Huraian Hadis Riyadh al-Salihin (Hadis 112)

 

112 – Adapun hadis-hadis berkaitan, maka yang pertama: daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, daripada Nabi baginda bersabda:

أَعْذَرَ اللَّهُ إِلَى امْرِئٍ أَخَّرَ أَجَلَهُ حَتَّى بَلَّغَهُ سِتِّينَ سَنَةً.

قال العلماء: معناه: لم يترك له عذرًا إذ أمهله هذه المدة. يقال: أعذر الرجل: إذا بلغ الغاية في العذر

“Allah telah menghilangkan (menutup) alasan bagi seseorang yang dipanjangkan umurnya sehingga mencapai enam puluh tahun.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

Para ulama berkata: Maksudnya ialah Allah tidak lagi meninggalkan sebarang alasan baginya, kerana Dia telah memberi tempoh umur sepanjang itu kepadanya. Dikatakan: أعذر الرجل bermaksud apabila seseorang itu telah sampai ke tahap paling maksimum dalam peluang memberi alasan (iaitu tidak ada lagi alasan yang boleh diterima).

Al-Imam al-Nawawi – رحمه الله تعالى – berkata berdasarkan nukilannya daripada Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa Nabi bersabda:

أَعْذَرَ اللَّهُ إِلَى امْرِئٍ أَخَّرَ أَجَلَهُ حَتَّى بَلَّغَهُ سِتِّينَ سَنَةً

“Allah Ta‘ala telah menghilangkan alasan bagi seseorang yang dipanjangkan umurnya sehingga mencapai enam puluh tahun.”

Maksudnya ialah, apabila Allah ‘Azza wa Jalla memanjangkan umur seseorang sehingga mencapai enam puluh tahun, maka Allah telah menegakkan hujah ke atasnya dan menafikan daripadanya sebarang alasan. Ini kerana tempoh enam puluh tahun itu cukup untuk memberi ruang kepada manusia mengenal tanda-tanda kebesaran Allah sebanyak yang mampu dikenalnya, lebih-lebih lagi jika dia membesar dalam sebuah negara Islam. Tidak syak lagi bahawa keadaan ini menyebabkan terputus hujahnya apabila dia bertemu Allah ‘Azza wa Jalla, kerana dia tidak lagi mempunyai alasan.

Sekiranya, sebagai contoh, umurnya dipendekkan kepada lima belas atau dua puluh tahun, maka mungkin dia masih mempunyai alasan, iaitu belum sempat untuk berfikir dan meneliti ayat-ayat Allah. Namun apabila Allah memanjangkan umurnya hingga enam puluh tahun, maka tiada lagi alasan baginya; sesungguhnya hujah telah ditegakkan ke atasnya.

Walaupun begitu, hujah sebenarnya telah pun ditegakkan ke atas manusia sejak dia mencapai usia baligh; kerana pada ketika itu dia telah masuk ke dalam taklif (tanggungjawab syarak) dan tidak diberi keuzuran kerana kejahilan. Maka wajib ke atas seseorang mempelajari daripada syariat Allah apa yang dia perlukan.

Sebagai contoh: Jika seseorang ingin berwuduk, dia mesti mengetahui cara berwuduk. Jika dia ingin solat, dia mesti mengetahui cara solat.
Jika dia memiliki harta, dia mesti mengetahui kadar nisab dan jumlah yang wajib dikeluarkan sebagai zakat, dan seumpamanya.  Jika dia ingin berpuasa, dia mesti mengetahui cara berpuasa dan perkara-perkara yang membatalkannya. Jika dia ingin menunaikan haji atau umrah, dia wajib mengetahui cara melaksanakannya serta perkara-perkara yang dilarang ketika ihram. Jika dia seorang peniaga yang berjual beli emas, maka dia mesti mengetahui tentang riba, jenis-jenis riba, serta hukum jual beli emas dengan emas atau emas dengan perak. Begitu juga jika dia menjual makanan, dia mesti mengetahui cara jual beli makanan yang betul serta mengetahui bentuk-bentuk penipuan yang mungkin berlaku, dan demikianlah seterusnya.

Perkara yang penting ialah, apabila seseorang telah mencapai umur enam puluh tahun, maka telah tegak ke atasnya hujah yang sempurna, dan tidak ada lagi alasan baginya. Setiap manusia itu bergantung kepada keadaannya; setiap orang wajib mempelajari daripada syariat apa yang dia perlukan, sama ada dalam hal solat, zakat, puasa, haji, muamalat (jual beli), wakaf dan selainnya, sesuai dengan keperluannya.

Dalam hadis ini juga terdapat dalil bahawa Allah سبحانه وتعالى mempunyai hujah ke atas hamba-hamba-Nya. Ini kerana Allah telah memberikan mereka akal, memberikan mereka kefahaman, serta mengutuskan kepada mereka para rasul. Bahkan Allah menjadikan antara risalah itu ada yang kekal hingga hari kiamat, iaitu risalah Nabi .

Sesungguhnya risalah-risalah terdahulu bersifat terbatas: dari sudut bahawa seorang nabi diutus hanya kepada kaumnya sahaja, dan juga terbatas dari segi masa, kerana setiap rasul yang datang membawa penggantian (nasakh) terhadap syariat sebelumnya, apabila umat yang diutus kedua-dua rasul itu adalah sama.

Adapun umat ini, maka Allah telah mengutus kepada mereka Nabi Muhammad sebagai penutup para nabi, dan menjadikan mukjizat baginda yang agung lagi kekal ialah al-Quran yang mulia ini. Sesungguhnya mukjizat para nabi terdahulu akan berakhir dengan wafatnya mereka, dan tidak kekal selepas itu melainkan sebagai kenangan. Adapun Nabi Muhammad , maka mukjizat baginda iaitu al-Quran yang agung ini kekal hingga hari kiamat, sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

وَقَالُوا لَوْلا أُنْزِلَ عَلَيْهِ آيَاتٌ مِنْ رَبِّهِ قُلْ إِنَّمَا الْآياتُ عِنْدَ اللَّهِ وَإِنَّمَا أَنَا نَذِيرٌ مُبِينٌ أَوَلَمْ يَكْفِهِمْ أَنَّا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ يُتْلَى عَلَيْهِمْ

“Dan mereka berkata: ‘Mengapa tidak diturunkan kepadanya tanda-tanda (mukjizat) dari Tuhannya?’ Katakanlah: ‘Sesungguhnya tanda-tanda itu hanyalah di sisi Allah, dan sesungguhnya aku hanyalah seorang pemberi peringatan yang jelas.’ Dan apakah tidak cukup bagi mereka bahawa Kami telah menurunkan kepadamu al-Kitab yang dibacakan kepada mereka?” (Surah al-‘Ankabut: 50–51)

Maka al-Kitab (al-Quran) itu sudah mencukupi daripada segala mukjizat bagi sesiapa yang mentadabburinya, memahaminya, mengetahui makna-maknanya, mengambil manfaat daripada khabar-khabarnya, serta mengambil pengajaran daripada kisah-kisahnya. Sesungguhnya ia mencukupi daripada segala bentuk mukjizat yang lain.

Akan tetapi, perkara yang menyebabkan kita tidak merasai keagungan ayat-ayat ini ialah kerana kita tidak membaca al-Quran dengan cara mentadabburinya dan mengambil pengajaran daripadanya. Ramai dalam kalangan umat Islam – bahkan mungkin kebanyakan mereka – membaca al-Quran hanya untuk mendapatkan keberkatan dan pahala semata-mata. Sedangkan yang sepatutnya ialah kita membaca al-Quran untuk mentadabburinya dan mengambil pengajaran daripada kandungannya. Sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ

“(Al-Quran ini ialah) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu yang penuh keberkatan…”

Ini menunjukkan ganjaran dan keberkatannya. Manakala firman Allah yang bermaksud: “…agar mereka mentadabburi ayat-ayatnya…” adalah tujuan utamanya, “…dan agar orang-orang yang berakal mengambil pelajaran.” (Surah Ṣād: 29)


Cetak  
Wallahu a'lam