Soalan:
Jika seorang jemaah haji tamattu’ melakukan lebih daripada satu umrah dalam bulan-bulan haji, adakah dam tamattu‘ wajib dibayar bagi setiap umrah yang dilakukan?
Jawapan:
Jika seseorang melakukan beberapa kali umrah dalam bulan-bulan haji, kemudian menunaikan haji pada tahun yang sama, maka dia hanya wajib membayar satu dam tamattu’ sahaja.
Seseorang dianggap sebagai mutamatti’ apabila dia berihram umrah dari miqat pada bulan-bulan haji, menyelesaikan umrahnya, kemudian berihram haji dari Mekah pada tahun yang sama. Ibn al-Mundhir menukilkan ijmak bahawa orang yang melakukan demikian adalah seorang mutamatti'. Kata Ibn Qudamah dalam al-Mughniy 5/351:
قال ابنُ المُنْذِرِ: أجْمَعَ أهْلُ العِلْمِ على أنَّ مَن أَهَلَّ بِعُمْرَةٍ فى أَشْهُرِ الحَجِّ من أَهْلِ الآفاقِ من المِيقاتِ، وقَدِمَ مَكَّةَ ففَرَغَ منها، وأقامَ بها، وحَجَّ من عَامِه، أنَّه مُتَمَتِّعٌ
Ibn al-Mundhir berkata: "Para ulama telah bersepakat bahawa sesiapa daripada penduduk luar Tanah Haram (afaqi) yang berihram umrah pada bulan-bulan haji dari miqat, kemudian datang ke Mekah, menyelesaikan umrahnya, menetap di Mekah, lalu menunaikan haji pada tahun yang sama, maka dia adalah seorang yang melakukan haji tamattu‘."
Ia dinamakan tamattu’ kerana pelakunya menikmati perkara-perkara yang dilarang ketika ihram di antara umrah dan haji. Selain itu, dia juga mendapat kemudahan kerana gugur kewajipan kembali ke miqat untuk berihram haji.
Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata dalam Tuhfah al-Muhtaj 4/150:
وَبِهَذَا يُعْلَمُ أَنَّ الْوَجْهَ فِيمَنْ كَرَّرَ الْعُمْرَةَ فِي أَشْهُرِ الْحَجِّ أَنَّهُ لَا يَتَكَرَّرُ عَلَيْهِ، وَإِنْ أَخْرَجَ الدَّمَ قَبْلَ التَّكَرُّرِ؛ لِأَنَّ رِبْحَهُ الْمِيقَاتَ بِالْمَعْنَى الَّذِي تَقَرَّرَ لَمْ يَتَكَرَّرْ
Dengan penjelasan ini diketahui bahawa pendapat yang kuat mengenai orang yang mengulangi umrah dalam bulan-bulan haji ialah dam tidak berulang ke atasnya, walaupun dia telah membayar dam sebelum mengulangi umrah tersebut. Ini kerana manfaat yang diperolehnya daripada tidak perlu kembali ke miqat, sebagaimana yang telah dijelaskan, tidak berulang.”
Oleh itu, jika seorang mutamatti’ melakukan dua, tiga atau lebih umrah dalam bulan-bulan haji, kemudian menunaikan haji pada tahun yang sama, maka dia hanya wajib satu dam tamattu’.
Terdapat permasalahan yang hampir sama tetapi hukumnya berbeza, iaitu jika seorang afaqi - ﺁﻓﺎﻗﻲ - (orang yang datang dari luar Tanah Haram) melakukan ihram umrah dalam bulan-bulan haji, kemudian setelah selesai umrah dia melakukan qiran pada tahun yang sama dengan berihram dari Mekah sambil berniat:
لبيك حجا وعمرة
"Aku menyahut panggilan-Mu untuk melaksanakan haji dan umrah (serentak/haji qiran)."
Kata al-Syeikh Zakaria al-Ansari RH dalam Asna al-Matalib 1/463:
(فَرْعٌ) لَوْ أَحْرَمَ آفَاقِيٌّ بِالْعُمْرَةِ فِي وَقْتِ الْحَجِّ وَأَتَمَّهَا، ثُمَّ قَرَنَ مِنْ عَامِهِ لَزِمَهُ دَمَانِ دَمٌ لِتَمَتُّعِهِ وَدَمٌ لِقِرَانِهِ قَالَ الْبَغَوِيّ فِي تَهْذِيبِهِ
"(Furu‘/Cabang): Jika seorang afaqi berihram umrah pada musim haji, lalu menyempurnakan umrahnya, kemudian pada tahun yang sama dia melakukan qiran, maka wajib ke atasnya dua dam: satu dam kerana tamattu’ dan satu dam kerana qiran. Demikian dinyatakan oleh al-Baghawi dalam kitab al-Tahdhib."
Inilah pendapat muktamad seperti yang dinyatakan oleh al-Haitami dalam Tuhfah al-Muhtaj 4/152 dengan katanya:
وَلَوْ تَمَتَّعَ ثُمَّ قَرَنَ مِنْ عَامِهِ لَزِمَهُ دَمَانِ عَلَى الْمَنْقُولِ الْمُعْتَمَدِ خِلَافًا لِجَمْعٍ لِاخْتِلَافِ مُوجِبَيْ الدَّمَيْنِ فَلَمْ يُمْكِنْ التَّدَاخُلُ
"Jika seseorang melakukan tamattu’ kemudian melakukan qiran pada tahun yang sama, maka wajib ke atasnya dua dam menurut pendapat yang dinukilkan dan muktamad, berbeza dengan pandangan menghimpunkan menjadi satu dam. Ini kerana sebab yang mewajibkan kedua-dua dam tersebut adalah berbeza, maka tidak boleh saling tadakhul."
Walau bagaimanapun, Syeikh Zakariyya al-Ansari menukilkan bahawa al-Subki berpendapat yang wajib hanyalah satu dam tamattu’, dan tidak perlu lagi dam qiran. Beliau berhujah bahawa orang yang telah berada di Mekah lalu melakukan qiran atau tamattu‘ mengambil hukum penduduk Tanah Haram. Bahkan jika tidak mengambil hukum tersebut sekalipun, dam tamattu‘ dan dam qiran adalah daripada jenis yang sama, maka kedua-duanya saling tadakhul. Kata beliau:
وَلَمْ يَطَّلِعْ عَلَيْهِ السُّبْكِيُّ فَأَجَابَ بِأَنَّ الصَّوَابَ لُزُومُ دَمٍ وَاحِدٍ لِلتَّمَتُّعِ، وَلَا شَيْءَ لِلْقِرَانِ مِنْ جِهَةِ أَنَّ مَنْ دَخَلَ مَكَّةَ فَقَرَنَ أَوْ تَمَتَّعَ فَحُكْمُهُ حُكْمُ حَاضِرِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ قَالَ وَبِتَقْدِيرِ أَنْ لَا يَلْحَقَ بِهِمْ فَقَدْ اجْتَمَعَ فِي ذَلِكَ التَّمَتُّعُ وَالْقِرَانُ، وَدَمُهُمَا مُتَجَانِسٌ فَيَتَدَاخَلَانِ وَمَا قَالَاهُ يُتَلَقَّى مَأْخَذُهُ، وَتَحْرِيرَهُ مِمَّا يَأْتِي فِيمَا لَوْ جَاوَزَ الْمِيقَاتَ غَيْرَ مُرِيدٍ لِلنُّسُكِ، ثُمَّ أَحْرَمَ
"Al-Subki tidak menemui pandangan al-Baghawi tersebut, lalu beliau menjawab bahawa yang tepat ialah hanya wajib satu dam kerana tamattu‘, dan tidak ada dam bagi qiran. Ini kerana sesiapa yang telah memasuki Mekah lalu melakukan qiran atau tamattu’, maka hukumnya seperti penduduk sekitar Masjid al-Haram. Beliau berkata: Sekalipun diandaikan dia tidak mengambil hukum mereka, maka dalam keadaan itu telah berkumpul tamattu‘ dan qiran, sedangkan dam bagi kedua-duanya adalah daripada jenis yang sama, maka kedua-duanya saling tadakhul.”
Kesimpulan: Menurut pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i, seorang yang melakukan haji tamattu’ mengulangi umrah dalam bulan-bulan haji tidak menyebabkan dam tamattu’ berulang. Satu dam sahaja diwajibkan walaupun umrah dilakukan berkali-kali sebelum menunaikan haji pada tahun yang sama.
