SDI 1987: Perincian Dam Bagi Yang Tertinggal Melontar Jamrah

Soalan:

Bagaimanakah perincian fidyah bagi orang yang meninggalkan sebahagian lontaran jamrah menurut mazhab Syafi‘i, termasuk kadar dam, mud makanan dan puasa gantian?

Jawapan:

Oleh: Abdul Ra’uf Hasyim al-Syawisy Al Khatab

Terjemah dan olahan: Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

  • Sesiapa yang meninggalkan lontaran tiga anak batu atau lebih, maka wajib ke atasnya menyembelih seekor kambing. Jika tidak mampu, dia hendaklah berpuasa sepuluh hari, iaitu tiga hari ketika haji dan tujuh hari selepas pulang.
  • Sesiapa yang meninggalkan lontaran satu anak batu pada Jamrah Sughra atau Jamrah Wusta pada mana-mana hari Tasyriq, maka dia hendaklah melontar anak batu yang tertinggal itu sahaja dan mengulangi semula lontaran yang dilakukan selepasnya. Jika dia tidak berbuat demikian, maka wajib ke atasnya menyembelih seekor kambing. Jika tidak mampu, dia hendaklah berpuasa sepuluh hari; tiga hari ketika haji dan tujuh hari selepas pulang, kerana meninggalkan satu lontaran batu menyebabkan lontaran selepasnya tidak sah disebabkan kewajipan tertib.
  • Sesiapa yang meninggalkan satu lontaran pada Jamrah Kubra (Jamrah Aqabah) pada Hari Nahar (10 Zulhijjah), maka dia hendaklah melontarnya semula dan mengulangi lontaran yang dilakukan selepasnya. Jika dia tidak berbuat demikian, maka wajib ke atasnya berpuasa sepuluh hari; tiga hari ketika haji dan tujuh hari selepas pulang, kerana meninggalkan satu lontaran anak batu tersebut menyebabkan lontaran selepasnya terbatal disebabkan kewajipan tertib.
  • Sesiapa yang meninggalkan satu anak batu pada Jamrah Aqabah pada hari terakhir Tasyriq, atau pada hari kedua Tasyriq bagi orang yang melakukan nafar awal, maka dia hendaklah melontar satu anak batu tersebut sahaja. Jika dia tidak berbuat demikian, maka wajib ke atasnya mengeluarkan satu mud makanan, jika tidak mampu, dia hendaklah berpuasa. Jika yang ditinggalkan dua anak batu, maka wajib dua mud makanan, dan jika tidak mampu, dia hendaklah berpuasa. Kadar puasa bagi setiap satu anak batu yang ditinggalkan ialah lima hari, iaitu dua hari ketika haji dan tiga hari selepas pulang.
  • Jika seseorang tidak sempat berpuasa pada hari-hari haji, seperti orang yang hanya dapat berihram pada siang hari Arafah, maka dia hendaklah berpuasa selepas pulang. Namun dia perlu memisahkan antara puasa tiga hari dan puasa tujuh hari dengan tempoh yang bersamaan dengan masa perjalanan pulangnya dari haji ke negerinya serta tempoh hari-hari raya. Contohnya, jika dia memerlukan satu hari perjalanan untuk sampai ke negerinya selepas haji, maka dia berpuasa tiga hari setelah sampai ke negerinya, kemudian memisahkan antara puasa tersebut dan puasa tujuh hari dengan lima hari, sebelum memulakan puasa tujuh hari yang baki itu.

 

 


Cetak  
Wallahu a'lam