SDI 2004: Hukum Tawaf Menaiki Kerusi Roda Atau Skuter Elektrik

Soalan:

Apakah hukum seseorang bertawaf dengan menaiki kerusi roda elektrik atau skuter elektrik di Masjidil Haram? Adakah tawafnya sah?

Jawapan:

Tawaf dengan menaiki kerusi roda elektrik atau skuter (العَرَبَة) terbahagi kepada dua situasi:

Situasi pertama: Orang yang menaiki kerusi roda elektrik itu sendiri mengawalnya, iaitu dia yang menghidupkan, memberhentikan dan mengarahkannya.

Hukum bagi keadaan ini adalah sama seperti seseorang yang bertawaf dengan menaiki haiwan tunggangan. Tawafnya adalah sah dan tawaf tersebut dikira untuk dirinya. Bahkan menaiki kerusi roda yang dikawal sendiri lebih baik dari menaiki haiwan tunggangan, kerana haiwan mempunyai kehendak dan pilihan tertentu, sedangkan kerusi roda elektrik tidak mempunyai kehendak sendiri.

Situasi kedua: Orang lain yang mengawal kerusi roda tersebut dengan menghidupkan, memberhentikan dan mengarahkannya.

Hukumnya juga harus dan tawafnya sah. Keadaannya sama seperti seseorang yang bertawaf di atas haiwan tunggangan sedangkan orang lain yang menuntun atau mengemudikannya. Keadaan ini tidak termasuk dalam perbahasan seseorang yang dipikul oleh orang lain ketika tawaf, yang mempunyai perincian hukum tersendiri di sisi para fuqaha.

Disebut dalam Tuhfat al-Muhtaj 4/96:

لَوْ جَذَبَ مَا هُوَ عَلَيْهِ كَخَشَبَةٍ أَوْ سَفِينَةٍ، فَإِنَّهُ لَا تَعَلُّقَ لِكُلٍّ بِطَوْفِ الْآخَرِ

“Sekiranya seseorang menarik sesuatu yang dia berada di atasnya seperti papan atau perahu, maka tawaf setiap seorang tidak bergantung kepada tawaf yang seorang lagi.”

Disebut dalam Asna al-Matalib 1/479:

لَوْ لَمْ يَحْمِلْهُ بِأَنْ جَعَلَهُ فِي شَيْءٍ مَوْضُوعٍ عَلَى الْأَرْضِ وَجَذَبَهُ فَظَاهِرٌ أَنَّهُ لَا تَعَلُّقَ لِطَوَافِ كُلٍّ مِنْهُمَا بِطَوَافِ الْآخَرِ لِانْفِصَالِهِ عَنْهُ وَنَظِيرِهِ مَا لَوْ كَانَ بِسَفِينَةٍ وَهُوَ يَجْذِبُهَا

“...Sekiranya dia tidak memikulnya, bahkan meletakkannya di dalam sesuatu yang berada di atas tanah lalu menariknya, maka zahirnya tawaf setiap seorang daripada mereka tidak bergantung kepada tawaf yang seorang lagi kerana terdapat pemisahan antara kedua-duanya. Keadaannya sama seperti seseorang yang berada di dalam sebuah perahu lalu dia menarik perahu tersebut.”

Syarat bagi sahnya tawaf dalam semua keadaan yang disebutkan di atas ialah orang yang bertawaf itu tidak berniat dengan pergerakannya untuk tujuan lain selain tawaf.

Namun demikian, yang lebih utama bagi orang yang mampu berjalan ialah tidak bertawaf dengan menaiki kenderaan atau kerusi roda. Inilah yang disebut oleh para fuqaha, malah sebahagian ulama menyatakan hukumnya makruh tanpa keperluan.

 


Cetak  
Wallahu a'lam