Soalan:
Ustaz apa hukum seseorang sebagai contoh membuat pinjaman RM500 ribu dari bank untuk menganjurkan pertandingan memancing. Dari pinjaman tersebut penganjur berjaya mendapat keuntungan dari wang penyertaan, mungkin satu atau dua kali ganda dari pinjamannya. Dari RM500k itu juga penganjur sediakan hadiah kepada pemenang.
Jawapan:
Ada sekurang-kurangnya dua isu dalam soalan ini:
Pertama: Hukum membuat pinjaman untuk penganjuran pertandingan memancing. Ia kembali kepada pinjaman yang dilakukan, jika terbabit dengan riba, maka ia haram. Jika tidak terbabit dengan riba, maka ia halal.
Kedua: Asas persoalan yang dibangkitkan iaitulah meminjam untuk menganjurkan pertandingan untuk menampung kos yang berkaitan termasuk penyediaan hadiah kepada pemenang. Keuntungan pula diambil dari yuran penyertaan dari peserta.
Terdapat satu siri soal-jawab dalam web islamweb.net yang memiliki gambaran yang sama dengan isu yang ditanya. Saya terjemahkan soal-jawab tersebut di bawah ini.
Soalan:
Saya bercadang untuk mewujudkan sebuah platform penganjuran pertandingan secara elektronik. Melalui platform ini, seseorang boleh membuka pertandingan yang memerlukan bayaran penyertaan. Sebahagian daripada bayaran penyertaan tersebut akan menjadi milik platform, manakala sebahagian lagi menjadi milik penganjur pertandingan. Penganjur pertandingan pula bertanggungjawab menyediakan hadiah kepada para pemenang.
Apakah hukum platform seperti ini secara umum? Adakah ia termasuk dalam kategori perjudian?
Sekiranya jumlah bayaran yang dikenakan kepada peserta melebihi keperluan sebenar pertandingan seperti kos operasi dan pengurusan, agar keuntungan bersih diperolehi oleh penyedia platform dan penganjur pertandingan, adakah hal itu menimbulkan sebarang masalah dari sudut syarak?
Jika terdapat unsur yang haram dalam perkara ini, adakah ia boleh dielakkan dengan apa-apa cara, atau adakah asal idea ini sememangnya haram?
Fatwa dari islamweb.net:
Pertandingan dalam perkara-perkara harus yang tidak termasuk dalam maksud hadis:
لَا سَبْقَ إِلَّا فِي خُفٍّ، أَوْ نَصْلٍ، أَوْ حَافِرٍ
"Tidak ada (tidak dibenarkan) hadiah pertandingan melainkan pada unta, memanah atau kuda." (Hadis ini sahih. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad (2/474), Abu Dawud (2574), al-Nasa’i (6/226), al-Tirmizi (1700) dan Ibn Hibban (4671). Al-Tirmizi berkata: "Hadis ini hasan." (حديث حسن)
Oleh itu, pertandingan yang termasuk dalam maksud hadis ini adalah tidak harus menawarkan hadiah (ganjaran) padanya secara mutlak menurut mazhab fiqh yang empat dan juga mazhab Zahiri.
Dinukilkan satu pendapat dalam mazhab Maliki bahawa harus menawarkan hadiah dalam jenis pertandingan seperti ini jika hadiah tersebut datang daripada pihak ketiga (orang luar yang tidak menyertai pertandingan).
Adapun mengumpulkan nilai hadiah daripada wang semua peserta, maka ia tidak halal berdasarkan kesepakatan ulama, kerana ia termasuk dalam perjudian dan maksud perjudian (al-maysir) pada perbuatan mengumpulkan nilai hadiah dari wang semua peserta yang terdapat dalam soalan sangat jelas; kerana setiap peserta menyertai dengan harapan untuk menang dan pada masa yang sama menanggung risiko kerugian. Inilah hakikat perjudian.
Berdasarkan fatwa ini, jika seseorang membuat pinjaman untuk menyediakan hadiah pertandingan memancing, kemudian kos tersebut ditebus kembali melalui bayaran penyertaan para peserta sehingga penganjur memperoleh keuntungan, maka yang diambil kira bukan sekadar sumber awal hadiah (daripada pinjaman), tetapi siapa yang akhirnya menanggung kos hadiah tersebut.
Jika pada hakikatnya hadiah itu dibiayai daripada wang yang dibayar oleh para peserta, maka ia termasuk dalam bentuk yang dilarang kerana peserta sama ada:
- rugi wang penyertaan yang dibayar, atau
- beruntung kerana menang lalu mendapat hadiah.
Sebaliknya, jika hadiah itu benar-benar ditanggung oleh pihak luar atau penganjur sendiri tanpa ditebus daripada wang peserta, maka unsur perjudian tersebut tidak wujud menurut perincian yang disebut oleh para ulama.
-------------------- teks asal fatwa islamweb.net -------------------------
السؤال: أفكر في إنشاء منصة تنظيم مسابقات إلكترونية، بحيث يمكن فيها فتح مسابقة مدفوعة الاشتراك، وجزء من هذه الاشتراكات يذهب للمنصة، وجزء آخر يذهب لمنشئ المسابقة، ومنشئ المسابقة هو المسؤول عن توفير الجوائز، فما حكم المنصة بشكل عام؟ وهل تدخل تحت حكم القمار؟ ولو كان المبلغ المدفوع أكثر من حاجة المسابقة -من تشغيل، وتنظيم-، وفيه ربح صاف للمنصة ومنشئ المسابقة، فهل في ذلك إشكال؟ وإن كان في الأمر حرمة، فهل يمكن تجنبه بأي طريقة أم إن أصل الفكرة محرمة؟ وجزاكم الله خيرا.
الإجابــة: الحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه، أما بعد: فالمباحات التي ليست في معنى ما ورد في حديث: لا سبق إلا في خف، أو نصل، أو حافر. لا يجوز بذل العوض (الجوائز) فيها مطلقا، في المذاهب الفقهية الأربعة، والمذهب الظاهري. وحكي قول عن المالكية أنه يجوز بذل العوض في هذا النوع من المسابقات، إذا كان العوض من أجنبي، وراجع في ذلك الفتويين: 358624، 345892. وأما أن تجمع قيمة الجوائز من أموال جميع المشاركين، فلا يجوز بالاتفاق، ومعنى الميسر في هذه الصورة واضح؛ فكل مشترك يكون على أمل الفوز وخطر الخسارة، وهذا هو معنى المقامرة، وراجع في ذلك الفتوى: 6350.
