SDI 2018: Solat Pulang Dari Permusafiran

Soalan:

Adakah terdapat solat sunat dua rakaat selepas pulang daripada musafir? Jika ada, bagaimanakah caranya? Semoga Allah membalas tuan dengan kebaikan.

Jawapan:

Sunat menunaikan solat dua rakaat ketika pulang daripada musafir suatu yang sabit daripada Rasulullah sebagaimana diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim dan kitab-kitab hadis yang lain. Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ka‘b رضي الله عنه bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ كَانَ إِذَا قَدِمَ مِنْ سَفَرٍ ضُحًى دَخَلَ الْمَسْجِدَ فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ

"Apabila Nabi pulang daripada musafir pada waktu dhuha, Baginda akan memasuki masjid lalu menunaikan solat dua rakaat sebelum Baginda duduk."

Ka‘b yang dimaksudkan di sini ialah Ka‘b bin Malik al-Ansari رضي الله عنه.

Imam al-Nawawi meletakkan tajuk bab dalam syarahnya terhadap Sahih Muslim:

باب استحباب الركعتين في المسجد لمن قدم من سفر أول قدومه..

"Bab Sunat Menunaikan Solat Dua Rakaat di Masjid bagi Orang yang Baru Tiba daripada Musafir."

Kemudian beliau membawakan hadis Ka‘b bin Malik dalam Sahih Muslim:

أَن رَسُول الله ﷺ كَانَ لَا يقدم من سفرٍ إِلَّا نَهَارا فِي الضُّحَى، فَإِذا قدم بَدَأَ بِالْمَسْجِدِ، فصلى فِيهِ رَكْعَتَيْنِ، ثمَّ جلس فِيهِ

"Rasulullah tidak pernah pulang daripada musafir melainkan pada waktu siang, khususnya pada waktu dhuha. Apabila Baginda tiba, Baginda akan memulakan dengan pergi ke masjid, lalu menunaikan solat dua rakaat di dalamnya, kemudian Baginda duduk di situ."

Demikian juga Imam Abu Dawud menamakan bab dalam Sunan Abi Dawud:

باب في الصلاة عند القدوم من السفر

"Bab Solat Ketika Pulang daripada Musafir."

Beliau kemudian meriwayatkan hadis Ka‘b yang sama dalam Sahih Muslim. Pengarang ‘Awn al-Ma‘bud ketika mensyarahkan Sunan Abi Dawud berkata selepas membawakan hadis tersebut bersama satu lagi hadis yang sama:

وَفِي الْحَدِيثَيْنِ دَلَالَةٌ عَلَى أَنَّ الْمُسَافِرَ إِذَا قَدِمَ مِنَ السَّفَرِ فالمسنون له أن يبتدأ بِالْمَسْجِدِ وَيُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ

"Kedua-dua hadis ini menunjukkan bahawa orang yang pulang daripada musafir, sunnah baginya memulakan kepulangannya dengan pergi ke masjid dan menunaikan solat dua rakaat."

Para fuqaha juga menyatakan bahawa disunatkan solat dua rakaat ketika hendak bermusafir dan ketika pulang daripada musafir. Disebut dalam al-Syarh al-Kabir ‘ala Mukhtasar Khalil (mazhab Maliki):

قال عياض ذوات السبب الصلاة عند الخروج للسفر وعند القدوم منه وعند دخول المسجد وعند الخروج منه والاستخارة والحاجة وبين الأذان والإقامة وعند التوبة من الذنب ركعتان

"Al-Qadi ‘Iyad berkata: Antara solat yang mempunyai sebab ialah solat ketika hendak keluar bermusafir, ketika pulang daripada musafir, ketika masuk masjid, ketika keluar daripadanya, solat istikharah, solat hajat, solat antara azan dan iqamah, serta dua rakaat selepas bertaubat daripada dosa."

Adapun cara mengerjakan dua rakaat tersebut, tiada perbezaan antara solat ini dengan solat-solat sunat yang lain, sama ada dari segi bacaan mahupun sifat pelaksanaannya. Memadai membaca Surah al-Fatihah dan apa sahaja ayat al-Quran yang mudah selepasnya.


Cetak  
Wallahu a'lam