SDI 1966: Makmum Jumaat Di Luar Masjid Tidak Mengetahui Pergerakan Imam Disebabkan Berlaku Blackout

Soalan:

Solat Jumaat tadi, ada yang solat dalam masjid dan ada yang di luar. Tiba-tiba jadi blackout, makmum yang berada di luar ni tak dengar takbir intiqal imam dan tidak nampak situasi dalam masjid kerana pintu tertutup. Sama ada imam bergerak atau tidak. pastu ramai yg di luar buat solat bergerak mengikut rasa2. rasa mcm lama, ruku'. rasa lama sikit, i'tidal. soalan dia, kena ikut ijtihad masing2 atau yg di luar tu kena sambung buat solat zohor

Apa hukum jumaat depa, sbb yg diluar tu bilangan ramai jgk. dalam 50 orang

Jawapan:

Para fuqaha’ mensyaratkan boleh mengikut imam sama ada bagi makmum yang berada di dalam atau di luar masjid, agar dapat mengetahui pergerakan atau perpindahan imam dalam solatnya. Hal ini terlaksana sama ada dengan dapat melihat imam atau mendengar suara imam atau muballigh, atau melihat sebahagian makmum di belakang imam. Kata al-Imam al-Nawawi RH dalam al-Majmu’ 4/309:

يُشْتَرَطُ لِصِحَّةِ الِاقْتِدَاءِ عِلْمُ الْمَأْمُومِ بِانْتِقَالَاتِ الْإِمَامِ سَوَاءٌ صَلَّيَا فِي الْمَسْجِدِ أَوْ فِي غَيْرِهِ أَوْ أَحَدُهُمَا فِيهِ وَالْآخَرُ فِي غَيْرِهِ وَهَذَا مُجْمَعٌ عَلَيْهِ قَالَ أَصْحَابُنَا وَيَحْصُلُ لَهُ الْعِلْمُ بِذَلِكَ بِسَمَاعِ الْإِمَامِ أَوْ مَنْ خَلْفَهُ أَوْ مُشَاهَدَةِ فِعْلِهِ أَوْ فِعْلِ مَنْ خَلْفَهُ وَنَقَلُوا الْإِجْمَاعَ فِي جَوَازِ اعْتِمَادِ كُلِّ وَاحِدٍ مِنْ هَذِهِ الْأُمُورِ فَلَوْ كَانَ الْمَأْمُومُ أَعْمَى اُشْتُرِطَ أَنْ يُصَلِّيَ بِجَنْبِ كامل ليعتمد موافقته مستدلا بها

“Disyaratkan bagi sahnya mengikuti imam (iqtida’) ialah makmum mengetahui perpindahan (pergerakan) imam, sama ada kedua-duanya solat di dalam masjid, atau di luar masjid, atau salah seorang di dalam dan seorang lagi di luar. Hal ini merupakan perkara yang disepakati (ijmak). Para ulama mazhab kami berkata: Pengetahuan tersebut boleh diperoleh dengan mendengar suara imam atau suara orang di belakangnya, atau dengan melihat perbuatannya, atau perbuatan orang yang berada di belakangnya. Mereka juga menukilkan ijmak tentang keharusan bergantung kepada mana-mana cara tersebut. Sekiranya makmum itu seorang yang buta, disyaratkan dia solat di sisi seseorang (yang dapat dijadikan rujukan) supaya dia dapat menyesuaikan pergerakannya dengan berpandukan orang tersebut.”

Jika tiada harapan untuk dapat mengikut imam, maka makmum hendaklah mufaraqah dan solat secara sendirian. Al-Khatib al-Syarbini dalam Mughniy al-Muhtaj 1/498 berkata:

وَلَوْ رَدَّ الرِّيحُ الْبَابَ فِي أَثْنَاءِ الصَّلَاةِ فَإِنْ أَمْكَنَهُ فَتْحُهُ حَالًا فَتَحَهُ وَدَامَ عَلَى الْمُتَابَعَةِ وَإِلَّا فَارَقَهُ

“Sekiranya angin menutup pintu ketika sedang solat, maka jika dia (makmum) mampu membukanya dengan segera, hendaklah dia membukanya dan terus kekal mengikuti (imam). Jika tidak mampu, maka hendaklah dia berpisah daripada imam.”

Jika makmum tidak dapat mengetahui pergerakan imam dari salah satu cara yang disebutkan, maka makmum tidak boleh berterusan berada dalam keadaan mengikut imam. Oleh itu, bagi menjawab permasalahan ini, ialah;

  1. Jika blackout berlaku setelah makmum sempat mendapat satu rakaat Jumaat bersama imam, kemudian berlaku sesuatu yang memestikan mereka mufraqah, seperti tempoh blackout yang tiada lagi harapan ia dapat kembali semula, yang menyebabkan mereka tidak tahu pergerakan imam, maka mereka wajib mufaraqah dan menyempurnakan baki satu rakaat Jumaat secara bersendirian.

Dalam al-Fiqh al-Manhaji 1/207-208 dinyatakan:

لو جاء مسبوق فاقتدى بالإمام في الركعة الثانية، أدركه بعد القيام من ركوع الركعة الثانية، لم تقع صلاة جمعة، وإنما يتم بعد سلام إمامه ظهرًا. وعلى ذلك أيضًا، لو اقتدى المصلون الإمام في الجمعة، وأتموا معه ركعة، ثم طرأ سبب اقتضى مفارقة المصلين أو بعضهم للإمام، وإتمام كل منهم صلاته لنفسه مفردًا، فإن جمعتهم صحيحة. أما لو طرأ هذا السبب قبل انتهاء الركعة الأولى، فإن صلاتهم لا تصح جمعة، وتنقلب في حقهم ظهرًا

“Jika seseorang yang masbuq datang lalu mengikut imam pada rakaat kedua, dan dia sempat selepas imam bangun daripada rukuk rakaat kedua, maka tidak dikira mendapat solat Jumaat. Bahkan dia hendaklah menyempurnakannya sebagai solat Zuhur selepas imam memberi salam. Demikian juga, jika para jemaah mengikuti imam dalam solat Jumaat dan sempat menyempurnakan satu rakaat bersamanya, kemudian berlaku sesuatu sebab yang menyebabkan mereka mufaraqah daripada imam – sama ada semuanya atau sebahagian mereka – lalu setiap seorang menyempurnakan solat secara bersendirian, maka solat Jumaat mereka adalah sah. Adapun jika sebab tersebut berlaku sebelum selesai rakaat pertama, maka solat mereka tidak sah sebagai solat Jumaat, bahkan bertukar menjadi solat Zuhur bagi mereka.”

  1. Jika mereka belum sempat mendapat satu rakaat bersama imam, kemudian berlaku sesuatu yang memestikan mereka mufraqah, maka wajib mereka sempurnakan baki solat sebagai solat Zohor empat rakaat.



Cetak  
Wallahu a'lam