SDI 2013: Seorang Wanita Meninggal Dunia Mempunyai Seorang Saudara Perempuan Dan Beberapa Orang Sepupu

Soalan:

Seorang wanita bujang meninggal dunia. Dia mempunyai seorang saudara perempuan sahaja. Si mati juga mempunyai beberapa orang sepupu lelaki sebelah bapa dan sepupu perempuan sebelah bapa. Bagaimanakah harta pusakanya dibahagikan?

Jawapan:

Pertama sekali perlu dijelaskan bahawa pembahagian harta pusaka tidak dapat dijelaskan dengan tepat melainkan setelah semua waris dikenal pasti secara jelas tanpa sebarang kekeliruan.

Jika sememangnya waris si mati hanyalah seperti yang disebutkan dalam soalan, maka sepupu perempuan sebelah bapa tidak mendapat apa-apa bahagian kerana mereka bukan daripada golongan waris perempuan yang berhak mewarisi.

Adapun saudara perempuan sama ada adik ataupun kakak kepada simati:

  • Jika dia ialah saudara perempuan seibu sebapa (saudara kandung) atau saudara perempuan sebapa, maka dia berhak mendapat ½ (separuh) daripada harta pusaka.
  • Jika dia ialah saudara perempuan seibu, maka dia berhak mendapat ⅙ (satu perenam).

Baki harta selepas diberikan bahagian kepada saudara perempuan akan diambil oleh sepupu lelaki sebelah bapa sebagai 'asabah, jika mereka semuanya merupakan anak kepada bapa saudara kandung atau semuanya anak kepada bapa saudara sebapa.

Namun, jika sebahagian daripada mereka ialah anak kepada bapa saudara kandung dan sebahagian lagi anak kepada bapa saudara sebapa, maka baki harta itu hanya diberikan kepada supupu lelaki dari bapa saudara kandung, manakala sepupu lelaki dari bapa saudara sebapa tidak mendapat apa-apa kerana dihalang oleh waris yang lebih dekat.

Sekiranya mereka ialah sepupu lelaki kepada bapa saudara sebelah ibu, maka mereka bukan waris faraid, bahkan termasuk dalam golongan zawi al-arham. Oleh itu, mereka tidak mendapat apa-apa bahagian. Dalam keadaan ini, baki harta dipulangkan (radd) kepada saudara perempuan yang mempunyai bahagian fardu.


Cetak  
Wallahu a'lam