- SYAFAAT NABI SAW MILIK AHLI TAUHID
Daripada 'Auf bin Malik al-Asyja‘i (عوفُ بنُ مالكٍ الأشجعيُّ) RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:
أَتَانِي آتٍ مِنْ عِنْدِ رَبِّي فَخَيَّرَنِي بَيْنَ أَنْ يُدْخِلَ نِصْفَ أُمَّتِي الْجَنَّةَ وَبَيْنَ الشَّفَاعَةِ فَاخْتَرْتُ الشَّفَاعَةَ وَهِيَ لِمَنْ مَاتَ لَا يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا
"Telah datang kepadaku seorang utusan daripada Tuhanku, lalu dia memberikan aku pilihan antara dimasukkan separuh daripada umatku ke dalam syurga atau diberikan syafaat. Maka aku memilih syafaat. Syafaat itu adalah untuk orang yang meninggal dunia dalam keadaan tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apa pun." (Riwayat Hannad (هناد) (1/138, no. 181), al-Tirmizi (4/627, no. 2441), al-Tabarani (18/72, no. 133), Ibn Hibban (1/442, no. 211). Dinilai sahih oleh al-Albani dalam al-Rawd al-Nadir (no. 1019).
Dalam riwayat Ibn Majah RH, 'Auf bin Malik al-Asyja'i RA, berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أتَدرونَ ما خَيَّرَني ربِّيَ اللَّيلةَ؟ قُلنا: اللَّهُ ورسولُهُ أعلمُ، قالَ: فإنَّهُ خَيَّرَني بينَ أن يدخلَ نصفُ أُمَّتي الجنَّةَ، وبينَ الشَّفاعةِ، فاختَرتُ الشَّفاعةَ، قُلنا: يا رسولَ اللَّهِ ادعُ اللَّهَ أن يجعلَنا مِن أهْلِها، قالَ: هيَ لِكُلِّ مُسلمٍ
"Tahukah kamu apakah yang telah diberikan pilihan kepadaku oleh Tuhanku pada malam tadi?" Kami menjawab: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui." Baginda bersabda: "Sesungguhnya Dia telah memberikan aku pilihan antara memasukkan separuh daripada umatku ke dalam syurga atau diberikan syafaat. Maka aku memilih syafaat." Kami berkata: "Wahai Rasulullah, berdoalah kepada Allah agar Dia menjadikan kami termasuk dalam kalangan orang yang mendapat syafaat itu." Baginda bersabda: "Syafaat itu adalah untuk setiap orang Islam." (Riwayat Ibn Majah (no. 4317). Dinilai sahih oleh: al-Albani dalam Sahih Ibn Majah (no. 3503)
Huraian
Allah SWT telah mengurniakan kepada Nabi Muhammad SAW kelebihan yang sangat besar. Dia memuliakan Baginda dan mengangkat kedudukan baginda melebihi seluruh para nabi di dunia dan di akhirat. Antara limpahan kelebihan tersebut ialah umat Baginda turut memperoleh syafaat pada hari akhirat.
Dalam hadis ini, 'Auf bin Malik al-Asyja'i RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أتَدرونَ ما خَيَّرَني ربِّيَ اللَّيلةَ؟
"Tahukah kamu apakah yang ditawarkan oleh Tuhanku kepadaku pada malam tadi?"
Dalam riwayat al-Tirmizi disebut:
أَتَانِي آتٍ مِنْ عِنْدِ رَبِّي
"Telah datang kepadaku seorang utusan daripada Tuhanku."
Difahami dari hadis ini, yang dimaksudkan ialah Malaikat Jibril AS datang membawa wahyu daripada Allah SWT, atau mungkin juga ia merupakan satu mimpi yang dilihat oleh Nabi SAW.
Perkataan Baginda SAW:
فإنَّهُ خَيَّرَني
"Sesungguhnya Dia memberikan aku pilihan."
Maksudnya, Allah menyerahkan pilihan itu kepada Baginda.
Baginda diberi pilihan, antara memasukkan separuh daripada umat baginda ke dalam syurga, di mana yang dimaksudkan ialah separuh daripada umat yang sebenarnya layak menerima azab. Adapun mereka yang sememangnya tidak layak diazab, mereka sudah tentu akan masuk syurga. Hadis ini tidak menjelaskan keadaan separuh yang lagi satu. Ada yang berpendapat mereka akan diazab dan tidak mendapat syafaat. Namun, ada juga kemungkinan bahawa mereka diserahkan kepada rahmat dan keampunan Allah.
Tujuan hadis ini adalah untuk menerangkan bahawa Nabi SAW diberi pilihan sama ada baginda mahu Allah memasukkan separuh umatnya yang layak dimasukkan ke dalam neraka, ke dalam syurga, ataupun Baginda diberikan hak syafaat.
Kemudian Baginda bersabda:
وبينَ الشَّفاعةِ
"...atau diberikan syafaat."
Maksudnya, Baginda diberi pilihan antara memasukkan separuh umat baginda yang layak dikenakan azab ke dalam syurga atau memperoleh syafaat.
Syafaat Nabi SAW merangkumi beberapa bentuk, antaranya:
- memberi syafaat kepada orang-orang berdosa dalam kalangan orang yang mentauhidkan Allah,
- memberi syafaat agar seseorang masuk syurga tanpa dihisab,
- atau memberi syafaat untuk mengangkat darjat seseorang pada hari kiamat.
Kemudian Nabi SAW bersabda:
فَاخْتَرْتُ الشَّفَاعَةَ
"Maka aku memilih syafaat."
Ini menunjukkan bahawa syafaat lebih luas manfaatnya berbanding hanya memasukkan separuh umat ke dalam syurga. Syafaat itu meliputi seluruh umat yang menyahut seruan Islam (أُمَّة الإجابةِ).
Lalu para sahabat berkata:
يا رسولَ اللهِ، ادْعُ اللهَ أنْ يجعَلَنا من أهْلِها
"Wahai Rasulullah, doakanlah kepada Allah agar kami termasuk dalam kalangan orang yang mendapat syafaat itu."
Maksudnya, mereka memohon agar menjadi golongan yang menerima syafaat Baginda. Lalu Nabi SAW bersabda:
هيَ لِكُلِّ مُسلمٍ
"Syafaat itu adalah untuk setiap orang Islam."
Maksudnya, hendaklah kamu terus istiqamah di atas agama Islam sehingga akhir hayat agar memperoleh syafaat tersebut. Dimaksudkan dengan Islam di sini ialah agama Islam yang sebenar.
Syafaat yang disebut dalam hadis ini bukanlah syafaat kubra (غيرُ الشَّفاعةِ العُظمى) yang diberikan kepada Nabi SAW untuk memulakan proses pengadilan antara seluruh makhluk pada hari kiamat. Adapun hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan al-Tirmizi:
شَفاعتي لأهْلِ الكبائرِ مِن أُمَّتي
"Syafaatku adalah untuk pelaku dosa-dosa besar daripada kalangan umatku."
Demikian juga dengan hadis-hadis lain yang seumpama dengan hadis ini, maka ia hanyalah menyebut salah satu kelompok yang termasuk dalam keumuman syafaat tersebut. Ia tidak mengecualikan golongan lain, sebaliknya menjelaskan bahawa pelaku dosa besar adalah golongan yang paling memerlukan dan paling berhak mendapat syafaat Baginda.
Pengajaran Hadis
- Menunjukkan kemuliaan dan kedudukan tinggi Nabi Muhammad SAW di sisi Allah SWT.
- Menunjukkan besarnya kurniaan Allah kepada umat Islam melalui anugerah syafaat Nabi SAW.
- Mendorong umat Islam agar terus teguh berpegang kepada Islam dan iman sehingga akhir hayat supaya layak memperoleh syafaat Nabi SAW pada hari kiamat.
