Huraian Hadis Riyadh al-Salihin (Hadis 120)

Kata al-Imam al-Nawawi RH:

١٢٠-الرابع عَنْهُ: أنَّ ناسًا قالوا: يَا رسُولَ اللَّهِ، ذَهَب أهْلُ الدُّثُور بالأجُورِ، يُصَلُّونَ كَمَا نُصَلِّى، وَيَصُومُونَ كَمَا نَصُومُ، وَيَتَصَدَّقُونَ بَفُضُولِ أمْوَالهِمْ قال: أوَ لَيْس قَدْ جَعَلَ لَكُمْ مَا تَصَدَّقُونَ بِهِ: إنَّ بِكُلِّ تَسْبِيحَةٍ صَدقَةً، وكُلِّ تَكبِيرةٍ صَدَقَةً، وكلِّ تَحْمِيدةٍ صَدَقَةً، وكلِّ تِهْلِيلَةٍ صَدقَةً، وأمرٌ بالمعْرُوفِ صدقةٌ، ونَهْىٌ عنِ المُنْكر صدقةٌ وفي بُضْعِ أحدِكُمْ صدقةٌ. قالوا: يَا رسولَ اللَّهِ أيَأتِي أحدُنَا شَهْوَتَه، ويكُونُ لَه فِيهَا أجْر؟، قَالَأرأيْتُمْ لَوْ وضَعهَا في حرامٍ أَكَانَ عليهِ وِزْرٌ؟ فكذلكَ إِذَا وضَعهَا في الحلاَلِ كانَ لَهُ أجْرٌ«رواه مسلم.
»
الدُّثُورُ«: بالثاءِ المثلثة: الأموالُ، واحِدُها: دَثْرٌ.

120. Daripada beliau (Abu Dharr رضي الله عنه) juga: “Sekumpulan sahabat berkata: "Wahai Rasulullah, orang-orang yang berharta telah mendahului kami dalam memperoleh pahala. Mereka solat sebagaimana kami solat, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa, dan mereka bersedekah dengan lebihan harta mereka." Lalu Baginda bersabda: "Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu juga perkara-perkara yang boleh kamu jadikan sebagai sedekah? Sesungguhnya setiap tasbih (ucapan Subhanallah) adalah sedekah, setiap takbir (ucapan Allahu Akbar) adalah sedekah, setiap tahmid (ucapan Alhamdulillah) adalah sedekah, setiap tahlil (ucapan La ilaha illallah) adalah sedekah, menyuruh kepada perkara yang makruf adalah sedekah, mencegah daripada kemungkaran adalah sedekah, dan pada hubungan suami isteri salah seorang daripada kamu juga terdapat sedekah." Mereka bertanya: "Wahai Rasulullah, adakah apabila seseorang daripada kami memenuhi syahwatnya, dia tetap mendapat pahala?" Baginda bersabda: "Bagaimana pendapat kamu, jika dia memenuhi syahwatnya melalui jalan yang haram, bukankah dia berdosa? Maka demikian juga apabila dia menyalurkannya melalui jalan yang halal, dia memperoleh pahala." (Riwayat Muslim)

الدثور (al-duthur) bermaksud harta kekayaan. Kata tunggalnya ialah دَثْرٌ (dathr).

 

Huraian

Dalam hadis ini, para sahabat yang miskin datang mengadu kepada Rasulullah . Namun, aduan mereka bukanlah kerana dengki kepada orang kaya, dan bukan juga kerana tidak reda dengan pembahagian rezeki yang Allah tetapkan.

Mereka berkata:             

ذَهَب أهْلُ الدُّثُور بالأجُورِ

"Orang-orang yang berharta telah mendahului kami dalam memperoleh pahala."

Kerana mereka melihat orang-orang kaya melakukan ibadah yang sama seperti mereka. Orang kaya juga solat, orang kaya juga berpuasa. Tetapi orang kaya mempunyai satu kelebihan yang mereka tiada, iaitu mereka boleh bersedekah dengan lebihan harta yang Allah kurniakan kepada mereka. Dalam riwayat lain, mereka juga berkata bahawa orang kaya dapat memerdekakan hamba, sedangkan mereka tidak mampu.

Perhatikan betapa tingginya cita-cita para sahabat رضي الله عنهم. Mereka tidak berkata:

"Orang kaya boleh memiliki rumah besar, kenderaan mewah atau pakaian yang cantik."

Sebaliknya, yang mereka fikirkan hanyalah pahala akhirat. Mereka berasa "rugi" kerana peluang menambah pahala lebih banyak dimiliki oleh orang-orang kaya.

Inilah yang dinamakan ghibtah (الغبطة), iaitu mengharapkan nikmat yang dimiliki orang lain tanpa menginginkan nikmat itu hilang daripada mereka. Ghibtah dalam perkara agama adalah sesuatu yang dipuji.

Mereka benar-benar memahami bahawa kehidupan dunia hanyalah sementara, sedangkan akhirat itulah kehidupan yang kekal. Sebab itu Allah berfirman:

﴿بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا ۝ وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَى﴾

"Bahkan kamu lebih mengutamakan kehidupan dunia, sedangkan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal." (al-A'la: 16-17)

Dalam surah al-Dhuha: 4, Allah berfirman:

وَلَلْآخِرَةُ خَيْرٌ لَكَ مِنَ الْأُولَى

Dan sesungguhnya akhirat itu jauh lebih baik untnuk kamu (wahai Muhammad) berbanding dunia.”

Oleh sebab itu, Rasulullah tidak menyuruh mereka bersedih kerana kemiskinan. Sebaliknya, Baginda membuka pintu-pintu pahala yang boleh dilakukan oleh semua orang, sama ada kaya atau miskin. Baginda mengajar bahawa tasbih, tahmid, tahlil, takbir, amar makruf, nahi mungkar, bahkan hubungan suami isteri yang dilakukan dengan niat yang betul juga menjadi sedekah dan diberi pahala.

Ini menunjukkan bahawa Allah Maha Adil. Orang miskin tidak dihalang daripada berlumba-lumba menuju syurga. Jika mereka tidak memiliki kelebihan harta, Allah membuka kepada mereka pintu-pintu pahala yang lain.

Kemudian Rasulullah memberikan jawapan yang sangat menghiburkan hati para sahabat. Baginda bersabda:

أوَ لَيْس قَدْ جَعَلَ لَكُمْ مَا تَصَدَّقُونَ بِهِ

"Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu juga perkara-perkara yang boleh kamu jadikan sebagai sedekah?"

Maksudnya, jika kamu tidak mampu bersedekah dengan harta, Allah masih membuka banyak lagi pintu sedekah yang boleh dilakukan oleh setiap orang, sama ada kaya atau miskin.

Lalu Baginda menyebut antaranya:

إنَّ بِكُلِّ تَسْبِيحَةٍ صَدقَةً، وكُلِّ تَكبِيرةٍ صَدَقَةً، وكلِّ تَحْمِيدةٍ صَدَقَةً، وكلِّ تِهْلِيلَةٍ صَدقَةً، وأمرٌ بالمعْرُوفِ صدقةٌ، ونَهْىٌ عنِ المُنْكر صدقةٌ وفي بُضْعِ أحدِكُمْ صدقةٌ

"Setiap tasbih adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah. Menyuruh kepada perkara yang makruf adalah sedekah, dan mencegah daripada kemungkaran juga adalah sedekah."

Sebelum ini kita telah menjelaskan kelebihan tasbih, tahmid, takbir dan tahlil. Di sini kita ingin memberi perhatian kepada dua amalan yang besar nilainya, iaitu amar makruf dan nahi mungkar.

Mengapa Rasulullah menyifatkannya sebagai sedekah?

Kerana manfaatnya bukan hanya kembali kepada diri sendiri, bahkan kepada seluruh masyarakat. Dengan amar makruf, manusia dibimbing kepada kebaikan. Dengan nahi mungkar, masyarakat dipelihara dari kerosakan. Sebab itulah Allah memuji umat ini dengan firman-Nya:

﴿كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ﴾

"Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia; kamu menyuruh kepada yang makruf, mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah." (Ali 'Imran: 110)

Namun, amar makruf dan nahi mungkar bukanlah dilakukan mengikut perasaan atau sangkaan semata-mata. Ia mempunyai syarat-syarat yang mesti dipenuhi.

Pertama, orang yang mengajak kepada kebaikan atau mencegah kemungkaran mestilah mengetahui hukum syarak. Dia perlu benar-benar tahu bahawa perkara yang disuruh itu memang diperintahkan oleh Allah, dan perkara yang ditegah itu benar-benar dilarang oleh Allah. Tidak boleh seseorang bercakap tentang agama tanpa ilmu. Allah berfirman:

﴿وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ﴾

"Dan janganlah kamu berkata terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya." (al-A'raf: 33)

Oleh itu, antara kesilapan yang sering berlaku ialah seseorang menyatakan sesuatu itu wajib, sunat, haram atau bidaah tanpa ilmu dan dalil yang sahih.

Kedua, hendaklah dia mengetahui bahawa orang yang ditegur benar-benar telah meninggalkan kewajipan atau melakukan perkara yang haram.

Tidak boleh seseorang terus menghukum hanya berdasarkan sangkaan, khabar angin atau melihat sesuatu secara sepintas lalu. Allah berfirman:

﴿وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ﴾

"Dan janganlah engkau mengikuti sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya." (al-Isra': 36)

Ini mengajar kita supaya berhati-hati sebelum menegur. Teguran yang lahir daripada ilmu akan membawa manfaat, manakala teguran yang lahir daripada sangkaan boleh membawa kepada kezaliman dan fitnah.

Malangnya, ada sebahagian orang yang mempunyai semangat dan kecintaan kepada agama, tetapi kerana terlalu tergesa-gesa, mereka menegur tanpa mengetahui hakikat sebenar. Sebagai contoh, seseorang melihat seorang lelaki berjalan bersama seorang wanita di pasar. Tanpa usul periksa, dia terus menegur: "Mengapa kamu berjalan dengan perempuan ini?"

Padahal dia tidak mengetahui bahawa wanita itu mungkin isterinya, anaknya, kakaknya atau mahramnya. Teguran seperti ini adalah satu kesalahan. Sepatutnya, jika benar-benar terdapat sebab yang menimbulkan syak, bertanyalah terlebih dahulu dengan cara yang baik. Jangan terus menghukum. Lebih-lebih lagi jika tiada sebarang petunjuk yang mencurigakan, maka janganlah kita membuka ruang kepada sangkaan buruk.

Lihatlah bagaimana kebijaksanaan Rasulullah dalam mendidik umat.

Pada suatu hari Jumaat, ketika Baginda sedang berkhutbah, seorang lelaki masuk ke masjid lalu terus duduk. Kita semua mengetahui bahawa orang yang masuk masjid disunatkan menunaikan solat Tahiyyatul Masjid sebelum duduk.

Namun, Nabi tidak terus menegurnya dengan berkata:

"Mengapa kamu duduk tanpa solat?"

Sebaliknya Baginda bertanya terlebih dahulu:

(أصليت؟) قال: لا. قال: (قم فصل ركعتين وتَجَوَّز فيهما)

"Adakah engkau sudah menunaikan solat?" Lelaki itu menjawab: "Belum." Barulah Nabi bersabda: "Bangunlah dan solatlah dua rakaat, serta ringankan kedua-duanya."

Mengapa Nabi bertanya dahulu? Kerana ada kemungkinan lelaki itu telah pun menunaikan Tahiyyatul Masjid di tempat lain atau ketika Baginda tidak melihatnya. Baginda tidak membina hukum berdasarkan sangkaan.

Inilah adab yang perlu kita pelajari. Sebelum menegur seseorang, pastikan kita mengetahui hakikat sebenar. Jangan menghukum hanya berdasarkan apa yang terlihat di mata.

Maka dalam amar makruf dan nahi mungkar, semangat sahaja tidak mencukupi. Ia mestilah disertai dengan ilmu, kebijaksanaan, tabayyun (memastikan fakta) dan sangka baik terhadap sesama Muslim. Dengan cara itulah nasihat akan diterima, dan kita juga terselamat daripada menzalimi orang lain dengan tuduhan yang tidak benar.

Syarat ketiga dalam amar makruf dan nahi mungkar ialah teguran itu tidak menyebabkan berlakunya kemungkaran yang lebih besar.

Ini merupakan satu kaedah penting dalam syariat. Tujuan mencegah kemungkaran ialah mengurangkan kerosakan, bukan menambahkan kerosakan.

Oleh itu, jika kita mengetahui bahawa teguran kita akan menyebabkan seseorang melakukan dosa yang lebih besar, maka pada ketika itu cara teguran tersebut perlu dinilai semula.

Sebagai contoh, seseorang merokok. Jika kita mengetahui bahawa sekiranya dia ditegah daripada merokok, dia akan terus beralih kepada minum arak, maka dalam keadaan seperti ini tidak sesuai kita menegurnya dengan cara yang membawa kepada kemungkaran yang lebih besar. Ini kerana merokok, walaupun haram atau sangat tercela menurut ramai ulama, tetap lebih ringan berbanding meminum arak.

Kaedah fiqh menyebut:

دَرْءُ أَعْلَى الْمَفْسَدَتَيْنِ بِارْتِكَابِ أَدْنَاهُمَا

"Kemudaratan yang lebih besar ditolak dengan menanggung kemudaratan yang lebih ringan."

Dalilnya ialah firman Allah:

﴿وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ﴾

"Dan janganlah kamu mencela sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana nanti mereka akan mencela Allah secara melampaui batas tanpa ilmu." (al-An'am: 108)

Mencela berhala pada asalnya bukan suatu kesalahan. Bahkan ia mengandungi maslahat kerana menjelaskan kebatilannya. Namun apabila perbuatan itu menyebabkan orang musyrik membalas dengan mencela Allah, maka syariat melarangnya kerana keburukan yang terhasil jauh lebih besar.

Sabda Nabi :

مِنَ الْكَبَائِرِ شَتْمُ الرَّجُلِ وَالِدَيْهِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَهَلْ يَشْتِمُ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ؟ قَالَ: نَعَمْ، يَسُبُّ أَبَا الرَّجُلِ فَيَسُبُّ أَبَاهُ، وَيَسُبُّ أُمَّهُ، فَيَسُبُّ أُمَّهُ.

"Termasuk dalam dosa besar ialah seorang lelaki melaknat kedua ibu-bapanya. Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, adakah seseorang melaknat ibu bapanya sendiri?" Baginda menjawab: "Ya. Dia mencela bapa orang lain, lalu orang itu membalas dengan mencela bapanya. Dia mencela ibu orang lain, lalu orang itu membalas dengan mencela ibunya."

Pada hakikatnya dia tidak mencela ibu bapanya secara langsung, tetapi tindakannya menjadi sebab orang lain mencela mereka. Oleh sebab itu dia tetap menanggung dosa.

Maka pengajaran besarnya ialah seorang pendakwah bukan sekadar melihat kepada niat yang baik, tetapi juga melihat kepada natijah dan kesan tindakannya. Amar makruf dan nahi mungkar mestilah dilakukan dengan hikmah, supaya kemungkaran dapat dikurangkan, bukan sehingga membuka pintu kepada kerosakan yang lebih besar.

Selain syarat-syarat yang telah disebutkan, orang yang melakukan amar makruf dan nahi mungkar juga perlu membetulkan niatnya. Mengapa dia menegur orang lain? Adakah kerana ingin memperbaiki saudaranya, atau kerana ingin menunjukkan bahawa dirinya lebih baik, lebih berilmu dan lebih berkuasa?

Ini perkara yang sangat penting.

Ada orang yang apabila menegur, tujuannya bukan untuk membimbing, tetapi untuk menjatuhkan orang lain atau menunjukkan kekuasaan dan kemenangan dirinya. Sikap seperti ini adalah satu kekurangan yang besar.

Mungkin kemungkaran itu berjaya dihentikan, tetapi pelakunya kehilangan pahala yang besar kerana niatnya rosak. Sebab itu, apabila kita mengajak kepada kebaikan atau mencegah kemungkaran, tanamkan dalam hati:

"Aku ingin melihat saudaraku menjadi lebih baik kerana Allah."

Apabila niat kita ikhlas untuk memperbaiki manusia, Allah akan mengurniakan keberkatan pada nasihat kita sehingga ia lebih mudah diterima.

Kemudian Rasulullah menyebut satu lagi bentuk sedekah yang mungkin tidak pernah terlintas di fikiran para sahabat. Baginda bersabda:

وفي بُضْعِ أحدِكُمْ صدقةٌ

"Pada hubungan suami isteri salah seorang daripada kamu juga terdapat sedekah."

Para sahabat kehairanan lalu bertanya:

يَا رسولَ اللَّهِ أيَأتِي أحدُنَا شَهْوَتَه، ويكُونُ لَه فِيهَا أجْر؟

"Wahai Rasulullah, adakah apabila seseorang memenuhi syahwatnya, dia tetap mendapat pahala?"

Baginda menjawab:            

أرأيْتُمْ لَوْ وضَعهَا في حرامٍ أَكَانَ عليهِ وِزْرٌ؟ فكذلكَ إِذَا وضَعهَا في الحلاَلِ كانَ لَهُ أجْرٌ

"Bagaimana pendapat kamu, jika dia menyalurkan syahwatnya melalui jalan yang haram, bukankah dia berdosa? Maka demikian juga apabila dia menyalurkannya melalui jalan yang halal, dia mendapat pahala."

Maksudnya, apabila seseorang menjaga dirinya daripada zina dan memenuhi keinginan tersebut melalui jalan yang dihalalkan Allah, maka dia diberi ganjaran pahala.

Inilah keluasan rahmat Allah. Perkara yang pada zahirnya merupakan keperluan dan keseronokan manusia, boleh berubah menjadi ibadah apabila dilakukan dengan niat yang benar.

Begitu juga dalam urusan makan dan minum. Seseorang makan kerana lapar dan minum kerana dahaga. Namun jika dia berniat untuk menguatkan tubuh agar dapat beribadah kepada Allah serta memelihara dirinya daripada perkara yang haram, maka makan dan minumnya juga menjadi ibadah.

Demikian juga nafkah kepada isteri dan keluarga. Rasulullah bersabda kepada Sa'ad bin Abi Waqqas رضي الله عنه:

وَاعْلَمْ أَنَّكَ لَنْ تُنْفِقَ نَفَقَةً تَبْتَغِي بِهَا وَجْهَ اللَّهِ إِلَّا أُجِرْتَ عَلَيْهَا، حَتَّى مَا تَجْعَلُ فِي فَمِ امْرَأَتِكَ

"Ketahuilah bahawa engkau tidak akan mengeluarkan sesuatu nafkah dengan mengharapkan keredaan Allah melainkan engkau akan diberi pahala kerananya, hatta suapan yang engkau masukkan ke dalam mulut isterimu."

Sedangkan memberi nafkah kepada isteri memang menjadi kewajipan suami. Namun apabila kewajipan itu dilakukan dengan niat mencari keredaan Allah, ia bukan sekadar menunaikan tanggungjawab, bahkan menjadi satu ibadah yang mendatangkan pahala.

Ini mengajar kita bahawa seorang Mukmin mampu mengubah urusan kehidupan hariannya menjadi ibadah dengan membetulkan niatnya. Tidur, makan, bekerja, mencari nafkah dan melayani pasangan, semuanya boleh menjadi sebab mendapat pahala apabila dilakukan kerana Allah dan menurut syariat-Nya.

Di akhir hadis ini, terdapat satu faedah penting dalam ilmu Usul Fiqh.

Rasulullah bersabda:

أرأيْتُمْ لَوْ وضَعهَا في حرامٍ أَكَانَ عليهِ وِزْرٌ؟ فكذلكَ إِذَا وضَعهَا في الحلاَلِ كانَ لَهُ أجْرٌ

"Bagaimana pendapat kamu, jika dia meletakkan syahwatnya pada jalan yang haram, bukankah dia berdosa? Maka demikian juga apabila dia meletakkannya pada jalan yang halal, dia mendapat pahala."

Daripada cara Baginda berhujah ini, para ulama usul fiqh mengambil satu kaedah yang dinamakan Qiyas al-'Aks (قياس العكس) atau qiyas secara berlawanan.

Maksudnya, apabila sesuatu perbuatan dihukum kerana adanya satu sebab tertentu, maka apabila sebab itu bertukar kepada lawannya, hukum juga berubah kepada lawannya.

Dalam hadis ini, sebab seseorang mendapat pahala ialah kerana dia menyalurkan syahwatnya melalui jalan yang halal.

Sebaliknya, jika dia menyalurkan syahwat itu melalui jalan yang haram, maka dia berdosa.

Jadi, Rasulullah menggunakan perbandingan yang berlawanan untuk menjelaskan hukum. Jika yang haram mendatangkan dosa, maka yang halal apabila dilakukan kerana mematuhi syariat Allah mendatangkan pahala. Inilah yang dinamakan oleh para ulama sebagai Qiyas al-'Aks.

Para ulama usul fiqh menyebut bahawa qiyas mempunyai beberapa jenis, antaranya:

  • Qiyas al-'Illah (قياس علة) – qiyas berdasarkan persamaan sebab (illah).
  • Qiyas al-Dalalah (قياس دلالة) – qiyas berdasarkan petunjuk kepada illah.
  • Qiyas al-Shabah (قياس شبه) – qiyas berdasarkan persamaan dengan dua hukum lalu dipilih yang lebih hampir.
  • Qiyas al-'Aks (قياس عكس) – qiyas berdasarkan lawan kepada sebab, lalu hukum juga berubah kepada lawannya.

Walaupun istilah-istilah ini dibincangkan dalam ilmu Usul Fiqh, Rasulullah sendiri telah menunjukkan contoh penghujahannya dalam hadis ini. Ini membuktikan bahawa syariat Islam dibina di atas hujah yang kukuh, logik yang benar dan hikmah yang mendalam.


Cetak  
Wallahu a'lam