Soalan:
Saya sedang menjalani diet untuk menguruskan badan dan menurunkan berat badan dengan mengurangkan pengambilan makanan. Saya pun berfikir untuk berpuasa. Saya berkata dalam hati: "Dengan cara ini saya dapat menurunkan berat badan, dan pada masa yang sama memperoleh pahala puasa."
Adakah saya akan mendapat pahala puasa sepenuhnya dengan cara dan niat seperti ini? Mohon penjelasan. Semoga Allah memberikan ganjaran yang baik kepada tuan.
Jawapan:
Jika anda berniat mendekatkan diri kepada Allah Taala dengan puasa tersebut, dan pada masa yang sama anda juga berniat untuk memperoleh manfaat berupa penurunan berat badan, maka tidak mengapa insyaAllah, dan anda tetap memperoleh pahala atas puasa tersebut.
Hal ini berdasarkan hadis yang sahih bahawa Nabi ﷺ sentiasa mendorong para sahabat melakukan amalan-amalan soleh dengan menyebut manfaat dunia yang turut diperoleh daripadanya. Antaranya sabda Baginda:
مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
"Sesiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung silaturahim." (Muttafaq 'alaih).
Begitu juga sabda Baginda:
مَنْ قَتَلَ قَتِيلًا لَهُ عَلَيْهِ بَيِّنَةٌ فَلَهُ سَلَبُهُ
"...Sesiapa yang membunuh seorang musuh dan mempunyai bukti mengenainya, maka dia berhak memperoleh harta rampasan miliknya." (Muttafaq 'alaih).
Mengenai puasa pula, terdapat sebuah hadis yang lemah yang menyebut manfaat duniawi puasa, iaitu:
صُومُوا تَصِحُّوا
"Berpuasalah, nescaya kamu akan sihat."
Walaupun hadis ini lemah, tidak dapat dinafikan bahawa puasa sememangnya memberi manfaat kepada tubuh badan.
Sebahagian ulama menyatakan bahawa menggabungkan niat puasa dengan niat berdiet tidak menjejaskan kesahihan puasa menurut pendapat yang lebih sahih. Ini kerana manfaat diet tetap akan diperoleh sama ada diniatkan ataupun tidak.
Disebut dalam Ghamz 'Uyun al-Basa'ir:
...فِي فَتْحِ الْقَدِيرِ: لَوْ نَوَى الصَّوْمَ وَالْحِمْيَةَ أَوْ التَّدَاوِي، فَالْأَصَحُّ الصِّحَّةُ لِأَنَّ الْحِمْيَةَ أَوْ التَّدَاوِي حَاصِلٌ قَصْدُهُ، أَمْ لَا فَلَمْ يَجْعَلْ قَصْدَهُ تَشْرِيكًا وَتَرْكًا لِلْإِخْلَاصِ...
"Dalam Fath al-Qadir disebut: Jika seseorang berniat berpuasa dan pada masa yang sama berniat berdiet atau berubat, maka menurut pendapat yang lebih sahih puasanya tetap sah. Ini kerana manfaat diet atau rawatan tetap akan terhasil sama ada dia meniatkannya ataupun tidak. Oleh itu, niat tersebut tidak dianggap mencampurkan niat sehingga menjejaskan keikhlasan."
Begitu juga disebut dalam al-Ashbah wa al-Naza'ir karya al-Suyuti:
لَوْ نَوَى الْوُضُوء أَوْ الْغُسْل وَالتَّبَرُّد، فَفِي وَجْه لَا يَصِحّ لِلتَّشْرِيكِ ; وَالْأَصَحّ الصِّحَّة ; لِأَنَّ التَّبَرُّد حَاصِل: قَصَدَهُ أَمْ لَا، فَلَمْ يَجْعَل قَصْده تَشْرِيكًا وَتَرْكًا لِلْإِخْلَاصِ بَلْ هُوَ قَصْد لِلْعِبَادَةِ عَلَى حَسَب وُقُوعهَا ; لِأَنَّ مِنْ ضَرُورَتهَا حُصُول التَّبَرُّد. وَمِنْهَا: مَا لَوْ نَوَى الصَّوْم، أَوْ الْحَمِيَّة أَوْ التَّدَاوِي، وَفِيهِ الْخِلَاف الْمَذْكُور
"Jika seseorang berniat untuk berwuduk atau mandi hadas, dan pada masa yang sama berniat menyejukkan badan, maka terdapat satu pendapat yang menyatakan ibadahnya tidak sah kerana mencampurkan niat. Namun pendapat yang lebih sahih ialah ibadah itu tetap sah, kerana kesan menyejukkan badan akan tetap diperoleh sama ada dia meniatkannya ataupun tidak. Oleh itu, niat tersebut tidak dianggap sebagai mencampurkan niat atau meninggalkan keikhlasan. Bahkan hakikatnya dia tetap berniat melakukan ibadah sebagaimana yang disyariatkan, kerana antara kesan semula jadi wuduk dan mandi ialah tubuh akan menjadi sejuk. Demikian juga halnya jika seseorang berniat berpuasa, dan pada masa yang sama berniat untuk berdiet atau mendapatkan rawatan (kesihatan). Dalam masalah ini terdapat khilaf seperti yang telah disebutkan."
Walau bagaimanapun, anda hendaklah berhati-hati agar niat memperoleh manfaat dunia tidak mengatasi niat beribadah kepada Allah, kerana dibimbangi akan kehilangan pahala.
Al-Syeikh Ibn 'Uthaymin رحمه الله menjelaskan bahawa orang yang melakukan suatu ibadah dengan niat mendekatkan diri kepada Allah, tetapi pada masa yang sama menginginkan manfaat dunia, keadaannya terbahagi kepada tiga:
الحالة الأولى: أن يتساوى في قلبه الأمران التقرب إلى الله عز وجل وحصول الغرض الدنيوي فهذا عمله لا ثواب له. الحالة الثانية: أن تغلب نية التقرب إلى الله عز وجل ويقصد بذلك أيضاً الغرض الدنيوي، لكن نية التقرب هي الغالبة فهذا فاته كمال الإخلاص فينقص عليه الإخلاص. الحالة الثالثة: عكس هذه الحال وهي أن تغلب نية الغرض الدنيوي فهذا لا ثواب له عند الله
Keadaan pertama: Kedua-dua niat itu sama kuat dalam hatinya; iaitu niat beribadah kepada Allah dan niat memperoleh manfaat dunia adalah seimbang. Dalam keadaan ini, dia tidak memperoleh pahala atas amalannya. Keadaan kedua: Niat mendekatkan diri kepada Allah lebih kuat, namun dia turut mengharapkan manfaat dunia. Dalam keadaan ini, dia tetap memperoleh pahala, tetapi keikhlasannya berkurangan, lalu pahalanya juga berkurangan. Keadaan ketiga: Niat memperoleh manfaat dunia lebih dominan daripada niat beribadah. Dalam keadaan ini, dia tidak memperoleh pahala di sisi Allah.”
Oleh itu, anda dinasihati supaya menjadikan niat berpuasa kerana Allah sebagai tujuan utama, bahkan berusaha memurnikan niat semata-mata kerana Allah. Itulah yang lebih utama dan lebih besar ganjarannya.
Al-Imam Ibn Kathir رحمه الله berkata dalam tafsirnya 7/422:
يقول: من عمل صالحا التماس الدنيا، صوماً أو صلاة أو تهجداً بالليل، لا يعمله إلا التماس الدنيا، يقول الله: أوفيه الذي التمس في الدنيا من المثابة، وحبط عمله الذي كان يعمله التماس الدنيا، وهو في الآخرة من الخاسرين
"(Kata Ibn ‘Abbas) Sesiapa yang melakukan amalan soleh semata-mata untuk mendapatkan habuan dunia, sama ada puasa, solat ataupun qiyamullail, Allah berfirman: “Aku akan memberikan kepadanya apa yang dikehendakinya di dunia. Namun amalan yang dilakukannya hanya kerana dunia itu akan menjadi sia-sia, dan di akhirat dia termasuk dalam kalangan orang yang rugi."
Al-Qurtubi رحمه الله pula berkata:
أي: مَنْ أرَاد بِعَمَلِه ثَوَاب الدُّنيا عُجِّل له الثَّوَاب ولم يُنْقَص شَيئًا في الدُّنيا، وله في الآخِرَة العَذَاب، لأنه جَرَّد قَصْدَه إلى الدُّنيا …
"Maksudnya, sesiapa yang menghendaki ganjaran dunia melalui amalannya, maka Allah akan menyegerakan balasan dunia itu kepadanya tanpa dikurangkan sedikit pun. Namun di akhirat dia akan menerima azab kerana dia memurnikan niatnya hanya untuk dunia…"
Oleh itu, hendaklah kita semua berusaha memurnikan niat dalam melakukan ibadah kerana Allah Taala dan berusaha bersungguh-sungguh menjaga keikhlasan. Adapun manfaat dunia seperti penurunan berat badan, ia tetap akan datang sebagai manfaat sampingan, insya-Allah.
