SDI 1965: Hukum Mengangkat Alat Sembelihan Ketika Penyembelihan Haiwan

Soalan:

Apa hukum haiwan sembelihan jika tukang sembelih mengangkat pisau sembelihan ketika sembelihan dilakukan?

Jawapan:

Sebaiknya jangan berhenti atau mengangkat pisau sembelihan sebelum selesai penyembelihan. Namun, halal memakan haiwan sembelihan jika tukang sembelih mengangkat pisau sembelihan ketika proses sembelihan dilakukan, selagi sembelihan itu disambung semula dengan segera dan haiwan masih ada nyawa yang jelas atau belum nazak sepenuhnya.

Jika penyembelihan dihentikan terlalu lama atau disambung semula setelah jauh jaraknya sehingga haiwan sudah hampir mati, maka dalam keadaan ini, sembelihan itu tidak sah dan tidak halal dimakan.

Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 21/194 dinyatakan:

Syarat ketujuh yang juga hanya ada di sisi Mazhab Maliki ialah:

أَلاَّ يَرْفَعَ يَدَهُ قَبْل تَمَامِ التَّذْكِيَةِ، فَإِنْ رَفَعَ يَدَهُ فَفِيهِ تَفْصِيلٌ، وَحَاصِلُهُ أَنَّهُ لاَ يَضُرُّ إِلاَّ فِي صُورَةٍ وَاحِدَةٍ، وَهِيَ مَا لَوْ أَنْفَذَ بَعْضَ مَقَاتِلِهَا وَعَادَ لِتَكْمِلَةِ الذَّبْحِ عَنْ بُعْدٍ، وَمَا عَدَا هَذِهِ تُؤْكَل اتِّفَاقًا أَوْ عَلَى الرَّاجِحِ. وَصُورَةُ الاِتِّفَاقِ مَا إِذَا كَانَتْ لَوْ تُرِكَتْ تَعِيشُ، أَوْ لاَ تَعِيشُ وَكَانَ الرَّفْعُ اضْطِرَارًا. وَصُورَةُ الرَّاجِحِ مَا إِذَا كَانَتْ لَوْ تُرِكَتْ لَمْ تَعِشْ وَعَادَ عَنْ قُرْبٍ وَكَانَ الرَّفْعُ اخْتِيَارًا. وَقَال الشَّافِعِيَّةُ: إِنْ رَفَعَ يَدَهُ مَرَّةً أَوْ أَكْثَرَ لَمْ يَضُرَّ إِنْ كَانَتْ فِي الْمَذْبُوحِ حَيَاةٌ مُسْتَقِرَّةٌ عِنْدَ بَدْءِ الْمَرَّةِ الأَْخِيرَةِ، فَإِنْ بَدَأَهَا وَفِيهِ حَرَكَةُ مَذْبُوحٍ لَمْ يَحِل.

“Seseorang itu tidak mengangkat tangannya sebelum sempurna penyembelihan. Jika dia mengangkat tangannya, maka dalam hal ini terdapat perincian; kesimpulannya ialah perbuatan itu tidak memudaratkan (tidak mengapa) kecuali dalam satu keadaan sahaja, iaitu apabila dia telah memutuskan sebahagian saluran yang mematikan (urat penyembelihan), kemudian dia kembali untuk menyempurnakan sembelihan setelah jarak yang jauh. Selain daripada keadaan ini, haiwan tersebut boleh dimakan berdasarkan kesepakatan ulama atau menurut pendapat yang rajih. Gambaran keadaan yang disepakati (halal dimakan) ialah apabila haiwan itu, jika dibiarkan, sama ada boleh terus hidup atau tidak boleh hidup, dan mengangkat tangan itu berlaku kerana terpaksa. Manakala gambaran menurut pendapat yang rajih ialah apabila haiwan itu, jika dibiarkan, tidak akan hidup, dan kembali untuk menyambung sembelihan dalam jarak yang dekat, serta pengangkatan tangan itu berlaku secara pilihan. Menurut pandangan Mazhab Syafi‘i: jika seseorang mengangkat tangannya sekali atau lebih, maka hal itu tidak memudaratkan (tidak mengapa) selagi pada haiwan yang disembelih itu masih terdapat kehidupan yang stabil ketika memulakan potongan yang terakhir. Namun jika dia memulakannya sedangkan pada haiwan itu hanya tinggal gerakan seperti haiwan yang telah disembelih (nyawa tidak lagi stabil), maka tidak halal.”

 


Cetak  
Wallahu a'lam