Soalan:
Bolehkah solat sunat sebelum atau selepas solat hari raya?
Jawapan:
Para ulama bersepakat bahawa tiada solat sunat khusus yang disyariatkan sebelum atau selepas solat hari raya, kerana Nabi ﷺ tidak pernah melakukan solat sebelum atau selepasnya.
Namun demikian, mazhab al-Syafi‘i berpendapat harus bagi selain imam melakukan solat sunat sebelum atau selepas solat hari raya, sama ada di rumah, dalam perjalanan atau di tempat solat hari raya (musalla), dengan syarat tidak diniatkan sebagai solat sunat khusus hari raya.
Sebaliknya, ia diniatkan sebagai solat sunat mutlak, solat sunat wuduk, solat dhuha atau seumpamanya.
Adapun bagi imam, makruh baginya melakukan solat sebelum atau selepas solat hari raya di tempat solat hari raya.
Pandangan ini disokong oleh beberapa athar daripada para sahabat dan tabi‘in. Antaranya diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf 1/488 daripada Abdullah bin Buraidah (ﻋﺒﺪ اﻟﻠﻪ ﺑﻦ ﺑﺮﻳﺪﺓ) daripada bapanya:
أَنَّهُ كَانَ يُصَلِّي يَوْمَ الْعِيدِ قَبْلَ الصَّلَاةِ أَرْبَعًا وَبَعْدَهَا أَرْبَعًا
“Bahawa beliau menunaikan empat rakaat sebelum dan empat rakaat selepas solat hari raya.”
Ibn Abi Syaibah 1/499 meriwayatkan daripada Ayyub yang berkata:
رَأَيْت أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ وَالْحَسَنَ يُصَلِّيَانِ قَبْلَ خُرُوجِ الْإِمَامِ يَعْنِي يَوْمَ الْعِيدِ
“Aku melihat Anas bin Malik dan al-Hasan menunaikan solat sebelum keluarnya imam, iaitu pada hari raya.”
Banyak lagi riwayat di sisi Ibn Abi Syaibah dalam hal ini. Antaranya lagi;
عَنْ قَتَادَةَ أَنَّ أَبَا بَرْزَةَ كَانَ يُصَلِّي فِي الْعِيدِ قَبْلَ (خُرُوجِ) الْإِمَامِ .
Daripada Qatadah bahawa Abu Barzah رضي الله عنه menunaikan solat pada hari raya sebelum keluarnya imam
عَنْ التَّيْمِيِّ أَنَّهُ رَأَى أَنَسًا وَالْحَسَنَ وَسَعِيدَ بْنَ أَبِي الْحَسَنِ وَجَابِرَ بْنَ زَيْدٍ يُصَلُّونَ قَبْلَ (خُرُوجِ) الْإِمَامِ فِي الْعِيدَيْنِ .
"Daripada al-Taimi bahawa beliau melihat Anas bin Malik, al-Hasan al-Basri, Sa‘id bin Abi al-Hasan dan Jabir bin Zaid menunaikan solat sebelum keluarnya imam pada dua hari raya."
Memang terdapat sebahagian ulama yang memakruhkan solat sunat sebelum solat hari raya berdasarkan beberapa riwayat daripada Ibn ‘Abbas terdapat dalam Sahih al-Bukhari yang berkata:
أنَّ النَّبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم خَرَجَ يَومَ الفِطرِ، فصَلَّى رَكعَتَينِ، لَم يُصَلِّ قَبلَها ولا بَعدَها، ومعهُ بلالٌ
"Sesungguhnya Nabi ﷺ keluar pada Hari Raya Aidilfitri, lalu Baginda menunaikan solat dua rakaat (solat sunat hari Raya). Baginda tidak menunaikan sebarang solat sebelum kedua-dua rakaat tersebut dan tidak juga selepasnya. Bersama Baginda ketika itu ialah Bilal."
Ibn Abi Syaibah juga dalam al-Musannaf 1/498 meriwayatkan daripada Abu Mas‘ud al-Ansari yang berkata:
إِنَّهُ لَا صَلَاةَ فِي هَذَا الْيَوْمِ حَتَّى يَخْرُجَ الْإِمَامُ
"Sesungguhnya tidak ada solat pada hari ini sehingga imam keluar."
Al-Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr secara marfu’:
لَا صَلَاةَ يَوْمَ الْعِيدِ قَبْلَهَا وَلَا بَعْدَهَا
“Tiada solat pada hari raya sebelum solat hari raya dan tiada juga selepasnya.”
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani tidak memberikan sebarang ulasan terhadap riawayat ini dalam kitab al-Talkhis. Oleh itu, perlu diteliti terlebih dahulu kesahihannya.
Al-Tabarani pula meriwayatkan dalam al-Mu’jam al-Kabir daripada Abu Mas‘ud رضي الله عنه bahawa beliau berkata:
لَيْسَ مِنَ السُّنَّةِ الصَّلَاةُ قَبْلَ خُرُوجِ الْإِمَامِ يَوْمَ الْعِيدِ
'Bukan daripada sunnah melakukan solat sebelum keluarnya imam pada hari raya.'
Al-Hafiz al-Haithami berkata dalam Majma‘ al-Zawa’id 2/202:
رَوَاهُ الطَّبَرَانِيُّ فِي الْكَبِيرِ وَرِجَالُهُ ثِقَاتٌ
“Driwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Kabir dan para perawinya adalah thiqah (dipercayai)."
Namun, kerana terdapat perselisihan yang thabit dalam kalangan sahabat رضي الله عنهم mengenai perkara ini, maka pandangan sebahagian sahabat tidak menjadi hujah ke atas sahabat yang lain, berdasarkan ijma’ ulama. Perkara yang menjadi hujah hanya riwayat yang marfu’.
Oleh itu, persoalan ini perlu disandarkan kepada perkara asal iaitulah keharusan menunaikan solat sunat bagi makmum. Al-Imam al-Nawawi رحمه الله berkata dalam al-Majmu’ 5/13:
وَدَلِيلُنَا مَا احْتَجَّ بِهِ الشَّافِعِيُّ وَابْنُ الْمُنْذِرِ وَالْمُصَنِّفُ وَسَائِرُ الْأَصْحَابِ أَنَّ الْأَصْلَ اباحة الصلاة حتى يثبت النهى
"Dalil kami ialah apa yang dijadikan hujah oleh al-Imam al-Syafi‘i, Ibn al-Mundhir, pengarang kitab (al-Syirazi) dan seluruh ashab, bahawa hukum asal solat adalah harus sehingga thabit dalil larangan."
Kesimpulannya, menurut mazhab Syafi‘i, harus bagi selain imam menunaikan solat sunat sebelum atau selepas solat hari raya, sama ada di rumah atau di musalla, selagi tidak diniatkan sebagai sunnah khusus yang berkaitan dengan solat hari raya.
