SDI 1960: Hukum Qadha Haji Atau Umrah Disebabkan Ihsar

Soalan:

Adakah wajib ke atas orang yang terhalang (محصر) dalam ibadah haji untuk mengqadha haji tersebut?

Jawapan:

Al-Ihsar - الإحصار - (terhalang) merupakan salah satu halangan yang menghalang seseorang dari menyempurnakan ibadah haji setelah dia memulakannya. Ihsar terbahagi kepada dua jenis: umum dan khusus. Adapun ihsar umum ialah;

منع العدوّ المحرمين عن المضيّ في إتمام الحج أو العمرة من جميع الطرق

Apabila musuh menghalang orang yang berihram daripada meneruskan perjalanan untuk menyempurnakan haji atau umrah dari semua jalan.

Al-Imam al-Syarbini رحمه الله berkata:

وسواء كان المنع بقطع الطريق أم بغيره، وسواء كان المانع كافراً أم مسلماً

“Sama ada halangan itu dengan memutuskan jalan atau selainnya, dan sama ada yang menghalang itu orang kafir atau Muslim.” (Mughni al-Muhtaj 2/313).

Diharuskan atau boleh bagi orang yang terhalang untuk bertahallul, dan tahallulnya berlaku dengan tiga perkara: niat, iaitu berniat keluar daripada ihram; menyembelih seekor kambing di tempat dia terhalang sama ada di tanah halal atau haram; dan bercukur. Hal ini berdasarkan firman Allah تعالى:

فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ

“Jika kamu terhalang…” (al-Baqarah: 196), yakni apabila kamu ingin bertahallul dari ihram disebabkan terhalang, firman Allah:

فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ

“maka (sembelihlah) apa yang mudah daripada hadyu.” (al-Baqarah: 196).

Maka tidak gugur daripadanya kewajipan dam walaupun dia mensyaratkan ketika ihram bahawa dia akan bertahallul jika terhalang, kerana tahallul dengan sebab ihsar memang dibolehkan tanpa syarat, maka jika berniat syarat, syarat itu menjadi tidak memberi kesan.

Adapun ihsar khusus ialah seperti seseorang yang ditangkap secara zalim, contohnya ditangkap kerana hutang sedangkan dia tidak mampu membayarnya. Maka dia juga boleh bertahallul sebagaimana dalam ihsar umum.

Sesiapa yang terlepas dari menyempurnakan ibadah haji atau umrah kerana ihsar, sama ada umum atau khusus, sama ada haji atau umrah wajib atau sunat. Jika yang terlepas itu ibadah sunat, maka tidak wajib qadha. Syeikh al-Islam Ibn Hajar al-Haitami رحمه الله berkata:

 (ولا قضاء على المحصر المتطوع) بحصر خاص، أو عام وإن اقترن به فوات الحج؛ إذ لم يرد الأمر به

“Tidak ada qadha ke atas orang yang terhalang dalam ibadah sunat, sama ada ihsar khusus atau umum, walaupun disertai dengan terlepasnya haji, kerana tidak ada dalil yang memerintahkannya.” (Tuhfah al-Muhtaj 4/211).

Adapun jika yang terlepas itu ibadah wajib kerana ihsar, maka keadaannya sama ada wajib yang telah menjadi tanggungan (mustaqir) atau belum. Jika ia merupakan kewajipan yang telah tetap dalam tanggungannya, seperti qadha, nazar yang telah mampu dilaksanakan sebelum tahun dia terhalang, atau haji Islam selepas tahun pertama kemampuan, maka kewajipan itu tetap berada dalam tanggungannya dan dia wajib mengqadhanya.

Namun jika ia merupakan kewajipan yang belum tetap dalam tanggungannya, seperti haji Islam pada tahun pertama kemampuan, maka tidak ada apa-apa ke atasnya sehingga dia kembali mempunyai kemampuan. Al-Imam al-Nawawi رحمه الله berkata:

إذا تحلل المحصر، قال الشافعي والمصنف -الإمام الشيرازي صاحب المهذب- والأصحاب: إن كان نسكه تطوعاً فلا قضاء، وإن لم يكن تطوعاً نظر: إن كان واجباً مستقراً؛ كالقضاء، والنذر، وحجة الإسلام التي استقر وجوبها قبل هذه السنة بقي الوجوب في ذمته كما كان، وإنما أفاده الإحصار جواز الخروج منها، وإن كان واجباً غير مستقر وهي حجة الإسلام في السنة الأولى من سنيّ الإمكان سقطت الاستطاعة، فلا حج عليه إلا أن تجتمع فيه شروط الاستطاعة بعد ذلك

 “Apabila orang yang terhalang bertahallul, maka menurut al-Syafi‘i, al-Musannif (Imam al-Syirazi) dan para Ashab: jika ibadahnya sunat maka tidak ada qadha. Jika bukan sunat, maka diperhatikan: jika ia wajib yang telah tetap seperti qadha, nazar, dan haji Islam yang telah tetap sebelum tahun ini (tahun yang berlaku halangan), maka kewajipan itu kekal dalam tanggungannya seperti sediakala (perlu qadha), dan ihsar hanya memberi keringanan untuk keluar daripadanya. Jika ia wajib yang belum tetap, iaitu haji Islam pada tahun pertama kemampuan, maka gugurlah syarat kemampuan itu, dan tidak wajib haji ke atasnya melainkan jika syarat kemampuan itu kembali ada.” (al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 8/306).

Adapun jika orang yang berihram itu sakit, maka dia tidak boleh bertahallul hanya kerana sakit, bahkan dia hendaklah bersabar sehingga sembuh, kerana bertahallul tidak menghilangkan penyakit, berbeza dengan ihsar. Jika orang sakit itu berihram dengan umrah, dia hendaklah menyempurnakannya. Jika dia berihram dengan haji lalu terlepas haji (kerana tidak sempat wuquf), maka dia bertahallul dengan melakukan amalan umrah, iaitu tawaf, sa‘i dan bercukur, jika dia tidak mensyaratkan tahallul (berniat syarat) kerana sakit ketika ihram. Jika dia mensyaratkannya (berniat syarat), maka syarat itu sah dan dia boleh bertahallul, berdasarkan hadis Aisyah رضي الله عنها

دَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى ضُبَاعَةَ بِنْتِ الزُّبَيْرِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنِّي أُرِيدُ الْحَجَّ، وَأَنَا شَاكِيَةٌ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: حُجِّي، وَاشْتَرِطِي أَنَّ مَحِلِّي حَيْثُ حَبَسْتَنِي

Nabi masuk menemui Duba‘ah binti al-Zubair bin ‘Abd al-Muttalib, lalu dia berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku ingin menunaikan haji, tetapi aku sedang sakit.” Maka Nabi bersabda: “Tunaikanlah haji, dan buatlah syarat: tempat tahallulku adalah di mana Engkau menahanku.” (Muttafaqun ‘ALaih).

Al-Imam al-Nawawi رحمه الله berkata:

وفي هذا الحديث دليل على أن المرض لا يبيح التحلل إذا لم يكن اشتراط في حال الإحرام، والله أعلم

“Dalam hadis ini terdapat dalil bahawa sakit tidak mengharuskan seseorang bertahallul jika tidak ada syarat (اشتراط) ketika ihram. والله أعلم.” (Syarh Sahih Muslim 8/132)

Jika seseorang mensyaratkan tahallul dengan hadyu, maka wajib ke atasnya. Jika tidak, maka tidak wajib. Jika dia menyebut secara umum tanpa menetapkan hadyu, maka tidak wajib ke atasnya kerana tiada syarat khusus, berdasarkan zahir hadis Duba‘ah. Maka tahallul bagi orang yang tidak mensyaratkan hadyu atau yang menyebut secara umum adalah dengan niat dan bercukur sahaja.

Jika seseorang yang berihram haji mensyaratkan bahawa hajinya akan bertukar menjadi umrah apabila ada keuzuran, maka apabila berlaku keuzuran, hajinya bertukar menjadi umrah dan mencukupi sebagai umrah Islam. Ini berbeza dengan tahallul kerana ihsar, kerana ia tidak mencukupi sebagai umrah Islam, kerana hakikatnya ia bukan umrah sebenar, tetapi sekadar melakukan amalan-amalan umrah.

Adapun dari sudut qadha, jika haji orang yang sakit itu terlepas dan ia merupakan haji wajib, maka ia tetap berada dalam tanggungannya seperti sediakala. Jika ia sunat, maka wajib ke atasnya mengqadhanya dengan segera sebagaimana jika dia merosakkannya, dan wajib juga dam kerana terlepas itu.

Batasan sakit ialah penyakit yang mengharuskan meninggalkan solat Jumaat, iaitu apabila kehadiran menyebabkan kesukaran seperti kesukaran berjalan dalam hujan atau lumpur.

Kesimpulannya, ibadah haji atau umrah yang terlepas kerana ihsar, jika ia sunat atau wajib yang belum tetap dalam tanggungan, maka tidak wajib qadha dalam kedua-dua keadaan.

Jika yang terlepas itu wajib yang telah tetap dalam tanggungan seperti haji Islam selepas tahun pertama kemampuan, maka ia kekal dalam tanggungannya.

Adapun jika terlepas dari menyempurnakan ibadat haji atau umrah bukan kerana ihsar, maka jika haji atau umrah itu wajib, ia tetap dalam tanggungan seperti sediakala, dan jika ia sunat, wajib mengqadhanya dengan segera seperti jika dia merosakkannya, serta wajib dam kerana terlepas tersebut. والله تعالى أعلم.

 


Cetak  
Wallahu a'lam