SDI 1971: Hukum Khatib Berkhutbah Dalam Keadaan Duduk

Soalan:

Bolehkan bagi imam duduk di atas mimbar ketika menyampaikan khutbah Jumaat?

Jawapan:

Para ulama berbeza pendapat tentang hukum khatib berdiri ketika menyampaikan khutbah Jumaat kepada dua pendapat:

Pendapat pertama: Berdiri ketika khutbah adalah sunat. Ini merupakan mazhab jumhur ulama. Maka berdasarkan pandangan ini, sah khutbah seorang khatib yang menyampaikan khutbah dalam keadaan duduk sekalipun dia mampu berdiri.

Pendapat kedua: Berdirinya khatib ketika menyampaikan khutbah  merupakan syarat bagi yang mampu. Oleh itu khutbah tidak sah melainkan apabila disampaikan dalam keadaan berdiri kecuali jika ada keuzuran. Ini ialah mazhab Syafi‘iyyah.

Imam al-Nawawi رحمه الله berkata dalam al-Majmu’ berkata:

يُشْتَرَطُ لِصِحَّةِ الْخُطْبَتَيْنِ الْقِيَامُ فِيهِمَا مَعَ الْقُدْرَةِ وَالْجُلُوسُ بَيْنَهُمَا مَعَ الْقُدْرَةِ فَإِنْ عَجَزَ عَنْ الْقِيَامِ اُسْتُحِبَّ لَهُ أَنْ يَسْتَخْلِفَ فَإِنْ خَطَبَ قَاعِدًا أَوْ مُضْطَجِعًا لِلْعَجْزِ جَازَ بِلَا خِلَافٍ كَالصَّلَاةِ قَالَ .... ذَكَرْنَا أَنَّ مَذْهَبَنَا وُجُوبُ الْقِيَامِ فِي الْخُطْبَتَيْنِ وَالْجُلُوسِ بَيْنَهُمَا وَلَا تَصِحُّ إلَّا بِهِمَا.  وَقَالَ مَالِكٌ وَأَبُو حَنِيفَةَ وَأَحْمَدُ تَصِحُّ قَاعِدًا مَعَ الْقُدْرَةِ، قَالُوا وَالْقِيَامُ سُنَّةٌ وَكَذَا الْجُلُوسُ بَيْنَهُمَا سُنَّةٌ عِنْدَهُمْ وَبِهِ قَالَ جُمْهُورُ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إنَّ الطَّحَاوِيَّ قَالَ لَمْ يَقُلْ أَحَدٌ غَيْرُ الشَّافِعِيِّ بِاشْتِرَاطِ الْجُلُوسِ بَيْنَهُمَا قَالَ الْقَاضِي عِيَاضٌ وَعَنْ مَالِكٍ رِوَايَةٌ أَنَّ الْجُلُوسَ بَيْنَهُمَا شَرْطٌ وَكَذَا القيام دليلنا أَنَّهُ ﷺ قَالَ «صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي» مَعَ الْأَحَادِيثِ الصَّحِيحَةِ الْمَشْهُورَةِ أَنَّهُ ﷺ «كَانَ يَخْطُبُ خطبتين قائما يجلس بينهما

“Disyaratkan bagi sahnya dua khutbah itu supaya dilakukan dalam keadaan berdiri bagi orang yang mampu, dan duduk antara kedua-duanya juga bagi orang yang mampu. Jika dia tidak mampu berdiri, maka disunatkan baginya melantik pengganti. Jika dia berkhutbah dalam keadaan duduk atau berbaring kerana uzur, maka hukumnya harus tanpa khilaf, sebagaimana solat….. Kami telah menyebut bahawa mazhab kami mewajibkan berdiri pada kedua-dua khutbah dan duduk antara keduanya, dan khutbah tidak sah melainkan dengan kedua-duanya itu. Manakala Malik, Abu Hanifah dan Ahmad berkata: Sah khutbah dalam keadaan duduk walaupun mampu berdiri. Mereka berkata: Berdiri itu sunat, demikian juga duduk antara dua khutbah adalah sunat di sisi mereka. Inilah juga pendapat majoriti ulama, sehingga al-Tahawi berkata: Tiada seorang pun selain al-Syafi‘i yang mengatakan duduk antara dua khutbah itu sebagai syarat. Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: Diriwayatkan daripada Malik satu riwayat bahawa duduk antara dua khutbah adalah syarat, demikian juga berdiri. Dalil kami ialah bahawa Nabi bersabda: «صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي» “Maka solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat,” bersama hadis-hadis sahih yang masyhur bahawa Baginda menyampaikan dua khutbah dalam keadaan berdiri dan duduk antara kedua-duanya.”


Cetak  
Wallahu a'lam