Soalan:
Saya merupakan seorang pekerja di sebuah syarikat swasta, dan skop tugas saya melibatkan urusan dengan kontraktor bagi mengendalikan projek-projek syarikat.
Sepanjang menjalankan tugas, saya sering ditawarkan "hadiah" oleh pihak kontraktor dalam pelbagai bentuk. Saya telah berusaha mengelakkan perkara ini dengan tidak memberikan nombor akaun peribadi serta tidak menerima sebarang pemberian secara langsung. Namun begitu, terdapat juga situasi di mana pihak kontraktor tetap menyalurkan wang melalui aplikasi seperti Touch 'n Go, kerana hanya berdasarkan nombor telefon saya.
Sebagai langkah berjaga-jaga, saya tidak menggunakan wang tersebut untuk kegunaan peribadi, sebaliknya menyalurkannya bagi membeli peralatan yang digunakan untuk kegunaan syarikat.
Saya berpandangan bahawa pemberian tersebut berkemungkinan termasuk dalam perkara yang tidak dibenarkan (haram), namun saya memohon pandangan dan penjelasan daripada Ustaz berkenaan perkara berikut:
Apakah hukum menerima pemberian tersebut dalam situasi ini?
Adakah tindakan saya menggunakan wang tersebut untuk kegunaan syarikat dibenarkan?
Apakah langkah terbaik yang sepatutnya saya ambil sekiranya perkara ini terus berlaku?
Segala pandangan dan nasihat daripada Ustaz amat saya hargai.
Sekian, terima kasih.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Jawapan:
Pertama: Pada asalnya, hadiah adalah harus. Namun dalam konteks pekerjaan seperti anda, hukumnya boleh berubah. Di mana hadiah daripada pihak yang mempunyai kepentingan (kontraktor) kepada pekerja seperti anda yang mengurus urusan mereka adalah tidak dibenarkan jika;
- Ada kaitan dengan kerja atau keputusan anda,
- Ia berpotensi mempengaruhi penilaian, kelulusan, atau layanan
- Diberi kerana jawatan anda
Nabi ﷺ bersabda:
هَدَايَا الْعُمَّالِ غُلُولٌ
“Hadiah kepada para pekerja (pegawai) adalah ghulul (pengkhianatan).” (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam al-Musnad, nombor hadis: 23649. Dinilai sahih oleh Syeikh al-Albani dalam: Irwa’ al-Ghalil, nombor: 2622 dan Sahih al-Jami‘, nombor: 7021)
Kedua: Adapun berkaitan wang yang dimasukkan ke dalam akaun Touch ‘n Go anda, jika anda sememangnya memiliki kuasa dalam dalam perkara yang disebutkan dalam perkara pertama di atas, maka, anda tidak boleh mengambilnya dan tidak boleh juga menyerahkannya kepada syraikat. Hal ini adalah kerana ia merupakan wang yang berkait dengan unsur pemberian yang tidak dibenarkan.
Ketiga: Perkara yang sepatutnya dilakukan ialah memulangkan semula wang tersebut kepada pemberi dengan dinyatakan tindakan yang dilakukannya adalah satu kesalahan. Jika tidak boleh dipulangkan atas kekangan-kekangan tertentu maka salurkan wang tersebut kepada Baitul Mal negeri untuk disalurkan sebagai wang tidak bersih.
Keempat: Kami menasihati anda agar berusaha melindungi diri dari terjebak ke dalam perkara yang diharamkan oleh syara’. Demikian juga mengelak dari terlibat dengan tindakan yang berisiko dituduh menyalahi integriti. Hal ini dapat dielak dengan cara mengasingkan nombor kerja dengan nombor akaun peribadi. Gunakan nombor rasmi Syarikat, elakkan menggunakan nombor peribadi untuk urusan dengan kontraktor.
