SDI 2014: Hukum Menutup Kepala Bagi Orang Lelaki

Soalan:

Adakah disunatkan menutup kepala ketika solat atau ketika berada di luar rumah bagi orang lelaki?

Jawapan:

Tidak terdapat hadis sahih yang menetapkan sunat menutup kepala sama ada ketika solat atau ketika berada di luar rumah. Namun, menutup kepala merupakan suatu bentuk perhiasan dalam sesetengah masyarakat, bahkan sehingga ke hari ini masih dianggap demikian. Telah sabit bahawa Nabi pernah memakai serban dan berhias dengannya.

Oleh itu, jika menutup kepala dianggap sebagai perhiasan dan adat yang baik di sesuatu tempat, maka memakainya ketika keluar dari rumah, khususnya untuk pergi menunaikan solat di masjid, adalah suatu amalan yang disunatkan. Hal ini berdasarkan firman Allah Taala yang memerintahkan hamba-hamba-Nya supaya berhias ketika pergi menunaikan solat:

﴿يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ﴾

"Wahai anak-anak Adam! Pakailah perhiasan kamu setiap kali memasuki masjid." (Surah al-A‘raf: 31)

Oleh itu, hukum memakai penutup kepala bergantung kepada adat dan cara berpakaian sesuatu masyarakat. Jika masyarakat di sesuatu tempat atau pada sesuatu zaman menganggap menutup kepala bagi lelaki sebagai suatu bentuk perhiasan, maka melakukannya adalah sunat. Jika tidak, hukumnya kembali kepada harus seperti asalnya. Maka, tiada sunnah khusus daripada Nabi yang menjadikan pemakaian penutup kepala itu mempunyai ganjaran tertentu.

Adapun Nabi memakai serban dan membawa tongkat, maka perbuatan tersebut adalah amalan kebiasaan yang selaras dengan adat orang Arab pada zaman Baginda. Ia bukan suatu perbuatan yang bersifat pensyariatan sehingga menunjukkan hukum sunat untuk diikuti oleh semua orang.

Al-Imam al-Shatibi رحمه الله berkata dalam al-Muwafaqat (2/489):

العوائد المستمرة ضربان: أحدهما: العوائد الشرعية التي أقرها الدليل الشرعي أو نفاها...، والضرب الثاني: هي العوائد الجارية بين الخلق بما ليس في نفيه ولا إثباته دليل شرعي...ومنها: ما يكون متبدلا في العادة من حسن إلى قبح، وبالعكس، مثل كشف الرأس، فإنه يختلف بحسب البقاع في الواقع، فهو لذوي المروءات قبيح في البلاد المشرقية، وغير قبيح في البلاد المغربية، فالحكم الشرعي يختلف باختلاف ذلك، فيكون عند أهل المشرق قادحا في العدالة، وعند أهل المغرب غير قادح

"Adat yang berterusan terbahagi kepada dua: Pertama: Adat yang diperakui atau ditolak oleh dalil syarak. Kedua: Adat yang berlaku dalam kalangan manusia yang tidak terdapat dalil syarak sama ada menetapkan atau menafikannya. Antaranya ialah perkara yang berubah mengikut adat dari dianggap baik kepada buruk, atau sebaliknya. Contohnya membuka kepala. Hal itu berbeza mengikut tempat. Di negeri-negeri sebelah Timur, membuka kepala bagi orang yang mempunyai maruah dianggap tidak elok, sedangkan di negeri-negeri sebelah Barat ia tidak dianggap demikian. Oleh itu, hukum syarak berkaitan perkara tersebut berubah mengikut perubahan adat. Maka di negeri-negeri Timur, membuka kepala boleh menjejaskan sifat adil seseorang, sedangkan di negeri-negeri Barat ia tidak menjejaskannya."

Sebahagian fuqaha pula menyatakan bahawa menutup kepala ketika solat adalah sunat secara mutlak. Antaranya disebut dalam Hasyiyah I‘anah al-Talibin (1/226), daripada kitab-kitab mazhab Syafi‘i:

كره كشف رأس؛ لأن السنة التجمل في صلاته بتغطية رأسه وبدنه

"Makruh membuka kepala kerana yang sunnah ialah berhias ketika solat dengan menutup kepala dan tubuh."


Cetak  
Wallahu a'lam