dan menjadi tempat rujukan para ulama besar pada zamannya serta imam dalam mazhab Syafi‘i. Beliau wafat pada tahun 476H.

Manakala jika disebut “الشيخان” (Dua Sheikh), merujuk kepada al-Rafi’e yang meninggal pada 623H dan al-Nawawi wafat pada 676H.  

Jika disebut:الشيوخ  pula ia merujuk kepada Abu Hamid al-Isfarayini (أبو حامد الاسفراييني) yang wafat pada 406H, al-Qadi Abu al-Tayyib (القاضي أبو الطيب), wafat pada 450H serta Abu Ishaq al-Shirazi (أبو إسحاق الشيرازي), wafat pada 476H. Ada juga pendapat yang mengatakan gelaran الشيوخ dimaksudkan kepada: al-Rafi‘i, al-Nawawi dan al-Subki (W756H).

Seseorang lelaki yang melepasi umur lima puluh tahun dipanggil ‘al-Sheikh’, bagi perempuan pula ‘الشيخةSebelum sampai tahap al-Syeikh, ketika berada dalam kandungan ibu, disebut sebagai ‘جنين’. Apabila dia keluar selepas kelahiran, disebut sebagai ‘kanak-kanak’ (طفل) atau ‘budak’ (صبي). Kemudian apabila baligh, dia disebut sebagai ‘pemuda’ (شاب). Apabila melepasi umur tiga puluh tahun, dia disebut sebagai ‘كَهْل’ (dewasa matang).

Kalimah al-Imam (الإمام) pula merujuk kepada orang yang diikuti. Al-Imam ialah bentuk mufrad, manakala jamaknya ialah a’immah (أئمة). Ia bermaksud orang yang diikuti, sama ada seorang ketua atau selainnya, sama ada diikuti dalam kebaikan atau dalam keburukan. Allah Ta‘ala menyifatkan para nabi عليهم الصلاة والسلام sebagai imam, kerana manusia wajib mengikuti mereka. Firman-Nya:

وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا وَأَوْحَيْنَا إِلَيْهِمْ فِعْلَ الْخَيْرَاتِ وَإِقَامَ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءَ الزَّكَاةِ ۖ وَكَانُوا لَنَا عَابِدِينَ

“Dan Kami jadikan mereka (para nabi) sebagai imam-imam yang memberi petunjuk dengan perintah Kami, dan Kami wahyukan kepada mereka melakukan kebaikan-kebaikan, mendirikan solat, dan menunaikan zakat; dan mereka sentiasa beribadah kepada Kami.” (al-Anbiya’: 73)

Dan dalam konteks mengikuti keburukan, Allah berfirman:

فَقَاتِلُوا أَئِمَّةَ الْكُفْرِ

“Maka perangilah pemimpin-pemimpin kekufuran.” (al-Tawbah: 12)

Dan firman-Nya lagi:

وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَدْعُونَ إِلَى النَّارِ ۖ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يُنصَرُونَ

“Dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang mengajak ke neraka. Dan pada hari kiamat, mereka tidak mendapat sebarang pertolongan.” (al-Qasas: 41)

Rasulullah bersabda:

إنما جعل الإمام ليؤتم به، فإذا كبر فكبروا، وإذا ركع فاركعوا، وإذا سجد فاسجدوا

“Sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikuti. Maka apabila dia bertakbir, bertakbirlah kamu; apabila dia rukuk, rukuklah kamu; dan apabila dia sujud, sujudlah kamu.” (Sahih al-Bukhari: 1/149, hadis no. (371), daripada Anas bin Malik. Sahih Muslim: 1/308, hadis no. (411), daripada Anas bin Malik. Sunan al-Nasa’i: 2/96, hadis no. (830), daripada Anas. Sunan Abi Dawud: 1/164, hadis no. (603), daripada Abu Hurairah)

Dalam al-Quran apabila digunakan kalimah ‘imam’, kebanyakannya merujuk kepada kepimpinan dalam agama dan kedudukan utama dalam agama. Firman Allah Ta‘ala kepada Nabi Ibrahim:

إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا

“Sesungguhnya Aku menjadikan engkau imam bagi manusia.” (al-Baqarah: 124)

Iaitu Allah menjadikan baginda sebagai nabi untuk diikuti. Allah SWT juga berfirman:

وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا 

“Dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.” (al-Furqan: 74)

Iaitu: orang yang mendahului dan menjadi ikutan dalam urusan agama.

Oleh itu, setiap orang yang diikuti, maka dia adalah imam, sama ada imam dalam kebaikan, atau imam dalam keburukan. Sebagaimana firman Allah Ta‘ala tentang hamba-hamba-Nya yang beriman:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا 

wahai tuhan kami, kurniakanlah kepada kami dari kalangan pasangan kami, zuriat kami penyejuk mata, dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.” (al-Furqan: 74)

Dan firman-Nya tentang orang kafir:

وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَدْعُونَ إِلَى النَّارِ ۖ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يُنصَرُونَ

“Dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang mengajak ke neraka. Dan pada hari kiamat, mereka tidak mendapat sebarang pertolongan.” (al-Qasas: 41)

Maka dari sudut bahasa, imam bermaksud orang yang diikuti, sama ada dalam kebaikan atau keburukan. Dari sudut istilah pula “Imam” ialah orang yang boleh diikuti.  Maka setiap orang yang boleh dijadikan ikutan, maka dia disebut sebagai imam.

Ungkapan ‘al-Alim العالم” bermaksud orang berilmu. Perkataan al-‘alim ialah isim fa‘il daripada ‘ilm (علم), iaitu: orang yang mempunyai ilmu. Seseorang yang hanya alim dalam satu masalah boleh dikatakan alim dalam perkara tersebut. Tidak disyaratkan seseorang itu menguasai banyak ilmu untuk digelar alim. Bahkan jika dia mengetahui satu masalah, maka dikatakan dia alim dalam masalah itu.

Manakala العلاَّمة ‘al-‘allāmah’ ialah bentuk mubālaghah (penegasan kuat). Perkataan ‘al-‘allām’ (العلّام) merupakan bentuk mubālaghah kerana ia berada pada wazan فعّال. Kemudian ditambah huruf tā’ (ة) pada ‘allāmah. Huruf tā’ ini bukan untuk menunjukkan perempuan (bukan tā’ ta’nīth), tetapi untuk menguatkan lagi makna mubālaghah yang sudah sedia ada pada wazan فعّال.

Jadi, pada perkataan ‘allāmah’ terdapat mubālaghah, dan huruf tā’ itu datang untuk menegaskan lagi makna mubālaghah tersebut, bukan untuk menunjukkan jantina perempuan.

Ungkapan: شمسُ الدين، أبو عبد الله di mana شمسُ الدين yang bermaksud “matahari agama” adalah laqab (لقب) iaitu sesuatu gelaran yang memberi gambaran pujian atau celaan. Beliau diberi gelaran laqab Shamsuddin yang bermaksud matahari agama kerana ilmu yang dicurahkannya dapat memberi suluhan dan bimbingan sepertimana cahaya matahari yang menyuluh dunia. Manakala أبو عبد الله pula ialah kunyah (كُنْيَةٌ) iaitu gelaran yang dimulakan dengan أب atau أم, ‘bapa kepada’ atau ‘ibu kepada.

Orang Arab sangat gemar menggunakan kunyah dan laqab, sehingga mereka akan memberi kunyah dan laqab kepada sekalipun kepada kanak-kanak, orang yang tidak mempunyai anak (mandul), bahkan kepada binatang buas, burung, malah benda mati dan juga perkara abstrak. Antara tujuan utama penggunaan kunyah kepada manusia dalam kalangan orang Arab ialah mengelakkan gelaran buruk yang keluar terlebih dahulu dari mulut musuh atau orang yang tidak beradab, lalu melekat pada seseorang seperti melekatnya kuman pada tempat yang berpenyakit. Kata ‘Umar bin al-Khattab RA:

عَجِّلُوا بِكُنَى أَوْلاَدِكُمْ لاَ تُسْرِعُ إِلَيْهِمُ الأَْلْقَابُ السُّوءُ

“Segerakanlah memberi kunyah kepada anak-anak kamu, supaya gelaran-gelaran buruk tidak mendahului mereka.” (Lihat al-Mawsu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 35/171)

Dan antara tujuannya juga ialah untuk memuliakan dan menghormati seseorang, kerana fitrah manusia cenderung tidak suka dipanggil secara langsung dengan namanya semata-mata. Dalam al-Mawsu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 35/171 dinyatakan:

قَال الْعُلَمَاءُ: كَانُوا يُكَنُّونَ الصَّبِيَّ تَفَاؤُلًا بِأَنَّهُ سَيَعِيشُ حَتَّى يُولَدَ لَهُ وَلِلأَْمْنِ مِنَ التَّلْقِيبِ

“Para ulama berkata: Dahulu mereka memberikan kunyah kepada kanak-kanak sebagai satu pengharapan, bahawa dia akan hidup sehingga mempunyai anak; dan juga sebagai langkah untuk mengelakkan daripada diberi gelaran (yang buruk).”

Terdapat gelaran laqab dan kuniah yang menjadi kebiasaan tertentu dalam kalangan ulama. Muhammad Kurd ‘Ali (w. 1372H) dalam karyanya Majallah al-Muqtabas bilangan: 17/16-17menyebut:  

فمن الكنى أبو اسحق كنية لمن اسمه إبرأهيم تأسيًا باسمي الخليل وابنه عليهما السلام أبو إبرأهيم لمن اسمه إسماعيل. أبو الحرث لليث وأرسلان. أبو الحسن لعلي. أبو داود لسليمان. أبو الدر لياقوت. أبو زكريا ليحيى. أبو سليمأن لداود. أبو الشكر لأيوب. أبو الصبر له أيضًا. أبو الطيب لطاهر. أبو العباس لأحمد وخضر. أبو علي للحسن والحسين. أبو عمرأن لموسى. أبو الفضل لجعفر وللربيع وليحيى. أبو الفتح لنصر. أبو القاسم لعلي ومحمود. أبو محمد لعبد الله. أبو محفوظ لمعرف. أبو المعالي لعبد الملك. أبو مروان له أيضًا. أبو المسك لكافور. أبو الميمون لمبارك. أبو المنصور لظافر. أبو الوقت لعبد الأول. أبو هريرة لعبد الرحمن. أبو يحيى لزكريا. أبو يوسف ليعقوب.ومن الألقاب للمتأخرين. سيف الدين لغازي. شمس الدين لمحمد. شهاب الدين لأحمد. صلاح الدين ليوسف. عماد الدين لإسماعيل

Antara kunyah ialah: Abu Ishaq bagi orang bernama Ibrahim, mencontohi nama Nabi Ibrahim (al-Khalil) dan anaknya عليهما السلام . Abu Ibrahim bagi yang bernama Ismail, Abu al-Harith bagi al-Layth atau Arslan, Abu al-Hasan bagi Ali, Abu Dawud bagi Sulaiman, Abu al-Durr bagi Yaqut, Abu Zakariya bagi Yahya, Abu Sulaim bagi Dawud, Abu al-Shukr bagi Ayyub, Abu al-Sabr juga bagi Ayyub, Abu al-Tayyib bagi Tahir, Abu al-‘Abbas bagi Ahmad dan Khidr, Abu ‘Ali bagi al-Hasan dan al-Husayn, Abu ‘Umar bagi Musa, Abu al-Fadl bagi Ja‘far, al-Rabi‘ dan Yahya, Abu al-Fath bagi Nasr, Abu al-Qasim bagi Ali dan Mahmud, Abu Muhammad bagi ‘Abdullah, Abu Mahfuz bagi Ma‘ruf, Abu al-Ma‘ali bagi ‘Abd al-Malik, Abu Marwan juga bagi ‘Abd al-Malik, Abu al-Misk bagi Kafur, Abu al-Maymun bagi Mubarak, Abu al-Mansur bagi Zafir, Abu al-Waqt bagi ‘Abd al-Awwal, Abu Hurayrah bagi ‘Abd al-Rahman, Abu Yahya bagi Zakariya dan Abu Yusuf bagi Ya‘qub. Bagi alqab (gelaran) bagi ulama muta’akhkhirin Sayf al-Din bagi Ghazi, Shams al-Din bagi Muhammad, Shihab al-Din bagi Ahmad, Salah al-Din bagi Yusuf dan ‘Imad al-Din bagi Ismail.”

Nama beliau ialah: Muhammad bin Qasim bin Muhammad bin Muhammad al-Ghazzi (محمد بن قاسم بن محمد بن محمد الغزي), dan beliau juga dikenali sebagai Ibn al-Gharabili  (ابن الغرابيلي) رحمه الله تعالى.

Beliau digelar al-Ghazzi kerana beliau dilahirkan di Ghazzah (Gaza), Palestin pada bulan Rejab tahun 859H. Beliau membesar di sana, menghafal al-Quran, belajar dan mengambil asas-asas ilmu. Kemudian beliau bermusafir ke Mesir, Kaherah, pada tahun 881H.

Di sana beliau menetap dan menuntut pelbagai ilmu seperti: ilmu qiraat, fiqh, hadis, mantik, dan lain-lain. Beliau wafat رحمه الله تعالى pada tahun 918H.

Muhammad bin Qasim al-Syafi‘e, di mana beliau dinisbahkan kepada al-Shafi‘e, dan al-Imam al-Shafi‘e sendiri dinisbahkan kepada datuknya yang bernama Shafi‘ (شافع). Maka ini adalah nisbah kepada nisbah. Nasab al-Imam al-Syafi‘e ialah:

 محمد بن إدريس بن العباس بن عثمان بن شافع بن السائب بن عبيد بن عبد يزيد بن هاشم بن المطلب بن عبد مناف بن قصي

Al-Imam al-Syafi‘e bertemu dengan nasab Nabi SAW pada عبد مناف بن قصي. Nama Nabi SAW: Muhammad bin Abdillah bin 'Abd al-Mutallib عَبْدِ المُطَّلِبِ  bin Hashim هاشم  bin 'Abd Manaf bin Qusyai قصي  bin Kilab كِلاَبِ  bin Murrah مُرَّةَ  bin Ka'ab كَعْبِ  bin Lu-aiy لُؤَيِّ  bin Ghalib  غَالِبِ  bin Fihrin فِهْرِ  bin Malik bin al-Nadhar النضر  bin Kinanah كنانة  bin Khuzaimah خزيمة  bin Mudrikah مدركة  bin Ilyas إِلْيَاسَ  bin Mudhar مُضَرَ  bin Nazar نزَارِ  bin Ma'addin مَعَدِّ  bin 'Adnan عدنان.

Seseorang dinisbahkan kepada al-Shafi‘e kerana dia mengikuti mazhab al-Shafi‘i dalam cabang-cabang fiqh. Maka dikatakan kepadanya Shafi‘e, sebagai nisbah kepada al-Imam al-Shafi‘e.

Perkataan syarih:

تَغَمَّدَهُ اللهُ بِرَحْمَتِهِ وَرِضْوَانِهِ

Di mana: “Taghammadahu Allah bi raḥmatih” (تغمده الله برحمته) bermaksud: semoga Allah melimpahkan dan menyelubunginya dengan rahmat-Nya.  Perkataan تَغَمَّدَ diberi makna: Allah meliputi dan menyelubunginya, kerana asal perkataan ‘ghimd’ (غِمْد), dikasrahkan huruf Ghain adalah جِفن السيف atau غِلاف السيف iaitu sarung pedang, atau tempat dimasukkan pedang. Dikatakan: “Aku memasukkan pedang ke dalam sarungnya” (أغمدت السيف في غمده).

Maka ungkapan ini merupakan kiasan agar Allah menutup, melindungi dan meliputi seorang alim itu dengan rahmat dan keredaan-Nya.

Adapun ‘reda Allah’ (رضوان الله) ialah: حلول رحمة الله وعدم سخْطه على عباده turunnya rahmat Allah ke atas hamba, dan ketiadaan kemurkaan-Nya terhadap mereka. Maknanya: Allah reda kepadamu dan tidak murka kepadamu selama-lamanya — itulah ridwan Allag atau reda Allah kepadamu.

Perkataan ‘Amin’ (آمين), kerana ungkapan تغمده الله برحمته ورضوانه ialah ayat doa. Dari sudut lafaz ia berbentuk khabar (penyataan), tetapi dari segi makna ia adalah insya’ (permohonan/doa). Oleh itu disunatkan menjawabnya dengan “Amin”.

Makna آمين (Amin)” ialah: اللهم استجب “Ya Allah, perkenankanlah (doa ini)”

Kata syarih RH:

الحمد لِلّهِ تبرُّكا بفاتحة الكتاب، لأنها ابتداء كل أمر ذي بالٍ، وخاتمة كل دعاء مُجاب، وآخر دعوى المؤمنين في الجنة، دار الثواب؛

Segala puji bagi Allah, sebagai mengambil berkat dengan Fatihah al-Kitab (Surah al-Fatihah), kerana hamdalah adalah permulaan bagi setiap perkara penting, penutup bagi setiap doa yang diperkenankan, dan akhir ucapan orang beriman di dalam syurga, negeri pembalasan pahala.

Huraian

Di sini bermula perkataan Syeikh Ibn Qasim رحمه الله تعالى. Perkataan pertama beliau ialah:

الحمد لله تبركًا بفاتحة الكتاب

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah, sebagai mengambil berkat dengan Fatihah al-Kitab (Surah al-Fatihah).”

Ucapan al-ḥamdu lillāh” ini, dari sudut makna tujuannya adalah untuk إنشاء الحمد لله atau jumlah insya’iyyah daripada kita sebagai hamba-Nya yang diucapkan bagi memuji Allah SWT. Namun pada lafaz ia adalah jumlah khabariah atau penyataan[3], yang bermaksud perkhabaran bahawa segala pujian itu adalah thabit dan tetap pada Allah. 

Tujuan memulakan dengan “الحمد لله” kerana mencontohi kitab Allah iaitu al-Quran yang dimulakan dengan surah al-Fatihah, kerana mengharapkan keberkatan.

Atas tujuan ini, kebanyakan ulama dan pengarang kitab memulakan penulisan mereka dengan pujian kepada Allah, sebagai mengharapkan keberkatan dengan mencontohi al-Quran.

Demikian juga “الحمد لله” sebagai permulaan perkara penting (ذو بال), berdasarkan sabda Nabi :

كُلُّ أَمْرٍ ذِي بَالٍ لَا يُبْدَأُ فِيهِ بِحَمْدِ اللَّهِ فَهُوَ أَبْتَرُ، أو أجذم أو أقطع

"Setiap urusan yang penting (amr dhī bāl) yang tidak dimulakan dengan memuji Allah Jalla wa 'Ala, maka ia adalah abtar (terputus/cacat) atau ajdzam (terpotong) atau aqta' (terpotong)". Hadis ini dinilai hasan oleh Ibn al-Salah رحمه الله.

Dalam sebahagian riwayat:

كُلُّ كَلَامٍ أَوْ أَمْرٍ ذِي بَالٍ لَا يُفْتَحُ بِذِكْرِ اللهِ فَهُوَ أَبْتَرُ - أَوْ قَالَ : أَقْطَعُ

“Setiap ucapan atau perkara penting yang tidak dimulakan dengan mengingati Allah, maka ia terputus (tidak sempurna) — atau Baginda bersabda: terpotong.”

Zikrullah Jalla wa 'Ala termasuk al-Hamdalah, maka setiap perkara penting dan bernilai hendaklah dimulakan dengan memuji Allah dan mengingati-Nya. Jika tidak, maka ia menjadi terputus, kurang berkat, dan tidak sempurna.

Oleh itu, seseorang hendaklah menjaga adab ini dalam perkara-perkara penting. Adapun perkara yang tidak penting, maka tidak perlu memulakannya dengan pujian atau zikir, bahkan dalam sebahagian keadaan, tidak sesuai menyebutnya.

Ucapan “الحمد لله” juga merupakan penutup bagi doa yang diperkenankan. Seseorang hendaklah mengakhiri doanya dengan Alhamdulillah Rabbil-'Alamin dan dengan berselawat ke atas Nabi . Ini kerana antara sebab makbulnya doa ialah dengan memulakannya dan mengakhirinya dengan memuji Allah Jalla wa 'Ala dan berselawat ke atas Nabi , sebagaimana yang disebutkan dalam Sunan bahawa Nabi bersabda:

إن الدعاءَ موقوفٌ بينَ السماءِ والأرضِ، لا يَصْعَدُ منه شيءٌ حتى تُصَلِّيَ على نبيِّك صلى الله عليه وسلم

"Sesungguhnya doa itu tergantung antara langit dan bumi, tidak naik sesuatupun dari doa tersebut sehingga kamu diselawatkan ke atas nabi kamu SAW." (Dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Tirmizi)

Maka, seseorang itu hendaklah mengakhiri doa dan permintaannya kepada Allah Jalla wa 'Ala—dengan berselawat ke atas Nabi , kerana pujian kepada Allah Jalla wa 'Ala adalah penutup doa yang mustajab. Allah SWT juga berfirman:

دَعْوَاهُمْ فِيهَا سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ ‌وَتَحِيَّتُهُمْ فِيهَا سَلَامٌ وَآخِرُ دَعْوَاهُمْ أَنِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ 

“Doa mereka di dalamnya ialah: ‘Maha Suci Engkau, ya Allah’, dan ucapan penghormatan mereka di dalamnya ialah: ‘Salam (sejahtera)’, dan penutup doa mereka ialah: ‘Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.’” (Surah Yunus: 10)

Ayat al-Quran ini menyatakan doa orang-orang beriman di Syurga ditutup dengan Alhamdulillah. Jika mereka meminta sesuatu, mereka mulakan dengan ucapan: Subhānaka Allāhumma wa bi ḥamdika (Maha Suci Engkau Ya Allah, dan dengan pujian-Mu), dan mereka memohon hajat mereka. Kemudian apabila mereka mendapati hajat mereka itu, mereka mengakhirinya dengan memuji Allah Jalla wa 'Ala dan berkata: Alhamdulillah. Sebagaimana firman Allah Jalla wa 'Ala dalam Surah Yunus: "Doa mereka di dalamnya ialah Subhānaka Allāhumma, iaitu apabila ahli syurga hendak meminta sesuatu mereka akan mengucapkannya dan ucapan selamat mereka di dalamnya ialah Salām. Dan akhir doa mereka ialah Alhamdulillah Rabbil-'Alamin." Maka, ia adalah doa terakhir orang-orang beriman di Syurga. Maksudnya, Alhamdulillah adalah yang terakhir diucapkan oleh orang-orang beriman apabila mereka berdoa dan meminta sesuatu daripada Allah Jalla wa 'Ala.

Al-Sam‘ani رحمه الله berkata:

قَوْله تَعَالَى‌وَآخر ‌دَعوَاهُم مَعْنَاهُ: وَآخر قَوْلهمأَن الْحَمد لله رب الْعَالمين : فَيكون ابْتِدَاء أَمرهم بالتسبيح، وانتهاء أَمرهم بِالْحَمْد وَالشُّكْر

“Firman Allah Ta‘ala: ‘Dan penutup doa mereka…’ maksudnya ialah: penutup ucapan doa mereka ialah ‘Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam’. Maka permulaan doa mereka ialah dengan tasbih, dan penutup doa mereka ialah dengan pujian dan kesyukuran.” (Tafsir al-Sam‘ani 2/368)

Al-Baghawi رحمه الله berkata:

وَآخِرُ ‌دَعْوَاهُمْ أَنِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ يُرِيدُ: يَفْتَتِحُونَ كَلَامَهُمْ بِالتَّسْبِيحِ، وَيَخْتِمُونَهُ بِالتَّحْمِيدِ

(Firman Allah) “Dan penutup doa mereka ialah: Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam” maksudnya ahli syurga memulakan ucapan mereka dengan tasbih, dan mengakhirinya dengan tahmid.” (Tafsir al-Baghawi (4/123)

Syeikh Rashid Rida رحمه الله berkata:

وآخر دعواهم أن الحمد لله رب العالمينs: فمعناه أنَّ الحمد له جل ثناؤه: هو آخر كلِّ حال من أحوال أهل الجنة، من دعاء يُناجون به الله تعالى، ومطلب يطلبونه من إحسانه وإكرامه

“(Firman Allah) “Dan penutup doa mereka ialah: Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam”, maksudnya: sesungguhnya segala pujian dan pujaan milik-Nya سبحانه وتعالى adalah penutup bagi setiap keadaan ahli syurga, sama ada doa yang mereka panjatkan kepada Allah atau permintaan yang mereka mohon dari limpah kurniaan dan kemuliaan-Nya.” (Tafsir al-Manar (11/252)

Berdasarkan huraian ini, maka makna firman Allah: وَآخِرُ ‌دَعْوَاهُمْ أَنِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ  “akhir doa mereka (ahli syurga) segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam”, iaitu mereka menutup doa dengan memuji Allah سبحانه وتعالى, yang telah memberi taufik untuk berdoa dan membantu mereka mengamalkannya.



[1] Lihat Mu’jam wa Tafsir Lughawi Li Kalimat al-Quran oleh Hasan ‘Izz al-Din al-Jamal. 2/411

[2] Lihat al-Majmu’ 1/41

[3] Ayat khabariyyah ialah menetapkan sesuatu bagi sesuatu, sama ada ia bertepatan dengan realiti atau tidak; dan penutur tidak mempunyai peranan padanya melainkan sekadar menyampaikan (memberitakan). Adapun ayat insya’iyyah pula ialah suatu nisbah yang dimaksudkan untuk direalisasika


Cetak  
Wallahu a'lam