SDI 2012: Hukum Buang Bulu Di Badan Yang Tiada Larangan

Soalan:

Adakah boleh menghilangkan bulu yang tidak diingini pada badan secara kekal sehingga ia tidak tumbuh lagi, dan bulu itu bukan termasuk dalam bulu yang dilarang? Adakah perbuatan itu termasuk dalam mengubah ciptaan Allah?

Jawapan:

Menghilangkan bulu yang tidak diingini pada badan dan bulu itu pula termasuk dalam kumpulan bulu yang tidak terdapat tegahan syarak dari membuangnya seperti bulu dada, bulu tangan, bulu kaki dan seumpamanya. Maka dalam kalangan ulama ada yang berpandangan bulu tersebut termasuk dalam perkara-perkara syubhah. Berdasarkan pandangan ini, maka membiarkan bulu-bulu tersebut adalah salah satu sikap berhati-hati dan lebih dekat kepada sifat wara’. Ini kerana tidak terdapat bukti jelas sama ada membuangnya itu ia diharamkan atau diharuskan.

Mengambil Langkah berhati-hati ini satu sifat yang terpuji terutama dalam isu seumpamanya ini. Sebabnya ialah kerana perbuatan tersebut termasuk dalam kategori mengubah ciptaan Allah. Hukum asal mengubah ciptaan Allah adalah haram kerana ia termasuk antara arahan syaitan. Pada masa yang sama, ia juga boleh dianggap sebagai perkara yang tidak disebut hukumnya secara khusus oleh syarak, berdasarkan petunjuk bahawa syarak telah menyebut beberapa jenis bulu yang haram dicukur. Tidak syak lagi bahawa apabila syarak menyebut perkara yang dilarang, maka selain daripadanya sama ada termasuk perkara yang disunatkan atau perkara yang diberi kemaafan.

Oleh itu, jika bulu tersebut terdapat pada seorang wanita dan ia mencacatkan penampilannya atau merosakkan kecantikannya, maka tidak mengapa baginya menghilangkannya dengan apa jua cara yang tidak memudaratkan tubuhnya. Sama ada cara tersebut menghilangkan bulu itu secara kekal ataupun untuk tempoh tertentu. Ini kerana wanita mempunyai keperluan untuk berhias dan kecantikan lebih daripada selain mereka.

Adapun bagi lelaki, mengambil pandangan yang tidak membenarkan adalah lebih berhati-hati. Hal ini jika kewujudan bulu itu tidak memberi kesan buruk kepadanya dan dia tidak terjejas dengan adanya bulu tersebut. Jika dia menghilangkan bulu tersebut secara kekal, mungkin padanya terdapat unsur menyerupai wanita, sedangkan menyerupai wanita adalah haram.


Cetak  
Wallahu a'lam