Huraian Fath al-Qarib: Rukun Ketiga Wudhu, Membasuh Tangan Hingga Ke Siku

Pengarang berkata:

(وَ) الثَّالِثُ (غَسْلُ الْيَدَيْنِ إِلَى الْمِرْفَقَيْنِ). فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُ مِرْفَقَانِ اعْتُبِرَ قَدْرُهُمَا. وَيَجِبُ غَسْلُ مَا عَلَى الْيَدَيْنِ مِنْ شَعْرٍ وَسِلْعَةٍ وَإِصْبَعٍ زَائِدَةٍ وَأَظَافِيرَ. وَيَجِبُ إِزَالَةُ مَا تَحْتَهَا مِنْ وَسَخٍ يَمْنَعُ وُصُولَ الْمَاءِ.

"(Dan) rukun yang ketiga ialah membasuh kedua-dua tangan hingga ke kedua-dua siku. Jika seseorang tidak mempunyai siku, maka diambil kira kadar atau ukuran tempat siku tersebut. Wajib membasuh segala yang terdapat pada kedua-dua tangan seperti rambut, sel‘ah (ketumbuhan atau benjolan yang tumbuh antara daging dan kulit), jari tambahan dan kuku. Selain itu, wajib menghilangkan segala kotoran yang berada di bawah kuku atau selainnya yang menghalang air daripada sampai ke bahagian yang wajib dibasuh."

Huraian

Rukun ketiga wuduk ialah membasuh kedua-dua tangan hingga ke siku berdasarkan firman Allah Taala:

﴿فاغسلوا وجوهكم وأيديكم إلى المرافق﴾.

"Dan basuhlah wajah-wajah kamu dan tangan-tangan kamu hingga ke siku."

Perkataan "hingga" «إلى» dalam ayat ini membawa maksud «مع» "bersama", iaitu siku termasuk dalam anggota yang wajib dibasuh.

Dalam bahasa Arab, perkataan إلى kadangkala digunakan dengan makna kebersamaan (المعية).

Contohnya firman Allah:

﴿ولا تأكلوا أموالهم إلى أموالكم﴾

"Dan janganlah kamu makan harta mereka bersama harta kamu."

Begitu juga firman-Nya:

﴿ويزدكم قوة إلى قوتكم﴾

"Dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatan kamu."

Serta kata Nabi Isa عليه السلام yang dirakamkan dalam al-Quran:

﴿من أنصاري إلى الله﴾

"Siapakah penolong-penolongku bersama (untuk menegakkan agama) Allah?"

Maka kedua-dua siku wajib dimasukkan dalam basuhan.

Perkataan: اليد atau "tangan" dalam bahasa Arab mempunyai tiga penggunaan:

Pertama: dari hujung jari hingga ke tapak tangan. Ini ialah makna yang digunakan dalam hukum potong tangan pencuri.

Kedua: dari hujung jari hingga ke siku. Inilah makna yang dimaksudkan dalam bab wuduk.

Ketiga: dari hujung jari hingga ke bahu.

Kemudian pengarang menyebut:

فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُ مِرْفَقَانِ اعْتُبِرَ قَدْرُهُمَا

"Jika seseorang tidak mempunyai siku, maka diambil kira kadar kedudukan siku tersebut."

المرفق dibaca: المِرْفَقُ berdasarkan الأفصح, boleh juga dibaca: المَرْفِقُ, iaitulah siku. Siku merupakan himpunan tiga tulang (مجموع العظام الثلاث) iaitu: عَظْمَتَيْ العَضُد iaitu dua hujung tulang lengan atas dan إبرة الذراع الداخلة بينهما iaitu bahagian tulang siku (ulna) yang berada di celah dua bonggol tulang lengan atas, yang bertemu pada satu sendi. Keseluruhan gabungan tulang-tulang itu dinamakan siku atau المِرْفَقُ.

Siku dinamakan demikian kerana manusia menggunakannya untuk bersandar dan melakukan pelbagai pergerakan.

Pengarang berkata:

فإن لم يكن له مرفقان...

Jika seseorang tidak mempunyai dua siku

Iaitu dia tidak memiliki dua siku dalam bentuk yang biasa, kata pengarang:

اعْتُبِرَ قَدْرُهُمَا

"diambil kira kadarnya.”

Maksudnya kadarkan tempat kedua-dua siku itu berdasarkan seseorang yang mempunyai anggota badan yang sederhana daripada orang yang seusia dengannya. Contohnya, diukur terlebih dahulu panjang tangan seseorang yang sempurna kejadiannya dari hujung jari hingga ke bahu. Kemudian diukur pula jarak dari hujung jari hingga ke siku.

Maka kadar yang diperoleh daripada nisbah tersebut — misalnya tiga perempat daripada keseluruhan panjang tangan — hendaklah dibasuh oleh orang yang tidak mempunyai kedua-dua siku.

Adapun bahagian yang melebihi kadar tersebut hingga ke bahu, maka tidak wajib dibasuh.

Seterusnya pengarang berkata:

وَيَجِبُ غَسْلُ مَا عَلى الْيَدَيْنِ مِنْ شَعْرٍ وَسِلْعَةٍ وَإِصْبَعٍ زَائِدَةٍ وَأَظافِيرَ، وَيَجِبُ إِزَالَةُ مَا تَحْتَهَا مِنْ وَسَخٍ يَمْنَعُ وُصُوْلُ الْمَاءِ إلَيْهِ

"Wajib membasuh apa yang terdapat pada kedua-dua tangan seperti bulu, benjolan daging, jari tambahan dan kuku. Juga wajib menghilangkan apa-apa di bawahnya (kuku) terdiri dari kotoran yang menghalang sampainya air."

Ungkapan pengarang:

“Dan wajib membasuh apa yang terdapat pada kedua-dua tangan..." dan seterusnya.

Termasuklah wajib menghilangkan apa sahaja yang menghalang sampainya air pada kedua-dua tangan, seperti kotoran yang terkumpul dari unsur luar, jika tidak sukar untuk menanggalkannya. Jika sukar untuk dipisahkan atau dibuang, maka ia tidak menjejaskan sahnya wuduk, kerana ketika itu ia dianggap seperti sebahagian daripada badan.

Ungkapan "seperti kotoran yang terkumpul dari unsur luar", bagi mengecualikan kotoran yang terhasil daripada tubuh badan sendiri, seperti peluh yang mengering dan seumpamanya, ia tidak memudaratkan secara mutlak. Demikian juga kulit atau lapisan yang terbentuk pada bisul atau luka (قِشْرَةُ الدُّمَّل), ia tidak wajib ditanggalkan walaupun mudah.

Hukum yang disebut ini juga berlaku pada seluruh anggota wuduk yang lain.

Ungkapan pengarang: من شعر "daripada rambut";

Maksudnya wajib membasuh bahagian zahir dan batin rambut tersebut, walaupun rambut itu tebal dan panjang. Begitu juga hukumnya bagi cebisan kulit yang tergantung pada anggota yang wajib dibasuh. Maka wajib membasuhnya walaupun ia panjang.

Ungkapan pengarang: و سلعة ")dan wajib membasuh) سلعة" di mana dengan huruf sin berbaris kasrah (سِلْعَة), adalah sejenis benjolan atau kelenjar yang tumbuh di antara daging dan kulit. Saiznya boleh bermula sekecil kacang kuda sehingga sebesar tembikai.

Adapun سَلْعَة dengan huruf sin berbaris fathah, maka ia bermaksud barang-barang dagangan milik penjual, sebagaimana yang disebut oleh Ibn Hajar dalam al-Zawājir.

Namun yang masyhur ialah bahawa perkataan سِلْعَة (dengan kasrah) juga digunakan bagi makna barang dagangan. Manakala سَلْعَة (dengan fathah) pula bermaksud luka di kepala (الشَّجَّة).[1]

Ungkapan pengarang: وَإِصْبَعٍ زَائِدَةٍ maksudnya: "dan jari tambahan." Maka semua jari sama ada jari itu asal atau tambahan, semuanya wajib dibasuh kerana kedua-duanya termasuk dalam anggota tangan.

Ungkapan pengarang: وَأَظافِيرَ "dan kuku-kuku (أظافير)", di mana perkataan أظافير ialah jamak bagi ظُفُر.

Kuku juga wajib dibasuh kerana ia termasuk dalam maksud tangan yang wajib dibasuh. Jika seseorang telah berwuduk, kemudian didapati bahawa air sebenarnya tidak sampai kepada kukunya, lalu dia memotong kuku tersebut, maka tindakan memotong kuku itu tidak memadai atau tidak dianggap dia telah menyempurnakan wudhunya.

Sebaliknya, dia hendaklah:

  1. Membasuh bahagian yang sebelum ini terlindung oleh kuku yang dipotong.
  2. Kemudian mengulangi sapuan kepala.
  3. Kemudian membasuh kedua-dua kaki.

Ini bagi menjaga tertib wuduk.

Adapun jika perkara tersebut berlaku dalam mandi wajib, maka memadai baginya membasuh tempat yang sebelum ini terlindung oleh kuku itu sahaja, kerana mandi wajib tidak mensyaratkan tertib.

Ungkapan pengarang: وَيَجِبُ إِزَالَةُ مَا تَحْتَهَا maksudnya: "dan wajib menghilangkan apa yang berada di bawahnya." Maksudnya: di bawah kuku-kuku atau أظافير.

Ungkapan: مِنْ وَسَخٍ "daripada kotoran", merupakan penjelasan kepada benda yang berada di bawah kuku tersebut. Namun terdapat rukhsah bagi kotoran yang sedikit dan sukar dielakkan oleh orang yang sentiasa terdedah kepadanya kerana pekerjaan mereka, seperti mekanik, tukang besi dan seumpamanya. Kotoran seperti ini dimaafkan kerana kesukaran menghilangkannya secara berterusan berdasarkan kaedah:

المشقة تجلب التيسير

"Kesukaran membawa kepada kemudahan."

Adapun bagi orang yang tidak menghadapi keadaan sedemikian, maka kotoran yang menghalang sampainya air tidak dimaafkan dan wajib dibersihkan terlebih dahulu. Inilah pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i.

Di sisi mazhab Syafi‘i juga terdapat satu pendapat yang menyatakan bahawa kotoran di bawah kuku dimaafkan secara mutlak, tanpa membezakan sama ada seseorang itu biasa terdedah kepadanya atau tidak. al-Syeikh Sa‘ied al-Jabiri HFZ ketika mensyarahkan Matn al-Muqaddimah al-Hadramiyyah dan Qurrah al-‘Ain menyebut al-‘Allamah Ba Kathir menyusun dua bait nazm dengan katanya:

قَدْ سَامَحَ الْأَزْرَقُ وَالْغَزَّالِيْ، فِيْ وَسْخِ الْأَظْفَارِ كَالْقَفَّال،

عَالِمُ سَمْهُوْدٍ وَزَرْكَشِ كَمَا، لِلْعَفْوِ عَبَّادِيُّهُمْ تَيَمَّما

Maksudnya: “Telah masukkan dalam kemaafan oleh al-Azraq dan al-Ghazzali, tentang kotoran (bawah) kuku sama seperti al-Qaffal. Demikian juga seorang ‘Alim Samhud dan Zarkashi, demikian juga ‘Abbadi juga memaksudkan ia termasuk dalam perkara yang diberi kemaafan.”

Kemudian pengarang menegaskan lagi bahawa yang wajib dibuang hanyalah kotoran yang menghalang sampainya air dengan katanya:

وَيَجِبُ إِزَالَةُ مَا تَحْتَهَا مِنْ وَسَخٍ يَمْنَعُ وُصُوْلُ الْمَاءِ إلَيْهِ

dan wajib menghilangkan apa-apa di bawahnya (kuku) terdiri dari kotoran yang menghalang sampainya air

Jika kotoran itu tidak menghalang air daripada sampai ke kulit atau kuku, maka tidak wajib menghilangkannya.

Begitu juga minyak atau bahan berminyak yang terdapat pada anggota wuduk terbahagi kepada dua:

Pertama: minyak yang mempunyai lapisan atau jirim yang menghalang sampainya air, seperti petroleum jelly dan seumpamanya. Maka wajib dibuang terlebih dahulu.

Kedu: minyak cecair yang hanya meninggalkan kesan licin tanpa menghalang air sampai ke kulit, seperti minyak bijan dan seumpamanya. Maka tidak wajib dibuang dan wuduk tetap sah.

Jika tangan seseorang terpotong bawah dari siku, maka wajib membasuh bahagian yang masih ada. Demikian juga jika yang tinggal hanya bahagian hujung tulang lengan atas (رَأْسُ الْعَضُد), ia wajib di basuh kerana hujung tulang tersebut termasuk dalam maksud siku, seperti yang telah diterangkan sebelum ini berkaitan tiga tulang dinamakan sebagai المرفق.

Ini berdasarkan firman Allah:

﴿فَاتَّقُوْا اللهَ مَا اسْتَطَعْتُم﴾

"Bertakwalah kamu kepada Allah sekadar kemampuan kamu."

Juga berdasarkan kaedah fiqh:

المَيْسُوْر لَا يَسْقُطُ بِالْمَعْسُوْر

"Apa yang masih mampu dilakukan tidak gugur hanya kerana sebahagian yang lain tidak mampu dilakukan."

Namun, jika tangan itu terpotong dari bahagian atas siku, maka tidak wajib membasuh apa-apa lagi kerana tempat yang diwajibkan basuhan telah tiada. Apabila sesuatu yang diwajibkan itu hilang, gugurlah kewajipan yang berkaitan dengannya.

Walau bagaimanapun, para ulama menganggap sunat membasuh bahagian anggota yang masih tinggal sebagai usaha mengekalkan sunnah tahjil (تحجيل), berdasarkan hadis:

إنَّ أُمَّتِي يُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ غُرًَّا مُحَجَّلِينَ مِنْ آثَارِ الْوُضُوءِ» فَمَنْ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يُطِيلَ غُرَّتَهُ وَتَحْجِيلَهُ فَلْيَفْعَلْ

“Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat dalam keadaan bercahaya pada wajah, tangan dan kaki mereka kesan daripada wuduk. Maka sesiapa yang mampu memanjangkan cahaya wajah dan tahjilnya, hendaklah dia melakukannya.” (Muslim)



[1] Lihat al-Bajuri 1/253


Cetak  
Wallahu a'lam