SDI 2009: Hukum Makmum Dan Imam Berbeza Mazhab

Soalan:

Apa hukum imam bermazhab Hanafi, makmum bermazhab Syafi’i. Sebelum solat, makmum yang mazhab Syafi’i nampak imam bermazhab Hanafi bersalaman dengan isterinya, kemudian tidak berwudhu lagi. Bolehkah makmum tersebut solat di belakang imam yang Hanafi itu?

Jawapan:

Seorang imam yang bermazhab Hanafi tidak berwudhu setelah bersentuhan dengan isterinya kerana di sisi mazhab Hanafi, menyentuh wanita atau isteri tidak membatalkan wuduk,

Sedangkan makmum pula bermazhab Syafi‘i dan berpendapat menyentuh isteri membatalkan wuduk,

Para fuqaha menimbulkan persoalan dengan kata mereka:

هل العبرة هنا باعتقاد الإمام أم باعتقاد المأموم ؟

Adakah yang diambil kira dalam keadaan ini ialah iktikad imam atau iktikad makmum?

Berdasarkan pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi’I, yang diambil kira ialah iktikad makmum.

Oleh itu, jika makmum mengetahui bahawa imam telah melakukan sesuatu yang membatalkan wuduk menurut pegangan makmum, maka makmum tersebut tidak boleh berimamkan imam Hanafi yang diketahui melakukan perkara yang membatalkan wudhu di sisi makmum yang Syafi’i. Jika makmum tidak mengetahui perkara tersebut, maka tidak mengapa.

Namun terdapat pendapat lain dalam mazhab Syafi’i yang berbeza dengan pendapat muktamad ini, iaitu yang diambil kira ialah iktikad imam, dan pendapat ini dianggap lebih sesuai kerana lebih memudahkan orang ramai.

Berdasarkan pendapat yang bukan muktamad ini, jika imam melakukan sesuatu yang pada kefahaman makmum membatalkan wuduk, tetapi perkara itu tidak membatalkan wuduk menurut mazhab imam, maka sah bagi makmum yang berbeza mazhab dengan imamnya, berimamkan imam tersebut dan tidak timbul sebarang masalah.

Kata al-Damiri dalam al-Najm al-Wahhaj 2/347:

والثاني: عكسه اعتبارًا بنية الإمام؛ لأن صلاته في هذه الحالة صحيحة في نفسه، وخطؤه غير مقطوع به، وإلى هذا ذهب القفال، وهو المنصوص وعليه الجمهور وعمل الناس في الأعصار مع الخلاف بينهم، فلم تزل الصحابة وغيرهم يصلون خلف المخالف وإن ترك واجبًا عندهم، وقد صلى معاوية بأهل المدينة فلم يبسمل، فلما سلم ذكروا له ذلك، فلما صلى بهم ثانيًا قرأها، ولم ينقل عن أحد منهم أنه أعاد تلك الصلاة

Pendapat kedua adalah sebaliknya, iaitu yang diambil kira ialah pegangan (iktikad) imam. Ini kerana solat imam dalam keadaan tersebut sah pada dirinya sendiri, dan kesalahannya tidak dapat dipastikan secara yakin. Inilah pendapat yang dipilih oleh Al-Qaffal, dan ia juga merupakan pendapat yang dinaskan dalam mazhab. Pendapat ini dipegang oleh majoriti ulama serta menjadi amalan umat Islam sepanjang zaman walaupun wujud perbezaan pandangan antara mereka. Para sahabat dan generasi selepas mereka sentiasa menunaikan solat di belakang orang yang berbeza pandangan dengan mereka, walaupun imam tersebut meninggalkan sesuatu yang dianggap wajib menurut pegangan mereka. Sebagai contoh, Muawiyah ibn Abi Sufyan pernah mengimamkan penduduk Madinah dalam solat dan beliau tidak membaca basmalah. Setelah selesai solat, mereka menegurnya mengenai perkara tersebut. Apabila beliau mengimamkan mereka sekali lagi, beliau membaca basmalah. Namun tidak dinukilkan daripada seorang pun dalam kalangan mereka bahawa mereka mengulangi solat yang telah ditunaikan bersamanya sebelum itu.”

Ibn al-Mulaqqin (W804) dalam ‘Ujalah al-Muhtaj Ila Taujih al-Minhaj 1/317 menyebut:  

وَلَوِ اقْتَدَى شَافِعِيُّ بِحَنَفِيٍّ مَسَّ فَرْجَهُ أَوِ افْتصَدَ فَالأَصَحُّ الصَّحَّةُ فِي الْفَصْدِ دُونَ الْمَسً اعْتِبَارًا بِنِيَّةِ الْمُقْتَدِي، لأنه محدث في اعتقاده في المس دون الفصد، والثاني: عَكْسُهُ؛ لأن صلاته والحالة هذه صحيحة في نفسه وخطؤه عندنا غير مقطوع به، وقال الأَوْدَنِيُّ والْحَلِيمِيّ واستحسنه الرافعي: إذا أَمَّ ولي الأمر أو نائبه فترك البسملة والمأموم يرى وجوبها صحت صلاته خلفه عالمًا كان أم عاميًا وليس له المفارقة لما فيه من الفتنة، وَلاَ تَصِحُّ قُدْوَةٌ بِمُقْتَدٍ، أي في حال قدرته؛ لأنه متبنى المأموم، كأن يكون الإمام حنفيًا والمأموم شافعيًا، أو العكس؛ فليس الجامع من أمر الصلاة بينهما ما ينقض بناء الصلاة بالوصف التعبدي وطريقته الشرعية.

Sekiranya seorang yang bermazhab Syafi‘i berimamkan seorang imam yang bermazhab Hanafi yang telah menyentuh kemaluannya atau mengeluarkan darah melalui fasd, maka terdapat dua pendapat. Pendapat al-aṣaḥ: Solat itu sah dalam masalah fasd (mengeluarkan darah), tetapi tidak sah dalam masalah menyentuh kemaluan. Ini kerana yang diambil kira ialah pegangan makmum. Hal ini kerana imam tersebut dianggap berhadas menurut pegangan makmum dalam masalah menyentuh kemaluan, tetapi tidak dalam masalah fasd. Pendapat kedua: Sebaliknya, solat itu sah dalam kedua-dua keadaan tersebut. Ini kerana solat imam dalam keadaan itu sah menurut pegangan dirinya sendiri, dan kesalahannya menurut kita bukan secara pasti. Al-Awdani dan Al-Halimi menyatakan, pandangan ini dianggap baik oleh Al-Rafi'i: Jika pemerintah atau wakilnya mengimamkan solat lalu tidak membaca basmalah, sedangkan makmum berpendapat basmalah wajib dibaca, maka sah solat makmum di belakangnya sama ada makmum itu seorang yang mengetahui atau tidak. Makmum juga tidak boleh berpisah daripada imam kerana dikhuatiri menimbulkan fitnah.


Cetak  
Wallahu a'lam