Soalan:
Adakah kerajaan dibenarkan mengenakan caj yang tinggi bagi sesuatu perkhidmatan atau cukai kepada rakyat menurut syarak?
Jawapan:
Saya terjemahkan bahagian kesimpulan dari kajian berkaitan oleh Dr. Ahmad bin Hilal al-Syeikh dari Universiti Jeddah, bertajuk: الضرائب والرسوم دراسة فقهية مقارنة (Cukai dan Caj Perkhidmatan: Kajian Fiqh Perbandingan)
Penutup ini merangkumi dapatan kajian yang paling penting serta beberapa cadangan.
PERTAMA: DAPATAN KAJIAN
Melalui kajian ini, beberapa dapatan telah diperoleh, antaranya ialah:
- Para fuqaha terdahulu berbeza dalam menamakan cukai (الضرائب). Ada yang menamakannya sebagai al-Nawa'ib (النوائب), sebahagian lagi menyebutnya sebagai al-Waza'if (الوظائف), al-Kulaf al-Sultaniyyah (الكُلَف السلطانية) atau al-Dawahi (الدواهي).
- Cukai ialah suatu sumbangan kewangan yang dikenakan ke atas individu, harta benda atau institusi perniagaan bagi menampung perbelanjaan kerajaan, tanpa wujud balasan atau manfaat khusus secara langsung kepada pembayar.
- Fi atau caj perkhidmatan (al-rusum) merupakan antara sumber hasil negara yang paling awal diamalkan.
- Cukai telah pun wujud sebelum kedatangan Islam. Namun, dalam era pemerintahan Islam, cukai diperkenalkan dengan konsep dan falsafah baharu yang tersendiri, serta berbeza daripada sistem kewangan yang diamalkan sebelumnya.
- Cukai mempunyai pelbagai jenis, antaranya cukai progresif (التصاعدية), cukai kastam (الجمركية), cukai langsung dan cukai tidak langsung.
- Cukai mempunyai beberapa ciri utama, antaranya:
- merupakan kewajipan berbentuk bayaran wang;
- dikenakan secara wajib oleh pihak pemerintah;
- tidak diberikan balasan khusus kepada pembayar;
Semua cukai ini bertujuan merealisasikan kepentingan dan kemaslahatan umum berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan terlebih dahulu.
- Fi atau caj perkhidmatan juga mempunyai beberapa ciri, antaranya:
- merupakan sejumlah bayaran wang yang diwajibkan kepada individu untuk dibayar kepada negara;
- dikenakan sebagai balasan terhadap suatu perkhidmatan khusus yang diterima oleh pembayar;
- di samping memenuhi kepentingan individu, ia turut menyumbang kepada kepentingan awam.
- Antara kesan pelaksanaan cukai dan fi perkhidmatan ialah menggalakkan pertumbuhan ekonomi serta merangsang aktiviti pelaburan.
- Ketika mengenakan cukai dan fi (caj perkhidmatan), kerajaan hendaklah mengambil kira beberapa prinsip, antaranya prinsip keadilan, kepastian, kesesuaian serta penjimatan kos pemungutan hasil.
- Pandangan syarak yang dipilih dan dianggap lebih kuat menetapkan bahawa harta mempunyai kewajipan-kewajipan lain selain zakat.
- Harus mengenakan cukai dalam bentuk yang diamalkan pada masa kini menurut syariah Islam, agar kerajaan dapat menampung perbelanjaan yang diperlukan bagi menjalankan tanggungjawab dan fungsinya.
KEDUA: CADANGAN
Kajian ini mengemukakan beberapa cadangan, antaranya:
- Pemerintah hendaklah mengambil segala langkah yang diperlukan untuk mewujudkan keseimbangan ekonomi melalui pengenaan cukai yang dapat merealisasikan matlamat pengurusan dan penyusunan kewangan negara.
- Hendaklah diusahakan penggunaan hasil cukai dan fi (caj perkhidmatan) secara optimum agar manfaatnya dapat dimaksimumkan mengikut keperluan, sekali gus mengelakkan keperluan untuk mengenakan cukai baharu.
- Kerajaan hendaklah berpegang teguh kepada prinsip-prinsip yang telah ditetapkan ketika mengenakan cukai, seperti keadilan, kepastian, kesesuaian, serta prinsip-prinsip lain yang berkaitan.
- Memberi dorongan kepada Individu dan institusi yang berkaitan supaya menunaikan tanggungjawab mereka terhadap negara dengan membayar cukai dan fi (caj perkhidmatan), serta tidak mengelakkan diri daripada kewajipan tersebut.
- Kesan-kesan positif daripada pembayaran cukai dan fi (caj perkhidmatan) hendaklah dijelaskan kepada masyarakat melalui pelbagai saluran media dan komunikasi.
