SDI 1988: Solat Sunat Satu Rakaat Di Sisi Ulama Mazhab Syafi'i

Soalan:

Bolehkah buat solat sunat satu rakaat?

Jawapan:

Wujud perbezaan pendapat ulama dalam masalah ini. Namun ulama mazhab Syafi’i mengharuskannya. Al-Nawawi berkata dalam Syarah Sahih Muslim 6/30:

صَلَاةُ اللَّيْلِ مَثْنَى مَثْنَى هَكَذَا هُوَ فِي صَحِيحِ الْبُخَارِيِّ وَمُسْلِمٍ وَرَوَى أَبُو دَاوُدَ وَالتِّرْمِذِيُّ بِالْإِسْنَادِ الصَّحِيحِ صَلَاةُ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ مَثْنَى مَثْنَى. هَذَا الْحَدِيثُ مَحْمُولٌ عَلَى بَيَانِ الْأَفْضَلِ وَهُوَ أَنْ يُسَلِّمَ مِنْ كُلِّ رَكْعَتَيْنِ وَسَوَاءٌ نَوَافِلُ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ  يُسْتَحَبُّ أَنْ يُسَلِّمَ مِنْ كُلِّ رَكْعَتَيْنِ فَلَوْ جَمَعَ رَكَعَاتٍ بِتَسْلِيمَةٍ أَوْ تَطَوُّعَ بِرَكْعَةٍ وَاحِدَةٍ جَازَ عِنْدَنَا.

"Solat malam itu dua rakaat dua rakaat." Demikian lafaz yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim. Abu Dawud serta Al-Tirmidhi meriwayatkan dengan sanad yang sahih: "Solat malam dan siang itu dua rakaat dua rakaat." Hadis ini difahami sebagai penjelasan tentang cara yang paling afdhal, iaitu memberi salam pada setiap dua rakaat. Sama ada solat sunat malam atau siang, disunatkan memberi salam pada setiap dua rakaat. Sekiranya seseorang menghimpunkan beberapa rakaat dengan satu salam, atau melakukan solat sunat dengan satu rakaat sahaja, maka ia adalah harus di sisi kami.”

Al-Syeikh Zakariyya al-Ansari berkata dalam Fath al-Wahhab 1/68:

وَلَا حَصْرَ لِمُطْلِقٍ مِنْ النَّفْلِ وَهُوَ مَا لَا يَتَقَيَّدُ بِوَقْتٍ وَلَا سَبَبٍ- فَلَهُ أَنْ يُصَلِّيَ مَا شَاءَ مِنْ رَكْعَةٍ أَوْ أَكْثَرَ.-أَوْ نَوَى قَدْرًا رَكْعَةً فَأَكْثَرَ.-  النَّفَلُ الْمُطْلَقُ بِلَيْلٍ أَفْضَلُ مِنْهُ بِالنَّهَارِ لِخَبَرِ مُسْلِمٍ

“Tiada had tertentu bagi solat sunat mutlak, iaitu solat yang tidak terikat dengan waktu atau sebab tertentu. Maka seseorang boleh melakukan solat sebanyak yang dia kehendaki, sama ada satu rakaat atau lebih. Atau dia berniat kadar tertentu, satu rakaat atau lebih. Solat sunat mutlak pada waktu malam lebih afdhal daripada waktu siang berdasarkan hadis riwayat Muslim.”


Cetak  
Wallahu a'lam