Soalan:
Mengapa mazhab Syafi’i masih berpandangan adanya solat sunat qabliah sebelum solat Jumaat? Apakah dalil mereka?
Jawapan:
Sememangnya mazhab Syafi‘i berpendapat ada solat sunat qabliah sebelum solat Jumaat. Bukan sekadar itu, bahkan ulama mazhab Syafi’i berpandangan solat Jumaat mengambil hukum yang sama seperti solat Zuhur dalam perkara-perkara sunat yang berkaitan dengannya. Oleh itu, sebagaimana disunatkan solat sunat empat rakaat sebelum Zuhur, demikian juga disunatkan solat sunat empat rakaat sebelum Jumaat.
Sudah tentu para ulama memiliki dalil terhadap pandangan mereka. Cuma, sebelum membincangkan dalil mereka, perlu dijelaskan bahawa perselisihan ulama dalam isu ini hanyalah berkaitan solat sunat qabliyyah Jumaat yang khusus.
Adapun berkenaan solat sunat mutlak sebelum Jumaat, maka para ulama bersepakat tentang pensyariatannya. Dalil perkara ini ialah hadis dalam Sahih Muslim daripada Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa Nabi ﷺ bersabda:
مَنِ اغْتَسَلَ ثُمَّ أَتَى الْجُمُعَةَ فَصَلَّى مَا قُدِّرَ لَهُ ثُمَّ أَنْصَتَ حَتَّى يَفْرُغَ مِنْ خُطْبَتِهِ ثُمَّ يُصَلِّيَ مَعَهُ غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ الْأُخْرَى وَفَضْلُ ثَلَاثَةِ أَيَّام
"Sesiapa yang mandi, kemudian datang menunaikan solat Jumaat, lalu dia menunaikan solat sebanyak yang ditakdirkan baginya, kemudian dia diam mendengar khutbah sehingga selesai, lalu dia menunaikan solat bersama imam, diampunkan dosanya antara Jumaat tersebut dengan Jumaat yang berikutnya dan ditambah dengan tiga hari lagi."
Dalil Pensyariatan Solat Sunat Qabliyyah Jumaat Secara Khusus di Sisi Mazhab Syafi’i
Dalil-dalil Mazhab Syafi‘I dalam persoalan ini adalah seperti berikut:
1. Hadis Sulaik al-Ghatafani
Daripada Jabir ibn Abd Allah رضي الله عنه:
جَاءَ سُلَيْكٌ الْغَطَفَانِيُّ وَرَسُولُ اللَّهِ ﷺ يَخْطُبُ، فَقَالَ لَهُ النَّبيُّ ﷺ: أَصَلَّيْتَ الرَّكْعَتَيْنِ؟، قَالَ: لَا، قَالَ: صَلِّ رَكْعَتَيْنِ تَجَوَّزْ فِيهِمَا
Sulaik al-Ghatafani datang ketika Rasulullah ﷺ sedang berkhutbah. Lalu Nabi ﷺ bertanya: "Adakah engkau telah menunaikan dua rakaat?" Dia menjawab: "Tidak." Baginda bersabda: "Maka bangunlah dan solatlah dua rakaat serta ringankanlah kedua-duanya." (Riwayat Sahih Muslim)
Para ulama Syafi‘iyyah berhujah dengan lafaz hadis Nabi ﷺ pada riwayat Ibn Majah:
أصلَّيتَ رَكْعتينِ قبلَ أن تَجيءَ
"Adakah engkau telah solat sebelum datang?" (Ibn Hajar turut menyebut hadis tersebut dalam Fath al-Bari (2/410) tanpa memberikan sebarang ulasan mengenainya (وسكت عنه))[1]
Mereka menyatakan bahawa lafaz ini menunjukkan solat yang dimaksudkan bukan Tahiyyatul Masjid. Ini kerana jika yang dimaksudkan ialah Tahiyyatul Masjid, maka solat yang dilakukan di rumah tidak boleh menggantikannya. Oleh itu, menurut mereka, hadis ini memberi isyarat kepada adanya solat sunat sebelum atau qabliah Jumaat.
2. Amalan Ibn Mas‘ud
Diriwayatkan daripada Abd Allah ibn Masud رضي الله عنه:
أَنَّهُ كَانَ يُصَلِّي قَبْلَ الجُمُعَةِ أَرْبَعًا، وَبَعْدَهَا أَرْبَعًا
Bahawa beliau menunaikan solat sunat empat rakaat sebelum Jumaat dan empat rakaat selepasnya.[2]
Al-Khatib al-Shirbini menyatakan:
لِخَبَرِ التِّرْمِذِيِّ أَنَّ ابْنَ مَسْعُودٍ كَانَ يُصَلِّي قَبْلَ الْجُمُعَةِ أَرْبَعًا وَبَعْدَهَا أَرْبَعًا، وَالظَّاهِرُ أَنَّهُ بِتَوْقِيفٍ مِنْ النَّبِيِّ - ﷺ -
Bahawa zahir amalan Ibn Mas‘ud menunjukkan ia berdasarkan petunjuk Nabi ﷺ dan bukan semata-mata ijtihad beliau.
3. Hadis Abu Hurairah
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه:
إذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ الْجُمُعَةَ فَلِيُصَلِّ بَعْدَهَا أَرْبَعًا
"Apabila seseorang daripada kamu menunaikan solat Jumaat, maka tunaikanlah juga empat rakaat selepasnya."
al-Bujairami dalam Hasyiahnya 1/415 menyebut:
قَوْلُهُ: (وَالْجُمُعَةُ كَالظُّهْرِ) فَيُصَلِّي قَبْلَهَا أَرْبَعًا وَبَعْدَهَا أَرْبَعًا أَيْ: إذَا كَانَتْ تُغْنِي عَنْ الظُّهْرِ، وَإِلَّا فَيَنْوِي سُنَّةَ الظُّهْرِ الْبَعْدِيَّةِ بَعْدَ فِعْلِ الظُّهْرِ وَلَا بَعْدِيَّةَ لِلْجُمُعَةِ كَمَا يُؤْخَذُ مِنْ م ر. أَيْ: وَيُصَلِّي حِينَئِذٍ سُنَّةَ الظُّهْرِ الْقَبْلِيَّةِ. قَوْلُهُ: (وَالظَّاهِرُ أَنَّهُ) أَيْ الْمَذْكُورُ مِنْ الصَّلَاةِ قَبْلَهَا أَرْبَعًا وَأَمَّا مَا بَعْدَهَا فَقَدْ أَمَرَ بِهَا - ﷺ - فِي خَبَرِ مُسْلِمٍ خِلَافًا لِمَا يَقْتَضِيهِ عِبَارَةُ الشَّارِحِ مِنْ رُجُوعِ الضَّمِيرِ لِلْأَمْرَيْنِ
Perkataan al-Khatib: (Dan solat Jumaat adalah seperti Zuhur) Maksudnya, seseorang menunaikan empat rakaat sebelum Jumaat dan empat rakaat selepasnya, iaitu apabila solat Jumaat tersebut memadai bagi menggantikan solat Zuhur (maka hukumnya sama dengan Zohor). Jika tidak, maka dia berniat sunat ba‘diyyah Zuhur selepas menunaikan Zuhur. Dalam keadaan itu tidak ada sunat ba‘diyyah khusus bagi Jumaat, sebagaimana yang dapat difahami daripada kenyataan Imam al-Ramli. Maksudnya juga, ketika itu dia menunaikan sunat qabliyyah Zuhur.”
4. Amalan Ibn Umar
Daripada Nafi’ katanya:
عَن نَافِع قَالَ كَانَ ابْن عمر يُطِيل الصَّلَاة قبل الْجُمُعَة وَيُصلي بعْدهَا رَكْعَتَيْنِ فِي بَيته وَحدث أَن رَسُول الله ﷺ كَانَ يفعل ذَلِك
"Dahulunya Abd Allah ibn Umar رضي الله عنهما akan memanjangkan solat sebelum Jumaat dan menunaikan dua rakaat selepas Jumaat di rumahnya, beliau juga menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ melakukan demikian."
5. Hadis Abdullah bin al-Zubair
Daripada Abd Allah ibn al-Zubayr رضي الله عنهما:
مَا مِنْ صَلَاةٍ مَفْرُوضَةٍ إِلَّا وَبَيْنَ يَدَيْهَا رَكْعَتَانِ
"Tiada suatu solat fardu melainkan terdapat dua rakaat sebelumnya."
Al-Qastallani dalam Irsyad al-Sari 5/135 menyebut:
وأقوى ما يُستَدلُّ به في مشروعيَّتها عمومُ ما صحَّحه ابن حبَّان من حديث عبد الله بن الزُّبير مرفوعًا: ما من صلاةٍ مفروضةٍ إلَّا وبين يديها ركعتان
“Dalil yang paling kuat bagi mensabitkan sunat qabliyyah Jumaat ialah keumuman hadis yang disahihkan oleh Ibn Hibban daripada Abdullah bin al-Zubair رضي الله عنهما secara marfu’: “Tiada suatu solat fardu melainkan terdapat dua rakaat (sunat) sebelumnya.”
Oleh itu, solat Jumaat juga termasuk dalam keumuman hadis ini kerana ia merupakan solat fardu.
6. Hadis Ibn Abbas
Ibn Majah meriwayatkan daripada Abd Allah ibn Abbas رضي الله عنهما:
كَانَ النَّبِي ﷺ يرْكَع قبل الْجُمُعَة أَرْبعا لَا يفصل فِي شَيْء مِنْهُنَّ
"Nabi ﷺ menunaikan empat rakaat sebelum Jumaat tanpa memisahkan antara rakaat-rakaat tersebut."[3]
7. Hadis Ali
Daripada Ali ibn Abi Talib رضي الله عنه:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ يصلي قبل الجمعة أربعا وبعدها أربعا يجعل التسليم في آخر ركعة
"Rasulullah ﷺ menunaikan empat rakaat sebelum Jumaat dan empat rakaat selepasnya. Baginda menjadikan salam di akhir rakaat."[4]
8. Qiyas kepada Zuhur
Mazhab Syafi‘i juga mengqiyaskan Jumaat kepada Zuhur kerana kedua-duanya berada dalam waktu yang sama. Antara petunjuk yang disebut ialah tindakan Al-Bukhari yang meletakkan bab: باب الصلاة بعد الجمعة وقبلها "Bab Solat Selepas Jumaat dan Sebelum Jumaat". Kemudian beliau membawakan hadis Abd Allah ibn Umar رضي الله عنهما yang menyebut baginda ﷺ menunaikan solat sunat sebelum dan selepas Zuhur dua rakaat, selepas Maghrib dua rakaat, selepas Isyak dua rakaat dan baginda tidak menunaikan solat sunat selesap Jumaat sehinggalah apabila baginda pulang. Ini difahami oleh sebahagian ulama sebagai isyarat al-Bukhari bahawa Jumaat diqiyaskan kepada Zuhur.
Abdullah bin Umar رضي الله عنهما dalam hadis yang diriwayatkan ini tidak menyebut secara khusus adanya solat sunat sebelum Jumaat. Akan tetapi Imam al-Bukhari seolah-olah mengisyaratkan bahawa Jumaat mengambil hukum yang sama seperti Zuhur dalam masalah solat sunat rawatib. Justeru beliau meletakkan tajuk: الصلاة بعد الجمعة وقبلها "Bab Solat Selepas Jumaat dan Sebelum Jumaat", kemudian beliau menyertakan hadis Ibn Umar yang menyebut solat sunat sebelum dan selepas Zuhur serta solat sunat selepas Jumaat.
Sebahagian ulama memahami bahawa cara Imam al-Bukhari membuat tajuk bab ini menunjukkan kecenderungan beliau untuk mengqiyaskan Jumaat kepada Zuhur dalam bab solat sunat sebelumnya.
[1] Al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi 3/46 menyebut:
قَالَ الْحَافِظُ فِي التَّلْخِيصِ لَمْ يَذْكُرِ الرَّافِعِيُّ فِي سُنَّةِ الْجُمُعَةِ الَّتِي قَبْلَهَا حديثا، وأصح ما فيه ما رواه بن مَاجَهْ ثُمَّ ذَكَرَ الْحَافِظُ هَذَا الْحَدِيثَ ثُمَّ قال قال المجد بن تَيْمِيَّةَ فِي الْمُنْتَقَى قَوْلُهُ قَبْلَ أَنْ تَجِيءَ دَلِيلٌ عَلَى أَنَّهُمَا سُنَّةُ الْجُمُعَةِ الَّتِي قَبْلَهَا لاتحية الْمَسْجِدِ وَتَعَقَّبَهُ الْمِزِّيُّ بِأَنَّ الصَّوَابَ أَصَلَّيْتَ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ تَجْلِسَ فَصَحَّفَهُ بَعْضُ الرُّوَاةِ
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata dalam al-Talkhis: "Al-Rafi‘i tidak menyebut sebarang hadis berkaitan solat sunat sebelum Jumaat. Hadis yang paling kuat dalam bab ini ialah riwayat Ibn Majah..” Lalu al-Hafiz menyebut hadis ini, kemudian beliau berkata: Majd al-Din Ibn Taymiyyah berkata dalam al-Muntaqa: "Lafaz: 'sebelum engkau datang' (قبل أن تجيء) merupakan dalil bahawa dua rakaat yang dimaksudkan ialah solat sunat sebelum (qabliah) Jumaat, bukan Tahiyyatul Masjid." Namun pandangan ini dikritik oleh Al-Mizzi yang berkata: "Lafaz yang betul ialah: “Adakah engkau telah menunaikan dua rakaat sebelum engkau duduk?” (أصليت ركعتين قبل أن تجلس), lalu sebahagian perawi telah tersilap melakukan tashif ketika menukilkannya."
Al-‘Iraqi dalam Tarḥ al-Tathrīb fī Sharḥ al-Taqrīb 3/42-43 menyebut:
وَاسْتَدَلُّوا لِذَلِكَ أَيْضًا بِمَا رَوَاهُ ابْنُ مَاجَهْ فِي سُنَنِهِ بِإِسْنَادٍ صَحِيحٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ - رضي الله عنه - قَالَ «جَاءَ سُلَيْكٌ الْغَطَفَانِيُّ وَرَسُولُ اللَّهِ - ﷺ - يَخْطُبُ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ - ﷺ - أَصْلَيْت قَبْلَ أَنْ تَجِيءَ قَالَ لَا، قَالَ فَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ وَتَجَوَّزْ فِيهِمَا» قَالَ الْمَجْدُ بْنُ تَيْمِيَّةَ فِي الْأَحْكَامِ رِجَالُ إسْنَادِهِ ثِقَاتٌ وَرَوَاهُ ابْنُ مَاجَهْ أَيْضًا مِنْ حَدِيثِ جَابِرٍ قَالَ وَالِدِي - رحمه الله - فِي شَرْحِ التِّرْمِذِيِّ وَإِسْنَادُهُ صَحِيحٌ قَالُوا فَقَوْلُهُ قَبْلَ أَنْ يَجِيءَ يَدُلُّ عَلَى أَنَّ الصَّلَاةَ الْمَأْمُورَ بِهَا لَيْسَتْ تَحِيَّةَ الْمَسْجِدِ لِأَنَّ فِعْلَهَا فِي الْبَيْتِ لَا يَقُومُ مَقَامَ فِعْلِهَا فِي الْمَسْجِدِ فَتَعَيَّنَ أَنَّهَا سُنَّةُ الْجُمُعَةِ. وَفِيهِ نَظَرٌ فَلَمْ يَتَعَيَّنْ ذَلِكَ فَلَا يَجُوزُ إثْبَاتُ سُنَّةِ الْجُمُعَةِ لِمُجَرَّدِ هَذَا إذْ يَحْتَمِلُ أَنَّ مَعْنَاهُ قَبْلَ أَنْ تَقْتَرِبَ مِنِّي لِسَمَاعِ الْخُطْبَةِ وَلَيْسَ الْمُرَادُ قَبْلَ أَنْ يَجِيءَ إلَى الْمَسْجِدِ لِأَنَّ صَلَاتَهُ قَبْلَ مَجِيءِ الْمَسْجِدِ غَيْرُ مَشْرُوعَةٍ فَكَيْفَ يَسْأَلُهُ عَنْهَا إذْ الْمَأْمُورُ بِهِ بَعْدَ دُخُولِ وَقْتِ الْجُمُعَةِ السَّعْيُ إلَى مَكَانِ الْجُمُعَةِ وَقَبْلَهُ لَا يَصِحُّ فِعْلُهَا بِتَقْدِيرِ ثُبُوتِهَا.
Mereka (yang berpendapat adanya sunat qabliyyah Jumaat) juga berhujah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah dalam Sunannya dengan sanad yang sahih daripada Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa beliau berkata: “Sulaik al-Ghatafani datang ketika Rasulullah ﷺ sedang berkhutbah. Lalu Rasulullah ﷺ bertanya kepadanya: ‘Adakah engkau telah solat sebelum datang?’ Dia menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bersabda: ‘Maka solatlah dua rakaat dan ringankanlah kedua-duanya.” Al-Majd Ibn Taymiyyah berkata dalam al-Ahkam: “Para perawi sanadnya adalah thiqah.” Hadis ini juga diriwayatkan oleh Ibn Majah daripada hadis Jabir ibn Abd Allah رضي الله عنه. Ayahku berkata dalam Syarh al-Tirmidhi: “Sanadnya sahih.” Mereka berkata: Lafaz Nabi ﷺ: «أصليت قبل أن تجيء» “Adakah engkau telah solat sebelum datang?” menunjukkan bahawa solat yang diperintahkan itu bukan Tahiyyatul Masjid. Ini kerana jika seseorang menunaikan Tahiyyatul Masjid di rumahnya, ia tidak menggantikan Tahiyyatul Masjid yang dilakukan di dalam masjid. Maka dengan itu, mereka menyimpulkan bahawa solat tersebut ialah sunat sebelum (qabliah) Jumaat. Namun hujah ini boleh dipertikaikan. Tidak semestinya demikian. Oleh itu, tidak boleh disabitkan adanya sunat qabliyyah Jumaat hanya berdasarkan hadis ini semata-mata. Ini kerana lafaz tersebut berkemungkinan bermaksud: “Adakah engkau telah solat sebelum menghampiriku untuk mendengar khutbah?” dan bukan bermaksud: “Adakah engkau telah solat sebelum datang ke masjid?” Hal ini kerana menunaikan solat sunat Jumaat sebelum datang ke masjid bukanlah sesuatu yang disyariatkan (secara jelas). Maka bagaimana mungkin Nabi ﷺ bertanya mengenainya? Tambahan pula, selepas masuk waktu Jumaat, perkara yang diperintahkan ialah bersegera menuju ke tempat solat Jumaat. Adapun sebelum masuk waktu Jumaat, tidak boleh melakukan apa-apa solat sunat (khusus) jika kita mengandaikan solat sunat itu memang disyariatkan.”
[2] Syu‘aib al-Arna’ut dalam tahkiknya 2/72 menyebut:
أخرج عبد الرزاق في «مصنفه» (٥٥٢٥) عن سفيان الثوري، عن عطاء بن السائب، عن أبي عبد الرحمن السلمي، قال: كان عبد الله يأمرنا أن نصلي قبل الجمعة أربعًا وبعدها أربعًا، حتى جاءنا عليٌّ، فأمرنا أن نصلي بعدها ركعتين ثم أربعًا. وإسناده جيد، فرواية سفيان عن عطاء قبل اختلاطه. وأخرج أيضًا (٥٥٢٤) عن معمر، عن قتادة: أن ابن مسعود كان يصلي قبل الجمعة أربع ركعات، وبعدها أربع ركعات. وقتادة لم يدرك ابن مسعود. وأخرج ابن أبي شيبة ٢/ ١٣١ عن ابن فضيل، عن خصيف، عن أبي عبيدة، عن عبد الله قال: كان يصلي قبل الجمعة أربعًا. وسنده ضعيف
Abd al-Razzaq al-San'ani meriwayatkan dalam al-Musannaf (no. 5525) daripada Sufyan al-Thawri, daripada Ata ibn al-Saib, daripada Abu Abd al-Rahman al-Sulami yang berkata: "Abdullah (ibn Mas‘ud) memerintahkan kami supaya menunaikan empat rakaat sebelum Jumaat dan empat rakaat selepasnya. Kemudian apabila Ali datang kepada kami, beliau memerintahkan kami supaya menunaikan dua rakaat selepas Jumaat, kemudian empat rakaat lagi." Sanad riwayat ini jayyid (baik), kerana riwayat Sufyan al-Thawri daripada Ata ibn al-Saib adalah sebelum beliau mengalami ikhtilat (bercampur hafalannya pada akhir hayat). Abd al-Razzaq al-San'ani juga meriwayatkan (no. 5524) daripada Ma'mar, daripada Qatadah: "Sesungguhnya Ibn Mas‘ud dahulu menunaikan empat rakaat sebelum Jumaat dan empat rakaat selepasnya." Namun Qatadah tidak sempat bertemu dengan Abd Allah ibn Masud. Ibn Abi Shaybah meriwayatkan dalam al-Musannaf (2/131) daripada Ibn Fudayl, daripada Khusayf, daripada Abu Ubaydah ibn Abd Allah ibn Masud, daripada Abd Allah ibn Masud bahawa: "Beliau (Ibn Mas‘ud) dahulu menunaikan empat rakaat sebelum Jumaat." Akan tetapi sanad riwayat ini daif (lemah).”
[3] Al-‘Adzim Abadi dalam ‘Aun al-Ma’bud 2/6 menyebut:
فَفِي إِسْنَادِهِ بَقِيَّةُ وَمُبَشِّرُ بْنُ عُبَيْدٍ وَالْحَجَّاجُ بْنُ أَرْطَاةَ وَعَطِيَّةُ الْعَوْفِيُّ وَكُلُّهُمْ مُتَكَلَّمٌ فِيهِ
Dalam sanad hadis tersebut terdapat Baqiyyah, Mubashshir bin ‘Ubaid, al-Hajjaj bin Artah dan ‘Atiyyah al-‘Awfi. Kesemua mereka adalah perawi yang diperkatakan (dikritik) oleh para ulama hadis
[4] Hadis tersebut diriwayatkan oleh Al-Tabarani dalam al-Awsat, dan ia merupakan hadis hasan, walaupun dalam sanadnya terdapat Muhammad ibn Abd al-Rahman al-Sahmi yang diperselisihkan kedudukannya oleh para ulama hadis. Tambahan pula, Ali al-Qari berkata dalam al-Mirqat:
وقد جاء فى إسناد جيد-كما قال الحافظ العراقى - أنه ﷺ كان يصلى قبلها أربعا
"Telah datang satu riwayat dengan sanad yang baik (jayyid), sebagaimana dinyatakan oleh al-Hafiz al-'Iraqi, bahawa Nabi ﷺ menunaikan empat rakaat sebelum Jumaat."
Dalam al-Awsat karya Al-Tabarani juga terdapat riwayat daripada Abu Hurairah رضي الله عنه:
كان النبى (ﷺ) يصلى قبل الجمعة ركعتين وبعدها ركعتين
"Nabi ﷺ menunaikan dua rakaat sebelum Jumaat dan dua rakaat selepasnya."
Hadis ini turut disebut oleh Ibn Hajar al-Asqalani dalam al-Talkhis, dan beliau tidak memberikan sebarang komentar terhadapnya. Oleh itu, menurut kaedah beliau yang masyhur, hadis tersebut dianggap sahih atau hasan. Selain itu, Abu Dawud dan Al-Tirmidhi meriwayatkan daripada Abu Ayyub al-Ansari رضي الله عنه yang berkata:
كان عليه السلام يصلى بعد الزوال أربع ركعات، فقلت :ما هذه الصلاة التى تداوم عليها؟ قال: هذه ساعة تفتح فيها أبواب السماء فأحب أن يصعد لى فيها عمل صالح ...
"Nabi ﷺ sentiasa menunaikan empat rakaat selepas tergelincir matahari (selepas zawal)." Aku bertanya: "Apakah solat yang tuan sentiasa lakukan ini?" Baginda menjawab: "Inilah waktu pintu-pintu langit dibuka, maka aku suka agar diangkat bagiku pada waktu itu suatu amalan yang soleh..."
Hadis ini bersifat umum untuk setiap hari, dan hari Jumaat tidak dikecualikan daripadanya melainkan jika terdapat dalil khusus yang mengecualikannya. Namun demikian, hadis ini juga mempunyai perbahasan dan kritikan dari sudut sanad. (Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah)
