Tafsir al-Furqan
﴿بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ. تَبارَكَ الَّذِي نَزَّلَ الْفُرْقانَ عَلى عَبْدِهِ لِيَكُونَ لِلْعالَمِينَ نَذِيرًا (١) الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّماواتِ وَالْأَرْضِ وَلَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُنْ لَهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَخَلَقَ كُلَّ شَيْءٍ فَقَدَّرَهُ تَقْدِيرًا (٢) وَاِتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ آلِهَةً لا يَخْلُقُونَ شَيْئًا وَهُمْ يُخْلَقُونَ وَلا يَمْلِكُونَ لِأَنْفُسِهِمْ ضَرًّا وَلا نَفْعًا وَلا يَمْلِكُونَ مَوْتًا وَلا حَياةً وَلا نُشُورًا (٣)﴾
Maha berkat Tuhan yang menurunkan Al-Furqaan kepada hambaNya (Muhammad), untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam. Tuhan yang menguasai pemerintahan langit dan bumi, dan yang tidak mempunyai anak, serta tidak mempunyai sebarang sekutu dalam pemerintahanNya; dan Dia lah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna. Dan mereka (yang kafir) mengambil benda-benda yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan, yang tidak dapat mencipta sesuatupun, bahkan benda-benda itu diciptakan (oleh penyembah-penyembahnya dari bahan-bahan di bumi); dan benda-benda itu pula tidak berkuasa mendatangkan sesuatu bahaya atau sesuatu faedah untuk dirinya sendiri; dan tidak berkuasa mematikan atau menghidupkan, atau pun membangkitkan hidup semula makhluk-makhluk yang telah mati.
I‘RAB
﴿الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ﴾
Frasa ﴿الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ﴾ merupakan:
- badal (kata ganti penjelas) kepada perkataan ﴿الَّذِي﴾ yang pertama, atau;
- lafaz pujian (مدح) yang dibaca marfū‘, atau
- lafaz pujian (مدح) yang dibaca manṣūb.
BALAGHAH
﴿عَلَى عَبْدِهِ﴾
Penyandaran perkataan "hamba" kepada Allah merupakan suatu bentuk pemuliaan dan penghormatan kepada Nabi Muhammad ﷺ, tanpa menyebut nama Baginda secara langsung.
﴿لِيَكُونَ لِلْعَالَمِينَ نَذِيرًا﴾
Termasuk juga baginda sebagai pembawa khabar gembira (بشيرا)
Namun Allah hanya menyebut sifat "pemberi amaran" (نذير) tanpa menyebut "pembawa berita gembira" (بشير), kerana tujuan ayat ini adalah untuk menggambarkan keadaan orang-orang yang ingkar, serta sesuai dengan konteks perbicaraan yang ditujukan kepada golongan kafir.
﴿يَخْلُقُونَ﴾ dan ﴿يُخْلَقُونَ﴾
Di antara kedua-dua lafaz ini terdapat jinās nāqiṣ (الجناس الناقص), kedua-duanya hanya berbeza pada baris (harakat) sahaja, sedangkan huruf-hurufnya adalah sama.
﴿ضَرًّا﴾ dengan ﴿نَفْعًا﴾, dan ﴿مَوْتًا﴾ dengan ﴿حَيَاةً﴾
Setiap pasangan perkataan tersebut mengandungi ṭibāq (الطباق), iaitu gaya bahasa yang menghimpunkan dua perkataan yang saling bertentangan maknanya untuk menguatkan maksud dan memberi kesan yang lebih mendalam.
MAKNA PERKATAAN (AL-MUFRADĀT AL-LUGHAWIYYAH)
﴿تَبَارَكَ﴾
Maksudnya: Maha Tinggi (تعالى), Maha Agung (تعاظم) dan amat banyak limpahan kebaikan-Nya (تكاثر خيره). Perkataan ini berasal daripada al-barakah (البركة), iaitu banyaknya kebaikan. Maka, penurunan al-Quran mengandungi kebaikan yang amat besar daripada Allah kepada hamba-hamba-Nya. Ia juga menjadi bukti ketinggian dan keagungan Allah mengatasi segala sesuatu yang lain, sama ada pada sifat-sifat-Nya mahupun pada perbuatan-perbuatan-Nya.
﴿الْفُرْقَانَ﴾
Maksudnya ialah al-Quran, kerana al-Quran membezakan antara yang benar dengan yang batil, serta antara orang yang benar dengan orang yang batil melalui mukjizatnya.
Ada juga yang berpendapat bahawa al-Quran dinamakan al-Furqan kerana penurunannya dilakukan secara berperingkat-peringkat, dengan sebahagiannya dipisahkan daripada sebahagian yang lain, sebagaimana firman Allah Taala:
﴿وَقُرْآنًا فَرَقْنَاهُ لِتَقْرَأَهُ عَلَى النَّاسِ عَلَى مُكْثٍ﴾
"Dan al-Quran itu Kami turunkannya secara beransur-ansur agar engkau membacakannya kepada manusia dengan perlahan-lahan." (Surah al-Isra’: 106).
﴿عَبْدِهِ﴾
Maksudnya ialah Rasul-Nya, Nabi Muhammad ﷺ. Baginda disifatkan sebagai "hamba-Nya" sebagai suatu bentuk pemuliaan dan penghormatan, kerana Baginda berada pada martabat penghambaan yang paling sempurna.
Di samping itu, penyebutan sifat hamba ini juga memberi peringatan bahawa rasul tetap seorang hamba kepada Tuhan yang mengutusnya. Hal ini merupakan sanggahan terhadap dakwaan orang-orang Nasrani yang menganggap Nabi Isa عليه السلام sebagai Tuhan.
﴿لِيَكُونَ﴾
Kata ganti nama pada lafaz ini boleh kembali kepada hamba (Nabi Muhammad ﷺ) atau kepada al-Furqan (al-Quran).
﴿لِلْعَالَمِينَ﴾
Maksudnya: untuk seluruh jin dan manusia, tidak termasuk para malaikat.
﴿نَذِيرًا﴾
Maksudnya: seorang pemberi amaran yang membawa khabar menakutkan manusia dengan azab Allah Taala.
﴿وَلَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا﴾
Maksudnya: Allah tidak mempunyai anak, sebagai bantahan terhadap dakwaan orang-orang Nasrani.
﴿وَلَمْ يَكُنْ لَهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ﴾
Maksudnya: Allah tidak mempunyai sekutu dalam pemerintahan dan kekuasaan-Nya, sebagai bantahan terhadap pegangan golongan al-Thanawiyyah (الثنوية) iaitu golongan yang mempercayai adanya dua tuhan atau dua prinsip ketuhanan dan orang-orang musyrik.
﴿وَخَلَقَ كُلَّ شَيْءٍ﴾
Maksudnya: Allah menciptakan setiap sesuatu yang sememangnya layak untuk diciptakan. Perlu diperhatikan bahawa pada permulaan ayat ini Allah menetapkan bahawa segala kerajaan dan kekuasaan adalah milik-Nya secara mutlak. Kemudian Allah menafikan segala sesuatu yang boleh menggantikan-Nya atau menyaingi-Nya dalam kerajaan tersebut. Selepas itu Allah berfirman:
﴿وَخَلَقَ﴾
sebagai penegasan terhadap bukti kekuasaan-Nya.
Dimaksudkan dengan penciptaan (الخلق) ialah mengadakan sesuatu dengan penuh ketentuan dan ukuran menurut kehendak Allah, seperti penciptaan manusia daripada bahan-bahan tertentu dengan rupa bentuk yang tertentu.
﴿فَقَدَّرَهُ تَقْدِيرًا﴾
Maksudnya: Allah menyempurnakan penciptaannya, mengatur dan menyediakan setiap makhluk sesuai dengan tujuan yang dikehendaki-Nya, sama ada dari sudut sifat-sifat mahupun fungsi-fungsinya.
Sebagai contoh, Allah menyediakan manusia dengan kemampuan: memahami dan berfikir, membuat pertimbangan, merancang dan mentadbir, mencipta pelbagai kemahiran dan perusahaan, melaksanakan pelbagai pekerjaan, serta pelbagai keupayaan lain yang sesuai dengan hikmah penciptaan mereka.
﴿وَاتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ آلِهَةً﴾
Setelah Allah menetapkan tauhid dan kenabian, ayat ini beralih kepada menjawab serta membantah golongan yang menyelisihi kedua-dua perkara tersebut.
﴿لَا يَخْلُقُونَ شَيْئًا وَهُمْ يُخْلَقُونَ﴾
Maksudnya, tuhan-tuhan yang mereka sembah itu tidak mampu menciptakan sesuatu pun, sedangkan mereka sendiri diciptakan. Ini kerana para penyembah berhala sendiri yang memahat dan membentuk patung-patung tersebut.
Dimaksudkan dengan ﴿مِنْ دُونِهِ﴾ ialah selain daripada Allah, manakala ﴿آلِهَةً﴾ merujuk kepada berhala-berhala.
﴿وَلَا يَمْلِكُونَ لِأَنْفُسِهِمْ ضَرًّا وَلَا نَفْعًا﴾
Maksudnya, sembahan-sembahan tersebut tidak berkuasa menolak sebarang kemudaratan dari diri mereka sendiri dan tidak juga mampu mendatangkan sebarang manfaat kepada diri mereka.
﴿وَلَا يَمْلِكُونَ مَوْتًا وَلَا حَيَاةً﴾
Maksudnya, mereka tidak berkuasa mematikan sesiapa dan tidak juga mampu menghidupkan sesiapa.
﴿وَلَا نُشُورًا﴾
Maksudnya, mereka juga tidak berkuasa membangkitkan sesiapa daripada kematian. Perkataan النشور bermaksud menghidupkan semula manusia selepas mati untuk tujuan perhitungan (hisab) pada hari kiamat.
TAFSIR DAN PENJELASAN
Allah Taala memulakan Surah al-Furqan dengan menerangkan bukti kewujudan Pencipta, serta menyifatkan-Nya dengan segala sifat keagungan dan kesempurnaan, di samping menafikan daripada-Nya segala bentuk kekurangan dan perkara yang mustahil bagi-Nya. Allah berfirman:
﴿تَبَارَكَ الَّذِي نَزَّلَ الْفُرْقَانَ عَلَى عَبْدِهِ لِيَكُونَ لِلْعَالَمِينَ نَذِيرًا﴾
Maksudnya, Allah Taala memuji diri-Nya Yang Maha Mulia atas nikmat penurunan al-Quran yang agung kepada Rasul-Nya ﷺ, supaya Baginda memberi peringatan dengannya kepada dua golongan makhluk yang mukallaf, iaitu jin dan manusia, serta memberi amaran kepada mereka tentang seksaan, azab dan hukuman Allah.
Ayat ini merupakan dalil yang jelas dan tegas bahawa risalah Islam bersifat sejagat, meliputi seluruh umat manusia, bahkan juga golongan jin. Maksud firman Allah:
﴿تَبَارَكَ﴾
ialah Maha Tinggi, Maha Agung dan amat banyak limpahan kebaikan-Nya.
Sesungguhnya tiada kebaikan yang lebih besar dan lebih mulia daripada penurunan al-Quran al-Karim, yang menjadi pedoman hidup manusia, mengandungi unsur berita gembira dan peringatan; memberi khabar gembira kepada orang yang taat dengan syurga, serta memberi amaran kepada golongan yang ingkar, degil dan menentang dengan azab neraka. Dalam ayai ini Allah hanya menyebut peringatan (الإنذار) tanpa menyebut berita gembira (التبشير), walaupun tugas Rasul ﷺ merangkumi kedua-duanya. Hal ini kerana ia bersesuaian dengan konteks ayat yang sedang berbicara tentang golongan kafir yang menentang, yang mendakwa Allah mempunyai anak dan menjadikan sekutu bagi-Nya.
]imaksudkan dengan ﴿عَبْدِهِ﴾ ialah Muhammad, Rasulullah ﷺ. Manakala ﴿الْفُرْقَانَ﴾ ialah al-Quran, yang dengannya Allah membezakan:
- antara yang benar dan yang batil,
- antara petunjuk dan kesesatan,
- serta antara yang halal dan yang haram.
Al-Quran juga dinamakan al-Furqan kerana ia diturunkan secara beransur-ansur, mengikut kesesuaian peristiwa dan keadaan. Ayat ini mempunyai persamaan dengan firman Allah pada permulaan Surah al-Kahfi:
﴿الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنْزَلَ عَلَى عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَلْ لَهُ عِوَجًا قَيِّمًا لِيُنْذِرَ بَأْسًا شَدِيدًا مِنْ لَدُنْهُ وَيُبَشِّرَ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا حَسَنًا﴾
"Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan Kitab kepada hamba-Nya, dan Dia tidak menjadikan padanya sebarang penyelewengan. Sebaliknya, al-Quran itu lurus, supaya Dia memberi peringatan tentang azab yang sangat dahsyat daripada sisi-Nya, serta memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh bahawa mereka akan memperoleh balasan yang baik."
(Surah al-Kahfi: 1–2).
Pengulangan lafaz ﴿عَبْدِهِ﴾ dalam kedua-dua ayat tersebut merupakan pujian dan sanjungan kepada Nabi ﷺ, sebagai isyarat bahawa Baginda telah mencapai martabat penghambaan (ʿubudiyyah) yang paling sempurna, iaitu setinggi-tinggi kedudukan yang dapat dicapai oleh seorang makhluk.
Allah juga menyifatkan Baginda dengan sifat "hamba-Nya" pada keadaan Baginda yang paling mulia, iaitu ketika peristiwa Israk, melalui firman-Nya:
﴿سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا﴾
"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam."
Begitu juga Allah menyifatkan Baginda dengan sifat tersebut ketika Baginda berdiri menyeru manusia kepada Allah, sebagaimana firman-Nya:
﴿وَأَنَّهُ لَمَّا قَامَ عَبْدُ اللَّهِ يَدْعُوهُ كَادُوا يَكُونُونَ عَلَيْهِ لِبَدًا﴾
"Dan sesungguhnya ketika hamba Allah berdiri menyeru kepada-Nya, mereka hampir-hampir mengerumuninya."
(Surah al-Jinn: 19).
Demikian juga dalam ayat Surah al-Furqan ini, Allah menyifatkan Baginda sebagai "hamba-Nya" ketika menurunkan al-Kitab kepada Baginda dan membebankan Baginda dengan tugas menyampaikan risalah.
Kemudian Allah Taala menyifatkan Zat-Nya dengan empat sifat daripada sifat-sifat kebesaran dan keagungan-Nya, lalu berfirman:
1. ﴿الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ﴾
Maksudnya, pemilik sebenar seluruh apa yang ada di langit dan di bumi ialah Allah Taala.
Dimaksudkan dengan Pemilik ialah Dia mempunyai kekuasaan mutlak untuk mengurus dan mentadbir kerajaan-Nya menurut kehendak-Nya. Dia juga memiliki kekuasaan yang sempurna terhadap segala sesuatu yang berada dalam milik-Nya; menciptakan dan memusnahkan, menghidupkan dan mematikan, memerintah dan melarang, semuanya berdasarkan hikmah dan kemaslahatan. Sifat ini merupakan dalil kewujudan Allah Taala, kerana satu-satunya jalan untuk membuktikan kewujudan-Nya ialah dengan menjelaskan bahawa seluruh makhluk ini berhajat kepada Allah:
- ketika asal penciptaannya,
- pada saat ia mula wujud,
- sepanjang tempoh kewujudannya,
- dan dalam seluruh pengurusan Allah terhadapnya menurut kehendak-Nya.
Kebergantungan makhluk kepada Pencipta yang mengurus dan mentadbir mereka menjadi bukti yang pasti tentang kewujudan-Nya. Oleh sebab itu, sifat ini didahulukan daripada sifat-sifat yang lain.
2. ﴿وَلَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا﴾
Maksudnya, Allah sama sekali tidak mempunyai anak. Ini bertentangan dengan dakwaan orang-orang Yahudi, Nasrani dan musyrikin Arab, yang mendakwa bahawa:
- ‘Uzair ialah anak Allah,
- al-Masih (Nabi Isa) ialah anak Allah,
- dan para malaikat ialah anak-anak perempuan Allah.
Al-Quran merakamkan dakwaan mereka melalui firman Allah:
﴿وَقَالَتِ الْيَهُودُ عُزَيْرٌ ابْنُ اللَّهِ وَقَالَتِ النَّصَارَى الْمَسِيحُ ابْنُ اللَّهِ﴾
"Orang-orang Yahudi berkata: '‘Uzair ialah anak Allah,' dan orang-orang Nasrani berkata: 'Al-Masih ialah anak Allah.'"
(Surah al-Tawbah: 30).
Dan firman-Nya:
﴿فَاسْتَفْتِهِمْ أَلِرَبِّكَ الْبَنَاتُ وَلَهُمُ الْبَنُونَ أَمْ خَلَقْنَا الْمَلَائِكَةَ إِنَاثًا وَهُمْ شَاهِدُونَ أَلَا إِنَّهُمْ مِنْ إِفْكِهِمْ لَيَقُولُونَ وَلَدَ اللَّهُ وَإِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ أَصْطَفَى الْبَنَاتِ عَلَى الْبَنِينَ﴾
"Maka tanyakanlah kepada mereka: Adakah bagi Tuhanmu anak-anak perempuan sedangkan bagi mereka anak-anak lelaki? Atau adakah Kami menciptakan para malaikat sebagai perempuan sedangkan mereka menyaksikannya? Ketahuilah, sesungguhnya kerana dusta mereka, mereka berkata: 'Allah mempunyai anak.' Dan sesungguhnya mereka benar-benar pendusta. Adakah Dia memilih anak-anak perempuan daripada anak-anak lelaki?" (Surah al-Saffat: 149–153).
3. ﴿وَلَمْ يَكُنْ لَهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ﴾
Maksudnya, Allah tidak mempunyai sebarang sekutu dalam kerajaan dan kekuasaan-Nya. Dialah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah, dan hanya Dia yang layak menerima segala bentuk ibadah dan pengabdian.
Apabila seorang hamba benar-benar memahami hakikat ini, dia akan menggantungkan seluruh harapannya kepada Allah Taala, tidak akan takut melainkan kepada-Nya, dan tidak akan memenuhi hatinya melainkan dengan mengharapkan rahmat, kurniaan dan ihsan Allah.
Hal ini juga merupakan bantahan terhadap golongan al-Thanawiyyah, yang berpegang bahawa alam ini mempunyai dua tuhan, iaitu tuhan cahaya dan tuhan kegelapan. Ia juga menjadi bantahan terhadap penyembah bintang dan planet dari kalangan al-Sabi’ah (الصابئة), serta penyembah berhala dari kalangan musyrikin Arab.
Orang-orang musyrik Arab dahulu pernah mengucapkan dalam talbiah haji mereka:
لَبَّيْكَ لَا شَرِيكَ لَكَ، إِلَّا شَرِيكًا هُوَ لَكَ، تَمْلِكُهُ وَمَا مَلَكَ
Maksudnya: "Aku menyahut seruan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu, kecuali satu sekutu yang menjadi milik-Mu; Engkau menguasainya dan juga apa yang dikuasainya."
Dua sifat yang telah disebut sebelum ini menunjukkan bahawa Allah Taala menyucikan diri-Nya daripada mempunyai anak dan daripada mempunyai sekutu.
4. ﴿وَخَلَقَ كُلَّ شَيْءٍ فَقَدَّرَهُ تَقْدِيرًا﴾
Maksudnya, Allah menciptakan segala sesuatu selain daripada diri-Nya, dan Dia mengadakannya dengan suatu penciptaan yang penuh ketentuan, ukuran dan keseimbangan yang sempurna.
Allah juga menyediakan setiap makhluk dengan sifat-sifat dan fungsi-fungsi yang sesuai dengannya. Sebagai contoh, manusia diciptakan oleh Allah dalam bentuk yang telah ditentukan dan disempurnakan, iaitu dalam sebaik-baik kejadian. Allah juga mengurniakan kepadanya pelbagai pancaindera, tenaga dan kemampuan untuk:
- memahami dan berfikir,
- membuat pertimbangan serta merancang,
- mencipta pelbagai kemahiran dan perusahaan,
- serta melaksanakan pelbagai jenis pekerjaan.
Begitu juga haiwan dan benda-benda tidak bernyawa, semuanya diciptakan dalam bentuk yang sempurna dan telah ditentukan ukurannya, sesuai dengan hikmah, maslahat dan tadbir Allah. Setiap makhluk diciptakan menurut apa yang telah ditentukan baginya, tanpa terdapat sebarang percanggahan atau ketidaksesuaian dengan tujuan penciptaannya.
Kesimpulannya, Allah telah menetapkan ukuran, sifat dan fungsi bagi setiap makhluk yang diciptakan-Nya berdasarkan hikmah-Nya, sesuai dengan apa yang dikehendaki-Nya.
Ibn Kathir mentafsirkan bahagian akhir ayat ini dengan menjelaskan bahawa:
كل شيء مخلوق مربوب لله، والله هو خالق كل شيء وربه ومليكه وإلهه، وكل شيء تحت قهره وتدبيره وتسخيره وتقديره
Segala sesuatu adalah makhluk dan milik Allah. Allah ialah Pencipta, Pemelihara, Pemilik dan Tuhan bagi setiap sesuatu. Seluruh makhluk berada di bawah kekuasaan, pentadbiran, penguasaan dan ketentuan-Nya.
Setelah Allah Taala menyifatkan diri-Nya dengan sifat-sifat keagungan, kemuliaan dan ketinggian, Allah meneruskan dengan membatalkan dakwaan para penyembah berhala, melalui firman-Nya:
﴿وَاتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ آلِهَةً﴾
sehinggalah firman-Nya:
﴿وَلَا نُشُورًا﴾
Maksud keseluruhan ayat ialah bahawa tuhan-tuhan yang mereka dakwa sebagai sembahan itu sama sekali tidak layak disembah, kerana semuanya mempunyai betapa banyak kekurangan yang nyata.
Antara kekurangan tersebut ialah:
a. Berhala-berhala itu tidak mampu menciptakan sesuatu pun, sedangkan sesuatu yang layak menjadi Tuhan mestilah mempunyai kemampuan untuk mencipta dan mengadakan makhluk.
b. Berhala-berhala itu sendiri adalah makhluk yang diciptakan, sedangkan setiap makhluk pasti berhajat kepada yang menciptakannya. Sebaliknya, Tuhan yang sebenar mestilah Maha Kaya, tidak berhajat kepada sesiapa pun.
Oleh sebab orang-orang musyrik mempercayai bahawa berhala-berhala mereka mampu mendatangkan mudarat dan manfaat, maka Allah merujuk kepada berhala-berhala itu dengan firman-Nya:
﴿وَهُمْ يُخْلَقُونَ﴾
"Sedangkan mereka sendiri diciptakan."
Allah menggunakan kata ganti nama yang biasanya digunakan bagi makhluk berakal, kerana ia selaras dengan kepercayaan orang-orang musyrik yang menganggap berhala-berhala tersebut mempunyai sifat-sifat ketuhanan.
c. Berhala-berhala itu tidak memiliki kuasa untuk mendatangkan mudarat atau manfaat kepada diri mereka sendiri, iaitu mereka tidak mampu menolak sebarang kemudaratan atau mendatangkan sebarang manfaat. Jika mereka sendiri tidak mampu berbuat demikian terhadap diri mereka, sudah tentu mereka lebih-lebih lagi tidak mampu melakukannya untuk orang lain.
Sesuatu yang tidak mampu memberi manfaat kepada dirinya sendiri dan tidak mampu menolak mudarat daripada dirinya, apatah lagi kepada orang lain, tidak ada faedah untuk disembah.
d. Berhala-berhala itu juga tidak memiliki kuasa untuk mematikan, menghidupkan dan membangkitkan semula manusia, iaitu mereka tidak berkuasa mematikan makhluk, tidak mampu memberikan kehidupan sejak awal penciptaan, dan tidak mampu membangkitkan manusia semula selepas mati pada hari pembalasan.
Sesuatu yang mempunyai kekurangan sedemikian bagaimana mungkin layak dinamakan sebagai Tuhan?
Sebaliknya, semua urusan tersebut kembali kepada Allah ‘Azza wa Jalla semata-mata. Dialah yang menghidupkan dan mematikan, dan Dialah yang akan membangkitkan seluruh makhluk pada Hari Kiamat, sebagaimana firman-Nya:
﴿مَا خَلْقُكُمْ وَلَا بَعْثُكُمْ إِلَّا كَنَفْسٍ وَاحِدَةٍ﴾
"Penciptaan kamu dan pembangkitan kamu semuanya hanyalah seperti menciptakan dan membangkitkan satu jiwa sahaja." (Surah Luqman: 28).
Kesimpulannya, Allah ialah Yang Maha Esa (al-Aḥad), Yang menjadi tumpuan segala makhluk (al-Ṣamad), tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, serta tiada sesuatu pun yang setara dengan-Nya. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Dia, tiada Rabb selain-Nya, dan ibadah tidak selayaknya dipersembahkan melainkan kepada-Nya sahaja.
Ini kerana apa yang Allah kehendaki pasti berlaku, dan apa yang tidak dikehendaki-Nya pasti tidak akan berlaku.
Adapun para penyembah berhala dan orang-orang musyrik, mereka telah menyembah selain daripada Pencipta, iaitu sesuatu yang tidak memiliki kuasa mendatangkan manfaat atau menolak mudarat, sama ada terhadap dirinya sendiri mahupun terhadap orang lain.
Perkara seperti ini tidak akan diterima oleh seseorang yang berakal waras ataupun oleh seorang yang berilmu serta berfikir dengan mendalam.
