SDI 1968: Hukum Korban Bagi Pihak Orang Yang Telah Meninggal Dunia

Soalan:
Bolehkah melakukan korban bagi pihak orang yang telah meninggal dunia?

Jawapan:
Melakukan korban bagi pihak orang yang telah meninggal dunia adalah harus. Ini merupakan mazhab Mazhab Hanbali sebagaimana disebut dalam Kashshaf al-Qina’ -كشاف القناع- oleh al-Buhuti -البهوتي
- (6/428). Pendapat ini juga dipegang oleh al-‘Abbadi -العبّادي
- dari kalangan fuqaha’ Mazhab Syafi‘i sebagaimana dalam Bidayah al-Muhtaj oleh Ibn Qadi Syuhbah -لابن قاضي شهبة - (4/358), dan turut dinukilkan daripada sebahagian ulama Mazhab Maliki serta Mazhab Hanafi.

Al-Imam Abu Dawud telah membuat satu bab dalam Sunan-nya dengan tajuk: باب الأضحية عن الميت “Bab Korban Bagi Pihak Orang Mati”. Beliau meriwayatkan daripada Hanash -حَنَش – yang berkata:

رَأَيْتُ عَلِيًّا يُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ، فَقُلْتُ لَهُ: مَا هَذَا؟ فَقَالَ: إِنَّ رَسُولَ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْصَانِي أَنْ أُضَحِّيَ عَنْهُ؛ فَأَنَا أُضَحِّي عَنْهُ

“Aku melihat Ali ibn Abi Talib berkorban dengan dua ekor kibas. Lalu aku bertanya kepadanya: ‘Apakah ini?’ Maka beliau menjawab: ‘Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW telah berpesan kepadaku agar aku berkorban bagi pihak baginda, maka aku berkorban bagi pihak baginda.”[1]

Al-Imam Abu Dawud juga meriwayatkan daripada Jabir ibn Abdillah bahawa Nabi SAW ketika hendak menyembelih korban mengucapkan:

اللَّهُمَّ مِنْكَ وَلَكَ، وَعَنْ مُحَمَّدٍ وَأُمَّتِهِ، بِاسْمِ الله والله أَكْبَر

“Ya Allah, (korban ini) daripada-Mu dan untuk-Mu, serta bagi pihak Muhammad dan umatnya, dengan nama Allah, Allah Maha Besar.”, kemudian Baginda menyembelih.

Maka umat Baginda itu merangkumi yang hidup mahupun yang telah meninggal dunia.

Selain itu, terdapat banyak nas syarak yang menunjukkan pahala amalan sampai kepada orang yang telah meninggal dunia. Antaranya ialah keharusan berpuasa bagi pihak si mati jika dia meninggal dunia dalam keadaan masih mempunyai tanggungan puasa, dan juga harus menunaikan haji bagi pihaknya. Perkara ini sabit dengan hadis-hadis sahih. Maka apabila puasa yang merupakan ibadah badaniah, manakala haji pula merupakan ibadah badaniah dan harta, sampai pahalanya kepada si mati, maka korban lebih utama untuk sampai pahalanya kepada mereka.

Tambahan pula, para ulama telah bersepakat bahawa pahala sedekah sampai kepada orang yang telah meninggal dunia. Korban termasuk dalam kategori sedekah dan tidak terkeluar daripadanya. Oleh itu, berdasarkan semua ini, ia menunjukkan harus melakukan korban bagi pihak orang yang telah meninggal dunia.



[1] Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Dawud dalam al-Sunan (hlm. 495), no. (2790), dan oleh Al-Tirmidhi dalam al-Jami’ (hlm. 354), no. (1495), serta dalam al-‘Ilal al-Kabir (hlm. 244), no. (442), dan selain kedua-duanya. Kedua-duanya meriwayatkannya melalui sanad: daripada Syarik -شريك -, daripada Abu al-Hasna’ -أبي الحسناء -, daripada al-Hakam -الحكم-, daripada Hanash -حنش-, katanya:

رأيت عليًّا يضحي بكبشين، فقلت له: ما هذا؟ فقال: إن رسول الله ﷺ أوصاني أن أضحي عنه فأنا أضحي عنه

“Aku melihat Ali ibn Abi Talib berkorban dengan dua ekor kibas. Lalu aku bertanya kepadanya: ‘Apakah ini?’ Maka beliau menjawab: ‘Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW telah berpesan kepadaku agar aku berkorban bagi pihak baginda, maka aku pun berkorban bagi pihak baginda.” Hadis ini sanadnya lemah kerana kelemahan Syarik, dan juga kerana Abu al-Hasna’ adalah majhul (tidak dikenali). Rujuk: Taqrib al-Tahdhib (hlm. 436, no. 1134), no. (2802, 8112))


Cetak  
Wallahu a'lam