SDI 1957: Bagaimana Cara Melaksanakan Solat al-Istisqa'?

Soalan:

Ustaz, apakah itu solat istisqa’, dan bagaimana cara melaksanakannya?

Jawapan:

Istisqa’ ialah طلب السقيا من الله تعالى عند الحاجة إلى المطر أو الماء maksudnya: memohon hujan daripada Allah Ta‘ala ketika memerlukan hujan atau air.

Solat ini merupakan sunat muakkad bagi semua orang ketika berlaku kemarau dan kekeringan. Disunatkan juga untuk mengingatkan manusia supaya: bertaubat, beristighfar, memulangkan hak (kezaliman), berdamai sesama manusia serta berpuasa selama tiga hari berturut-turut. Pada hari keempat orang ramai keluar dalam keadaan tetap berpuasa, kerana doa orang yang berpuasa lebih dekat kepada penerimaan. Mereka keluar dengan pakaian biasa, bukan pakaian berhias. Kemudian imam memimpin mereka menunaikan solat dua rakaat seperti solat Hari Raya;

  • pada rakaat pertama: bertakbir tujuh kali selain takbiratul ihram,
  • pada rakaat kedua: bertakbir lima kali selain takbir bangun.

Kemudian imam menyampaikan dua khutbah seperti khutbah Hari Raya, namun digantikan takbir dengan istighfar:

  • dalam khutbah pertama: beristighfar sembilan kali,
  • dalam khutbah kedua: beristighfar tujuh kali,

dengan lafaz:

أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ الَّذِيْ لَا إلَهَ إِلَّا هُوَ وَأَتُوْبُ إِلَيْهِ

Kemudian imam memberi nasihat kepada orang ramai, memperbanyakkan istighfar dan selawat ke atas Nabi dalam kedua-dua khutbah, serta berdoa kepada Allah agar menurunkan hujan.

Maka, solat istisqa’ terdiri daripada: dua rakaat dan dua khutbah.

Boleh juga melaksanakan istisqa’ selepas solat Jumaat. Jumhur fuqaha berpendapat ia boleh dilakukan pada bila-bila masa.

Disebut dalam Mughni al-Muhtaj 1/607:

)وَلَا تَخْتَصُّ) صَلَاةُ الِاسْتِسْقَاءِ (بِوَقْتِ الْعِيدِ فِي الْأَصَحِّ) وَعَبَّرَ فِي الرَّوْضَةِ بِالصَّحِيحِ الَّذِي نَصَّ عَلَيْهِ الشَّافِعِيُّ، وَقَطَعَ بِهِ الْأَكْثَرُونَ يُصَدَّقُ بِالْأَخِيرَيْنِ فَلَا يُعْلَمُ مِنْهُ الْأَصَحُّ، وَيَجُوزُ فِعْلُهَا مَتَى شَاءَ، وَلَوْ فِي وَقْتِ الْكَرَاهَةِ عَلَى الْأَصَحِّ؛ لِأَنَّهَا ذَاتُ سَبَبٍ فَدَارَتْ مَعَ السَّبَبِ كَصَلَاةِ الْكُسُوفِ. )وَيَخْطُبُ كَالْعِيدِ (فِي الْأَرْكَانِ وَالشَّرَائِطِ وَالسُّنَنِ (لَكِنْ يَسْتَغْفِرُ اللَّهَ تَعَالَى بَدَلَ التَّكْبِيرِ) فَيَقُولُ: أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الَّذِي لَا إلَهَ إلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إلَيْهِ فِي الْأُولَى تِسْعًا، وَفِي الثَّانِيَة سَبْعًا؛ لِأَنَّ ذَلِكَ أَلْيَقُ بِالْحَالِ؛ لِأَنَّ اللَّهَ تَعَالَى وَعَدَنَا بِإِرْسَالِ الْمَطَرِ عِنْدَهُ، وَقِيلَ: إنَّهُ يُكَبِّرُ كَالْعِيدِ.

“Dan solat istisqa’ tidak dikhususkan (boleh dilakukan) pada waktu (yang sama dilakukan solat) Hari Raya menurut pendapat Asah. Dalam al-Raudhah pula diungkapkan dengan istilah “al-Sahih” yang telah dinyatakan oleh al-Imam al-Shafi‘i, … diharuskan melaksanakannya pada bila-bila masa yang dikehendaki, hatta pada waktu yang makruh menurut pendapat asah; kerana ia merupakan solat yang mempunyai sebab, maka hukumnya bergantung kepada sebab tersebut, seperti solat gerhana (kusuf). Dan imam berkhutbah seperti khutbah Hari Raya, dari sudut rukun, syarat dan sunat-sunatnya. Namun, digantikan takbir dengan istighfar, maka dia membaca: “أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ” dalam khutbah pertama sebanyak sembilan kali, dan dalam khutbah kedua sebanyak tujuh kali; kerana hal itu lebih sesuai dengan keadaan (memohon hujan), memandangkan Allah Ta‘ala telah menjanjikan penurunan hujan ketika (hamba-hamba-Nya) beristighfar. Terdapat juga pendapat lain yang mengatakan bahawa takbir dilakukan seperti dalam khutbah Hari Raya.”

Oleh itu, apabila diharuskan dilakukan pada bila-bila masa menurut jumhur, maka tidak mengapa jika dilakukan selepas solat Jumaat. Imam boleh menunaikan dua rakaat istisqa’ selepas Jumaat, kemudian menyampaikan dua khutbah.

 


Cetak  
Wallahu a'lam