SDI 1986: Syarat Yang Mesti Dipenuhi Untuk Nafar Awal

Soalan:

Apakah syarat-syarat yang mesti dipenuhi untuk melakukan nafar awal (التعجل) dari Mina menurut mazhab Syafi‘i?

Jawapan:

Oleh: Abdul Ra’uf Hasyim al-Syawisy Ali Khatab (عبد الرؤوف هاشم الشاويش آل خطاب)

Terjemah dan olahan: Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

Menurut mazhab Syafi‘i, harus melakukan nafar awal (التعجل) dalam ibadat Haji, iaitu keluar dari Mina pada hari kedua hari Tasyriq (12 Zulhijjah), dengan beberapa syarat:

  1. Orang yang ingin melakukan nafar awal hendaklah telah bermalam dua malam di Mina (malam 11 & 12 Zulhijjah), atau meninggalkan bermalam tersebut kerana ada keuzuran.
  2. Melontar jamrah pada 12 Zulhijjah dan keluar dari Mina hendaklah dilakukan selepas tergelincir matahari (zawal).
  3. Keluar dari Mina pada 12 Zulhijjah hendaklah berlaku sebelum matahari terbenam.
  4. Hendaklah berniat untuk melakukan nafar ketika keluar dari Mina.
  5. Tidak berniat untuk kembali semula ke Mina ketika melakukan nafar.

Dalam Al-Minhaj al-Qawim 1/292 dinyatakan:

ومن أراد النفر من منى في ثاني أيام التشريق جاز، ولا دم عليه لقوله تعالى: {فمن تعجل في يومين فلا إثم عليه} [البقرة: ٢٠٣] وإنما يجزئ ذلك بشرط أن يبيت الليلتين الأولتين، وإلا لم يسقط عنه مبيت الثالثة ولا رمي يومها حيث لم يكن معذورا، ويطرد ذلك في الرمي أيضا، وأن يكون نفره بعد الزوال والرمي وقبل الغروب، وإلا لم يسقط عنه مبيت الثالثة ولا رمي يومها

“Sesiapa yang ingin keluar dari Mina pada hari kedua hari-hari Tasyriq, maka boleh baginya berbuat demikian dan tidak dikenakan dam, berdasarkan firman Allah Taala: “Maka sesiapa yang menyegerakan (nafar) dalam tempoh dua hari, maka tidak ada dosa ke atasnya.” (al-Baqarah: 203) Keharusan itu hanya terlaksana dengan syarat dia telah bermalam pada dua malam yang pertama (11 & 12 Zulhijjah). Jika tidak, maka kewajipan bermalam pada malam ketiga dan melontar jamrah pada hari ketiga tidak gugur daripadanya, sekiranya dia tidak mempunyai keuzuran. Hukum yang sama juga berlaku pada ibadah melontar. Selain itu, nafar hendaklah dilakukan selepas zawal, selepas melontar jamrah, dan sebelum matahari terbenam. Jika tidak, maka kewajipan bermalam pada malam ketiga dan melontar jamrah pada hari tersebut tidak gugur daripadanya.”

Dalam Nihayah al-Muhtaj 3/310:

جَازَ وَسَقَطَ مَبِيتُ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ وَرَمَى يَوْمَهَا) وَلَا دَمَ عَلَيْهِ لِقَوْلِهِ تَعَالَى ﴿فَمَنْ تَعَجَّلَ فِي يَوْمَيْنِ فَلا إِثْمَ عَلَيْهِ﴾ [البقرة: ٢٠٣] وَلِإِتْيَانِهِ بِمُعْظَمِ الْعِبَادَةِ، وَيُؤْخَذُ مِنْ هَذَا التَّعْلِيلِ أَنَّ مَحَلَّ ذَلِكَ إذَا بَاتَ اللَّيْلَتَيْنِ الْأُولَيَيْنِ فَلَوْ لَمْ يَبِتْهُمَا لَمْ يَسْقُطْ عَنْهُ مَبِيتُ الثَّالِثَةِ وَلَا رَمْيُ يَوْمِهَا، وَهُوَ كَذَلِكَ فِيمَنْ لَا عُذْرَ لَهُ كَمَا فِي الْمَجْمُوعِ عَنْ الرُّويَانِيِّ عَنْ الْأَصْحَابِ

“Harus melakukan nafar, dan gugur kewajipan bermalam pada malam ketiga serta melontar jamrah pada hari ketiga, dan tidak dikenakan dam, berdasarkan firman Allah Taala: ‘Maka sesiapa yang menyegerakan (nafar) dalam tempoh dua hari, maka tidak ada dosa ke atasnya.’ (al-Baqarah: 203) Ini juga kerana dia telah menunaikan sebahagian besar ibadah tersebut. Difahami daripada alasan ini bahawa hukum tersebut hanya terpakai jika dia telah bermalam pada dua malam yang pertama. Sekiranya dia tidak bermalam pada kedua-dua malam tersebut, maka kewajipan bermalam pada malam ketiga dan melontar pada hari ketiga tidak gugur daripadanya. Demikianlah hukumnya bagi orang yang tidak mempunyai keuzuran, sebagaimana dinukilkan dalam al-Majmu’ daripada al-Ruyani daripada para ashab.”

Dalam Hasyiah al-Jamal dinyatakan:

لَا بُدَّ مِنْ نِيَّةِ النَّفْرِ مُقَارِنَةً لَهُ وَإِلَّا لَمْ يُعْتَدَّ بِخُرُوجِهِ فَيَلْزَمُهُ الْعَوْدُ... أَنْ لَا يَعْزِمَ عَلَى الْعَوْدِ فَإِنْ عَزَمَ عَلَيْهِ عِنْدَ النَّفْرِ لَمْ يَجُزْ النَّفْرُ وَيَلْزَمُهُ الْعَوْدُ وَلَا تَنْفَعُهُ نِيَّةُ النَّفَرِ؛ لِأَنَّهُ مَعَ نِيَّةِ الْعَوْدِ لَا يُسَمَّى نَفْرًا

“Mesti ada niat nafar yang beriringan dengan perbuatannya keluar dari Mina. Jika tidak, keluarnya itu tidak diambil kira sebagai nafar dan dia wajib kembali semula… Hendaklah dia tidak berniat untuk kembali semula. Jika dia berniat untuk kembali ketika melakukan nafar, maka nafar tersebut tidak sah dan dia wajib kembali. Niat nafar yang dibuat itu tidak memberi manfaat kerana seseorang yang berniat untuk kembali tidak dinamakan sebagai orang yang melakukan nafar.”

 

 


Cetak  
Wallahu a'lam