Soalan:
Sekiranya saya setiap tahun mengeluarkan zakat harta saya pada bulan Ramadan. Adakah dibenarkan untuk saya mengeluarkan sebahagian zakat pada bulan Rejab?
Jawapan:
Boleh menyegerakan (تعجيل الزكاة) pembayaran zakat sebelum cukup haul (setahun), setelah harta mencapai nisab, terutamanya jika tindakan tersebut terdapat maslahah bagi golongan fakir. Hal ini berdasarkan riwayat daripada Saidina Ali r.a:
أَنَّ الْعَبَّاسَ سَأَلَ النبي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ في تعجيلِ صَدَقَته قبل أنْ تَحُلَّ، فرَخَّصَ في ذلك
Bahawa al-‘Abbas pernah bertanya kepada Nabi ﷺ tentang menyegerakan zakatnya sebelum sampai waktunya. Lalu Baginda memberi keringanan dalam perkara tersebut. (Riwayat Abu Dawud)
Namun disyaratkan bagi sahnya penyegerakan zakat beberapa perkara:
1. Hendaklah nisab berada dalam pemilikan muzakki (ملك المزكي) ketika zakat disegerakan. Tidak sah menyegerakan zakat sebelum memiliki nisab.
Contohnya: jika seseorang memiliki 30 ekor kambing dan berharap sebahagiannya akan beranak sehingga menjadi 40 ekor, maka tidak sah dia mengeluarkan seekor kambing sebagai zakat untuk bilangan yang belum wujud. Jika dia tetap melakukannya, kemudian benar-benar menjadi 40 ekor, seekor kambing syah yang dikeluarkan itu tidak memadai bagi zakat yang wajib selepas cukup haul; kerana salah satu sebab wajib zakat ialah adanya harta yang mencukupi nisab, sedangkan ketika itu belum ada. Keadaannya sama seperti orang yang membayar kaffarah sumpah sebelum bersumpah.
Adapun jika nisab telah wujud, maka boleh mendahulukan zakat sebelum cukup haul; kerana zakat wajib dengan dua sebab: nisab dan haul. Maka boleh mengawalkan pengeluaran zakat harta apabila wujud salah satu dari dua sebab, iaitu nisab sekalipun belum sempurna haul. Ia seperti seseorang yang bersumpah kemudian mendapati sumpah tersebut tidak dapat lagi dipenuhi, lalu dia membayar kaffarah sebelum melanggar sumpah tersebut, maka kaffarah itu sah. Hal ini berdasarkan sabda Nabi ﷺ:
وَإِذَا حَلَفْتَ عَلَى يَمِينٍ فَرَأَيْتَ غَيْرَهَا خَيْرًا مِنْهَا، فَكَفِّرْ عَنْ يَمِينِكَ وَائْتِ الَّذِى هُوَ خَيْرٌ
“Apabila kamu bersumpah atas sesuatu, lalu kamu melihat yang lain lebih baik daripadanya, maka bayarlah kaffarah sumpahmu dan lakukanlah yang lebih baik.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
2. Mengawalkan pengeluaran zakat itu hanya untuk satu tahun sahaja. Tidak boleh menyegerakan zakat untuk lebih daripada satu tahun; kerana tahun kedua belum bermula, maka ia seperti menyegerakan zakat sebelum adanya nisab.
3. Hendaklah pemilik harta kekal layak dikenakan zakat hingga akhir haul. Iaitu dengan dia masih hidup dan hartanya masih mencapai nisab.
Jika dia meninggal dunia sebelum sempurna haul, maka zakat yang disegerakan itu tidak dikira sebagai zakat. Begitu juga jika harta tersebut rosak atau dia menjualnya dan hart aitu bukan harta perniagaan. Maka zakat yang disegerakan tidak dikira sah; kerana kewajipan zakat tidak berterusan ke atas harta tersebut disebabkan ia telah hilang atau keluar daripada miliknya.
4. Penerima zakat yang disegerakan mestilah masih layak menerima zakat ketika cukup haul. Jika penerima itu meninggal dunia sebelum cukup haul, maka apa yang diberikan kepadanya tidak dikira sebagai zakat. Begitu juga jika dia menjadi kaya dengan sebab lain (seperti mewarisi harta atau menerima hibah), maka ia tidak lagi dikira zakat.
Namun, jika dia menjadi kaya kerana zakat yang diberikan itu sendiri, maka tidak mengapa dan zakat tersebut tetap sah; kerana tujuan pemberian zakat ialah untuk menjadikannya cukup (kaya), dan tujuan itu telah tercapai. Jika zakat itu dibatalkan dan diminta semula, dia akan kembali miskin dan memerlukan zakat semula.
Jika syarat-syarat ini tidak dipenuhi, maka harta yang diberikan itu hanya dianggap sebagai sedekah sunat yang diberi pahala, tetapi tidak dikira sebagai zakat.
Disebut dalam Nihayah al-Muhtaj (3/141-143):
وَيَجُوزُ) تَعْجِيلُهَا فِي الْمَالِ الْحَوْلِيِّ (قَبْلَ) تَمَامِ (الْحَوْلِ) فِيمَا انْعَقَدَ حَوْلُهُ وَوُجِدَ النِّصَابُ فِيهِ لِأَنَّهُ - ﷺ - أَرْخَصَ فِي التَّعْجِيلِ لِلْعَبَّاسِ. رَوَاهُ أَبُو دَاوُد وَالْحَاكِمُ وَصَحَّحَ إسْنَادَهُ، وَلِأَنَّهُ وَجَبَ بِسَبَبَيْنِ فَجَازَ تَقْدِيمُهُ عَلَى أَحَدِهِمَا كَتَقْدِيمِ الْكَفَّارَةِ عَلَى الْحِنْثِ... (وَشَرْطُ إجْزَاءٍ) أَيْ وُقُوعِ (الْمُعَجَّلِ) زَكَاةً (بَقَاءُ الْمَالِكِ أَهْلًا لِلْوُجُوبِ) عَلَيْهِ (إلَى آخِرِ الْحَوْلِ) وَبَقَاءُ الْمَالِ إلَى آخِرِهِ أَيْضًا، فَلَوْ مَاتَ أَوْ تَلِفَ الْمَالُ أَوْ خَرَجَ عَنْ مِلْكِهِ وَلَمْ يَكُنْ مَالَ تِجَارَةٍ لَمْ يُجْزِهِ الْمُعَجَّلُ... (وَكَوْنُ الْقَابِضِ) لَهُ (فِي آخِرِ الْحَوْلِ مُسْتَحِقًّا) فَلَوْ مَاتَ قَبْلَهُ أَوْ ارْتَدَّ لَمْ يُحْسَبْ الْمَدْفُوعُ إلَيْهِ عَنْ الزَّكَاةِ لِخُرُوجِهِ عَنْ الْأَهْلِيَّةِ عِنْدَ الْوُجُوبِ
“Dibolehkan menyegerakan zakat bagi harta yang memiliki haul sebelum cukup haul, jika haul telah bermula dan nisab telah wujud padanya; kerana Nabi ﷺ memberi keringanan kepada al-‘Abbas untuk menyegerakannya. (Riwayat Abu Dawud dan al-Hakim, beliau menilai sanadnya sahih). Ini juga kerana zakat wajib dengan dua sebab, maka boleh didahulukan apabila salah satu dari dua sebab itu telah wujud, seperti mendahulukan kaffarah sebelum melanggar sumpah….Dan syarat sah (iaitu dikira sebagai zakat) bagi zakat yang disegerakan ialah kekalnya pemilik sebagai orang yang masih wajib dikenakan zakat ke atasnya hingga akhir haul, serta kekalnya harta itu juga hingga akhir haul. Maka jika pemilik itu meninggal dunia, atau harta tersebut rosak, atau keluar daripada miliknya—dan bukan merupakan harta perniagaan—maka zakat yang disegerakan itu tidak memadai (tidak sah sebagai zakat)… Dan hendaklah orang yang menerima (zakat tersebut) itu pada akhir haul masih merupakan orang yang berhak menerimanya. Maka jika dia meninggal dunia sebelum itu, atau murtad, tidaklah dikira apa yang telah diberikan kepadanya sebagai zakat; kerana dia telah terkeluar daripada kelayakan (untuk menerima zakat) pada waktu kewajipan (zakat itu berlaku).”
Perlu diberi perhatian juga bahawa syarat pertama di atas adalah bagi zakat harta fizikal (zakat ‘ain). Adapun bagi harta perniagaan (عروض التجارة), boleh menyegerakan zakat walaupun sebelum mencapai nisab; kerana nisab bagi harta perniagaan diambil kira pada akhir haul.
Berkata al-Syarbini رحمه الله:
وَخَرَجَ بِالْعَيْنِيَّةِ زَكَاةُ التِّجَارَةِ فَيَجُوزُ التَّعْجِيلُ فِيهَا بِنَاءً عَلَى مَا مَرَّ مِنْ أَنَّ النِّصَابَ فِيهَا يُعْتَبَرُ آخِرَ الْحَوْلِ، فَلَوْ اشْتَرَى عَرْضًا قِيمَتُهُ مِائَةٌ فَعَجَّلَ زَكَاةَ مِائَتَيْنِ، أَوْ قِيمَتُهُ مِائَتَانِ فَعَجَّلَ زَكَاةَ أَرْبَعِمِائَةٍ وَحَالَ الْحَوْلُ وَهُوَ يُسَاوِي ذَلِكَ أَجْزَأَهُ
“Dikecualikan daripada harta ‘ain ialah zakat perniagaan; maka dibolehkan menyegerakannya berdasarkan bahawa nisabnya diambil kira pada akhir haul. Maka jika seseorang membeli barang perniagaan bernilai 100 lalu dia menyegerakan zakat bagi 200, atau nilainya 200 lalu dia menyegerakan zakat bagi 400, kemudian cukup haul dan nilainya seperti itu, maka zakat tersebut sah baginya.” (Mughni al-Muhtaj, 2/132)
