Soalan:
Saya ingin bertanya tentang kesahihan hadis yang bermaksud bahawa sesiapa yang membaca ketika hendak tidur:
أستغفر الله العظيم الذي لا إله إلا هو الحي القيوم وأتوب إليه
sebanyak tiga kali, maka diampunkan dosanya walaupun sebanyak buih di lautan. Adakah hadis ini sahih? Dan adakah beramal dengannya termasuk daripada sunnah?
Jawapan:
Hadis yang ditanya diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizi dalam Jami’-nya daripada hadis Abu Sa‘id رضي الله عنه dengan lafaz:
مَنْ قالَ حِينَ يَأْوِي إِلى فِرَاشِهِ أَسْتَغْفِرُ الله العَظيِم الَّذِي لا إلهَ إلاَّ هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ غَفَرَ الله ذُنُوبَهُ وإنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ البحْرِ، وإِنْ كانَتْ عَدَدَ وَرَقِ الشَّجَرِ، وإِنْ كَانَتْ عَدَدِ رَمْلِ عَالِجٍ، وَإِنْ كَانَتْ عَدَدَ أيَّامِ الدُّنْيَا
“Sesiapa yang ketika ketika hendak tidur membaca: أَسْتَغْفِرُ الله العَظيِم الَّذِي لا إلهَ إلاَّ هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ sebanyak tiga kali, Allah mengampunkan dosanya walaupun dosanya seperti buih di lautan, walaupun sebanyak daun-daun pokok, walaupun sebanyak pasir ‘Ālij, dan walaupun sebanyak hari-hari dunia.”
Al-Imam al-Tirmizi berkata selepas meriwayatkannya: “Hadis ini hasan gharib. Kami tidak mengetahuinya melainkan melalui sanad ini daripada hadis al-Wassafi -الوَصَّافي -, ‘Ubaidullah bin al-Walid.”
Perawi al-Wassafi ini disebut oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Taqrib 1/375:
عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ الْوَلِيدِ الْوَصَّافِيُّ بِفَتْحِ الْوَاوِ وَتَشْدِيدِ الْمُهْمَلَةِ أَبُو إِسْمَاعِيلَ الْكُوفِيُّ الْعِجْلِيُّ ضَعِيفٌ مِنَ السَّادِسَةِ
“Ubaidullah bin al-Walid al-Wassāfi — dengan fathah pada huruf wāw dan Sad yang bertasydid — Abu Isma‘il al-Kufi al-‘Ajli, seorang perawi yang dhaif dari tabaqat keenam.”
Al-Wassafi meriwayatkan hadis ini daripada ‘Atiyyah al-‘Awfi – عَطِيَّةَ الْعَوْفِيُّ -, dan ‘Atiyyah juga diperkatakan kelemahannya. Ibn Hajar berkata tentangnya dalam al-Taqrib:
صدوق أخطأ كثيرا وكان شيعيا مدلسا
“Seorang yang saduq, tetapi banyak melakukan kesilapan, berfahaman Syiah dan seorang mudallis.”
Dengan ini jelas bahawa hadis tersebut tidak thabit. Oleh sebab itu, Muhammad Nasiruddin al-Albani menghukumnya sebagai dhaif.
Namun, zikir ini ada disebut kelebihannya dalam hadis-hadis lain. Antaranya hadis yang turut diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizi bahawa Nabi ﷺ bersabda:
مَنْ قَالَ: أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ، غُفِرَ لَهُ وَإِنْ كَانَ قَدْ فَرَّ مِنْ الزَّحْفِ
“Sesiapa yang membaca: أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ maka diampunkan baginya walaupun dia pernah lari dari medan perang.” (Hadis ini disahihkan oleh al-Albani)
Oleh itu, tidak mengapa beramal dengan hadis yang ditanya selagi tidak dinisbahkan secara pasti kepada Rasulullah ﷺ, kerana beramal dengan hadis dhaif dalam فضائل الأعمال (kelebihan amalan) telah dibolehkan oleh kebanyakan ulama, selagi amalan tersebut memang ada asalnya yang sabit melalui dalil-dalil yang sahih.
