Soalan:
Apakah hukum menggunakan gel rambut ketika berwuduk, dan adakah sah mengusap kepala jika gel tersebut menghalang sampainya air ke rambut?
Jawapan:
Telah sabit daripada Nabi ﷺ bahawa Baginda melakukan talbīd (تلبيد) ketika melakukan Haji Wada‘, dan Baginda bersabda:
إِنِّي لَبَّدْتُ رَأْسِي.
“Sesungguhnya aku telah melakukan talbid rambut kepalaku.” (Riwayat al-Bukhari)
Dalam riwayat Ahmad daripada Ibn ‘Umar dinyatakan:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَبَّدَ رَأْسَهُ
“Bahawa Rasulullah ﷺ telah melakukan talbid rambut kepalanya.
Dan dalam riwayat Abu Dawud dinyatakan:
لَبَّدَ رَأْسَهُ بِالْعَسَلِ
“Bahawa Baginda melakukan talbid rambut kepala baginda dengan madu.”
Talbīd - التَّلْبِيد – ialah:
أَنْ يَجْمَع شَعْر الرَّأْس بِشَيْءٍ كَالصَّمْغِ عِنْد الْإِحْرَام لِئَلَّا تُنْتَتَف بِقِلَّةِ الدُّهْن وَلَا يَكْثُر فِيهِ الْقَمْل مِنْ طُول الْمُكْث فِي الْإِحْرَام
“Menghimpunkan rambut kepala dengan sesuatu bahan seperti gam ketika berihram, supaya rambut itu tidak tercabut disebabkan kurang minyak, dan agar tidak banyak kutu akibat tempoh lama dalam keadaan ihram.”
Sebahagian fuqaha ada yang berpandangan mengusap kepala yang ditalbidkan bagi orang yang berihram dibenarkan kerana darurat. Al-Hattab al-Maliki berkata dalam Mawahib al-Jalil 1/209:
الْمُحْرِمَ إذَا لَبَّدَ رَأْسَهُ قَالُوا يَجُوزُ لَهُ الْمَسْحُ وَلَا رَاعَوْا الْحَائِلَ وَإِنَّمَا ذَلِكَ لِلضَّرُورَةِ قَالَهُ شَيْخُنَا الشَّارْمَسَاحِيُّ وَقَالَهُ الشَّيْخُ يُوسُفُ بْنُ عُمَرَ أَيْضًا قَالَ الْجُزُولِيُّ فِي بَابِ الْحَجِّ: يَجُوزُ لَهُ أَنْ يَمْسَحَ عَلَى التَّلْبِيدِ فِي الْوُضُوءِ لِأَجْلِ الضَّرُورَةِ، وَإِنْ كَانَ فِيهِ الْإِضَافَةُ أَوْ لِأَنَّهُ لَا يُضِيفُ الْمَاءَ إضَافَةً تُؤَثِّرُ، وَأَمَّا لِغَيْرِ ضَرُورَةٍ فَلَا يَجُوزُ الْمَسْحُ عَلَى الْحَائِلِ
Orang yang berihram apabila dia mengenakan talbid rambut kepalanya, para ulama berkata: harus baginya menyapu (kepalanya) dan mereka tidak mengambil kira adanya penghalang. Hal ini kerana adanya darurat. Demikian dinyatakan oleh guru kami al-Sharmasahi, dan juga disebut oleh Syeikh Yusuf bin ‘Umar. Al-Juzuli berkata dalam bab haji: harus baginya menyapu di atas talbid dalam wuduk kerana darurat, walaupun terdapat unsur tambahan (bahan yang melekat), atau kerana bahan tersebut tidak menjadikan air sebagai “air tambahan” yang memberi kesan (tidak mengubah sifat air secara signifikan). Adapun jika tanpa darurat, maka tidak boleh menyapu di atas sesuatu yang menjadi penghalang.
Maka bahan gel rambut, jika ia mempunyai lapisan yang menghalang sampainya air ke rambut, tidak boleh menyapu di atasnya tanpa terdapat darurat. Al-Imam al-Nawawi berkata dalam al-Majmu’:
إذَا كَانَ عَلَى بَعْضِ أعضائه شمع أو عجين أو حناء واشتباه ذلك فمنع وصول الماء الى شئ من العضو لم تصح طهارته سواء كثر ذَلِكَ أَمْ قَلَّ وَلَوْ بَقِيَ عَلَى الْيَدِ وَغَيْرِهَا أَثَرُ الْحِنَّاءِ وَلَوْنُهُ دُونَ عَيْنِهِ أَوْ أثر دُهْنٍ مَائِعٍ بِحَيْثُ يَمَسُّ الْمَاءُ بَشَرَةَ الْعُضْوِ وَيَجْرِي عَلَيْهَا لَكِنْ لَا يَثْبُتُ صَحَّتْ طَهَارَتُهُ
“Jika pada sebahagian anggota seseorang terdapat lilin, atau adunan tepung, atau inai dan seumpamanya yang menghalang sampainya air ke sebahagian anggota, maka tidak sah taharahnya sama ada banyak atau sedikit. Namun jika yang tinggal pada tangan atau selainnya hanyalah kesan inai dan warnanya tanpa zatnya, atau kesan minyak cair sehingga air menyentuh kulit anggota dan mengalir di atas kulit tetapi air tidak kekal, maka sah taharahnya.” Tamat.
Namun gel yang disapukan pada rambut, tidak tepat untuk diqiyaskan dengan talbid orang yang berihram, kerana talbid yang dilakukan oleh Nabi ﷺ dalam haji adalah kerana darurat, sedangkan gel rambut digunakan dalam kalangan para pemuda hanya untuk tujuan perhiasan dan menampakkan kilauan serta kecantikan rambut.
Maka wajib menghilangkannya ketika berwuduk dan solat, kerana kesucian adalah syarat sah wuduk. Oleh itu, yang lebih berhati-hati dan lebih selamat bagi agama seseorang ialah tidak menggunakan bahan tersebut sama sekali. Dan sesiapa yang menggunakannya, wajib ke atasnya menghilangka bahan tersebut ketika berwuduk. Inilah pandangan yang lebih tepat.
Sekalipun demikian, tidak dinafikan sebahagian ulama yang kemudian menjadikan isu talbid orang yang berihram sebagai dalil membolehkan menyapu kepala walaupun terdapat bahan seperti gam atau inai dan seumpamanya. Antara mereka ialah al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaymin رحمه الله yang berkata dalam al-Syarh al-Mumti’ ‘ala Zad al-Mustaqni’ 1/239-240:
ولو كان الرَّأس ملبَّداً بحنَّاء، أو صمغ، أو عسل، أو نحو ذلك فيجوز المسح، لأنه ثبت أنَّ النبيَّ صلّى الله عليه وسلّم كان في إحرامه ملبِّداً رأسَه, فما وُضع على الرَّأس مِنَ التَّلبيد فهو تابع له وهذا يدلُّ على أن طهارة الرَّأس فيها شيء من التَّسهيل, وعلى هذا، فلو لبَّدت المرأة رأسها بالحِنَّاء جاز لها المسحُ عليه، ولا حاجة إلى أن تنقض رأسَها وتَحُتُّ هذا الحنَّاء، ولا سيما أن الرَّأس من أصله لا يجب تطهيرُه بالغسل، وإنما يطهرُ بالمسح، فلذلك خُفِّفَتْ طهارتُه بالمسح
“Jika kepala itu ditalbid dengan inai, atau seperti gam, atau madu dan seumpamanya, maka harus mengusapnya; kerana telah sabit bahawa Nabi ﷺ dalam ihramnya mentalbid rambut kepala. Maka apa yang diletakkan di atas kepala daripada talbid adalah mengikut baginda. Ini menunjukkan bahawa taharah kepala ada unsur keringanan padanya. Berdasarkan ini, jika seorang wanita mentalbid rambutnya dengan inai, maka harus baginya mengusap di atasnya, dan tidak perlu dia membuka ikatan rambutnya serta membuang inai tersebut. Lebih-lebih lagi, kepala asalnya tidak wajib dibasuh, tetapi disucikan dengan sapuan, maka diringankan taharahnya dengan sapuan.” Tamat.
