Soalan:
Apa hukum seorang wanita menjalani proses pembekuan ovum jika ada masalah kesihatan?
Jawapan:
Saya terjemahkan di bawah ini fatwa Jordan dalam isu yang sama:
Keputusan No. (248) (17/2017): Hukum Pembekuan Ovum (Telur Wanita) / Bertarikh 2 Rabiulakhir 1439H bersamaan 21 November 2017M
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas penghulu kita Nabi Muhammad, serta keluarga dan para sahabat Baginda seluruhnya.
Majlis Fatwa, Penyelidikan dan Pengajian Islam dalam mesyuaratnya yang ketiga belas, yang diadakan pada hari Khamis, 2 Rabiulakhir 1439H bersamaan 21 November 2017M, telah meneliti satu soalan yang dikemukakan oleh seorang pemohon fatwa melalui laman sesawang rasmi Jabatan Mufti Am Jordan. Soalan tersebut berbunyi:
"Saya berumur 28 tahun dan menghidap kanser. Kini saya sedang menjalani rawatan, dan saya telah dijadualkan untuk menerima rawatan kemoterapi dalam tempoh terdekat. Saya sudah berkahwin, namun wujud perselisihan faham dengan suami, dan saya telah memohon perceraian. Soalan saya ialah: Adakah harus menurut syarak untuk saya menjalani prosedur mengambil ovum (telur wanita) bagi tujuan menyimpannya (membekukannya), sekiranya pada masa hadapan saya ditakdirkan berkahwin dengan lelaki lain? Atau adakah saya perlu menunggu sehingga perceraian berlaku dan tamat tempoh idah terlebih dahulu sebelum menjalani prosedur tersebut?"
(Jawapan Fatwa)
Setelah mengkaji dan membincangkan perkara tersebut, majlis memutuskan seperti berikut:
Pembekuan gamet (sama ada sel sperma atau ovum) merupakan salah satu isu baharu yang timbul hasil dari kemajuan dan perkembangan ilmu perubatan, alhamdulillah. Penentuan hukum syarak mengenainya hendaklah berasaskan kepada dua kaedah syarak yang umum:
Pertama: Hukum asal dalam rawatan dan perubatan ialah harus serta diberi keluasan. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
تَدَاوَوْا، فَإِنَّ اللهَ لَمْ يَضَعْ دَاءً إِلَّا وَضَعَ لَهُ دَوَاءً غَيْرَ دَاءٍ وَاحِدٍ الْهَرَمُ
"Berubatlah kamu, kerana sesungguhnya Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan Dia juga menurunkan ubatnya, kecuali satu penyakit iaitu tua." (Riwayat Ahmad)
Kedua: Memelihara keturunan daripada percampuran nasab serta menjaga kehormatan akad perkahwinan.
Oleh itu, sekiranya pemilik gamet yang dibekukan beriltizam bahawa gamet tersebut tidak akan disenyawakan kecuali ketika wujud ikatan perkahwinan yang sah, maka tidak mengapa menggunakan kaedah ini apabila terdapat keperluan.
Keadaan sama ada gamet tersebut diambil dan dibekukan ketika seseorang masih bujang ataupun ketika berada dalam perkahwinan yang terdahulu tidak memberi perbezaan yang memberi kesan terhadap hukum. Perkara penting ialah proses persenyawaan hanya boleh dilakukan dalam naungan akad nikah yang sah antara pasangan suami isteri ketika persenyawaan itu dilakukan.
Namun demikian, sekiranya seseorang wanita mengambil langkah lebih berhati-hati dengan hanya membekukan ovumnya ketika berada dalam perkahwinan yang memang diniatkan untuk digunakan bagi tujuan persenyawaan bersama suami tersebut, maka cara itu adalah lebih utama dan lebih baik. Dan Allah SWT Maha Mengetahui.
Pengerusi Majlis Fatwa: Mufti Besar Kerajaan Jordan
Sahibus Samahah Dr. Muhammad al-Khalaileh
Ahli-ahli Majlis:
- Syeikh Abdul Karim al-Khasawneh
- Prof. Dr. Abdullah al-Fawwaz
- Dr. Majid Darawishah
- Dr. Muhammad Khair al-'Isa
- Syeikh Sa'id al-Hajawi
- Hakim Khalid al-Wuraykat
- Dr. Muhammad al-Zu'bi
---------------------------- teks asal fatwa --------------------------------
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، وبعد فإن مجلس الإفتاء والبحوث والدراسات الإسلامية في جلسته الثالثة عشرة المنعقدة يوم الخميس (2/ربيع الثاني / 1439هـ)، الموافق (21/ 11 /2017م)، قد نظر في السؤال الوارد من مستفتية –عبر موقع دائرة الإفتاء العام الإلكتروني- حيث جاء فيه:
عمري 28 سنة، مصابة بالسرطان، وأنا في طور العلاج، وتم إقرار العلاج الكيماوي لي في الفترة القادمة، أنا متزوجة، ولكن هناك خلافات، وطلبت الطلاق من زوجي. سؤالي هو: هل يجوز شرعاً أن أقوم بعملية سحب بويضات للاحتفاظ بها وتخزينها إذا كان هنالك نصيب وتزوجت رجلاً آخر، أم يجب أن يتم الطلاق أولا، وأنتظر انتهاء العدة، ثم أقوم بالعملية؟
وبعد الدراسة ومداولة الرأي قرر المجلس ما يأتي:
تجميد النطف (سواء الحيوانات المنوية أو البويضات) من المسائل المستحدثة نتيجة تقدم الطب وتطوره والحمد لله، وبيان الحكم الشرعي فيها لا بد أن يتأسس على قاعدتين شرعيتين عامتين:
الأولى: أن الأصل في التطبب والعلاج هو الإباحة والسعة، فقد قال عليه الصلاة والسلام: (تَدَاوَوْا، فَإِنَّ اللهَ لَمْ يَضَعْ دَاءً إِلَّا وَضَعَ لَهُ دَوَاءً غَيْرَ دَاءٍ وَاحِدٍ الْهَرَمُ) [مسند أحمد].
والثانية: حفظ الأنساب من الاختلاط، ومراعاة حرمة عقد الزوجية.
فإذا التزم أصحاب النطف المجمدة بعدم تلقيحها إلا حال قيام الزوجية بعقد زواج صحيح، فلا حرج عليهم في اتخاذ هذه الوسيلة عند الحاجة إليها، وسواء سحبت هذه النطف وجمدت خلال العزوبة أو عقد زواج سابق، فليس ذلك بفرق مؤثر، المهم أن حرمة التلقيح لا تُقتحم إلا في ظل عقد زواج صحيح عند التلقيح من قبل الزوجين. ولو احتاطت المرأة، فلم تقم بتجميد البويضة إلا خلال عقد الزواج الذي تعزم على التلقيح منه فهو أولى وأفضل. والله تعالى أعلم
