SDI 2015: Apakah Hukum Pemandu Pelancong Menerima Komisen Daripada Peniaga?

Fatwa asal: Dar al-Ifta’ Jordan, Fatwa no: 2729

Soalan:

Sesetengah premis perniagaan menjual barangan dengan harga yang lebih tinggi dari harga sebenar di pasaran supaya mereka dapat membayar komisen kepada pemandu pelancong yang membawa pelancong kepada mereka. Apakah hukum komisen yang diambil oleh pemandu pelancong tersebut? Adakah perbuatan itu dianggap sebagai penipuan terhadap para pelancong atau tidak?

Jawapan:

Alhamdulillah. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah .

Perjanjian antara pemandu pelancong dengan sebahagian premis perniagaan atau restoran untuk menerima komisen tertentu sebagai balasan kerana membawa rombongan pelancong kepada mereka termasuk dalam bentuk broker/samsarah (السمسرة) atau ju‘alah (الجعالة) menurut istilah fuqaha. Upah tersebut boleh berbentuk jumlah tetap ataupun peratusan tertentu yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Namun, beberapa perkara berikut wajib dipelihara:

Pertama: Hendaklah tugas tersebut dilakukan atas dasar hendakkan kebaikan (nasihah) kepada kumpulan pelancong. Maksudnya, dia hendaklah membawa mereka ke premis perniagaan dan restoran yang selamat, bersih serta menawarkan perkhidmatan dan barangan yang bersesuaian dengan harga yang paling berpatutan. Tidak boleh ia bertujuan menzalimi pelancong dengan membawa mereka ke premis yang menaikkan harga barangan melebihi harga pasaran semata-mata untuk memperoleh komisen yang lebih besar.

Rasulullah bersabda:

مَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

"Sesiapa yang menipu kami, maka dia bukan daripada golongan kami." (Riwayat Muslim)

Baginda juga bersabda:

الْمُسْتَشَارُ مُؤْتَمَنٌ

"Orang yang diminta memberikan nasihat adalah seorang yang memegang amanah." (Riwayat al-Tirmizi)

Diriwayatkan juga daripada Baginda :

غُبْنُ الْمُسْتَرْسِلِ رِبًا

"Mengambil keuntungan yang melampau daripada orang yang tidak mengetahui harga pasaran adalah suatu riba." (Riwayat al-Baihaqi)

Maksudnya ialah menaikkan harga terhadap orang yang tidak mengetahui harga sebenar di pasaran merupakan suatu bentuk kezaliman.

Kedua: Kerja yang dilakukan oleh pemandu pelancong itu mestilah mendapat keizinan daripada syarikat tempat dia bekerja. Ini kerana pemandu pelancong ialah pekerja khas (أجير خاص) yang hanya boleh bekerja mengikut arahan majikannya dan dengan cara yang menjaga kepentingan majikannya.


Cetak  
Wallahu a'lam