SDI 1996: Hukum Laksana Nazar I'tikaf Pada Waktu Atau Tempat Tertentu

Soalan:

Apakah perbezaan hukum antara bernazar i‘tikaf pada waktu tertentu dan bernazar i‘tikaf di masjid tertentu?

Jawapan:

Jika seseorang bernazar untuk beri‘tikaf pada waktu tertentu, seperti bernazar untuk beri‘tikaf pada hari Jumaat, maka dia wajib menunaikannya pada waktu tersebut dan tidak boleh mendahulukannya atau melewatkannya.

Sebaliknya, jika seseorang bernazar untuk beri‘tikaf di masjid tertentu, maka dia tidak wajib menunaikannya di masjid tersebut, kecuali jika masjid yang dinazarkan itu ialah salah satu daripada tiga masjid yang mempunyai kelebihan khusus, iaitu:

  1. Masjid al-Haram.
  2. Masjid Nabawi.
  3. Masjid al-Aqsa.

Dalam keadaan ini, orang yang bernazar untuk beri’tikaf di dalam salah satu dari tiga masjid ini, wajib menunaikan nazarnya di masjid yang dinyatakan atau yang lebih lebih tinggi kedudukan dalam tiga senarai masjid tersebut. Ini bermakna, i‘tikaf di Masjid al-Haram memadai bagi nazar i’tikaf di Masjid Nabawi atau Masjid al-Aqsa, manakala i‘tikaf di Masjid Nabawi memadai bagi nazar i’tikaf di Masjid al-Aqsa. Namun tidak memadai jika sebaliknya, seperti seseorang yang bernazar I’tikaf di Masjid al-Haram, namun perlaksanaannya dilakukan di Masjid Nabawi atau Masjid al-Aqsa.

Sebab waktu yang ditentukan dalam nazar wajib dipatuhi sedangkan tempat yang ditentukan tidak semestinya dipatuhi ialah kerana:

أن تعلق العبادة بالزمان أشد من تعلقها بالمكان

“Hubungan ibadah dengan masa lebih kuat berbanding hubungannya dengan tempat.” (Lihat Hasyiah al-Bujairimi 2/112)

Kaedah ini mempunyai banyak contoh dalam fiqh, antaranya:

Pertama

Solat yang dilakukan pada waktu yang dilarang adalah batal menurut pendapat al-Sahih, walaupun larangan itu hanya bersifat makruh tanzih. Sebaliknya, solat yang dilakukan di tempat yang makruh tidak batal, seperti solat di tengah jalan atau laluan orang ramai.

Kedua

Harus, bahkan menurut Imam al-Rafi‘i sunat, berihram sebelum sampai ke miqat makani. Seseorang boleh berihram dari kampung halamannya.

Namun, jika seseorang berihram haji sebelum masuk waktu haji (sebelum miqat zamani), maka ihram hajinya tidak sah dan tidak berlaku ihram haji.

Kata Ibn al-Rif‘ah:

قَدْ عَلِمْت أَنَّ تَقْدِيمَ الْإِحْرَامِ عَلَى الْمِيقَاتِ الْمَكَانِيِّ سَائِغٌ وَلَا كَذَلِكَ الزَّمَانِيُّ وَالْفَرْقُ أَنَّ الْمَكَانِيَّ مَبْنِيٌّ عَلَى الِاخْتِلَافِ فِي حَقِّ النَّاسِ وَلَا كَذَلِكَ الزَّمَانِيُّ

"Telah diketahui bahawa mendahulukan ihram sebelum sampai ke miqat makani adalah harus. Namun tidak demikian halnya dengan miqat zamani. Perbezaannya ialah miqat makani dibina atas dasar perbezaan tempat yang berkaitan dengan hak-hak manusia, sedangkan miqat zamani tidak demikian." (Hasyiah al-Bujairimi 2/112)

 


Cetak  
Wallahu a'lam