Doa Dalam Solat Jenazah

Daripada 'Auf bin Malik al-Asyja'i (عوْفُ بنُ مالكٍ الأشجعيُّ) RA, beliau berkata:

صَلَّى رَسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم على جِنازةٍ، فحَفِظتُ مِن دُعائِه وهو يقولُ:

"Rasulullah menunaikan solat jenazah. Lalu aku menghafal sebahagian dari doa yang Baginda baca ketika itu. Baginda berdoa:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ، وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ، وَاغْسِلْهُ بِالمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الخَطَايَا كَماَ نَقَّيْتَ الثَّوبَ الْأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ، وَأَهْلًا خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ، وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، أَوْ مِنْ عَذَابِ النَّارِ.

"Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia, peliharalah dia daripada segala keburukan, maafkanlah segala kesalahannya, muliakanlah tempat persinggahannya, luaskanlah tempat masuknya (kuburnya), mandikanlah dia dengan air, salji dan air batu, sucikanlah dia daripada segala dosa sebagaimana Engkau membersihkan pakaian putih daripada segala kekotoran, gantikanlah untuknya rumah yang lebih baik daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya, pasangan yang lebih baik daripada pasangannya, masukkanlah dia ke dalam syurga, dan lindungilah dia daripada azab kubur, atau daripada azab neraka."

'Auf berkata:

حتَّى تَمَنَّيتُ أن أكونَ أنا ذلك المَيِّتَ

 “Sehinggakan aku berangan-angan agar akulah jenazah itu." (Muslim dalam Sahih Muslim, no. 963 (hadis yang diriwayatkan secara bersendirian oleh Muslim tanpa al-Bukhari).

Huraian

Tujuan utama solat jenazah ialah mendoakan dan memohon keampunan untuk si mati. Terdapat beberapa doa yang diriwayatkan daripada Nabi untuk dibaca dalam solat jenazah. Perkara yang paling afdal ialah seseorang membaca doa-doa yang datang daripada Nabi . Jika dia berdoa dengan doa lain, maka tidak mengapa. Doa untuk si mati dibaca selepas takbir yang ketiga, dan hendaklah dibaca secara perlahan dengan doa yang terbaik yang mampu diucapkan, serta dilakukan dengan penuh keikhlasan.

Dalam hadis ini, 'Auf bin Malik al-Asyja'i RA menceritakan bahawa beliau menghadiri solat jenazah bersama Rasulullah . Antara doa Baginda yang dihafalnya ialah:

"Ya Allah, ampunilah dia (اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ)," iaitu hapuskanlah dosa dan kesalahannya.

"Rahmatilah dia (وَارْحَمْهُ)," iaitu terimalah amal-amal solehnya dan limpahkan rahmat-Mu kepadanya.

"Peliharalah dia (عَافِهِ)," yakni lindungilah dia daripada segala perkara yang dibenci, selamatkanlah dia daripada azab.

"Maafkanlah dia (وَاعْفُ عَنْهُ)," yakni ampunkanlah segala dosa dan kekurangannya dalam melaksanakan ketaatan.

"Muliakanlah tempat persinggahannya (وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ)," perkataan nuzul pada asalnya bermaksud hidangan yang disediakan untuk tetamu. Yang dimaksudkan di sini ialah segala bentuk kemuliaan dan nikmat yang Allah sediakan untuk hamba-Nya ketika bertemu dengan-Nya.

"Luaskanlah tempat masuknya (ووَسِّع مُدْخلَه)," iaitu luaskanlah kuburnya dan janganlah disempitkan. Ini termasuk dalam nikmat yang diperoleh oleh orang mukmin di alam kubur. Sesungguhnya kubur itu sama ada diluaskan untuk penghuninya ataupun disempitkan ke atasnya.

"Mandikanlah dia dengan air, salji dan air batu (واغسِلْه بالماءِ والثَّلجِ والبَرَدِ)." Air batu (barad) ialah butiran ais yang turun dari awan. Maksud doa ini ialah: sucikanlah dia daripada dosa dan maksiat sebagaimana air, salji dan air batu membersihkan kekotoran. Ketiga-tiganya disebut sekali sebagai tanda penegasan dan kesempurnaan penyucian, iaitu bersihkanlah dia dengan pelbagai bentuk keampunan. Salji dan air batu disebut kerana sifatnya yang sejuk, manakala air disebut kerana dengannya berlaku pembersihan. Oleh sebab balasan terhadap dosa bersifat panas, maka amat sesuai digandingkan air dengan salji dan air batu; air berfungsi membersihkan, manakala salji dan air batu memberikan kesejukan.

"Sucikanlah dia daripada segala dosa sebagaimana pakaian putih dibersihkan daripada kekotoran." (ونَقِّهِ منَ الخَطايا كَماَ نَقَّيْتَ الثَّوبَ الْأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ) Ini juga merupakan doa agar Allah menyucikannya dari segala maksiat. Ia adalah perumpamaan sesuatu yang bersifat maknawi dengan sesuatu yang dapat dilihat, sekali gus menguatkan lagi maksud doa sebelumnya, iaitu memohon penyucian yang sempurna daripada segala dosa dan kesalahan.

"Gantikanlah untuknya rumah yang lebih baik daripada rumahnya (وأَبْدِلْه دارًا خَيرًا مِن دارِه)." Maksudnya, berilah kepadanya istana-istana syurga atau kubur yang luas, yang jauh lebih baik daripada rumahnya di dunia yang fana.

"Keluarga yang lebih baik daripada keluarganya (أَهلًا خيرًا مِن أَهلِه)." Perkara yang dimaksudkan ialah kaum kerabatnya seperti ibu, bapa, anak-anak, saudara-mara dan seumpamanya. Isteri tidak termasuk kerana disebut secara khusus selepas itu. Ada juga ulama yang mentafsirkan "keluarga" di sini sebagai para pembantu atau orang-orang yang mengelilinginya.

"Pasangan yang lebih baik daripada pasangannya (وَزَوْجًا خَيْرًا مِن زَوْجِهِ)." Maksudnya, kurniakanlah kepadanya pasangan daripada bidadari syurga, atau wanita-wanita dunia yang menjadi ahli syurga. Ada juga yang berpendapat bahawa maksud "penggantian" di sini ialah penggantian sifat-sifat pasangan menjadi lebih baik, bukan menggantikan individu pasangannya.

Dalam riwayat yang lain terdapat tambahan:

"Masukkanlah dia ke dalam syurga (وأَدخِلْه الجنَّةَ)." Maksudnya, masukkanlah dia ke syurga tanpa didahului azab.

"Lindungilah dia daripada azab kubur (وَأَعِذْهُ مِن عَذَابِ القَبْرِ)," atau menurut riwayat lain, "daripada azab neraka (أعِذْه مِن عَذَابِ النَّارِ)."

Pada akhir hadis, 'Auf bin Malik RA berkata bahawa setelah mendengar doa Rasulullah yang begitu agung itu, beliau berangan-angan agar dirinya menjadi jenazah tersebut, kerana besarnya kelebihan doa itu serta harapan agar memperoleh keberkatan doa Rasulullah . Sesungguhnya doa dan solat Nabi adalah yang paling diharapkan untuk diterima dan dimakbulkan oleh Allah.

Pengajaran Hadis

  1. Tujuan terbesar solat jenazah ialah mendoakan dan memohon keampunan untuk si mati.
  2. Disunatkan membaca doa-doa yang sabit daripada Rasulullah dalam solat jenazah.
  3. Doa untuk si mati dibaca selepas takbir yang ketiga.
  4. Hadis ini menjadi dalil bahawa azab kubur dan fitnah kubur adalah benar.
  5. Doa Rasulullah mempunyai kedudukan yang sangat agung sehingga para sahabat berharap dapat memperoleh keberkatannya.

 


Cetak  
Wallahu a'lam