SDI 2021: Hukum Makmum Sengaja Lewat Dari Segera Mengikut Pergerakan Imam

Soalan:

Apakah hukum tidak terus mengikuti imam dalam solat? Contohnya, apabila imam bangun dari rukuk, makmum sengaja menunggu seketika sebelum bangun, namun dia masih sempat berdiri sebelum imam turun untuk sujud. Begitu juga ketika tahiyat akhir, adakah makmum boleh menunggu seketika selepas imam memberi salam sebelum dia sendiri memberi salam?

Jawapan:

Segala puji bagi Allah. Selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, ahli keluarga Baginda dan para sahabat.

Mengikuti imam dalam perbuatan-perbuatan solat adalah suatu kewajipan, berdasarkan sabda Nabi SAW:

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا، وَإِذَا رَفَعَ فَارْفَعُوا، وَإِذَا صَلَّى جَالِسًا فَصَلُّوا جُلُوسًا

"Sesungguhnya imam itu dilantik untuk diikuti. Oleh itu, apabila dia rukuk maka rukuklah kamu, apabila dia bangun (daripada rukuk) maka bangunlah kamu, dan apabila dia solat dalam keadaan duduk maka solatlah kamu dalam keadaan duduk." (Riwayat Muslim)

Al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani RH ketika mensyarahkan hadis ini dalam Fath al-Bari 2/183-184 menukilkan kata-kata al-Baidhawi dan selainnya:

الِائْتِمَامُ: الِاقْتِدَاءُ وَالِاتِّبَاعُ، أَيْ: جُعِلَ الْإِمَامُ إِمَامًا لِيُقْتَدَى بِهِ وَيُتَّبَعَ، وَمِنْ شَأْنِ التَّابِعِ أَنْ لَا يَسْبِقَ مَتْبُوعَهُ وَلَا يُسَاوِيَهُ وَلَا يَتَقَدَّمَ عَلَيْهِ فِي مَوْقِفِهِ، بَلْ يُرَاقِبُ أَحْوَالَهُ وَيَأْتِي عَلَى أَثَرِهِ بِنَحْوِ فِعْلِهِ، وَمُقْتَضَى ذَلِكَ أَنْ لَا يُخَالِفَهُ فِي شَيْءٍ مِنَ الْأَحْوَالِ. وَقَالَ النَّوَوِيُّ وَغَيْرُهُ: مُتَابَعَةُ الْإِمَامِ وَاجِبةٌ فِي الْأَفْعَالِ الظَّاهِرَةِ، وَقَدْ نَبَّهَ عَلَيْهَا فِي الْحَدِيثِ فَذَكَرَ الرُّكُوعَ وَغَيْرَهُ، بِخِلَافِ النِّيَّةِ فَإِنَّهَا لَمْ تُذْكَرْ، وَقَدْ خَرَجَتْ بِدَلِيلٍ آخَرَ، وَكَأَنَّهُ يَعْنِي قِصَّةَ مُعَاذٍ الْآتِيَةَ. وَيُمْكِنُ أَنْ يُسْتَدَلَّ مِنْ هَذَا الْحَدِيثِ عَلَى عَدَمِ دُخُولِهَا؛ لِأَنَّهُ يَقْتَضِي الْحَصْرَ فِي الِاقْتِدَاءِ بِهِ فِي أَفْعَالِهِ، لَا فِي جَمِيعِ أَحْوَالِهِ، كَمَا لَوْ كَانَ مُحْدِثًا أَوْ حَامِلَ نَجَاسَةٍ؛ فَإِنَّ الصَّلَاةَ خَلْفَهُ تَصِحُّ لِمَنْ لَمْ يَعْلَمْ حَالَهُ عَلَى الصَّحِيحِ عِنْدَ الْعُلَمَاءِ، ثُمَّ مَعَ وُجُوبِ الْمُتَابَعَةِ لَيْسَ بِشَيْءٍ مِنْهَا شَرْطًا فِي صِحَّةِ الْقُدْوَةِ إِلَّا تَكْبِيرَةَ الْإِحْرَامِ، وَاخْتُلِفَ فِي الِائْتِمَامِ، وَالْمَشْهُورُ عِنْدَ الْمَالِكِيَّةِ اشْتِرَاطُهُ مَعَ الْإِحْرَامِ وَالْقِيَامِ مِنَ التَّشَهُّدِ الْأَوَّلِ، وَخَالَفَ الْحَنَفِيَّةُ فَقَالُوا: تَكْفِي الْمُقَارَنَةُ، قَالُوا: لِأَنَّ مَعْنَى الِائْتِمَامِ الِامْتِثَالُ، وَمَنْ فَعَلَ مِثْلَ فِعْلِ إِمَامِهِ عُدَّ مُمْتَثِلًا، وَسَيَأْتِي بَعْدَ بَابٍ الدَّلِيلُ عَلَى تَحْرِيمِ التَّقَدُّمِ عَلَى الْإِمَامِ فِي الْأَرْكَانِ.

"I’timam (الائتمام) bermaksud mencontohi dan mengikuti. Maksudnya, seseorang dijadikan imam supaya dia dicontohi dan diikuti. Sifat seorang pengikut ialah tidak mendahului orang yang diikutinya, tidak menyamainya, dan tidak berada di hadapannya pada kedudukannya. Sebaliknya, dia hendaklah memerhatikan keadaan imam, kemudian melakukan perbuatannya selepas imam dengan perbuatan yang seumpamanya. Konsekuensi daripada perkara ini ialah dia tidak menyelisihi imam dalam apa jua keadaan. Al-Imam al-Nawawi dan selain beliau berkata: “Mengikuti imam adalah wajib pada perbuatan-perbuatan zahir dalam solat. Nabi telah memberi peringatan mengenainya dalam hadis ini dengan menyebut rukuk dan selainnya. Adapun niat, ia tidak disebut dalam hadis ini, kerana hukumnya telah dijelaskan melalui dalil yang lain. Seolah-olah yang dimaksudkan oleh al-Nawawi ialah kisah Mu'az RA yang akan disebut kemudian. Daripada hadis ini juga boleh diambil dalil bahawa niat tidak termasuk dalam perkara yang wajib diikuti, kerana hadis ini menunjukkan bahawa ikutan terhadap imam hanya tertumpu pada perbuatan-perbuatannya, bukan pada semua keadaannya. Sebagai contoh, jika imam berhadas atau membawa najis sedangkan makmum tidak mengetahui keadaannya, maka menurut pendapat yang sahih di sisi para ulama, solat makmum di belakangnya tetap sah. Kemudian, walaupun mengikuti imam itu wajib, tiada satu pun dari bentuk-bentuk mengikuti itu menjadi syarat sahnya berjemaah, kecuali takbiratul ihram. Para ulama juga berbeza pendapat mengenai cara mengikuti imam pada beberapa keadaan. Pendapat yang masyhur dalam mazhab Maliki ialah makmum mesti memulakan takbiratul ihram selepas imam, dan demikian juga ketika bangun daripada tahiyat awal. Manakala ulama Hanafiyyah berpendapat bahawa memulakan pergerakan secara serentak dengan imam sudah memadai. Mereka berkata: "Ini kerana hakikat iktimam ialah mematuhi arahan. Sesiapa yang melakukan perbuatan yang sama dengan perbuatan imamnya, maka dia telah dianggap mematuhi arahan tersebut." Akan disebut dalam bab berikutnya dalil yang menunjukkan haram mendahului imam dalam rukun-rukun solat.”

Berdasarkan penjelasan ini, makmum hendaklah melakukan setiap pergerakan selepas imam, bukan mendahuluinya atau bergerak serentak dengannya. Para fuqaha turut menjelaskan kaedah mengikuti imam.

Ibn Qudamah berkata dalam al-Mughni 1/377:

وَالْمُسْتَحَبُّ أَنْ يَكُونَ شُرُوعُ الْمَأْمُومِ فِي أَفْعَالِ الصَّلَاةِ؛ مِنْ الرَّفْعِ وَالْوَضْعِ، بَعْدَ فَرَاغِ الْإِمَامِ مِنْهُ، وَيُكْرَهُ فِعْلُهُ مَعَهُ فِي قَوْلِ أَكْثَرِ أَهْلِ الْعِلْمِ

"Perkara yang disunatkan ialah makmum memulakan setiap pergerakan solat seperti bangun, turun dan sebagainya selepas imam selesai memulakan pergerakan tersebut. Adapun melakukan pergerakan serentak dengan imam adalah makruh menurut kebanyakan ulama."

Imam al-Nawawi pula berkata dalam al-Majmu' 4/235:

وَالْمُتَابَعَةُ أَنْ يَجْرِيَ عَلَى أَثَرِ الْإِمَامِ بِحَيْثُ يَكُونُ ابْتِدَاؤُهُ لِكُلِّ فِعْلٍ مُتَأَخِّرًا عَنْ ابْتِدَاءِ الْمَأْمُومِ وَمُقَدَّمًا عَلَى فَرَاغِهِ مِنْهُ

"Mengikuti imam ialah makmum memulakan setiap perbuatannya selepas imam memulakan perbuatan tersebut dan sebelum imam selesai daripada rukun itu."

Manh al-Jalil Syarh Mukhtasar Khalil 1/183 dinyatakan:

فَالْمَنْدُوبُ أَنْ يَفْعَلَ بَعْدَهُ وَيُدْرِكَهُ فِيهِ. قال عِيَاضٌ اُخْتُلِفَ فِي الْمُخْتَارِ فِي اتِّبَاعِهِ فِي غَيْرِ الْإِحْرَامِ وَالسَّلَامِ هَلْ هُوَ بِإِثْرِ شُرُوعِهِ أَوْ بِإِثْرِ تَمَامِ فِعْلِهِ كَاسْتِوَائِهِ قَائِمًا

"Maka yang disunatkan ialah makmum melakukan pergerakan selepas imam dan masih sempat bersamanya dalam rukun tersebut. Al-Qadhi 'Iyad berkata: "Para ulama berbeza pendapat tentang cara yang lebih utama dalam mengikuti imam pada selain takbiratul ihram dan salam. Adakah makmum hendaklah mula bergerak sebaik sahaja imam memulakan pergerakannya, ataupun hanya selepas imam selesai melakukan pergerakan tersebut, seperti setelah imam berdiri tegak sepenuhnya?"

Berdasarkan penjelasan ini, jika makmum memberi sedikit ruang kepada imam sebelum bergerak, tanpa kelewatan yang menyebabkan dia tertinggal daripada rukun berikutnya, maka perbuatan itu adalah bertepatan dengan sunnah, insya-Allah.

Hal ini berdasarkan hadis riwayat Muslim daripada al-Bara' bin 'Azib RA:

أَنَّهُمْ كَانُوا يُصَلُّونَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ، فَإِذَا رَكَعَ رَكَعُوا، وَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ فَقَالَ: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، لَمْ نَزَلْ قِيَامًا حَتَّى نَرَاهُ قَدْ وَضَعَ وَجْهَهُ فِي الأَرْضِ، ثُمَّ نَتَّبِعُهُ

"Para sahabat solat bersama Rasulullah SAW. Apabila Baginda rukuk, merekapun rukuk. Apabila Baginda mengangkat kepala daripada rukuk dan mengucapkan 'Sami'allahu liman hamidah', kami terus berdiri sehingga kami melihat Baginda benar-benar meletakkan wajahnya ke bumi (untuk sujud), barulah kami mengikutinya." (Muslim)

Adapun sengaja berlengah-lengah selepas imam memberi salam, sebahagian ulama memakruhkannya, malah ada yang berpendapat tidak boleh berbuat demikian.

Disebut dalam Mawahib al-Jalil, al-Tilimsani berkata:

وَلَا يَجُوْزُ اشْتِغَالُ الْمَأْمُوْمِ بَعْدَ سَلَامِ الْإِمَامِ بِدُعَاءٍ وَلَا غَيْرُه

"Makmum tidak boleh menyibukkan dirinya dengan doa atau perkara lain selepas imam memberi salam."

Namun, kenyataan ini bukan bererti makmum hendaklah memberi salam sebelum menyempurnakan tahiyat akhir dan selawat ke atas Nabi SAW. Sebaliknya, dia hendaklah menyempurnakan kedua-duanya terlebih dahulu, walaupun imam telah memberi salam, kerana terdapat ulama yang mewajibkan bacaan tahiyat akhir dan selawat tersebut.


Cetak  
Wallahu a'lam