Soalan:
Ustaz bagaimana menguruskan janin bayi yang keguguran berdasarkan mazhab Syafi'e?
Jawapan:
Jawapan ini berdasarkan panduan yang disusun oleh al-Syeikh ‘Abd al-Ra’uf Hashim al-Shawish Ali Khattab yang diterjemahkan oleh Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak beserta sedikit tambahan huraian.
Janin keguguran disebut sebagai: السقط (huruf Sin boleh dibaca Fathah, Dhommah dan Kasrah dengan sukun huruf Qaf) ialah janin yang gugur sebelum genap enam bulan dan dua لَحْظَة (lahzhah ialah tempoh paling minimum dapat berlakunya sesuatu perkara. Maka dua lahzhah ialah tempoh paling minimum dapat berlakunya permulaan kehamilan atau hubungan jimak sehingga inzal dan kelahiran).
Ringkasan berkaitan janin yang gugur dari perut ibunya:
- Jika janin gugur selepas genap enam bulan, atau terzahir padanya tanda kehidupan seperti menangis, mengangkat suara, atau pergerakan yang kuat dan bersifat pilihannya, kemudian dia mati, maka dia diuruskan seperti mayat orang dewasa: dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan.
- Jika belum genap enam bulan dan tidak terzahir tanda kehidupan, tetapi telah jelas rupa bentuknya (kejadian anggota), maka wajib dimandikan, dikafankan dan dikebumikan, namun tidak perlu disolatkan.
- Jika belum genap enam bulan, tidak terzahir tanda kehidupan dan belum jelas rupa bentuknya, maka dibalut dengan kain dan dikebumikan.
Perincian:
Pertama: Jika janin gugur selepas genap enam bulan dan dua lahzhah – iaitu lahzhah ‘Uluq (لحظة العُلوق – hubungan sehingga inzal) awal kehamilan dan Lahzhah Wiladah (tempoh kelahiran), maka dia diuruskan seperti orang dewasa, wajib dimandikan, dikafankan dan disolatkan ke atasnya, setelah genap enam bulan dan dua lahzhah tersebut.
Kedua: Jika janin gugur sebelum genap enam bulan dan dua lahzhah:
- Jika terzahir tanda yang menunjukkan kehidupannya secara yakin, iaitu dia keluar dalam keadaan mengeluarkan suara (menangis atau bersuara) kemudian mati, maka dia diperlakukan seperti orang dewasa; kerana telah pasti kematiannya berlaku selepas adanya kehidupan.
- Jika terzahir tanda yang menunjukkan kemungkinan adanya kehidupan: iaitu dia keluar tanpa menangis dan tanpa mengeluarkan suara, tetapi terdapat tanda kehidupan seperti pergerakan yang kuat atau pergerakan yang berlaku kerana pilihan bayi (الحركة الاختيارية), kemudian mati, maka dia juga diuruskan seperti mayat orang dewasa, dimandikan dan dikafankan secara sepakat ulama, dan disolatkan ke atasnya menurut pendapat al-Azhar (الأظهر) sebagai langkah berhati-hati (احتياطاً,; kerana ada kemungkinan kehidupannya melalui tanda tersebut.
- Jika tidak terzahir sebarang tanda kehidupan, maka diperhatikan: jika telah jelas rupa kejadiannya, iaitu telah terbentuk anggota-anggotanya (walaupun secara garis atau bentuk asas), maka wajib dimandikan, dikafankan dan dikebumikan, dan tidak boleh ditunaikan solat ke atasnya menurut pendapat al-Azhar (الأظهر); kerana tidak terbukti ada kehidupan pada bayi yang gugur tersebut. Memadai penentuan rupa kejadiannya dikatakan terzahir dengan pengakuan seorang bidan.
- Jika tidak zahir rupa kejadiannya, maka disunatkan membalutnya dengan kain dan mengebumikannya.
Ketiga: Jika janin keluar selepas genap enam bulan dan dua lahzhah tetapi tidak zahir rupa kejadiannya, maka dalam masalah ini terdapat khilaf;
- Menurut al-Khatib al-Syarbini, Syihabuddin Ahmad al-Ramli dan anaknya Syamsuddin Muhammad al-Ramli, ia diuruskan seperti orang dewasa.
- Manakala menurut al-Haytami, jika tidak zahir rupa kejadiannya maka tidak wajib apa-apa ke atasnya.
Perbezaan ini berpunca daripada penafsiran terhadap kata-kata ulama bahasa dalam mendefinisikan “السِّقط”, iaitu: النازل من بطن أمّه قبل تمامه iaitu sesuatu yang keluar dari perut ibunya sebelum sempurna. Di maka menurut al-Haytami, maksud: قبل تمامه atau “sebelum sempurna” ialah قبل ظهور خلقه iaitu “sebelum terzahir rupa kejadiannya.” Maka jika belum zahir rupa kejadiannya, ia dianggap sebagai janin gugur. Manakala menurut Syihabuddin al-Ramli, Syamsuddin al-Ramli dan al-Khatib, maksud: قبل ظهور خلقه ialah sebelum sempurna tempoh minimum kehamilan; maka selepas tempoh itu ia tidak lagi dianggap sebagai janin gugur.
