Huraian Fathul Qarib: Air Bahagian Ketiga

BAHAGIAN KETIGA: AIR YANG SUCI, TIDAK MENYUCIKAN -طاهر غير مطهر-

Kata Syarih:

(و) القسم الثالث (طاهر) في نفسه (غير مطهر لغيره، وهو الماء المُستعمَل) في رفع حدث أو إزالة نجس، إن لم يتغيرْ ولم يزِدْ وزنُه بعد انفصالِه عَمَّا كان، بعد اعتبارِ ما يَتَشَرَّبُه المغسولُ من الماء؛

Dan bahagian ketiga ialah air yang suci pada dirinya tetapi tidak menyucikan selainnya, iaitu air yang telah digunakan (mā’ musta‘mal) untuk mengangkat hadas atau menghilangkan najis, dengan syarat air itu tidak berubah dan tidak bertambah beratnya selepas berpisah daripada keadaan asalnya, setelah diambil kira air yang diserap oleh benda yang dibasuh.

HURAIAN

Kata al-Bajuri:

Perkataannya (syarih):

والقسم الثالث

Di mana pensyarah menyebut lafaz القسم” (bahagian) pada bahagian ketiga dan keempat, dan beliau tidak menyebutnya untuk bahagian pertama dan kedua, kerana pada bahagian ketiga dan keempat itu sebenarnya terdiri daripada dua pecahan.

Bagi bahagian ketiga -القسم الثالث- terbahagi kepada air musta‘mal (المستعمل) dan air yang berubah (المتغير), dan gabungan kedua-dua bahagian inilah yang terdapat dalam bahagian ketiga.

Manakala bahagian keempat pula terbahagi kepada air sedikit yang dimasuki najis, dan air banyak yang berubah dengan sebab najis, dan gabungan kedua-duanya inilah yang terdapat dalam bahagian keempat.

Perkataannya:

طاهر في نفسه

“suci pada zatnya sendiri.”

Iaitu tanpa mengambil kira selain daripadanya. Maka ia (air bahagian ini) harus digunakan dalam perkara-perkara yang hanya mensyaratkan kesucian sahaja, namun harus beserta hukum makruh bagi penggunaan seperti untuk minum dan memasak.

Perkataannya:

غير مطهر لغيره

Tidak dapat mensucikan perkara lain

Air bahagian ini tidak boleh digunakan untuk bersuci, walaupun kesucian itu bersifat sunat (mandub).

Air Musta’mal

Perkataan Syarih:

المستعمل

“Iaitu air musta’mal.”

Termasuk dalam air yang suci pada dirinya, namun tidak dapat menyucikan benda yang lain ialah, air musta’mal. Iaitu air yang telah digunakan untuk melaksanakan sesuatu yang mesti dilakukan, sama ada seseorang itu dikira berdosa jika meninggalkannya atau tidak, sama ada sesuatu itu merupakan ibadah ataupun bukan.

Maka termasuk dalam bahagian ini: air wuduk kanak-kanak, walaupun belum mumayyiz, iaitu apabila walinya mewudu’kannya untuk tujuan tawaf. Maka air tersebut dikira sebagai air musta‘mal, kerana telah digunakan untuk sesuatu yang mesti dilakukan, walaupun tidak ada dosa bagi kanak-kanak tersebut jika ia ditinggalkan.

Termasuk juga: air mandian wanita kafir (ahli kitab) supaya dihalalkan persetubuhan dengannya[1], walaupun bukan untuk suami muslimnya, setelah terhenti haid atau nifasnya. Maka air tersebut dikira musta‘mal, kerana telah digunakan untuk sesuatu yang mesti dilakukan, walaupun mandian itu sendiri bukan suatu ibadah.

Adapun perkataan الخطيب الشربيني:

لتحل لحليلها المسلم..

 “agar wanita itu halal bagi suami muslimnya

Maka tidaklah setiap lafaz “suami” dan “muslim” itu menjadi syarat yang mesti ada dalam semua keadaan.

Perkataannya:

في رفع حدث

“Pada mengangkat hadith.”

Ungkapan ini berkaitan dengan lafaz (المستعمل), iaitu air bahagian ketiga ini, yang suci namun tidak dapat lagi menyucikan perkara yang lain, adalah air yang telah digunakan -المستعمل- untuk mengangkat hadath, sama ada hadas kecil mahupun hadas besar.

Maka termasuk dalamnya: air wuduk orang bermazhab Hanafi tanpa niat berwudhu, kerana menurut mereka ia digunakan untuk mengangkat hadas, walaupun menurut kita (mazhab Syafi‘i) ia tidak mengangkat hadas disebabkan ketiadaan niat.

Air musta’mal -المستعمل- untuk mengangkat hadas ialah air pada basuhan pertama dalam wuduk wajib atau mandi wajib. Berbeza dengan air basuhan kedua dan ketiga, serta air wuduk sunat atau mandi sunat, maka ia bukan air musta‘mal.

Dengan itu difahami bahawa disyaratkan (1) bagi air musta‘mal: ia digunakan dalam perkara fardu bagi bersuci -أن يكون استعمل في فرض الطهارة, berbeza dengan yang sunat walaupun dinazarkan; kerana kewajipan tersebut (kerana nazar) hanya bersifat mendatang  -عارض- (bukan asal).

Disyaratkan (2) juga: air itu sedikit -أن يكون قليلا-. Adapun air yang banyak ibtida’an -ابتداء-, seperti sejak awal sudah mencapai dua qullah atau lebih. Ataupun air itu banyak intiha’an -انتهاء- iaitu air musta‘mal yang dihimpun sehingga menjadi dua qullah atau lebih, maka ia tidak dikira musta‘mal, walaupun berkurang dari dua qullah selepas itu apabila berpisah.

Disyaratkan (3) juga: air itu telah berpisah daripada anggota badan -أن ينفصل عن العضو-. Adapun sebelum berpisah, maka ia tidak dikira musta‘mal; kerana selagi air itu masih beredar di atas anggota, belum berlaku baginya hukum musta‘mal.

Oleh sebab itu الخطيب الشربيني berkata:

فَائِدَة المَاء مَا دَامَ مترددا على الْعُضْو لَا يثبت لَهُ حكم الِاسْتِعْمَال

“Faedah: air selagi masih beredar di atas anggota, tidak thabit baginya hukum musta‘mal.” (al-Iqna’: 1/23)

Maka jika seseorang yang berhadas menyelam dalam air yang sedikit dengan niat untuk berwuduk, terangkatlah hadasnya dan air tersebut tidak menjadi air musta‘mal selagi belum berpisah daripadanya; sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Haramayn, dan dipersetujui dalam Syarh al-Muhadhdhab (1/220-221).

Adapun pandangan yang dipegang oleh Ibn al-Muqri’ -ابن المقري-, bahawa tidak terangkat melainkan hadas pada wajah sahaja kerana wajibnya tertib (pada wudhu’), berbeza dengan orang junub, maka pandangan ini tertolak dengan anggapan bahawa tertib itu berlaku dalam detik-detik yang sangat halus -تقدير الترتيب في لحظات لطيفة-. Ini berbeza jika seseorang mandi (dengan niat wudhu) bukan dengan cara menyelam, iaitu dengan cara menuang air -الصب-; maka apabila air itu berpisah daripadanya, walaupun dengan air berpindah dari satu anggota ke anggota yang lain, dihukumkan sebagai air musta‘mal.

Namun, apa-apa yang kebiasaannya terpercik air kepadanya, seperti air dari tapak tangan orang yang berwuduk ke lengannya, atau air dari kepala orang junub ke dadanya, maka air percikan tersebut -التقاذف- tidak dihukumkan sebagai musta‘mal.

Orang yang mencedok dari air yang sedikit, mesti memiliki niat untuk tujuan mencedok. Iaitulah bagi tujuan mandi, selepas berniat mandi dan ketika air menyentuh mana-mana bahagian tubuhnya. Manakala bagi tujuan wuduk pula ialah selepas membasuh wajah dan ketika hendak membasuh kedua tangan. Jika seseorang itu tidak berniat mencedok pada ketika itu, air tersebut menjadi musta‘mal.

Perkataannya:

أو إزالة نجس

“Atau untuk menghilangkan najis.”

Iaitu air musta’mal atau yang telah digunakan untuk menghilangkan najis, walaupun najis itu termasuk yang dimaafkan, seperti darah kutu. Maka air yang digunakan untuk menghilangkannya tetap tidak menyucikan atau tidak boleh digunakan untuk bersuci lagi, walaupun menghilangkannya tidak wajib pada asalnya; kerana apabila dilakukan, ia tetap dikira sebagai suatu kewajipan.

Air musta‘mal dalam menghilangkan najis ialah air pada basuhan pertama bagi selain najis anjing, dan air pada basuhan ketujuh bagi najis anjing. Berbeza dengan basuhan kedua dan ketiga bagi selain najis anjing, maka ia bukan musta‘mal.

Lafaz النجس boleh dibaca dengan فتح النون atau كسرها serta dengan كسر الجيم أو سكونها،  atau dengan فتح kedua-duanya. Dalam al-Qamus disebut satu lagi lughah, iaitu dengan dhammah pada jim, seperti perkataan عضُد.

Syarih telah menyebut dua syarat bagi menghukum air yang digunakan dalam menghilangkan najis yang disebut sebagai “الغُسَالة” sebagai suci, tetapi meninggalkan dua syarat yang lain; iaitu:

Pertama; air itu hendaklah datang kepada najis atau air dituangkan ke atas najis -أن يكون الماء وارداً على النجاسة-. Jika sebaliknya atau najis yang masuk ke dalam air -الماء مورودا-, seperti air diletakkan dahulu kemudian dimasukkan kain yang bernajis ke dalamnya, maka air itu menjadi najis. Dan hendaklah tempat itu menjadi suci; iaitu dengan tidak berbaki lagi rasa, warna, atau bau najis. Jika masih berbaki salah satu daripadanya, maka ia adalah najis.

Semua ini adalah pada air basuhan yang sedikit dan telah berpisah (الغُسالة القليلة المنفصلة); sebagaimana dinyatakan dalam al-Manhaj:

وَغُسَالَةٌ قَلِيلَةٌ مُنْفَصِلَةٌ بِلَا تَغَيُّرٍ وبِلَا زِيَادَةِ وَزْنٍ، وَقَدْ طَهُرَ الْمَحِلُّ طَاهِرَةً

“Air ghusalah, yang sedikit, yang telah berpisah, tanpa perubahan dan tanpa pertambahan berat, serta tempat itu telah menjadi suci, maka ia adalah suci.” (Manhaj al-Tullab: hal. 10)

Perkataannya:

إن لم يتغير

“Jika air itu tidak berubah.”

Maka jika air itu berubah, walaupun sedikit, maka ia adalah najis.

Perkataannya:

ولم يزد وزنه

“Dan jika beratnya tidak bertambah.”

Iaitu jika berat air ghusalah itu sama atau berkurang.

Perkataannya:

بعد انفصاله

“selepas ia terpisah.”

Iaitu setelah air ghusalah itu terpisah dari tempat yang dibasuh. Dengan itu dapat difahami bahawa tidak diletakkan sesuatu hukum ke atas air sebelum ia berpisah.

Perkataannya:

عما كان

“Dari apa keadaan sebelumnya.”

Iaitu dari kadar asal air sebelum digunakan untuk membasuh. Perkataan syarih:

بعد اعتبار ما يتشربه

“Selepas mengambil kira apa yang diserap oleh benda yang dibasuh…”

Iaitu selepas mengambil kira apa yang dibuang oleh benda yang dibasuh terdiri dari kotoran (الوسخ). Contohnya: jika kadar air ialah sepuluh ratl, dan diandaikan kain yang dibasuh menyerap satu ratl serta mengeluarkan kotoran (الزسخ) sebanyak dua uqiyyah, kemudian selepas basuhan jumlah air menjadi sembilan ratl dan dua uqiyyah atau kurang, maka air itu adalah suci. Namun jika berat air bertambah daripada itu, maka ia adalah najis; kerana pertambahan itu datang daripada najis.



[1] Haram menyetubuhi isteri setelah kering daripada haid atau nifas, sebelum siisteri mandi. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

“Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai haid. Katakanlah: ‘Darah haid itu adalah suatu kotoran (dan penyakit). Oleh itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan mereka) dalam masa haid itu, dan janganlah kamu mendekati mereka (untuk bersetubuh) sehingga mereka suci. Kemudian apabila mereka telah bersuci, maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” (al-Baqarah: 222)


Cetak  
Wallahu a'lam