Soalan:
Sebahagian dari dahan-dahan pokok dari rumah jiran menjulur masuk ke bahagian rumah kami. Bolehkah kami memetik buah dari dahan yang menjulur ke kawasan kami lalu memakannya, tanpa meminta izin daripada pemilik pokok tersebut.
Jawapan:
Imam Ahmad dan selainnya meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
لا يَحلُّ مالُ امرِئٍ مُسلمٍ إلا بطِيبٍ نَفسٍ منهُ
“Tidak halal harta seorang Muslim melainkan dengan kerelaan hatinya.”
Baginda ﷺ juga bersabda:
كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ
“Setiap Muslim terhadap Muslim yang lain adalah haram darahnya, hartanya dan maruahnya.” (Riwayat Muslim)
Berdasarkan hal itu, tidak boleh seorang Muslim mengambil harta saudaranya yang Muslim melainkan apa yang diizinkan oleh pemiliknya atau kerana suatu keperluan yang mendesak. Selain daripada itu tidak dibenarkan, sekalipun hanya sebatang kayu siwak.
Oleh itu tidak boleh dan tidak halal memakan buah dari dahan pokok jiran yang menjulur ke kawasan rumah anda, kecuali dengan izinnya.
Sekiranya dahan-dahan yang menjulur ke kawasan rumah anda itu mengganggu atau memudaratkan, maka anda berhak meminta supaya si jiran mengalih atau memotongnya dari terus masuk ke kawasan rumah anda. Hal Ini berdasarkan sabda Nabi ﷺ:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
“Tidak boleh melakukan mudarat dan tidak boleh membalas mudarat dengan mudarat.” (Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’).
