SDI 1989: Bermusafir Untuk Bersiar-siar Boleh Mengambil Keringanan Qasar Solat

Soalan:

Saya keluar dari rumah dengan niat melakukan perjalanan ke suatu tempat yang tidak mencapai jarak 81 kilometer untuk bersiar-siar bersama keluarga bagi mengurangkan tekanan dan beban kehidupan. Ketika dalam perjalanan, saya menukar niat untuk menuju ke destinasi lain yang jaraknya melebihi 81 kilometer. Selepas pertukaran niat tersebut, adakah saya boleh mengambil hukum-hakam musafir jauh seperti mengqasarkan solat?

Jawapan:

Boleh. Ini kerana perjalanan yang bertujuan menghilangkan tekanan dan keresahan merupakan tujuan yang sah di sisi ulama mazhab Syafi‘i.

Dalam Fath al-Wahhab 1/82 dinyatakan:

أَوْ عَدَلَ عَنْهُ إلَيْهِ؛ لِغَرَضٍ غَيْرِ الْقَصْرِ كَسُهُولَةٍ وَأَمْنٍ وَعِيَادَةٍ وَتَنَزُّهٍ، فَإِنْ سَافَرَ بِلَا غَرَضٍ صَحِيحٍ كَأَنْ سَافَرَ لِمُجَرَّدِ التَّنَقُّلِ فِي الْبِلَادِ لَمْ يَقْصُرْ، وَإِنْ عَدَلَ إلَى الطَّوِيلِ لَا لِغَرَضٍ أَوْ لِمُجَرَّدِ الْقَصْرِ فَكَذَلِكَ كَمَا لَوْ سَلَكَ الْقَصِيرَ فَطَوَّلَهُ بِالذَّهَابِ يَمِينًا وَشِمَالًا

“Atau dia berpaling daripada jalan itu kepada jalan yang lain kerana suatu tujuan selain semata-mata untuk mendapatkan rukhsah qasar, seperti jalan yang lebih mudah, lebih selamat, menziarahi orang sakit atau bersiar-siar (tanazzuh), maka dia boleh mengqasarkan solat. Namun jika dia bermusafir tanpa tujuan yang sah, seperti bermusafir semata-mata untuk berpindah-randah dalam sesatu negeri tanpa tujuan tertentu, maka dia tidak boleh mengqasarkan solat. Begitu juga jika dia menukar perjalanan kepada perjalanan yang lebih jauh bukan kerana tujuan yang sah, atau semata-mata untuk mendapatkan rukhsah qasar, maka dia juga tidak boleh mengqasarkan solat. Keadaannya sama seperti seseorang yang melalui jalan yang dekat tetapi sengaja memanjangkannya dengan berbelok ke kanan dan kiri.”

Dalam Hasyiah al-Jamal 1/597 mengenai maksud tanazzuh (bersiar-siar) dinyatakan:

  • إزَالَةُ الْكُدُرَاتِ الْبَشَرِيَّةِ.
  • رُؤْيَةُ مَا تَنْبَسِطُ بِهِ النَّفْسُ لِإِزَالَةِ هُمُومِ الدُّنْيَا.
  • وَكَذَا لَوْ سَلَكَ الطَّوِيلَ لِمُجَرَّدِ تَنَزُّهٍ عَلَى الْأَوْجَهِ لِأَنَّهُ غَرَضٌ مَقْصُودٌ إذْ هُوَ إزَالَةُ الْكُدُورَةِ النَّفْسِيَّةِ بِرُؤْيَةِ مُسْتَحْسَنٍ يَشْغَلُهَا عَنْهَا، وَمِنْ ثَمَّ لَوْ سَافَرَ لِأَجْلِهِ قَصَرَ أَيْضًا بِخِلَافِ مُجَرَّدِ رُؤْيَةِ الْبِلَادِ ابْتِدَاءً.
  • لَوْ أَرَادَ التَّنَزُّهَ لِإِزَالَةِ مَرَضٍ وَنَحْوِهِ، وَلَوْ لَمْ يُخْبِرْهُ بِهِ طَبِيبٌ كَانَ غَرَضًا صَحِيحًا.
  • Menghilangkan kekusutan dan gangguan kemanusiaan.
  • Melihat perkara-perkara yang dapat melapangkan jiwa untuk menghilangkan kesusahan dan kebimbangan dunia.
  • Demikian juga jika seseorang melalui jalan yang lebih jauh semata-mata untuk bersiar-siar, menurut pendapat yang lebih kuat dia boleh mengqasarkan solat. Ini kerana bersiar-siar merupakan tujuan yang diiktiraf syarak, iaitu menghilangkan keserabutan jiwa dengan melihat perkara-perkara yang menyenangkan sehingga dapat melupakan kesedihan yang dihadapi. Oleh sebab itu, jika seseorang bermusafir khusus untuk tujuan tersebut, dia juga boleh mengqasarkan solat. Berbeza dengan orang yang bermusafir semata-mata untuk melihat negeri-negeri atau tempat-tempat tanpa tujuan yang diiktiraf sejak awal perjalanan.
  • Jika seseorang ingin bersiar-siar untuk mengubati penyakit atau seumpamanya, maka tujuan itu dianggap tujuan yang sah, walaupun dia tidak diperintahkan oleh doktor untuk berbuat demikian.

Kesimpulannya, menurut mazhab Syafi‘i, perjalanan untuk berehat, menenangkan fikiran, menghilangkan tekanan hidup, kesedihan atau gangguan emosi merupakan tujuan yang sah. Oleh itu, jika seseorang menukar niat dalam perjalanan kepada destinasi yang mencapai jarak musafir syarie kerana tujuan tersebut, dia boleh mengambil hukum-hakam musafir seperti qasar solat.


Cetak  
Wallahu a'lam