Kata al-Imam al-Nawawi RH
١٣ - باب بيان كثرة طرق الخير
Bab 13: Penjelasan Tentang Banyaknya Jalan-Jalan Kebaikan
Allah Ta‘ala berfirman:
وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيم
“Dan apa sahaja kebaikan yang kamu lakukan, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Surah Surah al-Baqarah: 215)
Dan Allah Ta‘ala berfirman:
وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ يَعْلَمْهُ اللَّهُ
“Dan apa sahaja kebaikan yang kamu lakukan, Allah mengetahuinya.” (Surah Surah al-Baqarah: 197)
Dan Allah Ta‘ala berfirman:
فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ
“Maka sesiapa yang melakukan sebesar zarah kebaikan, nescaya dia akan melihatnya.” (Surah Surah al-Zalzalah: 7)
Dan Allah Ta‘ala berfirman:
مَنْ عَمِلَ صَالِحًا فَلِنَفْسِهِ
“Sesiapa yang beramal soleh, maka (faedahnya) untuk dirinya sendiri.” (Surah Surah al-Jathiyah: 15)
Dan ayat-ayat al-Quran dalam bab ini sangat banyak.
Huraian
Pengarang (al-Imam al-Nawawi) – رحمه الله تعالى – berkata: “Bab Penjelasan Tentang Banyaknya Jalan-Jalan Kebaikan.”
Kebaikan -الخير- mempunyai jalan yang banyak. Ini termasuk daripada kurniaan Allah ‘Azza wa Jalla kepada hamba-hamba-Nya, supaya pelbagai bentuk kelebihan, pahala dan ganjaran yang besar dapat diperoleh oleh mereka.
Asas jalan-jalan kebaikan ini terbahagi kepada tiga:
- sama ada usaha tubuh badan -الجهد البدني-,
- atau pengorbanan harta -البذل المالي-,
- atau gabungan kedua-duanya -المركب من هذا وهذا-.
Inilah asas-asas jalan kebaikan.
Adapun usaha tubuh badan -الجهد البدني - ialah amalan-amalan fizikal seperti solat, puasa, jihad, dan seumpamanya.
Manakala pengorbanan harta -البذل المالي- pula seperti zakat, sedekah, nafkah, dan seumpamanya.
Adapun yang merupakan gabungan kedua-duanya -المركب من هذا وهذا -, seperti jihad di jalan Allah dengan senjata; kerana ia melibatkan harta dan juga jiwa.
Seterusnya jenis-jenis kebaikan yang berkemabng dari dari tiga asas ini sangat banyak. Hal tersebut sedemikian supaya ketaatan dapat dipelbagaikan untuk para hamba sehingga mereka tidak merasa jemu. Jika kebaikan hanya mempunyai satu jalan sahaja, nescaya manusia akan bosan dan merasa berat, dan tidak akan tercapai maksud ujian (الابتلاء). Akan tetapi apabila jalan-jalan itu pelbagai, maka ia lebih memudahkan manusia dan lebih kuat dalam merealisasikan ujian.
Allah Ta‘ala berfirman:
فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ
“Maka berlumba-lumbalah kamu dalam melakukan kebaikan.” (Surah Surah al-Baqarah: 148)
Dan Allah Ta‘ala berfirman:
إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ
“Sesungguhnya mereka sentiasa bersegera dalam melakukan kebaikan.” (Surah Surah al-Anbiya’: 90)
Ini menunjukkan bahawa kebaikan bukan hanya satu bentuk sahaja, bahkan ia mempunyai banyak jalan dan pelbagai cara.
Kemudian al-Imam al-Nawawi RH menyebut beberapa ayat yang menunjukkan bahawa kebaikan mempunyai banyak jalan. Allah Ta‘ala berfirman:
وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ يَعْلَمْهُ اللَّهُ
“Dan apa sahaja kebaikan yang kamu lakukan, Allah mengetahuinya.” (Surah Surah al-Baqarah: 197)
Dan firman-Nya:
وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيم
“Dan apa sahaja kebaikan yang kamu lakukan, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Surah Surah al-Baqarah: 215)
Dan firman-Nya:
فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ
“Maka sesiapa yang melakukan sebesar zarah kebaikan, nescaya dia akan melihatnya.” (Surah Surah al-Zalzalah: 7)
Ayat-ayat al-Quran berkaitan perkara ini sangat banyak. Semuanya menunjukkan bahawa kebaikan bukan hanya satu jenis, satu bentuk, atau satu cabang sahaja.
Apa disebutkan ini juga dapat dilihat pada keadaan manusia. Di mana dalam kalangan mereka ada yang cenderung kepada solat, lalu dia banyak melakukan solat. Ada pula yang cenderung kepada membaca al-Quran, maka dia banyak membaca al-Quran. Ada juga yang cenderung kepada zikir, tasbih, tahmid dan seumpamanya, maka dia banyak melakukannya. Dan ada pula orang yang pemurah, mudah menghulurkan tangan untuk bersedekah, serta suka membelanjakan harta. Maka dia sentiasa bersedekah, sentiasa memberi nafkah kepada keluarganya dan melapangkan kehidupan mereka tanpa berlebih-lebihan.
Ada juga dalam kalangan manusia yang cenderung kepada ilmu dan menuntut ilmu. Bahkan menuntut ilmu pada zaman ini mungkin termasuk amalan tubuh badan yang paling utama; kerana manusia pada masa kini sangat memerlukan ilmu syarie, disebabkan tersebarnya kejahilan dan ramainya golongan yang berpura-pura alim, yang mendakwa diri mereka sebagai ulama, padahal ilmu yang ada pada mereka hanyalah sedikit dan lemah.
Maka kita sangat memerlukan penuntut-penuntut ilmu yang memiliki ilmu yang kukuh dan mantap, dibina di atas al-Quran dan al-Sunnah, supaya mereka dapat mengembalikan keadaan kacau-bilau disebabkan kejahilan yang tersebar kepada keadaan di bawah suluhan ilmu di kampung-kampung, negeri-negeri dan bandar-bandar.
Ada orang yang tahu satu atau dua hadis daripada Rasulullah ﷺ terus tampil memberi fatwa dan bermudah-mudah dalam mengeluarkan fatwa, seolah-olah dia seperti Ibn Taymiyyah, atau Ahmad bin Hanbal, atau al-Shafi‘i, atau selain mereka daripada kalangan para imam besar.
Keadaan ini memberi amaran tentang bahaya besar, jika Allah tidak menyelamatkan umat ini dengan para ulama yang benar-benar teguh ilmunya, kuat hujahnya dan mantap kefahamannya.
Oleh sebab itu, kami berpendapat bahawa menuntut ilmu pada hari ini adalah sebaik-baik amalan yang manfaatnya meluas kepada manusia; bahkan lebih utama daripada sedekah dan lebih utama daripada jihad. Bahkan hakikatnya ia juga merupakan jihad, kerana Allah سبحانه وتعالى menjadikannya setanding dengan jihad di jalan Allah.
Dimaksudkan di sini bukanlah jihad yang dicemari dengan pelbagai syubhah sehingga manusia meragui keikhlasan para pejuangnya. Tetapi jihad yang sebenar, yang benar-benar yakin bahawa para mujahid berjuang supaya kalimah Allah menjadi paling tinggi. Engkau dapati mereka melaksanakan prinsip itu pada diri mereka sendiri sebelum mereka berjihad terhadap orang lain.
Maka jihad yang sebenar di jalan Allah – iaitu peperangan yang dilakukan supaya kalimah Allah menjadi tinggi – disetarakan dengan menuntut ilmu syarie.
Dalilnya ialah firman Allah Ta‘ala:
وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً فَلَوْلا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ
“Dan tidaklah patut orang-orang yang beriman keluar semuanya (ke medan jihad). Maka mengapa tidak keluar daripada setiap kelompok dalam kalangan mereka satu golongan (untuk berjihad), dan tinggal satu golongan yang lain…”
Yakni tinggal satu kumpulan, dan mereka yang tinggal itu adalah untuk:
لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
“…supaya mereka mendalami ilmu agama dan memberi peringatan kepada kaum mereka apabila kaum itu kembali kepada mereka, mudah-mudahan mereka semua berjaga-jaga.” (Surah Surah al-Tawbah: 122)
Maka Allah menjadikan menuntut ilmu setanding dengan jihad di jalan Allah, iaitu jihad yang benar-benar diketahui melalui keadaan dan tanda-tanda para mujahid bahawa mereka memang mahu meninggikan kalimah Allah.
Kesimpulannya, jalan-jalan kebaikan itu banyak, dan yang paling utama selepas kewajipan yang telah diwajibkan Allah, ialah menuntut ilmu syarie, kerana kita pada hari ini sangat memerlukannya.
Kata al-Syeikh Soleh Ibn ‘Uthaimin RH:
“Sesungguhnya telah sampai kepada kami satu pertanyaan tentang seorang lelaki yang berkata: “Sesiapa yang solat di masjid-masjid di negeri tertentu, maka solatnya tidak sah; kerana orang yang menyumbang kepada pembinaan masjid-masjid itu terdiri daripada golongan sekian dan sekian.”
Dan katanya lagi:
“Sesiapa yang bersolat berdasarkan azan, maka solatnya juga tidak sah.”
Mengapa? Kerana menurutnya, waktu solat sekarang dibina berdasarkan jadual waktu dan bukan berdasarkan melihat matahari secara langsung. Sedangkan Rasulullah ﷺ bersabda:
وقت الظهر إذا زالت الشمس، وكان ظل الرجل كطوله، ما لم يحضر العصر
“Waktu Zuhur ialah apabila matahari tergelincir sehingga bayang seseorang sama panjang dengannya, selagi belum masuk waktu Asar.”
Sedangkan sekarang waktu-waktu solat ditulis dalam helaian jadual, lalu manusia mengikutinya. Maka – menurut dakwaannya – semua solat orang yang berpandukan jadual tidak sah. Ertinya, seluruh kaum Muslimin pada pandangannya tidak sah solat mereka. Ini adalah satu kekacauan dan fitnah (kekeliruan) dalam agama.
Masalahnya ialah orang seperti ini dikatakan mempunyai sedikit ilmu, tetapi ia hanyalah “ilmu sijil -علم الأوراق -”, iaitu ilmu yang seseorang memperoleh kad atau sijil yang menyatakan bahawa dia graduan daripada sekian-sekian tempat, lalu dia pun berkata: “Aku daripada daripada sekian-sekian… aku daripada sekian-sekian…!”
Kesimpulannya, umat Islam mesti mempunyai para ulama yang benar-benar kukuh dan mendalam ilmunya. Adapun jika keadaan dibiarkan terus kacau-bilau seperti ini, maka umat berada dalam bahaya yang besar. Agama manusia tidak akan tegak dengan baik, hati mereka tidak akan tenang, dan akhirnya setiap orang akan mula memberi fatwa dan keadaan ini tidak benar.
Mestilah ada para ulama yang memiliki ilmu yang mantap dan kukuh, dibina di atas al-Quran dan al-Sunnah, serta berasaskan akal yang sejahtera dan hikmah. Allah-lah yang memberi taufik.
Seperti yang dinyatakan bahawa hadis-hadis dalam bab ini sangat banyak dan tidak terhitung jumlahnya. Kami akan menyebut sebahagian daripadanya:
117 – Hadis pertama:
Kata al-Imam al-Nawawi RH:
Daripada Abu Dharr al-Ghifari Jundub bin Junadah -أبى ذر جندب بن جنادة - رضي الله عنه, beliau berkata:
قَالَ: قُلْتُ: يَا رسولَ الله، أيُّ الأعمالِ أَفْضَلُ؟ قَالَ: الإِيمَانُ باللهِ وَالجِهادُ فِي سَبيلِهِ. قُلْتُ: أيُّ الرِّقَابِ أَفْضَلُ؟ قَالَ: أنْفَسُهَا عِنْدَ أَهلِهَا وَأَكثَرهَا ثَمَنًا. قُلْتُ: فإنْ لَمْ أفْعَلْ؟ قَالَ: تُعِينُ صَانِعًا أَوْ تَصْنَعُ لأَخْرَقَ، قُلْتُ: يَا رَسُول الله، أرأيْتَ إنْ ضَعُفْتُ عَنْ بَعْضِ العَمَلِ؟ قَالَ: تَكُفُّ شَرَّكَ عَنِ النَّاسِ؛ فإنَّهَا صَدَقَةٌ مِنْكَ عَلَى نَفْسِكَ
Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, amalan apakah yang paling utama?” Baginda ﷺ bersabda: “Beriman kepada Allah dan berjihad di jalan-Nya.” Aku bertanya lagi: “Hamba (yang dibebaskan) manakah yang paling utama?” Baginda bersabda: “Yang paling berharga di sisi tuannya dan paling mahal harganya.” Aku berkata: “Jika aku tidak mampu melakukannya?” Baginda bersabda: “Engkau membantu seorang pekerja, atau melakukan sesuatu untuk orang yang tidak pandai.” Aku berkata: “Wahai Rasulullah, bagaimana jika aku lemah daripada melakukan sebahagian amalan kebaikan itu?” Baginda ﷺ bersabda: “Engkau menahan keburukanmu daripada manusia; maka sesungguhnya itu adalah sedekah daripada dirimu untuk dirimu sendiri.” (Muttafaqun ‘Alaih)
Perkataan “الصانع” yang diterjemahkan sebagai: “seorang pekerja” dengan huruf ṣād tanpa titik -بالصاد المهملة- ialah riwayat yang masyhur. Ada juga riwayat dengan lafaz “ضائعًا” menggunakan huruf ḍād bertitik -بالمعجمة -, iaitu bermaksud seseorang yang berada dalam kesusahan seperti kemiskinan, mempunyai tanggungan keluarga dan seumpamanya.
Manakala “الأخرق” yang diterjemahkan sebagai “orang yang tidak pandai” ialah orang yang tidak mahir atau tidak cekap melakukan sesuatu pekerjaan yang cuba dilakukannya.
Huraian Hadis
Al-Imam al-Nawawi – رحمه الله تعالى – menyebut dalam “Bab Tentang Banyaknya Jalan Kebaikan”, daripada apa yang dinukilkannya daripada Abu Dharr al-Ghifari رضي الله عنه bahawa beliau bertanya kepada Nabi ﷺ:
أيُّ الأعمالِ أَفْضَلُ؟
“Amalan apakah yang paling utama?” Baginda menjawab: الإِيمَانُ باللهِ وَالجِهادُ فِي سَبيلِهِ maksudnya: “Beriman kepada Allah dan berjihad di jalan-Nya.”
Para sahabat رضي الله عنهم sentiasa bertanya kepada Nabi ﷺ tentang amalan-amalan yang paling utama supaya mereka dapat melaksanakannya. Mereka tidak seperti sebahagian orang selepas mereka; kerana orang-orang terkemudian kadangkala bertanya tentang amalan terbaik, tetapi mereka tidak melakukannya.
Adapun para sahabat, maka mereka benar-benar bertanya untuk beramal. Contohnya ‘Abd Allah ibn Mas‘ud رضي الله عنه pernah bertanya kepada Nabi ﷺ:
أَيُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللهِ؟ قَالَ: الصَّلَاةُ عَلَى وَقْتِهَا، قَالَ: ثُمَّ أَيُّ؟ قَالَ: ثُمَّ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ، قَالَ: ثُمَّ أَيُّ؟ قَالَ: الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ، قَالَ: حَدَّثَنِي بِهِنَّ وَلَوِ اسْتَزَدْتُهُ لَزَادَنِي
“Amalan apakah yang paling dicintai Allah?” Baginda bersabda: “Solat pada waktunya.” Aku bertanya: “Kemudian apa lagi?” Baginda bersabda: “Berbuat baik kepada kedua ibu bapa.” Aku bertanya lagi: “Kemudian apa lagi?” Baginda bersabda: “Jihad di jalan Allah.” Beliau berkata: “Baginda menceritakan kepadaku perkara-perkara itu, dan sekiranya aku meminta tambahan lagi, nescaya baginda akan menambahkannya kepadaku.”
Demikian juga hadis yang disertakan oleh al-Nawawi ini, di mana Abu Dharr al-Ghifari رضي الله عنه bertanya kepada Nabi ﷺ tentang amalan yang paling utama. Maka Nabi ﷺ menjelaskan kepadanya bahawa amalan yang paling utama ialah beriman kepada Allah dan berjihad di jalan-Nya. Kemudian beliau bertanya tentang riqab yang manakah paling utama?
Dimaksudkan dengan riqab di sini ialah para hamba. Maksudnya: pembebasan hamba yang bagaimana paling utama? Maka baginda ﷺ bersabda:
“Yang paling berharga di sisi tuannya dan paling mahal harganya.”
Maksud “yang paling berharga di sisi tuannya” ialah yang paling disayangi oleh tuannya. Dan “paling mahal harganya” bermaksud paling tinggi nilainya.
Orang yang sanggup membebaskan hamba seperti ini hanyalah seseorang yang mempunyai kekuatan iman dan jiwa yang tinggi.
Contohnya, jika seseorang mempunyai beberapa orang hamba, dan salah seorang daripada mereka paling disayanginya kerana rajin menjalankan tugas, baik akhlaknya, dan banyak memberi manfaat kepada tuannya, serta pada masa yang sama dia juga merupakan hamba yang paling mahal nilainya, lalu ditanya: manakah yang lebih utama untuk dibebaskan? Adakah hamba ini, atau yang lain yang lebih rendah nilainya?
Maka jawapannya: bebaskanlah hamba ini, kerana dialah hamba yang paling berharga di sisimu dan paling mahal nilainya. Nabi ﷺ telah bersabda mengenai pembebasan hamba:
“Yang paling mahal harganya dan paling berharga di sisi tuannya.”
Ini juga seumpama firman Allah Ta‘ala:
لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ
“Kamu tidak akan mencapai kebajikan yang sempurna sehingga kamu menginfakkan sebahagian daripada apa yang kamu cintai.” (Surah Surah Ali ‘Imran: 92)
Hal ini menyebabkan ‘Abd Allah ibn ‘Umar رضي الله عنهما, apabila menyukai sesuatu daripada hartanya, beliau akan bersedekah dengannya, sebagai mengamalkan ayat ini.
Abu Talhah al-Ansari رضي الله عنه datang kepada Nabi ﷺ ketika turunnya ayat ini, Beliau berkata kepada Nabi ﷺ:
يارسولَ اللَّه إِنَّ اللَّه تَعَالَى أَنْزَلَ عَلَيْكَ: ﴿لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ﴾ وَإِنَّ أَحَبَّ مَالي إِلَيَّ بَيْرَحَاءَ،
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah telah menurunkan firman-Nya: “Kamu tidak akan mencapai kebajikan yang sempurna sehingga kamu menginfakkan sebahagian daripada apa yang kamu cintai.” Dan harta yang paling aku cintai ialah Bairuha’.”
Bairuha’ ialah sebuah kebun yang indah dan terletak berhampiran masjid Nabi ﷺ. Nabi ﷺ biasa datang ke kebun itu dan meminum airnya yang baik lagi segar. Kebiasaannya tempat seperti itu amat disayangi oleh pemiliknya.
Lalu Abu Talhah berkata:
وإِنَّهَا صَدقَةٌ للَّهِ تَعَالَى أَرْجُو بِرَّهَا وذُخْرهَا عِنْد اللَّه تَعَالَى، فَضَعْها يَا رَسُول اللَّه حيْثُ أَرَاكَ اللَّهُ، فقال رَسُول اللَّه ﷺ: بَخٍ، ذلِكَ مَالٌ رَابحٌ، ذلِكَ مَالٌ رَابِحٌ، وَقَدْ سمِعْتُ مَا قُلْتَ، وَإِنِّي أَرَى أَنْ تَجْعَلَهَا في الأَقْرَبِينَ، فَقَالَ أَبُو طَلْحَةَ: أَفْعَلُ يَا رسولَ اللَّه، فَقَسَّمَهَا أَبُو طَلْحَةَ في أَقَارِبِهِ، وَبَني عَمِّهِ
“Sesungguhnya aku menjadikannya sedekah kerana Allah dan Rasul-Nya. Aku mengharapkan kebaikan dan simpanan pahalanya di sisi Allah Ta‘ala. Maka letakkanlah ia wahai Rasulullah di mana sahaja yang Allah tunjukkan kepadamu.” Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: “Bakh! (ungkapan menunjukkan taajjub) Itu harta yang menguntungkan, itu harta yang menguntungkan. Aku telah mendengar apa yang engkau katakan, dan aku berpendapat agar engkau menjadikannya untuk kaum kerabatmu yang terdekat.” Maka Abu Talhah al-Ansari berkata: “Aku akan melakukannya wahai Rasulullah.” Lalu Abu Talhah membahagikan kebun itu kepada kaum kerabat dan sepupu-sepupunya.” (Muttafaqun ‘Alaih)
Tujuan utama kisah ini ialah untuk menunjukkan bahawa para sahabat رضي الله عنهم sentiasa segera berlumba-lumba melakukan kebaikan.
Kemudian dalam hadis yang disertakan oleh al-Nawawi tersebut menyatakan Abu Dharr al-Ghifari bertanya lagi kepada Baginda SAW: “Bagaimana jika seseorang itu tidak mendapati hamba seperti itu?” yakni hamba yang paling berharga di sisi tuannya dan paling mahal nilainya. Baginda ﷺ bersabda:
“Engkau membantu seorang pekerja, atau melakukan sesuatu untuk orang yang tidak pandai.”
Maksudnya, engkau melakukan suatu kebaikan kepada seseorang, atau membantu orang yang tidak mahir dan tidak tahu melakukan sesuatu pekerjaan, lalu engkau menolong dan membantunya. Maka ini juga termasuk sedekah dan amalan soleh. Abu Zar bertanya lagi:
“Bagaimana jika aku tidak melakukannya?” Baginda ﷺ bersabda: “Engkau menahan keburukanmu daripada manusia; sesungguhnya itu adalah sedekah daripada dirimu untuk dirimu sendiri.”
Ini merupakan tingkatan yang paling minimum, iaitu seseorang menahan keburukannya daripada orang lain sehingga manusia selamat daripada gangguannya. Allah-lah tuhan yang memberi taufik.
