Anjuran Banyak Berzikir

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, beliau meriwayatkan:

كان رَسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم يَسيرُ في طَريقِ مَكَّةَ، فمَرَّ على جَبَلٍ يُقالُ له: جُمدانُ، فقال: سيروا، هذا جُمدانُ، سَبَقَ المُفَرِّدونَ، قالوا: وما المُفَرِّدونَ يا رَسولَ اللهِ؟ قال: الذَّاكِرونَ اللهَ كَثيرًا والذَّاكِراتُ

Rasulullah pernah melintasi di suatu jalan menuju ke Mekah. Baginda melalui sebuah gunung yang dinamakan Jumdan, lalu bersabda: “Teruskanlah berjalan, ini adalah Jumdan. Golongan mufarridun telah mendahului.” Para sahabat bertanya: “Siapakah mufarridun itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Mereka yang banyak berzikir kepada Allah, lelaki dan wanita.” (Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim ibn al-Hajjaj dalam Sahih Muslim, no. 2676)

Huraian

Hadis ini menunjukkan Nabi menggalakkan umatnya untuk banyak berzikir kepada Allah dan menjelaskan kelebihan orang yang banyak berzikir. Dalam hadis ini, Abu Hurairah رضي الله عنه menceritakan bahawa Nabi sedang berjalan menuju ke Mekah, baginda melalui sebuah gunung yang dikenali sebagai Jumdan. Gunung ini terbentang memanjang dari selatan ke utara di bahagian barat kawasan Khulais - خُلَيصَ-dalam wilayah Mekah, dan jaraknya kira-kira 100 km dari Mekah.

Baginda memerintahkan para sahabat supaya terus berjalan dengan bersungguh-sungguh sambil menarik perhatian mereka kepada gunung tersebut dengan sabdanya: هذا جُمْدانُ maksudnya: “Ini adalah Jumdan.” Kemudian Baginda bersabda: سَبَقَ المفرِّدون maksudnya: “Golongan mufarridun telah mendahului.” iaitu mereka yang menjadikan diri bersendirian atau memisahkan diri mereka dengan orang lain dengan sentiasa mengingati Allah dalam kebanyakan waktu yang ada. Mereka membezakan diri mereka daripada orang lain dengan mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah, kerana mereka mengkhususkan diri dengan zikir kepada Allah dan tidak lalai dari mengingati-Nya. Mereka juga menjadikan Tuhan mereka, zat yang sering diingati dan meninggalkan dari mengingati selain daripada Allah SWT.

Para sahabat kemudian bertanya tentang maksud mufarridun itu, seolah-olah mereka ingin mengetahui sifat golongan tersebut agar mereka dapat mencontohinya dan mencapai kelebihan yang sama. Maka Nabi menjelaskan yang dimaksudkan ialah: الذَّاكرونَ اللهَ كَثيرًا iaitu: “mereka yang banyak berzikir kepada Allah”, yang sentiasa mengingati Allah dalam kebanyakan keadaan mereka.

Ini menunjukkan kepentingan zikir yang banyak, sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah dalam Al-Qur'an:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا، وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

“Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah kepada Allah dengan zikir yang banyak, dan bertasbihlah kepada-Nya pada waktu pagi dan petang.” (al-Ahzab: 41–42)

Zikir kepada Allah boleh berlaku dengan lidah sahaja, atau dengan hati sahaja, atau dengan kedua-duanya sekali, dan yang paling tinggi darjatnya ialah zikir dengan lidah dan hati bersama. Zikir juga merangkumi semua bentuk yang disebut dalam Al-Quran dan sunnah Nabi .

Dikatakan juga bahawa Nabi mengaitkan sebutan “Jumdan” dengan “mufarridun” kerana gunung tersebut berdiri bersendirian tanpa gunung lain yang setara di sekitarnya, seolah-olah ia terasing. Maka Baginda mengingatkan para sahabat tentang golongan mufarridun yang “memisahkan diri” dengan kelebihan zikir kepada Allah.


Cetak  
Wallahu a'lam