٢٢۰- باب الكِبْرِ- ٢٥١
٤٢٦/٥٤٨ - عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ:
كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ فَجَاءَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْبَادِيَةِ عَلَيْهِ جُبَّةُ سِيجَانٍ، حَتَّى قَامَ عَلَى رَأْسِ النَّبِيِّ ﷺ فَقَالَ: إِنَّ صَاحِبَكُمْ قَدْ وَضَعَ كُلَّ فَارِسٍ - أَوْ قَالَ: يُرِيدُ أَنْ يَضَعَ كُلَّ فَارِسٍ- وَيَرْفَعَ كُلَّ رَاعٍ! فَأَخَذَ النبي بمجامع جبته. قال: أَلَا أَرَى عَلَيْكَ لِبَاسَ مَنْ لَا يَعْقِلُ. ثُمَّ قَالَ: "إِنَّ نَبِيَّ اللَّهِ نُوحًا ﷺ لَمَّا حَضَرَتْهُ الْوَفَاةُ قال لابنه: إن قاصّ عليك الوصية، آمرك باثنيتين، وَأَنْهَاكَ عَنِ اثْنَتَيْنِ :آمُرُكَ بِلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ؛ فَإِنَّ السَّمَاوَاتِ السَّبْعَ وَالْأَرَضِينَ السَّبْعَ، لَوْ وُضِعْنَ فِي كِفَّةٍ وَوُضِعَتْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ فِي كِفَّةٍ لَرَجَحَتْ بِهِنَّ، وَلَوْ أَنَّ السَّمَاوَاتِ السَّبْعَ وَالْأَرَضِينَ السَّبْعَ كُنَّ حَلْقَةً مُبْهَمَةً لَقَصَمَتْهُنَّ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ؛ فَإِنَّهَا صَلَاةُ كل شيء، وَبِهَا يُرْزَقُ كُلُّ شَيْءٍ. وَأَنْهَاكَ: عَنِ الشِّرْكِ، وَالْكِبْرِ. فَقُلْتُ: أَوْ قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ! هَذَا الشِّرْكُ قَدْ عَرَفْنَاهُ فَمَا الْكِبْرُ؟ هُوَ أَنْ يَكُونَ لِأَحَدِنَا حُلَّةٌ يَلْبَسُهَا؟. قَالَ: لَا. قَالَ: فَهُوَ أَنْ يَكُونَ لِأَحَدِنَا نَعْلَانِ حَسَنَتَانِ، لَهُمَا شِرَاكَانِ حَسَنَانِ؟. قَالَ: لَا. قَالَ: فَهُوَ أَنْ يَكُونَ لِأَحَدِنَا دَابَّةٌ يَرْكَبُهَا؟ قَالَ: لَا: قَالَ: فَهُوَ أَنْ يَكُونَ لِأَحَدِنَا أَصْحَابٌ يَجْلِسُونَ إِلَيْهِ؟ قَالَ: لَا. قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ! فَمَا الْكِبْرُ؟ قَالَ: سَفَهُ الْحَقِّ ، وَغَمْصُ النَّاسِ.
220 - Bab Takabbur – no. 251
Hadis 548/426 — Daripada Abd Allah ibn Amr ibn al-As رضي الله عنه, beliau berkata:
Kami sedang duduk bersama Rasulullah ﷺ, lalu datang seorang lelaki daripada kalangan Arab Badwi yang memakai jubah daripada kain sijan (iaitu kain hijau seperti taylasan). Dia berdiri di hadapan Nabi ﷺ lalu berkata: “Sesungguhnya sahabat kamu ini telah merendahkan setiap orang berkuda — atau dia berkata: ingin merendahkan setiap orang berkuda — dan mengangkat setiap penggembala!” Lalu Nabi ﷺ memegang bahagian hadapan jubahnya dan bersabda: “Tidakkah aku melihat pada dirimu pakaian orang yang tidak berakal?” Kemudian Baginda bersabda: “Sesungguhnya Nabi Allah Nuh ﷺ ketika hampir wafat berkata kepada anaknya: Sesungguhnya aku akan menyampaikan kepadamu suatu wasiat. Aku memerintahkanmu dengan dua perkara dan melarangmu daripada dua perkara. Aku memerintahkanmu dengan La ilaha illallah. Sesungguhnya jika langit yang tujuh dan bumi yang tujuh diletakkan pada satu daun timbangan, lalu La ilaha illallah diletakkan pada daun timbangan yang satu lagi, nescaya ia lebih berat daripada semuanya. Dan sekiranya langit yang tujuh dan bumi yang tujuh itu menjadi satu lingkaran yang tertutup rapat, nescaya La ilaha illallah akan memecahkannya. Dan aku memerintahkanmu dengan Subhanallahi wa bihamdih, kerana sesungguhnya ia adalah solat segala sesuatu, dan dengannya setiap makhluk diberikan rezeki. Dan aku melarangmu daripada syirik dan takabbur.” Lalu aku — atau dikatakan: seseorang — bertanya: “Wahai Rasulullah, syirik itu kami telah mengetahuinya. Maka apakah yang dimaksudkan dengan takabbur? Adakah seseorang memiliki pakaian yang indah lalu memakainya?” Baginda menjawab: “Tidak.” Dia bertanya lagi: “Adakah seseorang memiliki dua sandal yang cantik dengan talinya yang bagus?” Baginda menjawab: “Tidak.” Dia bertanya: “Adakah seseorang memiliki tunggangan yang dinaikinya?” Baginda menjawab: “Tidak.” Dia bertanya lagi: “Adakah seseorang memiliki sahabat-sahabat yang duduk bersamanya?” Baginda menjawab: “Tidak.” Lalu dia bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah itu takabbur?” Baginda menjawab: “Menolak kebenaran dan merendahkan manusia.”
Huraian
Ungkapan: جُبَّةُ سِيجَانٍ bermaksud: Jubah Sijan, di mana kalimah: سِيجَان adalah jama’ atau plural dari kalimah سَاجٌ yang merujuk kepada الطَّيْلَسَانُ الْأَخْضَرُ.
Dalam Al-Mu'jam al-'Arabi li Asma' al-Malabis, hal. 306 oleh Rajab Abd al-Jawad Ibrahim dinyatakan:
الطيلسان في العربية: ضرب من الْأَكْسِيَةِ؛ والجمع له طيالس، وطيالسة، والطيلسان: كساء مدور أخضر لا أسفل له؛ لحمته أو سداه من صوف يلبسه الخواص من العلماء والمشايخ، وفسر بكساء يلقى على الكتف. كالوشاح، ويحيط بالبدن، خال من الصنعة كالتفصيل والخياطة، من ألبسة العلماء في العصر الإسلامي، كان يتخذ على الأغلب من القماش الأخضر، ويعرف بمصر والشام باسم: الشال. والطيلسان هو الطرحة التي توضع على الرأس والكتفين، وأحيانا على الكتفين فقط، وغالبا كانت هذه الطرحة تشبه المنديل الكبير الذي يتدلى على الكتفين ليقى الرقبة من حرارة الشمس. وأحيانا يحل الطيلسان محل الحزام، فإن الخيزران أم الرشيد لما توفيت، فخرج الرشيد وعليه جبة وطيلسان أزرق قد شد به وسطه
“Al-taylasan” dalam bahasa Arab ialah sejenis pakaian selendang luar (الْأَكْسِيَة جَمْع كِسَاء) atau kain selimut. Bentuk jamaknya ialah tayalis dan tayalisah. Taylasan ialah kain atau selendang bulat berwarna hijau yang tidak mempunyai bahagian bawah yang berjahit. Benang menegak dan melintang dalam tenunan kain itu diperbuat daripada bulu, dan biasanya dipakai oleh golongan khusus seperti para ulama dan masyayikh. Ia juga ditafsirkan sebagai kain yang diletakkan di atas bahu seperti selempang, meliputi badan, serta tidak mempunyai bentuk jahitan dan potongan seperti pakaian biasa. Ia termasuk pakaian para ulama pada zaman Islam, dan kebanyakannya diperbuat daripada kain berwarna hijau. Di Mesir dan Syam, ia dikenali dengan nama “shal”. Taylasan juga ialah kain selendang yang diletakkan di atas kepala dan bahu, atau kadang-kadang hanya di atas bahu sahaja. Biasanya selendang ini menyerupai sapu tangan besar yang berjuntai di atas bahu untuk melindungi leher daripada panas matahari. Kadang-kadang taylasan digunakan menggantikan tali pinggang. Disebut bahawa apabila Al-Khayzuran, ibu kepada Harun al-Rashid, meninggal dunia, maka Harun al-Rashid keluar memakai jubah dan taylasan berwarna biru yang diikat pada bahagian pinggangnya.
Lelaki itu berdiri di hadapan Nabi ﷺ lalu berkata: إِنَّ صَاحِبَكُمْ قَدْ وَضَعَ كُلَّ فَارِسٍ، أَوْ قَالَ: يُرِيدُ أَنْ يَضَعَ كُلَّ فَارِسٍ “Sesungguhnya sahabat kamu ini, (dia maksudkan baginda Nabi ﷺ), telah merendahkan setiap orang berkuda — atau dia berkata: ingin merendahkan setiap orang berkuda.”
Lelaki ini memaksudkan Nabi ﷺ mahu merendahkan kedudukan seorang penunggang kuda yang berasal daripada keturunan bangsawan, sedangkan orang itu merupakan pemimpin dalam kaumnya. Nabi ﷺ juga mahu mengangkat kedudukan seorang penggembala yang juga anak kepada penggembala, sedangkan orang itu dipandang rendah dalam kaumnya. Lelaki Badwi itu memaksudkan sahabat kamu semua iaitulah Nabi ﷺ mahu menyamakan antara manusia, antara golongan pembesar dan hamba, dengan dakwaan bahawa kelebihan di sisi Allah hanyalah berdasarkan agama dan ketakwaan.
Kata Abd Allah Ibn Amr ibn al-As رضي الله عنهما: فَأَخَذَ النبي بمجامع جبته
Maksudnya: “Maka Nabi Muhammad ﷺ memegang hujung-hujung kain selendangnya yang bercantum antara satu sama lain dan bersabda:
“Tidakkah aku melihat pada dirimu pakaian orang yang tidak berakal?”
Hal itu kerana lelaki tersebut memakai taylasan yang diperbuat daripada sutera. Taylasan pula termasuk pakaian orang ‘Ajam (bukan Arab), dan sutera dipakai oleh orang yang tidak mempunyai bahagian kebaikan di akhirat, sebagaimana Nabi ﷺ bersabda:
إنَّما يَلبَسُ الحريرَ مَن لا خَلاقَ له
“Sesungguhnya yang memakai sutera hanyalah orang yang tidak mempunyai bahagian (kebaikan di akhirat).” (Hadis muttafaq ‘alaih.)
Pada hadis ini terdapat teguran keras terhadap orang yang layak ditegur sedemikian, dan hal itu tidak bercanggah dengan hikmah serta rahmat.
Kemudian Baginda bersabda: Sesungguhnya Nabi Allah Nuh عليه السلام ketika hampir wafat berkata kepada anaknya:
“Sesungguhnya aku akan menyampaikan kepadamu suatu wasiat.”
Iaitu aku akan memberitahu dan menyampaikan wasiatku kepadamu.
Dalam riwayat lain disebut: “إني قاصِرٌ”, yang mengandungi dua kemungkinan makna.
Pertama: “sesungguhnya aku akan mengkhususkan wasiat ini kepadamu sahaja.”
Kedua: “sesungguhnya aku akan memendekkan wasiatku dan tidak memanjangkannya supaya engkau dapat menghafal wasiatku.”
آمرك باثنيتين، وَأَنْهَاكَ عَنِ اثْنَتَيْنِ
“Aku memerintahkanmu dengan dua perkara dan melarangmu daripada dua perkara,”
آمُرُكَ بِلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ
“Aku memerintahkanmu dengan La ilaha illallah,”
Iaitu syahadah tauhid kepada Allah, bahawa tiada sembahan yang benar melainkan Allah, Tuhan sekalian alam dan Tuhan Yang Esa lagi Maha Tunggal.
فَإِنَّ السَّمَاوَاتِ السَّبْعَ وَالْأَرَضِينَ السَّبْعَ، لَوْ وُضِعْنَ فِي كِفَّةٍ وَوُضِعَتْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ فِي كِفَّةٍ لَرَجَحَتْ بِهِنَّ
“Sesungguhnya langit yang tujuh dan bumi yang tujuh, jika diletakkan pada satu daun timbangan, dan La ilaha illallah diletakkan pada daun timbangan yang lain, nescaya La ilaha illallah lebih berat daripada semuanya.”
Hal itu kerana beratnya kalimah tersebut pada timbangan di sisi Allah. Dalam hadis al-Bitaqah (حديث البطاقة) Rasulullah ﷺ bersabda:
إنَّ الله سَيُخَلِّصُ رَجُلًا من أمَّتي على رُؤوسِ الخَلائِقِ يَومَ القيامةِ فيَنشُرُ عليه تِسعةً وتِسعينَ سِجِلًّا، كُلُّ سِجِلٍّ مِثلُ مَدِّ البَصَرِ، ثُمَّ يَقولُ: أتُنكِرُ مِن هذا شَيئًا؟ أظلَمَك كتَبَتي الحافِظونَ؟ فيَقولُ: لا يا رَبِّ، فيَقولُ: أفلَك عُذرٌ؟ فيَقولُ: لا يا رَبِّ، فيَقولُ: بلى إنَّ لَك عِندَنا حَسَنةً فإنَّه لا ظُلمَ عليك اليَومَ، فتُخرَجُ بطاقةٌ فيها: أشهَدُ أنْ لَا إلهَ إلَّا اللهُ وأشهَدُ أنَّ مُحَمَّدًا عَبدُه ورَسولُه، فيَقولُ: احضُرْ وزنَك، فيَقولُ: يا رَبِّ، ما هذه البِطاقةُ مَعَ هذه السِّجِلَّاتِ؟! فقال: إنَّك لا تُظلَمُ، قال: فتُوضَعُ السِّجِلَّاتُ في كِفَّةٍ والبِطاقةُ في كِفَّةٍ، فطاشَتِ السِّجِلَّاتُ وثَقُلَتِ البِطاقةُ، فلا يَثقُلُ مَعَ اسمِ اللهِ شَيءٌ
“Sesungguhnya Allah akan memilih seorang lelaki daripada umatku di hadapan seluruh makhluk pada hari Kiamat. Lalu dibentangkan kepadanya sembilan puluh sembilan catatan, setiap satu sepanjang mata memandang. Kemudian Allah berfirman: ‘Adakah engkau mengingkari sesuatu daripadanya? Adakah para malaikat pencatat menzalimimu?’ Dia menjawab: ‘Tidak, wahai Tuhanku.’ Allah berfirman: ‘Adakah engkau mempunyai alasan?’ Dia menjawab: ‘Tidak, wahai Tuhanku.’ Allah berfirman: ‘Bahkan, engkau mempunyai satu kebaikan di sisi Kami, dan tidak ada kezaliman ke atasmu pada hari ini.’ Maka dikeluarkan satu kad (catatan) yang tertulis: Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya. Lalu Allah berfirman: ‘Hadirkan timbanganmu.’ Lelaki itu berkata: ‘Wahai Tuhanku, apakah nilai kad ini berbanding catatan-catatan ini?’ Allah berfirman: ‘Sesungguhnya engkau tidak akan dizalimi.’ Maka diletakkan catatan-catatan itu pada satu piring, dan kad itu pada piring yang lain. Lalu catatan-catatan itu menjadi ringan, dan kad itu menjadi berat. Maka tidak ada sesuatu yang lebih berat daripada nama Allah.” (Hadis dinilai sahih oleh Muhammad Nasiruddin al-Albani dalam Sahih al-Tirmizi (no. 2639). Takhrij: Diriwayatkan oleh al-Tirmizi (no. 2639) dengan lafaznya, dan oleh Ahmad ibn Hanbal (no. 6994)
Seterusnya baginda ﷺ bersabda:
وَلَوْ أَنَّ السَّمَاوَاتِ السَّبْعَ وَالْأَرَضِينَ السَّبْعَ كُنَّ حَلْقَةً مُبْهَمَةً لَقَصَمَتْهُنَّ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ
“Dan sekiranya langit yang tujuh dan bumi yang tujuh itu menjadi satu lingkaran yang tertutup rapat,”
Iaitu tidak diketahui tempat masuk dan hujungnya,
“nescaya La ilaha illallah akan memecahkannya,”
Iaitu memotong dan menghancurkannya. Disebut dalam al-Nihayah:
“Al-qasm -القصم-” bermaksud mematahkan sesuatu dan memisahkannya. Adapun dengan huruf fa’ (الفصم), seperti yang terdapat dalam sebahagian riwayat lain, ia bermaksud memecahkannya tanpa memisahkannya sepenuhnya.
Akan tetapi langit-langit kesemuanya bukanlah mubhamah atau tertutup rapat, bukan juga terkunci dan tidak mempunyai jalan masuk. Bahkan padanya terdapat pintu-pintu yang dilalui oleh para malaikat untuk turun dan naik. Melalui pintu-pintu itu juga naik roh-roh orang beriman, dan di situlah amalan-amalan soleh mereka berupa zikir dan selainnya diangkat kepada Allah Taala. Allah سبحانه وتعالى berfirman:
﴿ إِلَيْهِ يَصْعَدُ الْكَلِمُ الطَّيِّبُ وَالْعَمَلُ الصَّالِحُ يَرْفَعُهُ ﴾
“Kepada-Nyalah naik perkataan yang baik, dan amalan yang soleh pula diangkat-Nya.” (Surah Fatir: 10)
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:
مَا قَالَ عَبْدٌ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ قَطُّ مُخْلِصًا، إِلَّا فُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابُ السَّمَاءِ حَتَّى تُفْضِيَ إِلَى الْعَرْشِ، مَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ
“Tidaklah seorang hamba mengucapkan: La ilaha illa Allah dengan penuh keikhlasan, melainkan dibukakan baginya pintu-pintu langit sehingga kalimah itu sampai ke Arasy, selagi dia menjauhi dosa-dosa besar.” (Dinilai sahih dalam Sahih al-Jami‘).
Sekiranya pintu-pintu langit itu tidak dibukakan, maka maksud sabda Baginda:
لَقَصَمَتْهُنَّ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ
Nescaya kalimah La ilaha illa Allah itu akan menghancurkan langit-langit yang tertutup rapat tersebut, lalu naik sehingga sampai ke Arasy Tuhan Yang Maha Pemurah.
Di sini, maksudnya ialah keagungan kalimah لا إله إلا الله dan kekuatannya untuk menembusi segala penghalang sehingga sampai kepada Allah, sama ada melalui pintu-pintu langit yang dibukakan atau, jika tidak dibukakan, ia tetap akan membelahnya kerana kemuliaan dan besar kedudukannya di sisi Allah.
Kemudian Baginda menjelaskan perkara kedua:
وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ، فَإِنَّهَا صَلَاةُ كل شيء
“Allah Maha Suci daripada segala kekurangan, dan bagi-Nya segala pujian serta sanjungan yang baik. Sesungguhnya ia adalah solat setiap sesuatu,”
Disebut dalam Al-Nihayah fi Gharib al-Hadith:
قد تكرر في الحديث ذكر التسبيح على اختلاف تصرف اللفظة
“Lafaz tasbih disebut berulang kali dalam hadis dengan pelbagai bentuk lafaznya.”
Asal makna tasbih ialah mensucikan (التنزيه), mengagungkan (التقديس) dan membersihkan (التَبْرِئَة) Allah daripada segala kekurangan dan sifat yang tidak layak bagi-Nya.
Makna Subhanallah (سُبْحَانَ الله) ialah mensucikan Allah (تنزيه الله). Lafaz itu dinasabkan sebagai maf‘ul mutlak bagi suatu fi‘il (فعل) yang tersembunyi (مُضْمَر), seolah-olah seseorang berkata:
أُبَرِّىءُ اللهَ مِنْ السُّوْءِ بَرَاءَةً
‘Aku membersihkan Allah daripada segala keburukan dengan suatu penyucian yang sempurna.’
Nabi ﷺ menyatakan tentang zikir سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ:
فَإِنَّهَا صَلَاةُ كل شيء، وَبِهَا يُرْزَقُ كُلُّ شَيْءٍ
“Sesungguhnya ia adalah solat setiap sesuatu, dan dengannya setiap sesuatu diberikan rezeki”
Maksudnya tasbih dan pujian ini merupakan doa dan ibadah bagi seluruh makhluk, sebagaimana firman Allah dalam Al-Qur'an:
وَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ
“Dan tidak ada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya.” (al-Isra’: 44)
Ibn Kathir رحمه الله berkata:
أَيْ: وَمَا مِنْ شَيْءٍ مِنَ الْمَخْلُوقَاتِ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِ اللَّهِ وَلكِنْ لَا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ: أَيْ لَا تَفْقَهُونَ تسبيحهم أيها الناس، لأنها بخلاف لغاتكم، وهذا عام في الحيوانات والجمادات والنباتات
“Iaitu, tidak ada sesuatu pun daripada makhluk-makhluk Allah melainkan ia bertasbih dengan memuji Allah. Akan tetapi kamu tidak memahami tasbih mereka. Maksudnya, wahai manusia, kamu tidak memahami tasbih mereka kerana tasbih mereka bukan dengan bahasa yang kamu gunakan. Dan ayat ini bersifat umum, meliputi haiwan, benda-benda pejal dan tumbuh-tumbuhan.” (Tafsir Ibn Kathir, 5/73)
Dengan tasbih dan Tahmid ini setiap makhluk diberikan rezeki oleh Allah SWT.
Wajib beriman dan menerima dengan penuh ketundukan segala yang datang daripada Nabi ﷺ seorang yang benar lagi dipercayai.
Allah Taala berfirman:
وَمَا يَنطِقُ عَنِ الْهَوَى * إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى
“Dan dia (Muhammad) tidak memperkatakan sesuatu menurut hawa nafsunya. Tidaklah apa yang diperkatakannya itu melainkan wahyu yang diwahyukan kepadanya.” (Surah al-Najm: 3–4)
Maka hendaklah seseorang berhati-hati, bahkan sangat berhati-hati, daripada melakukan takwilan yang batil atau menolak makna nas-nas yang sahih.
Nabi SAW bersabda:
وَبِهَا يُرْزَقُ كُلُّ شَيْءٍ
“Dan dengannya makhluk diberikan rezeki,”
Iaitu dengan keberkatan Tasbih dan Tahmid ini Allah Ta‘ala mengurniakan rezeki kepada hamba-hamba-Nya.
Tasbih dan Tahmid antara anak kunci rezeki bagi para hamba. Hal ini dapat difahami dari dua sudut:
Pertama: Tasbih adalah penyucian Allah dari mempunyai sekutu yang turut mencipta makhluk atau memberi rezeki kepada mereka.
Allah Taala berfirman:
اللَّهُ الَّذِي خَلَقَكُمْ ثُمَّ رَزَقَكُمْ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ هَلْ مِنْ شُرَكَائِكُمْ مَنْ يَفْعَلُ مِنْ ذَلِكُمْ مِنْ شَيْءٍ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ
“Allah lah yang menciptakan kamu, kemudian Dia memberikan rezeki kepada kamu, kemudian Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu kembali. Adakah mana-mana daripada sekutu-sekutu yang kamu sekutukan dengan Allah itu mampu melakukan sesuatu daripada perkara-perkara tersebut? Maha Suci Dia dan Maha Tinggi daripada apa yang mereka sekutukan.” (Surah al-Rum: 40)
Maka tasbih merupakan pengakuan seorang hamba bahawa tiada pemberi rezeki melainkan Allah, sebagaimana tiada pencipta selain-Nya, tiada yang menghidupkan dan mematikan selain-Nya. Pengakuan inilah antara anak kunci utama untuk memperoleh rezeki.
Kedua: Lafaz “wa bihamdih” dalam ucapan “Subhanallahi wa bihamdih” mengandungi pujian dan kesyukuran kepada Allah. Sedangkan telah diketahui bahawa pujian dan syukur membuka pintu-pintu rezeki dan menambahkan nikmat.
Allah Taala berfirman:
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu mengisytiharkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Aku akan menambahkan nikmat kepada kamu.” (Surah Ibrahim: 7)
Ibn Kathir رحمه الله berkata:
أَيْ : لَئِنْ شَكَرْتُمْ نِعْمَتِي عَلَيْكُمْ لِأَزِيدَنَّكُمْ مِنْهَا
“Maksudnya: Jika kamu bersyukur atas nikmat-Ku yang Aku kurniakan kepada kamu, nescaya Aku akan menambahkan lagi nikmat tersebut kepada kamu.” (Tafsir Ibn Kathir, 4/479)
Justeru, ucapan سبحان الله وبحمده menghimpunkan dua perkara yang besar: penyaksian bahawa hanya Allah yang mencipta dan memberi rezeki, serta pujian dan kesyukuran kepada-Nya. Kedua-duanya merupakan sebab yang membuka pintu rezeki dan menambahkan keberkatan nikmat.
Nabi ﷺ bersabda:
وَأَنْهَاكَ: عَنِ الشِّرْكِ، وَالْكِبْرِ.
“Dan aku melarangmu daripada syirik dan daripada takabbur”
Iaitu menyembah selain Allah dan mengadakan sekutu bagi-Nya. Manakala takabbur ialah meninggikan diri terhadap manusia dan meletakkan diri pada kedudukan yang Allah tidak letakkan untuknya.
Abd Allah ibn Amr ibn al-As رضي الله عنه berkata:
“Aku bertanya — atau dikatakan: seseorang bertanya —: Wahai Rasulullah, syirik itu kami telah mengetahuinya. Maka apakah takabbur itu? Adakah seseorang memiliki dua sandal yang cantik?” iaitu kasut yang indah, “yang mempunyai dua tali yang bagus?” iaitu tali kulit yang mengikat kasut dan dimasukkan kaki padanya. Maka Nabi ﷺ bersabda: “Tidak.” Dia bertanya lagi: “Adakah seseorang memiliki pakaian indah (حُلَّةٌ) yang dipakainya?”
Hullah -حُلَّةٌ - ialah pakaian yang terdiri dari dua helai, iaitu kain dan selendang. Baginda bersabda:
“Tidak.” Dia bertanya lagi: “Adakah takabbur itu seseorang memiliki tunggangan yang dinaikinya?” Baginda menjawab: “Tidak.” Dia bertanya lagi: “Adakah ia seseorang mempunyai sahabat-sahabat yang duduk bersamanya?” Baginda menjawab: “Tidak.” Lalu ditanya: “Wahai Rasulullah, apakah takabbur itu?”
Para sahabat bertanya semua perkara tersebut kerana manusia memang cenderung ingin mengetahui perkara yang samar baginya. Mereka bimbang semua perkara itu termasuk dalam takabbur. Maka Nabi ﷺ menjelaskan hakikat sebenar takabbur yang sering diabaikan ramai manusia. Baginda bersabda:
سَفَهُ الْحَقِّ ، وَغَمْصُ النَّاسِ
“Memperlekehkan kebenaran dan menghina manusia,”
Iaitu seseorang melihat kebenaran sebagai sesuatu yang bodoh dan batil, lalu tidak menerimanya, merasa dirinya terlalu tinggi untuk tunduk kepadanya, mempermainkannya, dan tidak melihatnya sebagaimana hakikatnya yang penuh keteguhan dan kebenaran.
Demikian juga memandang rendah terhadap manusia lain serta tidak menganggap mereka bernilai. Misalnya seseorang berjalan dengan sombong dan bongkak, lalu apabila melihat orang miskin dan lemah dia tidak memberi salam kepada mereka dan tidak mahu duduk bersama mereka kerana menghina mereka.
Maka takabbur yang tercela ialah apabila seseorang menggunakan nikmat dan perhiasan untuk kesombongan yang membawa kepada memperlekehkan kebenaran, menghina manusia, dan menghalang daripada jalan Allah.
Disebut dalam Al-Nihayah fi Gharib al-Hadith:
ومنه الحديث الكبر بطر الحق هو أن يجعل ما جعله الله حقا من توحيده وعبادته باطلاً
“Dan antaranya ialah hadis: ‘Al-kibr ialah batar al-haqq (menolak kebenaran)’. Maksudnya ialah seseorang menjadikan apa yang Allah jadikan sebagai kebenaran, seperti mentauhidkan-Nya dan beribadah kepada-Nya, sebagai sesuatu yang batil.”
Dikatakan juga, maksudnya ialah seseorang berlaku sombong terhadap kebenaran sehingga dia tidak melihatnya sebagai kebenaran.
Dikatakan juga, maksudnya ialah seseorang bersikap angkuh terhadap kebenaran sehingga dia enggan menerimanya.
Al-Syeikh Husain al-‘Awayisyah berkata:
والكبر مراتبه متفاوته، وقد يتفاوت من شخص إلى آخر فمنه ردّ التوحيد والعبادة، وهذا هو الكفر، ومنه التجبّر عند الحق فلا يراه حقا، ومنه عدم قبول الحق، فكل ما أشار إليه ابن الأثير متحقق في المتكبر
Kesombongan mempunyai pelbagai tingkatan dan bentuk, bahkan kadarnya berbeza antara seorang dengan yang lain. Antaranya ialah menolak tauhid dan ibadah; ini merupakan kekufuran. Antaranya juga ialah bersikap angkuh terhadap kebenaran sehingga tidak melihatnya sebagai kebenaran. Dan antaranya ialah enggan menerima kebenaran walaupun mengetahuinya. Kesemua makna yang disebut oleh Ibn al-Athir ini boleh wujud pada diri orang yang sombong.
Disebut dalam kitab al-Fadl (2/5-6):
(الكبر) بالكسر ثم السكون: ازدراء الناس واحتقارهم، والعُجب أن يرى أن عنده من الخير ما ليس عند غيره، كمن يرى الناس أن له شرافة النسب وفضائل الآباء ومجد الأمهات وفضل الشيوخ عزا ومالاً ووقاراً وشهامة، أو من الفضل والكمال، أو من الحسن والجمال، أو من العدة والمال، أو من العلم ومهارته وفصاحة اللسان والقدرة على الخطابة وتأثيرها في الأنفس، أو من العبادة والطاعة، ما ليس عند غيره من الناس، أو من القبائل أو النسل وأمثال ذلك
“Al-kibr (kesombongan) ialah memandang rendah dan menghina orang lain. Manakala al-‘ujb (bangga diri) ialah seseorang melihat dirinya memiliki kebaikan yang tidak dimiliki oleh orang lain. Contohnya seseorang merasakan dirinya mempunyai kemuliaan keturunan, kelebihan para bapa dan nenek moyangnya, kemuliaan keluarga, kedudukan, harta, kewibawaan dan keberanian yang tidak dimiliki orang lain. Atau dia merasakan dirinya mempunyai kelebihan ilmu, kesempurnaan, kecantikan, kekuatan, kekayaan, kepakaran ilmu, kefasihan lidah, kebolehan berpidato serta pengaruh terhadap manusia yang tidak dimiliki oleh orang lain. Atau dia merasakan dirinya lebih tinggi dalam ibadah dan ketaatan berbanding orang lain, atau lebih mulia dari sudut kabilah, keturunan dan seumpamanya.”
Sesiapa yang kagum dengan dirinya sendiri, hartanya atau keturunannya, maka lazimnya dia akan melihat dirinya lebih besar dan lebih mulia daripada orang lain. Perasaan seperti ini akan menghalangnya daripada menerima kebenaran serta tunduk kepada tuntutan tauhid dan ketaatan.
Oleh Al-‘ujb (bangga diri) ialah seseorang merasakan dirinya layak mendapat suatu kedudukan yang sebenarnya dia tidak layak untuknya. Sesiapa yang melihat pada dirinya suatu sifat kesempurnaan, sedangkan sifat itu tidak ada padanya, atau memang ada tetapi tidak sebagaimana yang dibayangkannya, maka itu adalah ujub yang tercela, suatu kebodohan dan tertipu dengan diri sendiri.
Jika sifat tersebut benar-benar ada padanya, tetapi ia menyebabkan dirinya lalai daripada kekurangan-kekurangan yang ada pada dirinya serta memandang rendah orang lain, maka itu juga merupakan ujub yang tercela.
Namun jika sifat tersebut memang ada padanya, dan pada masa yang sama dia menganggapnya sebagai nikmat daripada Allah, lalu dia bersyukur kepada Allah atas nikmat tersebut, menyedari kekurangan-kekurangan dirinya dan tetap merendah diri, maka keadaan ini bukanlah ujub.
Al-Albani dalam Al-Silsilah al-Sahihah ketika mensyarahkan hadis no. 134 menyebut hadis ini mengandungi banyak faedah, antaranya:
Pertama: Disyariatkan berwasiat ketika hampir meninggal dunia.
Kedua: Kelebihan ucapan La ilaha illallah dan tasbih, serta kedua-duanya menjadi sebab pembuka rezeki.
Ketiga: Timbangan (al-Mizan) pada hari kiamat adalah benar dan tetap wujud. Ia mempunyai dua daun timbangan. Ini termasuk akidah Ahl al-Sunnah, berbeza dengan golongan Mu'tazilah dan orang-orang yang mengikuti mereka pada zaman ini, iaitu mereka yang enggan menerima sebahagian akidah yang sabit melalui hadis-hadis sahih dengan alasan bahawa hadis ahad tidak memberi keyakinan.
Keempat: Bumi berjumlah tujuh lapis sebagaimana langit berjumlah tujuh lapis. Perkara ini disokong oleh banyak hadis yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim serta kitab-kitab hadis yang lain. Perkara ini juga ditegaskan oleh firman Allah Taala:
﴿اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ وَمِنَ الْأَرْضِ مِثْلَهُنَّ﴾
“Allah-lah yang menciptakan tujuh petala langit dan daripada bumi juga yang seumpamanya.” (Surah al-Talaq: 12)
Iaitu seumpamanya dari sudut bilangan. Oleh itu, jangan terpedaya dengan mereka yang mentafsirkan ayat ini dengan tafsiran yang membawa kepada penafian persamaan pada bilangan juga, semata-mata kerana terpengaruh dengan kemajuan ilmu yang dicapai oleh orang-orang Eropah yang mendakwa mereka tidak mengetahui adanya tujuh bumi.
Sedangkan mereka juga tidak mengetahui adanya tujuh langit!
Adakah kita hendak menolak firman Allah dan sabda Rasul-Nya hanya kerana kejahilan orang-orang Eropah dan selain mereka, sedangkan mereka sendiri mengakui bahawa setiap kali ilmu mereka tentang alam semesta bertambah, semakin mereka menyedari betapa banyak perkara yang mereka tidak ketahui?
Benarlah firman Allah Yang Maha Agung:
﴿وَمَا أُوتِيتُمْ مِنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا﴾
“Dan kamu tidak diberikan ilmu melainkan sedikit sahaja.” (Surah al-Isra’: 85)
Kelima: Berhias dengan pakaian yang cantik sama sekali bukan termasuk dalam sifat sombong. Bahkan ia adalah suatu perkara yang disyariatkan, kerana Allah itu Maha Indah dan menyukai keindahan. Nabi ﷺ sendiri menjelaskan perkara ini dalam hadis yang diriwayatkan oleh Sahih Muslim.
Selain itu, hadis ini menunjukkan bahawa kesombongan yang disebut bersama syirik, dan yang menyebabkan seseorang tidak masuk syurga jika di dalam hatinya terdapat walaupun sebesar zarah daripadanya, ialah kesombongan terhadap kebenaran dengan menolaknya setelah nyata dan jelas, serta mencela dan merendah-rendahkan manusia yang tidak bersalah tanpa hak.
