SDI 1992: Bagaimana Tentukan Sesuatu Surau Itu Masjid Atau Tidak?

Soalan:

Ustaz, bagaimana kita nak tahu sesuatu surau itu masjid atau tidak?

Jawapan:

Jika bangunan surau tersebut didirikan di atas tanah yang diwakafkan sebagai masjid, maka ia adalah masjid. Namun, jika bangunannya dibina di atas tanah yang tidak diwakafkan sebagai masjid, maka ia bukan masjid.

  1. Bangunan yang dihukum sebagai masjid ialah bangunan yang dibina di tempat yang diwakafkan oleh pemiliknya dengan niat menjadikannya masjid, iaitu tempat yang dikhususkan untuk solat.

Al-‘Allamah al-Bujairimi berkata dalam Tuhfah al-Habib 2/407:

الْمَسْجِدِ وَهُوَ مَا وَقَفَهُ الْوَاقِفُ مَسْجِدًا

“Masjid ialah tempat yang diwakafkan oleh pewakaf sebagai masjid.”

Al-Khatib al-Syarbini dalam Mughniy al-Muhtaj 3/522 menyebut ketika mentakrifkan wakaf:

حَبْسُ مَالٍ يُمْكِنُ الِانْتِفَاعُ بِهِ مَعَ بَقَاءِ عَيْنِهِ بِقَطْعِ التَّصَرُّفِ فِي رَقَبَتِهِ عَلَى مَصْرَفٍ مُبَاحٍ مَوْجُودٍ

"Menahan suatu harta yang boleh diambil manfaat daripadanya dengan kekalnya zat harta tersebut, dengan memutuskan hak tasarruf (menjual, mewariskan atau melupuskan pemilikan asal harta tersebut) terhadap pemilikannya, untuk disalurkan kepada suatu tujuan yang harus lagi wujud."

Al-Imam al-Nawawi berkata dalam al-Minhaj 1/170:

الأظهر أن الملك في رقبة الموقوف ينتقل إلى الله تعالى، أي ينفك عن اختصاص لآدمي فلا يكون للواقف ولا للموقوف عليه

“Pendapat al-Azhar ialah pemilikan terhadap harta wakaf berpindah kepada Allah Taala. Maksudnya, harta tersebut terlepas daripada pengkhususan kepada mana-mana manusia; ia bukan lagi milik pewakaf dan bukan juga milik pihak yang menerima manfaat wakaf.”

  1. Bagaimana sesuatu tempat dihukum sebagai masjid?

Kita menghukum sesuatu tempat sebagai masjid melalui dua cara:

Pertama: Diketahui bahawa tempat itu diwakafkan untuk solat.

Kedua: Solat didirikan secara berulang-ulang di tempat itu oleh orang ramai tanpa ada bantahan atau penafian.

Al-‘Allamah al-Jamal berkata dalam Futuhat al-Wahhab:

وَتَثْبُتُ الْمَسْجِدِيَّةُ بِالْعِلْمِ بِأَنَّهُ مَوْقُوفٌ لِلصَّلَاةِ أَوْ بِالِاسْتِفَاضَةِ وَمَعْنَاهَا إنْ تَتَكَرَّرَ صَلَاةُ النَّاسِ فِيهِ مِنْ غَيْرِ نَكِيرٍ.

“Status kemasjidan sabit dengan pengetahuan bahawa ia diwakafkan untuk solat, atau dengan istifadah (pengetahuan umum yang tersebar), iaitu apabila solat orang ramai berulang kali dilakukan di situ tanpa ada sebarang bantahan.”

Al-‘Allamah Ibn Hajar al-Haitami berkata dalam Tuhfah al-Muhtaj 1/268:

إذَا رَأَيْنَا مَسْجِدًا أَيْ صُورَةَ مَسْجِدٍ يُصَلَّى فِيهِ أَيْ مِنْ غَيْرِ مُنَازِعٍ وَلَا عَلِمْنَا لَهُ وَاقِفًا فَلَيْسَ لِأَحَدٍ أَنْ يَمْنَعَ مِنْهُ لِأَنَّ اسْتِمْرَارَهُ عَلَى حُكْمِ الْمَسَاجِدِ دَلِيلٌ عَلَى وَقْفِهِ

“Apabila kita melihat sebuah masjid, iaitu sebuah bangunan yang kelihatan masjid dan didirikan solat di dalamnya tanpa ada sesiapa yang mempertikaikannya, sedangkan kita tidak mengetahui siapa pewakafnya, maka tiada seorang pun berhak menghalang orang lain daripadanya. Ini kerana kesinambungan penggunaannya sebagai masjid menjadi bukti bahawa ia telah diwakafkan.”

3. Kawasan yang turut mengambil hukum masjid

Kawasan lapang yang berada dalam tanah wakaf masjid (الساحات الخارجية التابعة للأرض الموقوفة), serta bangunan yang dibina di atas tanah wakaf tersebut, turut mengambil hukum masjid.

Al-‘Allamah al-Jamal berkata dalam Hasyiahnya 1/156:

وَمِثْلُهُ رَحْبَتُهُ، وَهِيَ مَا وُقِفَ لِلصَّلَاةِ حَالَةَ كَوْنِهَا جُزْءًا مِنْهُ

“Demikian juga halaman masjid (rahbah), iaitu kawasan yang diwakafkan untuk solat sebagai sebahagian daripada masjid.”

Al-‘Allamah al-Bujairimi berkata dalam Tuhfah al-Habib 1/368:

(فِي الْمَسْجِدِ) وَمِنْهُ رَحْبَتُهُ، وَالرَّحْبَةُ السَّاحَةُ الْمُنْبَسِطَةُ لِصِيَانَتِهِ عَنْ الْقَاذُورَاتِ

“(Di dalam masjid), dan termasuk dalam hukum masjid ialah rahbah (halaman atau kawasan lapang masjid). Rahbah ialah kawasan lapang yang terbuka yang disediakan untuk memelihara masjid daripada dicemari oleh kekotoran dan najis..”

Beliau juga berkata dalam Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh al-Minhaj 1/92:

إذَا كَانَ دَاخِلًا فِي وَقْفِيَّتِهِ فَهُوَ مَسْجِدٌ حَقِيقَةً لِأَنَّ الْمَسْجِدَ اسْمٌ لِهَذِهِ الْأَبْنِيَةِ الْمَخْصُوصَةِ مَعَ الْأَرْضِ، وَإِنْ لَمْ يَكُنْ دَاخِلًا فِي وَقْفِيَّتِهِ فَظَاهِرٌ أَنَّهُ لَيْسَ لَهُ حُكْمُ الْمَسْجِدِ

“Jika kawasan itu termasuk dalam wakaf masjid, maka ia benar-benar dianggap sebagai masjid. Ini kerana masjid ialah nama bagi bangunan-bangunan khusus tersebut bersama tanahnya. Namun jika ia tidak termasuk dalam wakaf masjid, maka zahirnya ia tidak mengambil hukum masjid.”

Al-‘Allamah al-Syarwani berkata dalam Hasyiah ‘ala al-Tuhfah 1/268:

  • وَمِثْلُهُ رَحْبَتُهُ وَجَنَاحٌ بِجِدَارِهِ وَإِنْ كَانَ كُلُّهُ فِي هَوَاءِ الشَّارِعِ.
  • الْمَسْجِدَ اسْمٌ لِهَذِهِ الْأَبْنِيَةِ الْمَخْصُوصَةِ مَعَ الْأَرْضِ، وَإِنْ لَمْ يَكُنْ دَاخِلًا فِي وَقْفِيَّتِهِ فَظَاهِرٌ أَنَّهُ لَيْسَ لَهُ حُكْمُ الْمَسْجِدِ
  • Begitu juga halaman masjid dan sayap bangunan yang bersambung dengan dinding masjid, walaupun keseluruhannya berada di ruang udara jalan.
  • Masjid ialah nama bagi bangunan-bangunan khusus tersebut bersama tanahnya. Jika sesuatu kawasan itu tidak termasuk dalam wakaf masjid, maka zahirnya ia tidak mempunyai hukum masjid.

Oleh itu, sesuatu bangunan untuk dianggap masjid perlu dilihat status tanahnya. Jika ia termasuk dalam kawasan yang diwakafkan sebagai masjid, maka ia mengambil hukum masjid. Jika tidak termasuk dalam wakaf masjid, maka ia tidak mengambil hukum masjid.


Cetak  
Wallahu a'lam