Soalan:
Adakah sah seseorang mengerjakan haji bagi pihak orang lain sedangkan dia masih mempunyai kewajipan haji untuk dirinya sendiri, sama ada Haji Islam, haji qada atau haji nazar?
Jawapan:
Tidak sah seseorang mengerjakan haji bagi pihak orang lain selagi masih ada kewajipan haji yang belum ditunaikan ke atas dirinya sendiri.
Sekiranya seseorang telah wajib menunaikan Haji Islam, maka dia hendaklah mendahulukannya sebelum menunaikan haji yang lain. Jika terkumpul ke atasnya beberapa kewajipan haji, susunannya adalah seperti berikut:
- Haji Islam.
- Haji qada.
- Haji nazar.
Jika dia berihram dengan niat selain Haji Islam sedangkan Haji Islam masih belum ditunaikan, maka hajinya tetap dikira sebagai Haji Islam, bukan sebagaimana yang diniatkannya.
Begitu juga, seseorang yang masih mempunyai tanggungan haji qada atau haji nazar tidak boleh menjadi wakil untuk mengerjakan haji bagi pihak orang lain. Jika dia berihram bagi pihak orang lain, maka haji tersebut tetap jatuh untuk dirinya sendiri bagi menunaikan kewajipan yang masih tertanggung ke atasnya.
Contohnya, seseorang yang pada asalnya belum wajib haji bernazar untuk menunaikan haji. Kemudian hajinya terbatal dan wajib diqada. Selepas itu dia bernazar haji sekali lagi. Kemudian dia memenuhi syarat wajib haji. Maka ketika itu terkumpul ke atasnya tiga kewajipan:
- Haji Islam.
- Haji qada.
- Haji nazar.
Dalam keadaan ini dia wajib mendahulukan Haji Islam, kemudian haji qada, kemudian haji nazar. Setelah selesai semua kewajipan tersebut, barulah dia boleh mengerjakan haji bagi pihak orang lain.
Al-‘Allamah Sulaiman al-Jamal berkata dalam Futuhat al-Wahhab 2/373:
مَنْ وَجَبَ عَلَيْهِ حَجَّةُ الْإِسْلَامِ لَا يَصِحُّ مِنْهُ غَيْرُهَا قَبْلَهَا فَلَوْ اجْتَمَعَ عَلَيْهِ حَجَّةُ الْإِسْلَامِ وَقَضَاءٌ أَوْ نَذْرٌ، قُدِّمَتْ حَجَّةُ الْإِسْلَامِ ثُمَّ الْقَضَاءُ ثُمَّ النَّذْرُ، وَلَوْ أَحْرَمَ بِغَيْرِهَا وَقَعَ عَنْهَا لَا عَنْ مَا نَوَى، وَمَنْ عَلَيْهِ قَضَاءٌ أَوْ نَذْرٌ لَا يَحُجُّ عَنْ غَيْرِهِ فَلَوْ أَحْرَمَ عَنْ غَيْرِهِ وَقَعَ عَنْ نَفْسِهِ عَمَّا عَلَيْهِ
"Sesiapa yang wajib ke atasnya Haji Islam, maka tidak sah daripadanya haji selain Haji Islam sebelum dia menunaikannya. Jika terkumpul ke atasnya Haji Islam dan haji qada atau nazar, maka didahulukan Haji Islam, kemudian qada, kemudian nazar. Jika dia berihram dengan niat selain Haji Islam, maka hajinya jatuh sebagai Haji Islam, bukan sebagaimana yang diniatkannya. Dan sesiapa yang mempunyai tanggungan haji qada atau nazar, maka dia tidak boleh mengerjakan haji bagi pihak orang lain. Jika dia berihram bagi pihak orang lain, maka hajinya jatuh untuk dirinya sendiri bagi menunaikan kewajipan yang masih tertanggung ke atasnya."
Syarat-syarat wajib haji ialah:
- Islam.
- Baligh.
- Berakal.
- Merdeka.
- Mampu melakukan perjalanan (إمكان السير).
- Aman perjalanan (أمن الطريق).
- Berkemampuan sama ada dengan diri sendiri atau dengan bantuan orang lain (القدرة بالنفس أو بالغير).
