Soalan:
Bolehkah seorang wanita dalam iddah kematian suami dibenarkan menziarahi ibunya untuk melihat keadaan kesihatan ibunya?
Jawapan:
Saya terjemahkan di bawah ini salah satu fatwa Jordan dalam isu yang sama bersama sedikit olahan semula.
Alhamdulillah. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah ﷺ.
Idah ialah tempoh yang wajib dilalui oleh seseorang wanita, sebagai suatu bentuk ibadah, dan untuk memastikan rahimnya bersih dari kehamilan, atau sebagai tempoh berkabung atas kematian suaminya.
Hukum asal bagi wanita yang sedang beridah ialah tetap tinggal di rumah sepanjang tempoh idah.
Namun, sebahagian fuqaha mazhab Maliki mengharuskan wanita yang beridah keluar dari rumah pada waktu siang, walaupun bukan kerana suatu keperluan yang mendesak. Disebut dalam Minah al-Jalil (4/335):
وللمعتدة من طلاق أو وفاة الخروج من مسكنها في قضاء حوائجها طرفي النهار: أي قرب الفجر وعقب الغروب إلى مغيب الشفق... ويجوز خروجها نهاراً ولو لغير حاجة... ولا تبيت إلا ببيتها
"Wanita yang sedang beridah, sama ada kerana talak atau kematian suami, dibenarkan keluar dari tempat tinggalnya untuk menyelesaikan urusannya pada dua penghujung siang, iaitu hampir waktu Subuh dan selepas matahari terbenam hingga hilangnya cahaya senja... Bahkan diharuskan baginya keluar pada waktu siang walaupun bukan kerana suatu keperluan. Namun dia tidak boleh bermalam melainkan di rumah tempat dia menjalani idah."
Mereka berdalilkan hadis daripada Jabir رضي الله عنه bahawa beliau berkata:
طُلِّقَت خَالَتِي، فَأَرَادَت أَن تَجُدَّ نَخلَهَا، فَزَجَرَها رَجُلٌ أَن تَخرُجَ، فَأَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ، فَقالَ: (بَلَى فَجُدِّي نَخلَكِ، فَإِنَّكِ عَسَى أَن تَصَدَّقِي، أَو تَفعَلِي مَعرُوفا
"Ibu saudaraku telah diceraikan. Dia ingin keluar memetik buah tamarnya, lalu seorang lelaki melarangnya daripada keluar. Maka dia menemui Nabi ﷺ, lalu Baginda bersabda: 'Bahkan keluarlah dan petiklah buah tamarmu. Mudah-mudahan engkau dapat bersedekah atau melakukan suatu kebaikan." (Riwayat Muslim)
Mereka juga berdalilkan kata-kata Abdullah bin Umar رضي الله عنهما:
لا تَبِيتُ المُتَوَفَى عَنهَا زَوجُهَا، ولا المَبتُوتَةُ، إِلاَّ فِي بَيتِهَا
"Wanita yang kematian suami dan wanita yang ditalak ba'in tidak boleh bermalam melainkan di rumah masing-masing." (Riwayat Malik)
Ucapan sahabat dalam perkara yang tidak boleh diputuskan berdasarkan ijtihad semata-mata diterima sebagai hujah oleh para ulama.
Adapun jumhur fuqaha berpendapat bahawa wanita yang sedang beridah tidak dibenarkan keluar dari rumah kecuali kerana suatu keperluan.
Oleh itu, tidak mengapa bagi wanita yang sedang beridah keluar dari rumah dalam kadar yang munasabah, seperti untuk bekerja atau melakukan ziarah yang penting, dengan syarat dia kembali dan bermalam di rumah tempat dia menjalani idah. Adapun bermusafir, maka tidak dibenarkan baginya.
