Soalan:
Apakah hukum orang yang sujud kepada kubur dan bertawaf mengelilinginya?
Jawapan:
Mengagungkan selain Allah Taala melalui amalan-amalan ibadah zahir yang dilakukan dengan penuh kehinaan diri, ketundukan dan kecintaan (على وجه الذلِّ والخضوع والحبِّ), seperti rukuk dan sujud kepada penghuni kubur, menyembelih untuknya, bertawaf mengelilingi kuburnya, berdoa kepadanya, memohon pertolongan daripadanya, meminta daripadanya agar mendatangkan manfaat dan menolak kesusahan serta kemudaratan, dan seumpamanya daripada bentuk-bentuk ibadah yang merupakan hak Allah yang disembah, maka memalingkan ibadah-ibadah tersebut kepada selain-Nya adalah bercanggah dengan tauhid dan termasuk syirik akbar dalam ibadah.
Ini kerana sesuatu yang menjadi hak Allah semata-mata tidak boleh ada bahagian untuk selain-Nya. Allah Taala berfirman:
﴿لَا تَسْجُدُوا لِلشَّمْسِ وَلَا لِلْقَمَرِ وَاسْجُدُوا لِلَّهِ الَّذِي خَلَقَهُنَّ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ﴾
“Janganlah kamu sujud kepada matahari dan jangan pula kepada bulan, tetapi sujudlah kepada Allah yang menciptakan semuanya itu, jika benar kamu hanya menyembah-Nya.” (Fussilat: 37)
Matahari, bulan, nabi, wali, batu, pokok dan selainnya semuanya sama dari sudut bahawa ia adalah makhluk. Oleh itu, sujud dan ibadah-ibadah lain yang merupakan hak Allah semata-mata tidak boleh ditujukan kepada selain-Nya. Maka sesiapa yang sujud kepada selain Allah dengan perasaan tunduk, hina diri dan cinta (تذلُّلاً وخضوعًا ومحبَّةً), maka dia telah melakukan syirik akbar yang mengeluarkannya daripada agama Islam.
Adapun rukuk dan sujud kepada Allah di sisi kubur, atau berdoa kepada Allah di sisi kubur, atau melakukan pelbagai bentuk ibadah berhampiran kubur dengan tujuan mencari keberkatan penghuni kubur tersebut, maka ini termasuk syirik kecil yang menafikan kesempurnaan tauhid. Bahkan ia boleh meningkat menjadi syirik besar bergantung kepada kepercayaan pelakunya.
Hakikat hukum dalam masalah ini berbeza mengikut keadaan orang yang melakukannya:
- Sesiapa yang melakukan perkara yang menafikan kesempurnaan tauhid, iaitu terjatuh dalam syirik kecil, maka dia tidak diberikan hukum yang sama seperti orang yang melakukan syirik besar. Bahkan orang yang melakukan bidaah yang haram dan membawa kepada kefasikan lebih utama lagi untuk tidak diberikan hukum syirik besar atau syirik kecil.
- Adapun sesiapa yang melakukan suatu amalan syirik yang menafikan tauhid, iaitu syirik besar, sedangkan dia mengetahui bahawa amalan itu bercanggah dengan Islam, maka Ahli Sunnah tidak berselisih bahawa dia telah menjadi musyrik dengan syirik besar yang mengeluarkannya daripada agama. Ini kerana risalah telah sampai kepadanya, penjelasan telah nyata dan hujah telah ditegakkan ke atasnya. Dia juga layak menerima azab di dunia dan akhirat. Ini kerana azab itu berhak dikenakan disebabkan dua perkara:
Pertama: berpaling daripada hujah, tidak mahu mengetahuinya dan tidak mahu beramal dengannya serta dengan tuntutannya.
Kedua: menentang hujah tersebut setelah ia ditegakkan dan enggan menerima tuntutannya.
Perkara pertama ialah kufur berpaling (كفر الإعراض), manakala yang kedua ialah kufur penentangan (كفر العناد).”
- Berbeza dengan orang yang melakukan perkara yang membatalkan tauhid sedangkan dia tidak mengetahui bahawa perbuatan itu bercanggah dengan Islam, seperti orang yang baru memeluk Islam, atau tinggal di tempat yang dipenuhi kejahilan, atau membesar di kawasan pedalaman yang jauh, atau masalah tersebut merupakan perkara yang tersembunyi dan tidak jelas.
Maka orang yang melakukan syirik besar seperti sujud kepada selain Allah, sama ada kepada penghuni kubur atau wali, dengan tujuan tunduk, merendah diri, berharap dan mencintai (على وجه الذلِّ والخضوع والرجاء والحبِّ), maka dia telah menyekutukan Allah dalam ibadah walaupun dia mengucapkan dua kalimah syahadah ketika sujud tersebut. Ini kerana dia telah melakukan sesuatu yang membatalkan pengakuannya itu dengan sujud kepada selain Allah.
Dia dinamakan musyrik dari sudut penamaan hukum berdasarkan perbuatan buruk yang telah dilakukannya, iaitu sujud kepada selain Allah. Namun dia boleh diberikan keuzuran kerana kejahilannya dari sudut penurunan hukuman dan azab. Ini kerana pelaku syirik besar tidak berhak menerima hukuman dan azab melainkan setelah penjelasan dan hujah ditegakkan ke atasnya bagi menghilangkan keuzuran.
Hal ini kerana hukuman dan azab bergantung kepada sampainya risalah, berdasarkan firman Allah Taala:
﴿وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولًا﴾
“Dan Kami tidak akan mengazab sehingga Kami mengutuskan seorang rasul.” (al-Isra’: 15)
Dan firman-Nya:
﴿رُسُلًا مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَى اللَّهِ حُجَّةٌ بَعْدَ الرُّسُلِ﴾
“Para rasul sebagai pembawa khabar gembira dan pemberi amaran supaya manusia tidak mempunyai alasan terhadap Allah setelah diutuskan para rasul.” (al-Nisa’: 165)
Berkata Ibn al-Qayyim:
وأمَّا كفرُ الجهل مع عدم قيام الحجَّة وعدمِ التمكُّن من معرفتها فهذا الذي نفى اللهُ التعذيبَ عنه حتى تقوم حجَّةُ الرسل
“Adapun kufur kerana kejahilan, dalam keadaan hujah belum ditegakkan dan dia tidak mampu mengetahui hujah tersebut, maka inilah golongan yang Allah nafikan azab daripada mereka sehingga hujah para rasul ditegakkan ke atas mereka.” (Tariq al-Hijratayn wa Bab al-Sa‘adatayn, hal.347)
Demikianlah penentuan secara tepat terhadap hukum dalam isu-isu seperti ini diserahkan kepada para ulama yang mempunyai ilmu dan mengetahui keadaan-keadaan yang berkaitan, dan ilmu yang sebenar adalah di sisi Allah Taala. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad, keluarga Baginda, para sahabat dan saudara-saudaranya hingga Hari Kiamat.
